SAJAK - TRAVELOG DURJANA

Thursday 11 December 2014

Dengan kuasa kau rampas hak mereka.
Kau Durjana!



Bermula kau dengan kata-kata

Merancang dan merekayasa untuk hadir sebagai realiti

Janji kau bukan sekadar di mulut

Yang hanya ditelan lumat nantinya

30 tahun pastinya untuk kau takluki

Kononnya mencari hak sendiri



Kau durjana!

Bijaknya kau mengatur dan mengelirukan

Kau taburkan kata-kata ibarat manisan

Menyebarkan janji yang tiada tunainya

Walau entiti kedurjanaanmu masih dikaburi

Secara halus kami kau hancuri



Di atas paksi kekuatan kau menerjah

Kau menceroboh dan membunuh

Perikemanusiaan telah kau penjarakan

Kekejaman dan kekerasan kau kuasai

Wanita dan kau kanak-kanak ibaratkan boneka

Layak hidupnya tiada matinya tidak sempurna



Kau Durjana!

Kini nama durjanamu telah kau sebari

Dalam gah kau menerima sokongan

Kau kaburi mata mereka dengan kuasa dan janji

Sungguh kau darah durjana!

Nukilan :
Mohamad Qayyum Bin Shamsudin
Sang Pencari Tuhan

EDISI PRK - CAKNA SEBUAH KEPIMPINAN

Sunday 30 November 2014


 PILIHAN DI TANGAN ANDA!!!

30 November 2014

#ROSEUniSZA
#demiperubahan
#calonjejaka456
#semudah123

Dan macam-macam lagi hashtag serta poster bertaburan di media-media sosial. Demam Pilihan Raya Kampus (PRK) bagi memilih barisan MPP sesi baru bermula. Saya melihat calon-calon yang bertanding kali ini bersungguh untuk membantu mahasiswa walaupun daripada pergerakan yang berbeza. Tiga penjuru mungkin. Yang pertama calon-calon yang bergerak dibawah R.O.S.E (Rational Of Students Eagerness). Kedua, pergerakan yang membawa laungan Demi Perubahan, dan juga calon bebas. Tampak kali ini suasana PRK itu mulai meruap dan memuncak dalam kalangan mahasiswa untuk memilih pemimpin mereka, pembawa suara-suara mereka. Tetapi masih lagi belum mencapai sekurang-kurangnya 60% peduli terhadap PRK. ramai masih terpinga-pinga, tertanya-tanya bagaimana tentang PRK. Bukan salah mereka.

Pendedahan tentang PRK seharusnya dibuat lebih awal dari kempen yang akan dijalankan. Di situ mahasiswa akan faham kenapa penting PRK. Masakan tidak, pendedahan dibuat seiring dengan kempen. Bagi mahasiswa baru, sukar untuk memahami. Saya harap pendedahan itu dititikberatkan bagi menjamin ketelusan dalam memilih calon dan mengelakkan konsep 'asal boleh' apabila memangkah kertas undi nanti.

Konsep 'asal boleh' berlaku apabila kurangnya kepedulian mahasiswa terhadap PRK. Apabila tiba hari pengundian, mahasiswa bukan memangkah calon-calon yang betul-betul layak pada pandangan dirinya, namun terpengaruh dengan rakan sekelas, hebahan media. Lebih parah, tengok nama mana yang sedap sebut. Agaknya kalau ada gambar, siapa yang handsome, cantik dialah yang dipilih.

MPP sebuah organisasi yang telah termaktub dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Pemilihan dibuat melalui pilihan raya kampus. Bertindak sebagai 'suara' kepada mahasiswa, menyuarakan segala permasalahan yang berlaku di dalam kampus, serta menjadi perantara serta pemudahcara antara mahasiswa dengan pihak pengurusan universiti. Tidak hairanlah jika MPP ini selalu baik dengan pihak pengurusan. 

MPP bukan sebuah jawatan yang agung sebenarnya. Ia merupakan sebuah tanggungan yang memeritkan jika keinginan menjadi MPP bukan pada tempatnya. IKHLAS  kerana ALLAH adalah titik penting tatkala memegang tampuk kepimpinan itu. Membawa bebanan mahasiswa bukan mudah. Saya terfikir tentang hebahan mengenai calon terpaksa la, calon pilihan la, adakah mereka ini benar ingin bertanding kerana juang siswa? Manifesto mereka datang dari diri mereka atau dibuat oleh orang lain? Tidak mengapa. Itu antara mereka dengan mahasiswa jika mereka terpilih nanti.

Mulai 1 Disember 2014, mahasiswa UniSZA akan mengenali MPP mereka. Walau apapun keputusan, itu adalah adat dalam pertandingan. Yang menang juang demi mahasiswa sebaiknya. Bagi yang bukan peluang mereka, jangan putus semangat. Jika benar juang kamu untuk mahasiwa, teruskan membantu MPP yang bakal dibentuk. Bak kata Saudara Mohd Razif Mohd Fuad, bekas YDP MPP USIM, jadilah sekretariat MPP. Pada saya, sia-sia mengemukan manifesto jika tidak teruskan perjuangan walaupun tidak berjaya duduk di barisan MPP. Bantu MPP. Jadi tulang belakang MPP. Tidak salah bukan?

JOM LIHAT APA YANG AKAN BERLAKU MALAM INI!

SEMOGA BERJAYA KEPADA CALON


AKU

Friday 14 November 2014

Sekadar hiasan :)


Aku (i)
Sudah lebih 20 tahun aku hidup di muka bumi Allah ini. Tidak ku sangka sudah banyak liku-liku kehidupan yang aku lalui. Saat aku kecil hinggalah kini, kehidupanku bercampur aduk pelbagai rasa. Sukar untuk dinyatakan zahir hati. Namun aku yakin itulah cabaran besar dalam kehidupan. Hikmah pasti ada disebaliknya.

Aku (ii)
Nak diceritakan terlalu panjang kisah hidupku yang berbeza dari orang lain. Tetapi ia tidak menjadi penghalang untuk aku terus maju ke hadapan seiring orang lain, sahabat-sahabatku malahan makcik tukang sapu. Anngaplah rona-rona kehidupan itu sebagai cabaran, nescaya ia akan menguatkan lagi keazaman dan kesungguhan untuk mencipta suatu impian baru.

Aku (iii)
Sebenarnya bukan nak bermadah untuk kali ini, aku hanya ingin berkongsi sepanjang kehidupan aku, terlalu banyak peristiwa yang berlaku; samada yang baik mahupun buruk. semuanya telah aku rasa.

Zaman diploma...
Zaman yang banyak mengajar aku sebenarnya. Inilah yang dikatakan culture shock selepas habis zaman persekolahan. Maklumlah 'budak baru nak up'. Aku nyaris terjerumus ke kancah kegelapan. Melanggar perintah Allah juga pernah. Namun Alhamdulillah, dalam jangka masa yang tidak lama, aku masih diberikan kesempatan untuk bertaubat atas perbuatanku yang lalu. Bila dikenang kembali, nauzubillah...

Aku (iv)
Apa jua perkara yang pernah berlaku, tak bermakna aku terus lenyap dalam kegelapan kan?Allah sudah berikan peluang untuk membuat satu perubahan maka aku perlu 'grab' sepenuhnya. Aku dikelilingi oleh pelbagai rumpun manusia yang berbeza cara mereka. Ada yang 'siqah', ada yang seakan sosialis malah ada juga kedua-dua sifat tadi dalam dirinya. Namun mereka ini yang membuatkan aku sentiasa ingat adanya Tuhan. Inilah maknanya Allah nak turun hidayah berasbabkan manusia di sekeliling kita. Bencana juga sama sahaja konsepnya.

Aku (v)
Aku suka melihat ragam manusia di sekeliling. Walaupun aku bukan seorang yang tahan di tempat 'crowded' tapi aku tetap nak tengok lagak manusia ketika itu. Orang kaya, orang miskin, si peniaga, si pembeli, orang sempurna fizikal, orang kurang upaya, seorang makcik cleaner, seorang pelajar, dan macam-macam lagi. Dari sudut itu, aku boleh lihat ragam mereka yang pelbagai. Malah ia berkisar soal kehidupan. Kenapa adanya penjual dan pembeli? orang kaya dan miskin? Semuanya bersebab.

Aku hanya pemerhati...
Di sebuah kedai makan yang menjadi tempat kebiasaan mengenyangkan perut, aku lihat dua makhluk Allah yang sering menjadi perhatianku.

Pertama : Seorang lelaki cacat.
Hampir setiap kali aku makan di situ, dia mesti ada. Datang berjalan kaki bersendirian dengan membawa bebanan kecacatan kaki dan tangan yang di alaminya. Dari riak wajahnya, dia tidak merasakan kecacatan yang dialaminya satu bebanan. Berjalan kaki dengan fizikal sebegitu amat menyukarkan pergerakan. Sungguh aku terkesan.

Kedua: Kucing
Kucing adalah haiwan kegemaranku. Sayu aku melihat kucing-kucing berkeliaran di kedai makan, mengiau meminta makanan dari sesiapa sahaja yang dirasakan ingin diminta. Mungkin aku tidak seperti Abu Hurairah, bapa kucing yang sanggup menjadikan jubahnya sebagai tempat kucing-kucingya berehat, setidaknya hulurkan makanan walau sedikit kepada kucing.

Di surau kampus, aku sangat tersentuh melihat seorang remaja kurang upaya kaki dan tangannya. Lima waktunya di surau. Berjalan seorang diri dari blok asrama menuju ke surau. Tidak rasa dirinya dipencilkan. Berjalan perlahan-lahan dengan kecacatan yang dialami untuk ke rumah Allah. Aku sangat tersentuh dengan dia kerana jika hendak dibandingkan dengan diri ini yang sempurna, aku jauh berbeza. Hanya beberapa waktu sahaja aku di surau. Ya Allah, ampunkan hambaMu ini. Aku kagum dengan remaja itu. 

Aku(vi)
Senyum itu senjata buatku. Ia juga adalah penawar untukku egoku. Senyum senantiasa membuat hatiku tenang berbanding sebelum ini.

Aku(vii)
Celotehku mungkin berhenti setakat ini dahulu. Lain kali akan ku sambung. InshaAllah.

MENJADI PEMBACA YANG BAIK

Wednesday 15 October 2014

 Membaca itu bebankah?
Pembaca mempunyai faedah?
Sudah tentu!
 
MEMBACA. Hampir setiap masa kita akan membaca. Tidak kiralah apa jua jenis pembacaan selain buku. Sebagai contoh, jurnal, akhbar, media sosial, artikel dan lain. Anda juga seorang pembaca. Itu sudah pastinya.

Membaca secara tidak langsung akan memberikan pelbagai maklumat baru kepada kita berdasarkan topik yang diberikan penekanan. Buku sains kesihatan sudah tentulah akan memberikan kita serba serbi maklumat mengenai kesihatan. Begitulah buku-buku yang lain.

“Sel-sel otak mula berhubung.”

Selalu dengar ayat iklan tersebut? Sel-sel otak akan berhubung apabila menerima maklumat. Otak pun berfungsi dengan baik jika kita berfikir. Membaca dapat membantu mengelakkan otak daripada rosak akibat tidak digunakan untuk berfikir dan menerima maklumat.

Seorang pembaca mempunyai pelbagai ragam. Pernah atau tidak anda hanya membaca satu-satu topic sahaja, apabila ada buku yang berkisar topic lain disebelahnya, anda hanya memandangnya sebelah mata? Sejujurnya saya juga pernah mengalami situasi sebegitu. Malah, membuka satu muka surat sahaja lantas menutupnya semula. Pembaca sebegini harus berubah. Anda, saya perlu menjadi seorang pembaca yang baik.

 adakah anda seorang pembaca yang baik?

Bagaimana?

Jadilah pembaca yang mempunyai kepelbagaian dalam pembacaan. tidak hanya tertumpu sahaja. Adakalanya perlu jika membuat suatu kajian dan pemerhatian.

Jadilah pembaca yang ramah. Menerima pembacaan orang lain tanpa mewujudkan sebarang perasaan negatif orang lain. Lebih baik kita sentiasa mendekati mereka dan berkongsi pembacaan anda di samping menerima hasil pembacaan orang lain. Ingat! Setiap pembaca mempunyai pendapat yang berbeza.

Jadilah pembaca yang positif. Kadangkala buku yang berada di hadapan kita mempunyai judul yang agak klise dan tidak menarik minat. Jangan sesekali terlintas:

“Siapa nak baca buku macam ni.”
“Buku macam ni tak membina minda.”

Hal ini kerana, kita belum tahu isi kandungannya. Suatu hukuman telah dijatuhkan tanpa diketahui sebab musababnya. Hindari sifat sebegini.

Jadilah pembaca yang menghargai hasil kerja orang lain. Sewaktu membaca, pelbagai spesifikasi dan pendapat akan timbul dari minda kita terhadap karya seseorang. Fikirkan susah payah mereka menyiapkan karya untuk dikongsikan kepada kita. Sedangkan kita yang membaca belum tentu mampu menghasilkan karya seperti mereka. Usah hanya menilai membuta tuli.

Akhir sekali, jadilah pembaca yang tidak jemu untuk membaca dan terus membaca. Tidak kira apa jua jenis pembacaan, garap ilmu hasil pembacaan untuk mendapatkan nilai murni dan sebaiknya dijadikan moral dalam kehidupan. Sedangkan Allah menyuruh Rasulullah membaca malahan diturunkan sebagai wahyu pertama.

“Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan.” – Surah Al-Alaq : 1

Oleh itu, mari sama-sama kita tingkatkan pembacaan kita. Semoga perkongsian dari saya ini berguna. InsyaAllah.

Ditulis Oleh:
Mohamad Qayyum Shamsudin

AIDILADHA - EID MUBARAK!

Sunday 5 October 2014

Takbir bergema di pagi Aidiladha
Eid Mubarak!

Allahuakbar
Allahuakbar
Allahuakbar
La ila ha illallahu wallahu akbar
Allahuakbar walillahilham

BERGEMA takbir Aidiladha di seluruh pelusuk Malaysia. Buat kesekian kalinya saya menyambut Aidiladha berjauhan dari keluarga tercinta. Berjauhan dari kebiasaan kampung malah berjauhan dari masakan seorang mak. Kali ini Aidiladha disambut bersama rakan-rakan seperjuangan.

            Dalam kesyahduan itu, terdetik di dalam benak fikiran saya ini adalah salah satu ‘perjalanan’ dalam kehidupan saya untuk melihat seberapa banyak dan mendalami serta menghayati kehidupan yang dipinjam oleh Allah S.W.T. Perjalanan melihat suasana luar Johor. Orang kata sambutan Aidiladha di Terengganu dan Kelantan lebih meriah berbanding di negeri-negeri lain. Rakyatnya mengangkat Aidiladha sama dengan Aidilfitri. Itulah yang sering dikatakan kepadaku.

            Usai sahaja solat sunat Aidiladha dan khutbah, saya bersama rakan seperjuangan pergi berziarah ke kampung-kampung melihat suasana Hari Raya Aidiladha. Tidak jauh berbeza dari negeri-negeri lain namun apa yang boleh saya katakan, penduduk-penduduk disini seolah-olah berlumba-lumba membuat qurban. Penonton ibadah qurban juga tidak kalahnya, lelaki, anak muda waima perempuan. Seboleh-boleh ingin melihat lebih dekat ibadah qurban dijalankan. Allahurabbi. Suasana mengagumkan.

          Ibadah Qurban dijalankan oleh pihak Pusat Islam UniSZA.
Terpegun melihat hinggakan lupa berapa ekor sudah disembelih...
Menggunakan kemudahan teknologi yang ada disamping tidak meninggalkan rukun qurban.
         
          Sewaktu saya duduk di cafe asrama, saya memerhatikan gelagat pelajar Nigeria menjamu juadah raya yang mereka masak sendiri. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka menjemput saya dan rakan-rakan untuk menyertai mereka. Bersungguh-sungguh mereka mengajak kami untuk bersama-sama menikmati juadah. Masha Allah! Salah seorang dari mereka, Farouk, duduk bersama kami dan menghidangkan makanan – Nasi yang dimasak menghampiri bubur dan kenyal serta lauk ayam yang dimasak seakan-akan kari. Kata Farouk, itu adalah Co uk – Sejenis lauk ayam yang dimasak dengan lada, rempah dan sayur-sayuran – tampak seperti kari tetapi tiada rasa kari di dalamnya. Kata Farouk lagi, lauk ini tidak dimasak dengan gula. Sungguh lauk ini membuka selera saya.
           
            FAROUK – Master in Business Management, rancak berbual dengan kami sambil menikmati juadah Co uk. Sebagai pelajar antarabangsa, beliau banyak memerhatikan suasana di Malaysia, terutama Terengganu yang kaya dengan Islam. Itu antara perkara yang membuatkannya bangga berada di Malaysia. Tetapi, ada satu perkara yang membuatkan saya tertarik dengan Farouk – mempunyai pemikiran dan pandangan yang sama dengan saya dalam bab industri hiburan. Hanya seorang peminat kartun (anime) dan cerita Jepun sahaja akan faham mengapa Jepun ini penuh nilai moral dalam dunia perfileman. Tak sangka ada juga orang luar yang minat Jepun – bukan sahaja saya. Buka sahaja cerita Naruto, terhambur semua pemerhatian terhadap Jepun. Dahsyat!
           


Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka atas juadah yang mereka kongsikan kepada kami. Namun jawapan salah seorang mereka membuatkan saya terkedu.

“Mister, thank you for the food. Its very delicious.”

“Oh most welcome. But you don’t need to say thank you, because it is your food.”



Hari Raya Aidiladha kali ini sungguh memberi pengalaman baru kepada saya. Secara tidak langsung sebagai seorang pelajar antropologi, saya sebenarnya ingin mengetahui lebih dalam masyarakat dan budaya mereka. Mungkin ini adalah makna di sebalik raya jauh dari keluarga tercinta.

Teruskan laungan takbir. Masih lagi ada waktu untuk mendapatkan pahala di Aidiladha ini. Wallahua’lam.