EDISI PRU13 - PILIHAN PENENTUAN

Wednesday 24 April 2013

 Bendera-bendera parti sudah berkibar memenuhi jalan raya.
Anda pilih kerana?
Parti?
Bendera yang cantik?
Warna yang menarik?
Pemimpin?
Sentimen?


Sudah terasa kehangatan pilihan raya kali ini. Semakin hampir dengan tarikh penentuan,semakin banyak juga spekulasi yang timbul dari mana-mana pihak sama ada yang bertanding mahupun tidak. Dalam situasi pilihan raya sebegini, 'perang mulut', perang poster, perang tabur janji adalah perkara biasa untuk meraih undi dan memenangi kawasan tersebut. Tetapi, sejauh manakah ianya dapat terlaksana dengan mudah?

Jika menang, adakah janji yang ditaburi itu mudah untuk dikotakan?

Bagi pengundi, mereka sudah ada pilihan mereka yang tersendiri. Terdapat beberapa kategori pengundi dan penyokong sesebuah parti di mana mereka ini menjadi 'die hard fans' kepada parti tersebut.

MENYOKONG KERANA SEJARAH

Situasi ini berlaku terutama kepada golongan-golongan warga emas dan veteran. Mereka telah melihat sebuah parti itu berjaya membangunkan negara sehingga berada di tahap yang membanggakan dan mereka merasakan jika keadaan yang ada pada hari ini diambil alih atau ditukar, ianya akan memberi kesan yang buruk.

MENYOKONG KERANA KEPERCAYAAN

Golongan ini adalah golongan yang telah melihat hasil perubahan yang dilakukan dan juga mereka ini berpandukan kepada sejarah. Akan tetapi mereka percaya kepada kekuatan yang ditunjukkan oleh parti yang bertanding. Seperti contoh seorang calon telah memenangi kerusi di sebuah DUN. Selama dia menjadi wakil rakyat, dia telah banyak membuat perubahan, membantu masyarakat dan sebagainya. Pastinya pengundi akan terus menyokong dan terus memberi kepercayaan kepada beliau meskipun pihak lawan adalah seorang yang mempunyai pengaruh. Itulah kuasa kepercayaan dari pengundi.

MENYOKONG KERANA INGINKAN PERUBAHAN

Situasi ini berlaku pada hari hari. Lihat berapa ramai yang inginkan satu perubahan dalam sistem dan pembangunan setempat terutamanya. Bagi golongan mahasiswa, mereka inginkan satu transformasi dan mencuba pentadbiran baru. Itulah yang mereka fikirkan.

MENYOKONG SAJA-SAJA

Golongan ini semestinya wujud dalam kalangan masyarakat kerana mereka tidak tahu tentang isu semasa dan hanya mengikut pilihan kawan serta melihat kemewahan yang telah diberikan. Kepada penyokong dan pengundi yang seperti ini, anda seharusnya memikirkan masa depan negara, diri anda dan masa depan anak cucu anda bermula daripada hari ini. Silap anda memilih maka gelaplah masa depan legasi anda.

.........................

Luarannya, untuk memilih sebuah kerajaan adalah perkara yang senang. Tanda, menang dan tadbir. Tetapi dalam konteks masa depan negara, ianya adalah perkara yang amat sukar. Andai kata pemimpin yang kita pilih itu adalah pemimpin yang korup, adakah dia boleh menjamin kesejahteraan anda, anak-anak anda dan sekeliling anda?

Pengundi yang bijak akan menilai setiap janji yang ditaburkan dengan mendalam. Dengan sebegitu, kita tidak mudah diperbodohkan. Saya pasti satu perkara iaitu janji senang ditaburkan tapi yakinlah jika hanya membuta tuli untuk tarik undi, janji itu sebenarnya sukar untuk direalisasikan.

Jangan mudah termakan hasutan orang lain dalam memilih orang yang akan memimpin anda. Cara yang terbaik adalah fikir, kaji, dan pilih.

Pilihan di tangan kita, tangan anda!
 

TRAVELOG RINGKAS BAS BELIA MABIMS 2012 (MALAYSIA)

Thursday 4 April 2013

Pengalaman besar yang pernah saya alami selama mengikuti pelbagai program

KAMI AGEN PERUBAHAN SOSIAL

11-20 November 2012

Program Bas Belia MABIMS ini telah berlangsung pada tahun lepas. Untuk penulisan kali ini, saya ingin berkongsi secara ringkas sahaja sepanjang perjalanan saya selama dua minggu di Terengganu dan Singapura.

...

Saya dan sahabat saya telah tiba di perkarangan asrama Institut Latihan Islam Malaysia. Sebenarnya kami telah menginap selama satu malam di institut tersebut. Waktu pendaftaran jam 2.00 petang. Wah lama lagi!

Saya menerima satu tawaran untuk mengikuti sebuah program antarabangsa dibawah kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Agama dari 3 buah negara yang lain, Singapura, Indonesia, dan Brunei. Awalnya saya menyangka peserta yang terlibat adalah seusia dengan saya.

Tetapi saya agak terkejut apabila melihat peserta-peserta yang sampai sewaktu pendaftaran. Mereka bukanlah seperti dalam jangkaan saya. Saya bersalaman dan beramah mesra dengan mereka sebagai tanda awal segmen pengenalan.

"Assalamualaikum, saya Qayyum. Dari Malaysia." Saya menghulurkan tangan dan memberikan senyuman.

"Waalaikumsalam, saya Farhan. Singapura," Oh! Singapura. Negara yang berjiran dengan negeri tempat tinggal saya.

"Kerja?" Dia bertanya.

"Eh tak. Saya masih student. Farhan?"

"Saya sudah bekerja. Bahagian Pembangunan Belia di sebuah masjid di Singapura,"

Subhanallah. Rupanya saya berkenalan dengan seorang ustaz. Majoriti peserta yang menyertai program ini terdiri daripada imam dan bilal, pegawai agama Islam dan Badan-badan NGO yang bergerak membantu belia.

Ice Breaking telah dilakukan di dalam sebuah dewan yang sejuk. Aktiviti yang dikendalikan oleh pihak JAKIM sangat menyenorokkan. Nampak sahaja seperti permainan biasa, tetapi ada natijah dan rasional disebaliknya. Kami juga dibawa untuk bermain dan bertanding dalam acara kayak.

Siapa sangka kumpulan saya memenangi kumpulan tersebut!

Saya merupakan peserta termuda dalam program tersebut. Walaupun begitu, ikatan ukhuwah di antara kami yang kuat membuat saya terasa saya tidak disisihkan. Termuda bukan bermaksud mentaliti juga muda, mentah. Setiap aktiviti yang memerlukan pendapat, saya tidak ketinggalan untuk turut sama bangkit menyuarakan pendapat dan rasional aktiviti yang dilakukan. Hasil pembacaan sebelum ini telah banyak membantu saya untuk memberikan pendapat yang bernas. Alhamdulillah.

Ice Breaking : Memecahkan benteng perisai untuk mengeratkan ukhuwah sesama Muslim

....

Perjalanan ke Terengganu mengambil masa 8 jam lebih. Lama juga saya duduk di dalam bas. Sesekali berjalan-jalan sebentar di luar apabila bas berhenti di beberapa hentian rehat. Saya duduk disebelah seorang ustaz dari Singapura.

"Kamu student UniSZA kan?"

"Ye saya ustaz." Saya menaburkan senyuman.

"Kamu kenal ustaz Akila Mamat?"

Saya terkejut seketika. "Eh mana tak kenalnya ustaz. Felo kolej kediaman saya."

Kami mula bercerita tentang perjalanan kerjaya masing-masing. Bagi saya, saya masih lagi mentah dan belum cukup berpengalaman, maka saya hanya memasang telinga mendengar cerita ustaz yang mempunyai iras wajah Ustaz Farid Ravi ini.

Sampai sahaja di Terengganu kami ditempatkan di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu. Jadual sepanjang di Terengganu ialah Forum Mini di UniSZA dan Bakti Sosial di Perkampungan Batu Rakit.

Pada hari di mana akan berlangsungnya Forum Mini yang berlokasikan UniSZA, saya menjadi tourist guide sementara untuk memperkenalkan UniSZA dan segala yang terdapat di UniSZA. Walaupun ringkas tapi peluang yang diberikan untuk bercakap di hadapan orang-orang yang hebat bukan selalu kita dapat.

Forum Mini yang berlangsung banyak berkongsikan mengenai pemuda-pemudi masa kini yang merupakan harapan utama untuk membangunkan dan memajukan tamadun Islam terutamanya. Dipanelkan oleh wakil dari Singapura dan seorang pensyarah UniSZA, forum ringkas ini banyak memberi input yang bermakna dan bernas.

Pada hari berikutnya, kami dibawa ke perkampungan yang terletak di Batu Rakit. Sampai sahaja di sana, simbolik pertama menyambut kedatangan kami dengan menyembelih seekor lembu.

Kami diberikan tempat-tempat tertentu mengikut kumpulan untuk bergotong-royong. Saya dan ahli kumpulan yang lain membersihkan sebuah surau tinggal. Jenuhnya tidak seperti yang disangka. Dek kerana keseronokan membersihkan surau, kepenatan yang menghantui kami hilang serta-merta. Itulah dia kesan keikhlasan dalam melakukan sesuatu kerja.

Tempat-tempat yang menjadi lokasi pembersihan seperti masjid, kawasan perkuburan dan satu kumpulan dikhaskan untuk memasak.

Pada malam sebelum itu, kami kaum adam telah mengadakan perlawanan futsal bersama belia kampung tersebut. Hebat juga mereka. Walaupun kalah tetapi tidak bermakna kami bermusuh.

Disini telah mengajar saya erti komuniti bermasyarakat dan ukhuwah yang sebenar.

Setelah selesai aktiviti di Terengganu, kami bersedia pula untuk merantau ke Singapura.

Here We Come!

Seekor lembu ditumbangkan

EDISI PRU13 - MAHASISWA

 Tibalah masanya untuk menentukan masa depan negara.
Jangan tersilap langkah, buruk padahnya.



Sudah mencecah sebulan terasa bahang mendekati pilihan raya. Maklum sahajalah sudah berdiri tegak bendera-bendera pelbagai warna yang di pacak di sepanjang jalan. Tidak ketinggalan beberapa khemah didirikan mewakili parti masing-masing bertujuan untuk menarik pengundi dan menaikkan semangat politik parti. Saya rasa hampir setiap malam saya akan nampak video-video ceramah politik dipasang di khemah-khemah tersebut.

Malah masjid-masjid serta surau-surau menjadi medan penyebaran semangat politik melalui risalah-risalah atau 'brochure'  yang diletakkan di tangga.

Wah, bijak juga!


Semangat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 menjadi semakin berkobar-kobar apabila mendengar ura-ura mengatakan Parlimen akan dibubarkan. Masa inilah banyak teka-teki, strategi, dan jangkaan mengenai kemenangan telah diperbuat.

Saya melihat situasi Pilihan Raya Umum ini telah menjadi satu fenomena hangat seperti tsunami, hari kemerdekaan dan mungkin fenomena peperangan di mana setiap individu akan sibuk memikirkannya. Setiap hari akan ada artikel yang dikeluarkan mengenainya di media-media.

Mungkin juga seperti virus dan bakteria yang menyelinap masuk ke ruang-ruang badan manusia.

Jika di zaman persekolahan dahulu, saya tidak mengambil tahu sangat mengenai PRU ini. Waktu itu saya masih tidak layak untuk mengundi dan tidak ada suasana sebegitu di asrama saya.

Apabila masuk ke universiti, berbeza pula. Banyak pula isu politik yang dibincangkan disekeliling. Lebih-lebih lagi politik ini dikaitkan dengan pelajar undang-undang. Makan politik, duduk politik, berjalan politik malah tidur pun politik juga. Terutama menjelang PRU yang semakin hampir ini.

Apabila diumumkan sahaja mengenai pembubaran parlimen pada 3 April yang lepas, pelbagai reaksi telah timbul. Walaupun reaksi-reaksi sebegini telah muncul lebih awal lagi, tetapi kali ini lebih hangat tatkala status-status mengenai sokongan, raih undi membanjiri laman-laman sosial dan website.

"Masa untuk mengundi!"

"Pembubaran parlimen telah berlaku. Masa untuk tentukan pemimpin negara seterusnya."

Dan banyak lagi status. Bukan itu sahaja, poster-poster juga diedarkan.

Pada saya, cakna masyarakat mengenai politik negara menunjukkan rakyat Malaysia ini mengambil berat tentang masa depan negara kerana jika negara porak-peranda, kita sebagai penduduk akan merasa terseksa.

Kita tidak mahu menjadi penduduk di sebuah negara yang hancur dek kerana pemimpin dan pentadbirannya tidak boleh memajukan negara, membangunkan bangsa dan hanya mementingkan diri sendiri. Lihat bagaimana ada di antara negara-negara luar yang mengalami kehancuran kerana kesilapan daripada pemimpin dan pentadbirannya.

Mahukah kita menjadi begitu?

Alhamdulillah rakyat Malaysia masih lagi bertindak waras dalam memikirkan perihal negara. Walaupun ada demonstrasi, ianya tidak menjejaskan keadaan disekeliling secara total seperti yang berlaku di Mesir.

Bukankah mahasiswa cerminan masa hadapan?

Mahasiswa dan tugasnya....

Dari sudut Mahasiswa pula, perlu untuk mengambil tahu perihal semasa yang berlaku disekeliling kerana kita bukan lagi berada di tahap kanak-kanak. Kita perlu mengetahui isu-isu sebegini seperti PRU agar kita lebih matang.

Bukan hanya belajar di dalam kelas sahaja dapat mencambahkan pemikiran, mengetahui isu-isu disekeliling kita adalah bonus agar kita tidak diperbodohkan dan dalam masa yang sama boleh membuat perbandingan serta mencari satu solusi baru jika ada permasalahan.

Tidak salah untuk seorang mahasiswa bersungguh-sungguh memikirkan soal politik negara. Makna kita bukanlah 'katak dibawah tempurung'. Dalam masa yang sama, fikirkan kembali tugas sebenar seorang mahasiswa disebalik cita-cita untuk menegakkan suara mahasiswa.

Mahasiswa adalah tunjak utama kepada harapan negara kerana ada diantara mahasiswa inilah yang akan menjadi contoh kepada orang lain di Malaysia dan InsyaAllah mata dunia.

Sebelum menjadi begitu, lihat kembali skop utama mahasiswa iaitu mencari kecemerlangan dalam akademik, akal, sahsiah dan sebagainya.

Seorang mahasiswa yang 'cemerlang' akan memikirkan secara rasional mengenai isu-isu semasa seperti politik negara. Dia boleh membuat perbandingan dan menerima pandangan dari mana-mana pihak. Selain itu, mahasiswa yang mempunyai pemikiran cemerlang tidak berpihak kepada mana-mana pendapat dan lebih mendiskusikan secara ilmiah.

Sejujurnya, di tahap seorang mahasiswa, masih belum layak untuk menjadi calon dalam PRU ini. Banyak cabaran yang perlu ditempuhi untuk melayakkan seseorang itu bergelar ahli politik. Jangan samakan Pilihan Raya Kampus seperti PRU ini.

Saya pernah ditanya soal layakkah mahasiswa bertanding.

Saya hanya memberi pendapat, mahasiswa yang nak bertanding perlu perbetulkan kembali makna seorang mahasiswa yang cemerlang. Bagaimana nak memimpin jika perkara yang tidak sepatutnya dilakukan mahasiswa ditunjukkan?

Seperti contoh, lambat menghantar 'assignment', pergi ke kelas memakai seluar jeans sedangkan dilarang disesetengah unversiti, tidak memakai kad matrik sedangkan sudah diwajibkan dan sebagainya.

Itu hanyalah pendapat peribadi saya. Apabila saya menyuarakan pendapat, saya lebih suka menyatakan setiap manusia mempunyai pendapat yang berbeza supaya pendapat saya ini bukanlah titik noktah kepada pertanyaan tersebut.

Akhir kata, jangan kotorkan politik negara dengan pemikiran yang sempit kerana natijah padahnya bukan seorang dua yang akan menjadi mangsa, berjuta yang akan merana. 

TERIMA KASIH BANG. ALHAMDULILLAH

Tuesday 2 April 2013

Mereka berada di stesen minyak, kedai makan, pasaraya, dan kaki lima.
Menjadi mangsa menambah kewangan pusat tahfiz
Wajarkah?


Jam 9.15 malam di sebuah kedai makan..


"Assalamualaikum," satu suara sanyup kedengaran. Awalnya aku tidak berapa mendengarnya dek sahutan dan rungutan penonton bola.

"Assalamualaikum," sekali lagi suara itu kedengaran.

"Waalaikumsalam." Aku menyahut kembali.

"Saya ada menjual kismis doa dan madu. Abang boleh tengok-tengok dahulu. Duit akan disalurkan ke Maahad Tahfiz." Seorang budak perempuan dalam lingkungan belasan tahun berdiri disebelahku. 

Oleh kerana waktu itu aku sedang menyuap makanan, aku tidak menoleh sehinggalah aku meletakkan sudu. Dia menunjukkan sampel kotak kismis dan botol madu yang dibawanya.

Aku menjadi serba salah ketika itu kerana aku tidak berapa suka membeli barangan yang dijual oleh jurujual sebegitu. Lalu aku bertanya, "Dik, kalau abang derma sahaja tak beli boleh?"

"Boleh bang," jawabnya ringkas.

Lalu aku menghulurkan sehelai not ringgit Malaysia kepadanya. Aku sengaja menggulungkan duit tersebut tanpa dia dan rakan-rakan yang duduk semeja denganku tahu nilai not tersebut.

"Terima kasih bang. Alhamdulillah." Suaranya agak keriangan ketika itu. Aku tersentap seketika. Setelah aku menghulurkan duit, dia terus mencapai dan memasukkan di dalam beg galas kecil yang dibawanya.

"Semoga Allah memudahkan segala urusan abang dan memberikan rezeki yang melimpah ruah." Doanya ketika itu. Lalu dia beredar ke meja-meja yang lain untuk melakukan aktiviti yang sama. Menjual produk yang dibawanya.

Setelah dia beredar, aku mula tertanya.

Suara keriangan yang digambarkan sewaktu mengucapkan alhamdulillah telah mengingatkan aku pada satu sindiket yang pernah menjadi isu hangat suatu ketika dahulu. Di mana pihak pengajar telah mempergunakan pelajarnya untuk mencari pendapatan. Mereka disuruh untuk melakukan satu tugasan yang dikatakan sebagai praktikal dakwah. Mereka dibawa ke tempat-tempat tertentu dan disuruh untuk menjual produk seperti buku, kismis, Al-Quran dan sebagainya serta meminta derma. Apabila tiba masa, mereka akan dijemput.

Aku tersentap juga kerana teringat kes itu. Aku perhatikan budak perempuan itu pergi ke meja-meja sambil menunjukkan produk yang dibawa. Seketika dia berhenti tanpa hala tuju.

Sudah dua hari aku mengalami situasi yang sama. Pelbagai persoalan yang timbul dalam benak fikiran.

Apakah tujuan derma dan jualan dilakukan?Untuk kegunaan ramai atau keuntungan sendiri?

Budak tadi naik apa datang sini?Bukankah tempat belajarnya agak jauh?

Raut wajahnya seperti dipaksa. Hmm.

dan pelbagai lagi persoalan hinggakan aku agak terkilan kerana memikirkan budak seusianya meminta derma di tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Bijaknya mereka ini, mereka menutupi cara mereka meminta derma dengan menjual produk yang mereka bawa.

Awalnya aku ingin mencari dan bertanya sendiri dengan budak perempuan itu. Setelah membayar makanan, aku tidak lagi kelihatan kelibat budak itu. Mungkin sudah berpindah ke kedai makan lain yang berdekatan.

Aku juga terfikir adakah baik meminta-meminta dengan cara sebegitu. Terutama menggunakan orang lain sebagai mangsa. Seperti yang telah aku nyatakan mengenai sindiket maahad tahfiz yang tidak berdaftar dan cara mereka mencari sumber kewangan adalah dengan menggunakan pelajar mereka meminta derma orang ramai. Malangya maahad tahfiz yang berdaftar juga ada melakukan sindiket yang sama.

Apa yang aku dapat lihat di antaranya ada yang menggunakan agama sebagai 'pelindung' kepada aktiviti ini. Berpakaian sopan, cantik bahasa yang digunakan siap dengan doa. Malah ada juga yang mengeluarkan hadith dan ayat Al-Quran agar orang tersebut menderma walaupun sedikit.

Kadangkala aku tersentuh melihat mereka-mereka ini diperlakukan tidak sewajarnya. Mereka di hantar untuk belajar, menuntut ilmu Allah. Tetapi dipergunakan atas kepentingan sendiri. Astaghfirullah. Zalim sungguh perbuatan tersebut.

Selalu juga aku terserempak dengan kanak-kanak yang meminta derma di laluan masuk ke pasaraya besar yang terdapat di Johor. Berpakaian lusuh dan duduk bersimpuh di laluan kaki lima sambil memegang cawan.

Begitu juga dengan golongan-golongan orang kurang upaya buta, cacat anggota badan yang tidak tahu dari mana datangnya duduk sambil memegang bakul kecil menadah meminta duit dari orang sekeliling.

Tidak salah untuk mereka meminta derma asalkan kena pada tempat dan situasinya. Aku lebih sedih apabila golongan-golongan sebegini dipergunakan oleh orang lain.

Sebagai penderma, kita kena sentiasa ikhlas dalam menderma. Akan tetapi dalam situasi sebegini kita fikirkan mereka-mereka ini kerana nasibnya sehingga mereka rela menjadi peminta derma.

Aku berharap mereka-mereka ini tidak lagi diperlakukan seperti ini. Jika benar mereka memerlukan wang untuk menampung sara hidup, pergilah ke pusat-pusat zakat untuk meminta bantuan. Hendak seribu daya sahaja.

by: kay qayra al-jauhari

APRIL FOOL! TRAGEDI DI SEBALIK 1 APRIL


 Hari Menipu Sedunia?

1 APRIL..

"Kau nak tahu satu cerita tak?Best ni."

"Apa dia?"

"Kucing aku boleh mengaum macam harimau!"

"Betul ke?"

"APRIL FOOL!! Hahaha."

"Ciss!"

Seronok rasanya apabila dapat mengenakan orang-orang terdekat kita lebih-lebih lagi rakan-rakan dan saudara mara. Pada hari tersebut juga tiada siapa yang boleh memarahi anda atas penipuan yang anda lakukan secara ringan mahupun ekstrim. Mangsa yang menjadi bahan gurauan tidak boleh melontarkan sebarang emosi marah, kecewa dan benci kepada si penipu. Kebiasaannya, si mangsa yang sudah mengetahui tarikh tersebut ialah april fool hanya akan tertawa dan tersenyum sahaja.

April Fool bukanlah sebuah hari perayaan kebangsaan tetapi hari untuk mempraktikkan segala gurauan tanpa ada yang memarahinya. Ia merupakan satu budaya di mana pada hari tersebut sesiapa sahaja dibenarkan menipu atau 'prank'. Walaupun asalnya banyak hari-hari yang boleh menjadi hari untuk 'prank' orang lain, tetapi tarikh 1 April adalah tarikh sedunia. Cara sambutan di negara-negara barat adalah berbeza apabila tiba tarikh 1 April. 

Begitu juga dengan kita. Apabila tiba tarikh 1 April, maka keluarlah pelbagai kenyataan di laman-laman sosial yang bertujuan untuk 'prank' sesiapa yang membacanya. Ada juga yang mengenakan orang lain dengan menelefon orang tersebut dan membuat gurauan tidak berasas.

Paling menyedihkan apabila penipuan yang dilakukan bertujuan untuk bergurau tetapi orang tersebut percaya 100%. Sebagai contoh, anda bergurau dengan menyatakan perihal kematian seseorang yang anda dan orang tersebut kenali. Malangnya orang yang anda kenakan itu percaya dan menjadi 'down' kerana gurauan anda.

Sambutan April Fool telah mengajar seseorang itu sifat orang-orang munafik.

Bukankah menipu itu berdosa?

Menipu adalah salah satu sifat bagi orang-orang munafik. Sedangkan dalam hadith Rasulullah juga telah digariskan tiga ciri-ciri orang munafik iaitu menipu, tidak menunaikan amanah dan tidak menepati janji. Di dalam Islam sendiri telah melarang umat Islam menipu dalam apa jua keadaan sekalipun. 

Rasulullah bersabda: "Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat walaupun dia membawa kebenaran."

Selain itu, Rasulullah telah menekankan amaran daripada menakutkan orang lain kepada kita umat Islam sama ada serius mahupun bergurau.

"Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim."

Ironiknya situasi pada hari ini, April Fool telah menjadi salah satu budaya orang Islam. Ramai dalam kalangan kita, anak-anak, mungkin juga rakan-rakan dan saudara mara kita yang seronok 'merayakan' Hari April Fool tersebut tanpa sedar apa sebenarnya di sebalik kewujudan April Fool itu. Masyarakat kita pada hari ini lebih suka mengikut budaya-budaya yang disebarkan oleh barat tanpa mengkaji terlebih dahulu sama ada ianya memberi manfaat atau menjadi racun kepada masyarakat. Anak-anak muda adalah medium paling mudah untuk mereka membawa masuk 'racun-racun' ini kerana mereka mudah menerima terutama berkaitan hiburan.

Sebelum kita menjadikan sesuatu budaya asing itu sebagai budaya kita, kita mestilah mengetahui terlebih dahulu sejarah mengapa terwujudnya budaya tersebut.

Ingat! Dalam Islam tidak wujud April Fool!

Di Sebalik 1 April...

Hari April Fool atau dikenali juga dengan nama April Mop merupakan sebuah perayaan hari kemenangan ke atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera-tentera Salib. Modus operandi mereka adalah dengan cara melakukan penipuan.

Pada ketika ini telah tercipta satu sejarah atau tragedi hitam yang terbesar bagi penduduk di Sepanyol yang menganut agama Islam pada ketika itu pada tahun 1487 Masihi/ 892 Hijriah.

Hampir 6 abad penguasa Islam dan penganut agama Islam telah bertungkus lumus untuk mengembangkan lagi jaran Islam dan mempraktikkan Islam dalam kehidupan mereka. Dek kerana sifat penguasa Islam yang baik hati dan rendah diri, ramai penduduk Sepanyol tertarik hati untuk menganut agama Islam. Kagumnya, mereka ini bukan sahaja tahu membaca Al-Quran, malah menjadikan Al-Quran sebagai panduan dengan melarang arak, pergaulan bebas dan juga perkara-perkara yang dilarang oleh agama Islam.

Ketika itu masih ada lgi saki baki orang kafir yang menetap di Sepanyol dan mereka ini tidak berhenti untuk menghancurkan Islam dalam Sepanyol. Mereka telah mencuba pelbagai cara namun hasilnya menghampakan. Sehinggalah mereka menghantar beberapa mata-mata untuk mencari kelemahan orang Islam.

Mereka akhirnya menemui cara iaitu melemahkan iman orang-orang Islam. Mereka mempengaruhi orang Islam dengan hiburan dan idea-idea palsu oleh orang-orang yang dilantik sebagai ulama palsu. Akibatnya ramai orang Islam yang leka dan lalai dengan pengaruh mereka.

Apabila Sepanyol dikuasai tentera salib, ramai orang Islam yang dibunuh. Bukan sahaja tentera, malah kanak-kanak dan orang-orang tua juga menjadi mangsa kekejaman mereka.

Mereka terus mengejar orang-orang Islam dan membunuh mereka. Orang-orang Islam yang takut hanya menyembunyikan diri di dalam rumah masing-masing. Dengan taktik durjana, tentera salib mengisytiharkan bahawa orang-orang Islam dibenarkan untuk keluar dari Sepanyol dengan kapal yang disediakan.

Awalnya orang-orang Islam curiga tetapi setelah beberapa orang dibawa untuk melihat sendiri kapal tersebut, mereka menjadi yakin dan terus bergegas keluar dari rumah. Ada juga segelintir yang tetap tidak mempercayai kata-kata tentera salib. Setelah tiba di pelabuhan, tentera salib bertindak membakar rumah-rumah orang Islam. Kapal juga dibakar dan mereka dikepung. Akhirnya mereka juga dibunuh kejam kerana mereka tidak dapat melawan tanpa senjata.

Kisah hitam ini bertepatan dengan tarikh 1 April. Mungkin bagi orang-orang Kristian, hari itu adalah hari untuk mereka bergembira di atas kemenangan besar mereka tetapi bagi umat Islam yang mengetahuinya, hari  itu adalah tragedi hitam kerana ramai saudara seagama kita yang mati tanpa perikemanusiaan.

Perkara yang kita perlu sedar ialah apabila ada umat Islam yang menyambut April Fool ini, mereka dalam masa yang sama telah merayakan kegembiraan di atas kematian saudara seagama. Nauzubillah. Oleh itu, kita perlu sentiasa ingatkan sesiapa yang berada disekeliling kita agar lebih mengetahui terlebih dahulu mengenai budaya-budaya barat yang semakin menular dalam kalangan umat Islam pada hari ini.

by: kay qayra al-jauhari