#PKPIM di IKIM.FM - MAHASISWA BITARA

Thursday 3 October 2013

 Mahasiswa Bitara tidak datang sejak lahir.
Ianya terbentuk melalui matlamat dan hala tuju mereka.

Baru sahaja berlalu dua minggu yang lepas saya disapa oleh seorang pemuda berbaju melayu dipadankan dengan seluar slack berwarna hitam.

"Masih ingat abang lagi Qayyum?" terasa bahu saya ditepuk.

"Err, saya cuba mengingat ye bang."

"Kamu jumpa dengan abang masa abang datang ke kantin (cafe baru)."

"Oh, abang Fazril rupanya."

Tidak disangka saya bertemu kembali dengan salah seorang daripada qiyaadah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Saudara Fazril Saleh. Malangnya malam itu saya tidak dapat mendengar perkongsian beliau dalam program yang dianjurkan Kesatuan Pelajar Islam Terengganu (KEPITAR) dek kerana urusan yang lain. Namun begitu sempat juga diri ini mendengar perkongsian beliau yang ke udara di IKIM.fm.

Sangat tertarik dengan penerangan buah fikiran beliau bersama Presiden PKPIM, Saudara Aliemran Norasid iaitu Mahasiswa Bitara.

Melalui pembacaan saya, bitara diertikan sebagai unik. Mahasiswa Unik? Melalui intrepretasi saya setelah mendengar hasil buah fikiran Saudara Fazril dan Aliemran, Mahasiswa Bitara adalah mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang di dalam kelas, malah cemerlang dalam aspek yang yang lain. Bukan sahaja berjaya di dalam kelas, malah berjaya bersama-sama masyarakat. Menjadi agen perubahan dalam masyarakat.

Melihat situasi pada hari ini, mahasiswa terutamanya mahasiswa yang baru sahaja melangkahkan kaki ke alam universiti masih bingung, terkapai-kapai dalam menentukan hala tuju mereka tatkala berada di universiti. Sedia maklum bahawa alam universiti bukan seperti sekolah, segalanya telah diatur. Namun di alam unversiti, matlamat dan hala tuju perlu dibina agar kita tidak tersasar disamping memikirkan bagaimana untuk memberi khidmat kepada masyarakat di luar sana.

Dalam perbincangan mereka di konti IKIM.fm, seorang mahasiswa bitara haruslah mempunyai 4 indikator utama dalam diri mereka:

IDEALISME 

Seorang mahasiswa perlu mempunyai idealisme iaitu matlamat dan hala tuju mereka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam universiti. Matlamat yang terbina dapat mendorong seseorang itu menuju kejayaan disamping menolak anasir-anasir seperti malas, tangguh dan sebagainya.

INTELEKTUALISME

Seiring dengan matlamat yang dibina, seorang mahasiswa mempunyai mind set untuk mencari ilmu dan menggunakan ilmu tersebut ke arah yang sepatutnya.

AKTIVISME

Tindakan. Apabila sudah mempunyai matlamat dan hala tuju, perkara yang berikutnya untuk dilakukan ialah tindakan. Pergi ke kelas, belajar bersungguh-sungguh, mengikuti kursus latihan adalah suatu tindakan untuk mencapai apa yang diingini. Tiada perkara boleh terjadi tanpa tindakan dari diri kita sendiri.

SPIRITUALISME

Semangat. Semangat untuk terus bangkit membawa idealisme, intelektualisme dan aktivisme untuk mara ke hadapan.

Dalam perbincangan mereka juga turut dikongsikan bahawa seorang mahasiswa itu masih belum layak untuk digelar sebagai unggul jika di dalam hati mereka masih tertanam penyakit-penyakit hati seperti riak, takbur, dengki, lalai dalam menunaikan kewajipan kepada Allah dan sebagainya. Oleh yang demikian, mari kita sama-sama ubati penyakit-penyakit hati ini.

Selain itu, mahasiswa bitara adalah mahasiswa yang mempunyai sifat kepimpinan di dalam diri mereka. Kepimpinan itu tidak lahir di dalam kelas tetapi lahir daripada sifat dan kesedaran di dalam diri mereka. Pemimpin yang turun kepada masyarakat, menjadi agen kepada masyarakat adalah pemimpin yang diangkat dan lebih disanjung oleh masyarakat. Oleh itu, untuk melahirkan pemimpin sebegini, indikator-indikator utama yang telah digariskan hendaklah dijaga dan cakna.

Melahirkan mahasiswa minda kelas pertama bukan sahaja dari kejayaan akademik semata. Menurut panel, mahasiswa yang hanya memikirkan untuk berjaya dalam akademik sahaja boleh dikira 'bahaya' kerana mereka telah membentuk satu pemikiran masuk ke universiti untuk mencari kejayaan. Setelah graduate, mencari dan membina kehidupan yang mewah dengan hasil gaji. Mereka ini tidak sedikit pun memikirkan kepentingan ilmu itu untuk umat dan masyarakat sekeliling. Mahasiswa bitara dan unggul adalah mahasiswa yang bukan sahaja berjaya dalam akademik namun jua mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.

5 membangun telah digariskan dalam perbincangan di siaran udara IKIM.fm yang perlu ada dalam diri mahasiswa bitara;

Membangun Potensi

Mengetahui potensi diri bukan sahaja berjaya mendapat pekerjaan malah bagaimana seseorang itu mempraktikkan skill dan kemahiran yang dipelajari. Membina keberanian dan membentuk keyakinan diri.

Membangun Cinta

Membina perasaan peduli umat disamping sentiasa menjaga dan mengukukuhkan ukhwah sesama manusia.

Membangun Akal

Universiti adalah medan untuk membangunkan kompetensi diri, ilmiah dan sifat kepemimpinan di dalam diri. Rebutlah peluang kompetensi-kompetensi tersebut untuk menjadikan diri kita bitara.

Membangun Rohani

Merupakan aspek terpenting dalam kehidupan. Sebagai umat Islam, menjalankan kewajipan dan menjaga hubungan dengan Allah adalah perkara utama.

Membangun Aktivisme

Manifestasi daripada apa yang kita pelajari di dalam kelas, apa yang kita imani melalui sudut agama menjadi suatu perisai dalam diri kita. Selain itu, membentuk akhlak yang lebih baik. Hasil pembelajaran juga bolah dijadikan program dan aktiviti agar masyarakat disekeliling kita terinspirasi daripada apa yang kita pelajari.

Semoga input dan output yang keluar dari buah fikiran Saudara Fazril dan Saudara Aliemran dapat memberikan inspirasi kepada mahasiswa untuk yakin diri disamping benar-benar membentuk Mahasiswa Bitara itu sendiri.

InsyaAllah

HIDUP BIAR BERJASA