JAHAT BALAS BAIK

Monday 27 January 2014


Jika Jahat di balas jahat, maka hitamlah sekelilingmu.
Jika jahat dibalas baik, tidak mustahil hitam itu ditutupi oleh putih.


Dari Abu Dzar, Jundub bin Junadah dan Abu Abdul Rahman, Muaz bin Jabal r.a, dari Rasulullah SAW, sabdanya : " Bertaqwalah kepada Allah di mana saja engkau berada. Iringkanlah perbuatan jahat itu dengan perbuatan baik, mudah-mudahan yang baik itu akan memadam yang jahat. Dan berperangai kepada manusia dengan dengan perangai yang bagus."

Sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dzar, tertulis di dalam hadith 40. Saya amat tertarik dengan topik usrah yang ringkas dibincangkan bersama Ustazah Nor Salimah. Hasil pembelajaran kuliah Ustaz Mohamed (Ustaz Mad) katanya.

Lingkaran hidup kita akan mengalami situasi di mana kita berbuat jahat pada orang lain. Dari yang kecil mahupun besar ‘kejahatan’ kita itu pada orang lain. Jika difikir kembali, pernah kita melakukannya?

Kejahatan yang tidak nyata terhadap orang lain seperti mengumpat, mengata belakang, memburukkan orang lain, membuka aib. Pernah atau tidak kita melakukannya?

Kejahatan yang mungkin nyata seperti menyakiti kawan, meminjam atau merosakkan harta tanpa memulangkan, pernah tidak?

Atau mungkin kejahatan lain selain yang dinyatakan?

Orang yang jahat itu tidak semestinya akan berterusan jahat. Akan sampai suatu masa seseorang itu hendak berubah menjadi baik.

Di dalam hadith di atas, perkara jahat yang pernah dilakukan sebelumnya hendaklah di’jernih’kan dengan perbuatan yang baik. Apa jua perbuatan yang jahat hendaklah ditebus dengan perbuatan yang baik.

Jika pernah menyakiti orang lain, meminta maaf daripadanya. Selain daripada bertaubat kepada Allah, meminta maaf kepada orang yang pernah disakiti juga perlu dalam konteks hubungan-ukhwah terutama kenalan.

Jika orang yang ingin kita memohon ampun itu berada jauh atau tidak dapat dijumpai, hanya tebus dengan melakukan perbuatan baik dan niatkan untuk orang yang kita  sakiti itu. Misalnya sedekah dan niatkan untuk tebus kesalahan kita itu.

Hutang pula perlu dibayar kembali jumlahnya kepada siapa yang kita berhutang. Jika pemiutang sudah tiada, berilah kepada warisnya.

Realiti hari ini menganggap perbuatan yang jahat pernah dilakukan hanya dapat dibersihkan dengan bertaubat sahaja kepada Allah. Kalau begitu, hanya dosa kepada Allah sahaja yang dapat dibersihkan. Bagaimana dengan orang yang disakiti? Jika orang itu tahu, mungkin dia menyimpan perasaan marah atau dendam. Hanya dia sahaja yang tahu. Oleh itu, perlu untuk menebusnya dengan manusia. Kecuali tidak dapat dijumpai barulah niatkan perbuatan baik itu kepada si dia.

Di samping itu, hadith ini juga menerangkan tentang perbuatan jahat yang dilakukan oleh orang lain terhadap kita. Adakah kita perlu membalasnya?

Iringkanlah perbuatan jahat dengan perbuatan baik.

Ertinya tidak semestinya jahat yang dilakukan terhadap perlu dibalas dengan jahat. Seperti api balas api. Semakin maraklah jawabnya. Api perlu dibalas dengan air.

Tidak perlu untuk membalas kejahatan seseorang itu dengan kejahatan. Seperti contoh orang memburukkan kita pada orang lain. Di pihak kita tidak perlu untuk memburukkan orang itu juga. Situasi ini hanya akan menyebabkan orang lain makin memandang teruk kepada dia malah kita juga.

Balaslah dengan perbuatan yang baik seperti senyuman, diam atau sebagainya. Jika dia sakit, ziarahi. Dia kesusahan, bantu bukan bersorak atas musibah yang tertimpa ke atas dirinya.

Kita manusia bukan penghukum (Hakim). Kita adalah penyuci bagi setiap kekotoran yang berlaku di atas muka bumi Allah ini.

Insya Allah, semoga perkongsian ini bermanfaat.

KISAH NABI YUSUF PALING INDAH

Thursday 23 January 2014

 -Sekadar gambar hiasan-
Nabi Yusuf tidak digambarkan bagaimana tampannya Baginda.
Mungkin lebih tampan daripada ini.
Wallahua'lam.

Nabi Yusuf adalah putera ke tujuh daripada dua belas putera-puteri Nabi Ya'qub. Ia dengan adiknya yang bernama Benyamin adalah beribukan Rahil, saudara sepupu Nabi Ya'qub. Ia dikurniakan Allah rupa yang bagus, paras tampan dan tubuh yang tegap yang menjadikan idaman setiap wanita dan kenangan gadis-gadis remaja. Ia adalah anak yang dimanjakan oleh ayahnya, lebih disayang dan dicintai dibandingkan dengan saudara- saudaranya yang lain, terutamanya setelah ditinggalkan iaitu wafatnya ibu kandungnya Rahil semasa ia masih berusia dua belas tahun.

Perlakuan yang diskriminatif dari Nabi Ya'qub terhadap anak-anaknya telah menimbulkan rasa iri-hati dan dengki di antara saudara-saudara Yusuf yang lain, yang merasakan bahawa mereka dianak-tirikan oleh ayahnya yang tidak adil sesama anak, memanjakan Yusuf lebih daripada yang lain.

Kisah Nabi Yusuf ini sangat menarik minat saya kerana di dalam Al-Quran, hanya cerita Nabi Yusuf disatukan di dalam satu surah iaitu Surah Yusuf. Berbanding dengan cerita atau kisah Nabi-nabi lain, kisah mereka tidak seperti Nabi Yusuf; bertebaran di dalam surah-surah yang lain walaupun ada nama-nama Nabi yang diabadikan sebagai surah. Sebagai contoh, Surah Ibrahim dan Yunus.

Diceritakan di dalam Al-Quran bahawa kisah Nabi Yusuf merupakan kisah yang paling indah yang terdapat di dalam Al-Quran. Malah, Kisah Nabi Yusuf adalah kisah yang terpanjang iaitu mengandungi 111 ayat Surah Yusuf di mana Surah ini hampir 98% menceritakan kisah Nabi Yusuf sahaja. Subhanallah. Bagaikan sebuah novel yang disusun di dalam sebuah antologi.

“Kami sampaikan kepadamu wahai Muhammad kisah paling baik (indah)...” –Yusuf: 3

Menarik di dalam surah Yusuf, kisah Nabi Yusuf ini diceritakan oleh Allah mengikut kronologi yang berlaku sewaktu hayat Nabi Yusuf. Kronologi yang tertulis di dalam Al-Quran berkenaan kisah NAbi Yusuf ibarat sebuah novel yang ditulis oleh sasterawan Negara. Namun masih lagi tidak dapat menandingi keindahan kisah yang dikalamkan oleh Allah. Kisah Nabi Yusuf bermula sejak Nabi Yusuf kecil hinggalah banginda menjadi seorang yang berpengaruh. Bermula dengan perbualan Nabi Yusuf dengan ayahandanya, Nabi Yaakub sewaktu Nabi Yusuf bermimpi.

Tatkala Nabi Yusuf berkata kepada ayahnya. “Wahai ayahanda, sesungguhnya anakanda bermimpi melihat sebilas bintang dan matahari serta bulan, tunduk memberi hormat kepada anakanda.” Yusuf: 4

Kemudian cerita Nabi Yusuf berlanjutan dengan perihal abang-abang tirinya yang iri hati dengan baginda kerana mereka takut kehilangan kasih sayang dari ayahandanya. Mereka berpakat untuk menghapuskan Nabi Yusuf dengan cadangan oleh abang-abang tirinya; salah seorang mencadangkan untuk dibunuh sahaja Nabi Yusuf itu manakala salah seorang lagi mencadangkan agar Nabi Yusuf dicampakkan ke dalam perigi.

“Sesungguhnya Yusuf dan Bunyamin lebh disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu keturunan. Sesungguhnya ayah kita sangat tidak adil. Bunuhlah Yusuf ataupun buannglah di ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang ayah tertumpu kepada kita semata-mata, dan supaya kita sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna kepadanya.” Yusuf: 8-9.

Kisah indah Nabi Yusuf ini bukan hanya tertumpu kepada perbuatan abang-abang tirinya yang cemburu (hasil hasutan syaitan) terhadap Nabi Yusuf, namun juga cerita romantis yang tertulis di antara Zulaikha, isteri Al-Aziz terhadap Nabi Yusuf. Allah Ta’ala tidak menyatakan bahawa Nabi Yusuf itu tampan wajahnya, tetapi daripada al-Quran, maksud  itu jelas menunjukkan bahawa Nabi Yusuf tampan dan kacak orangnya.

Maka apabila dia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun mengundang mereka dan menyediakan jamuan untuk mereka, serta memberikan kepada tiap-tiap orang antara mereka itu sebilah pisau. Dan pada ketika itu berkatalah dia (kepada Yusuf), “Keluarlah di hadapan mereka.” Maka tatkala mereka melihatnya, mereka tercengang mmelihat paras kecantikannya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata, “Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah manusia, ini tidak lain, melainkan malaikat yang mulia!”

Ini sekadar perkongsian ringkas saya terhadap indahnya kisah Nabi Yusuf yang telah tercatat di dalam Al-Quran. Secara logiknya, mengapa kisah Nabi Yusuf ini diceritakan di dalamnya kisah abang-abang tiri yang cemburu, cinta terlarang yang ditunjukkan oleh Zulaikha, kehebatan Nabi Yusuf mentafsir mimpi?

Antara yang saya boleh katakan tentang kisah Nabi Yusuf ini adalah:

1)         Sifat cemburu abang-abang tirinya sehingga berbuat jahat kepada Nabi Yusuf tidak dibalas dengan kejahatan. Begitu juga Zulaikha yang berdusta tentang kejahatannya menggoda Nabi Yusuf. Malah, di dalam kisah menunjukkan seorang yang berbuat jahat dahulunya masih boleh melakukan kebaikan dan bertaubat.

2)         Walaupun diperlakukan demikian rupa oleh abang-abang tirinya, Nabi Yusuf tetap memaafkan abang-abang tirinya. Sikap maaf-memaafi itu penting dalam menjaga hubungan sesama manusia (Ukhwah).

3)         Mukjizat Nabi Yusuf ialah mentafsir mimpi. Tafsiran mimpi Nabi Yusuf adalah datangnya daripada Allah. Namun, realiti hari ini terlalu banyak tafsiran mimpi sehingga boleh membawa kepada syirik dan kemudhratan kerana terlalu berharap kepada tafsiran yang tidak pasti asal usulnya. Ada sebuah buku yang diterbitkan menceritakan tafsiran mimpi oleh Nabi Yusuf. Saya pasti yang tertulis di dalam buku itu benar.

4)         Walaupun Nabi Yusuf digoda oleh Zulaikha, hati baginda tetap teguh dan tidak mudah tergoda. Di sini dapat dilihat bahawa lelaki-lelaki termasuk saya wajar mencontohi akhlak Nabi Yusuf; tidak tergoda dengan wanita dan maksiat.

Semoga kisah ini bukan sahaja menjadi kisah yang indah, namun juga menjadi ibrah kepada kita. InsyaAllah.



SENYUMAN HIKMAH

Monday 20 January 2014


Sekadar Gambar Kenangan


Penulis: Dakwat Biru

“KITA perlukan satu kata putus untuk mencari dana ini. Saya selaku bendahari mencadangkan untuk melakukan ziarah sekali lagi ke jabatan-jabatan badan kerajaan dan swasta.” Bendahari, Zamri memberi kenyataan.

Mesyuarat jadi kecoh. “Nonsense. Saya tidak bersetuju. Kita sudah dua kali pergi tetapi awal-awal lagi mereka menolak ziarah kita. Tak kan kita hendak pergi lagi? Tidak malukah?” dibidas kenyataan itu oleh seorang seorang pemuda  yang duduk selang dua orang dari Zamri.

“Habis tu, mustahil untuk kita batalkan projek ummah kita ini. Bukankah ianya merugikan usaha dan tenaga yang telah kita keluarkan?” Seorang saf qiyaadah wanita, Zahirah menyokong pendapat bendahari.

Masih lagi kecoh. Masih tiada persepakatan.  Sepertinya wujud dua puak di dalam mesyuarat itu. Satu menyokong mengadakan ziarah sekali lagi. Satunya lagi membantah. Memalukan nama persatuan sahaja katanya.

Aku menoleh ke arah seorang pemuda yang duduk di hujung meja, menghadap kami. Tadinya dia mempengerusikan majlis dan bertanyakan agenda yang ingin dibentangkan. Kini dia senyap pula. Kami pula asyik bersuara. Syok sendiri. Aku menenungnya. Suara ahli mesyuarat tenggelam. Fokusku hanya kepada dia.

Senyuman terukir di bibirnya. Tidak sekali pun senyuman itu terkoyak. Tidak walau sesaat.

Kurasa sejak dari tadi dia tersenyum. Sedang kami resah memikirkan solusi, sekejap-sekejap mengeluh, hanya dia tersenyum tenang. Seolah-olah beban permasalahan itu tidak terletak dia atas bahunya. Hairan. Bukan aku sahaja, mereka yang menjadi ahli mesyuarat juga takjub. Dia tidak ambil kisahkah? Atau langsung tidak pedulikan masalah ini. Padahal dia ketua kami. Sepatutnya dia lebih merisaukan perkara ini.

Atau adakah dia ini tiada perasaan?

*********

Aku mengenali susuk tubuh sasa seorang pemuda ini sebelum menjadi salah seorang saf qiyaadah Persatuan Pembimbing Pelajar beberapa bulan yang lalu lagi. Aku tidak percaya sewaktu namaku disebut di dalam syura qiyaadah untuk menentukan saf qiyaadah yang baru. Aku diberikan tanggungjawab sebagai penggerak Biro Pembangunan dan Latihan. Persatuan Pembimbing Pelajar, sebuah persatuan yang bergerak di dalam kampus. Tugas utama persatuan ini adalah menyerap nilai-nilai asas Islam di dalam hati mahasiswa-mahasiswi kampus. Kami ibarat pembimbing kepada mereka yang ingin mendalami ilmu agama. Tidak sampai tahap seorang murabbi. Masih amatur malah kami juga belajar. Ini kerana budaya yang diterapkan dalam Ittihad kami ‘Sedia Belajar, Mengajar dan Diajar’. Ertinya dalam waktu kami belajar, kami perlu kongsikan juga kepada orang lain. Natijahnya, tiada ego, tiada sifat bangga diri. Ukhwah kami pun bukan bersifat kepura-puraan.

Dari Ibnu Mas’ud R.A, Nabi S.A.W bersabda: Pelajarilah ilmu-ilmu agama dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; pelajarilah perkara-perkara yang difardhukan dalam Islam dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; pelajarilah Al-Quran dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; kerana sebenarnya aku seorang yang akan mati (seperti makhluk-makhluk yang lain) dan ilmu juga akan diambil (kembali oleh Tuhan dan hilang lenyap) dan akan lahirlah berbagai-bagai fitnah kekacauan sehingga akan berselisih dua orang dalam satu perkara yang difardhukan, yang mereka tak dapat seorang pun yang boleh menyelesaikan perkara yang diperselisihkan itu.

Usrah menjadi tunjang persatuan. Setiap dua kali seminggu kami berkumpul, mengupas tajuk-tajuk yang diketengahkan dan sesi akhir berbincang isu-isu semasa. Senior kami selalunya menjadi naqib. Kami masih lagi menggabungkan lelaki dan wanita di dalam usrah ini. Kekangan masih ada untuk mengasingkannya. Namun, ikhtilat masih dijaga. Usaha itu tetap tersemat untuk memisahkan usrah lelaki dan wanita agar kemaslahatan lebih mudah untuk dibincangkan. Privasi terutamanya.

Aku mengenali persatuan ini sebaik melangkah kaki ke alam menara gading. Seorang senior menghulurkan sekeping brochure berkenaan persatuan ini kepadaku. Tawaran tarbiyah dan program mereka menarik minat aku. Paling aku teruja, usrah. Dahulu aku mengikuti usrah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama. Peluang untuk aku teruskan tampaknya.

Setelah menjadi ahli persatuan, aku menyedari ilmu usrah yang ku dapat semasa di sekolah masih sedikit. Pengalaman aku menjadi naqib nyata berbeza dengan sekarang ini. Allahuakbar. Sungguh luas ilmu Engkau. Dan ceteknya ilmuku. Aku perlu mengoreknya lagi. Teringat kata-kata senior jemaah di dalam bayan semasa di sekolah, “Ilmu Allah jika ditulis menggunakan pen, tujuh lautan di dunia tidak akan cukup untuk dijadikan dakwatnya. Sehingga kering lautan itupun masih tidak cukup untuk menulis semua ilmu Allah.”

Melalui persatuan ini aku mengenali Marzuqi, seniorku di dalam fakulti komputeran. Dia sudah tahun akhir. Aku? Masih jauh lagi. Tahun dua pengajian. Di dalam persatuan, dialah paling veteran. Aku paling suka menyakatnya.

“Assalamualaikum, abang veteran!” Aku memberi salam sambil mengangkat tangan kanan. Menyapa.
“Waalaikumsalam, Oh Izam. Muda lagilah.” Salamku disambut. Bibir bawahnya dikedepankan. Itulah gaya trademark dirinya.
“Oh muda rupanya. Ingatkan veteran dah.” Aku gelak sakan menyakat.
“Tua-tua pun ramai perempuan suka tau. Cuma abang ni jual mahal sahaja. Kamu ada?” Wah, masuk bakul angkat sendiri nampaknya.

Perwatakan yang ‘cool’, suka bergurau dan matang membuatkan aku senang mendekatinya. Tapi ada satu tarikan yang aku rasakan dia ini berbeza dari orang lain – senyum. Ya senyuman yang tidak pernah pudar dan lekang dari bibir menjadi senjata kehidupannya. Ada masalah – senyum. Tika sakit – senyum. Orang cari pasal – senyum. Sungguh takjub!

Pernah satu ketika, dia dipanggil oleh presiden persatuan pembimbing yang lain apabila dikatakan telah merampas ahli-ahli persatuan mereka sehingga mereka sukar mencari kaderisasi. Dalam hal ini, Marzuqi dipersalahkan. Saf-saf qiyaadah tidak senang duduk apabila dituduh sebegitu. Kami ingin menyerang balas. Namun, Marzuqi melarang. Dia telah berjumpa dengan mereka. Aku menemaninya. Berbekalkan senyuman dan tutur kata yang berhikmah, dia berjaya meluluhkan hati mereka. Malah mereka menyatakan permohonan maaf. Kerisauan yang berkepul di dalam dada hilang. Lega.

“Di dalam hadith Rasulullah ada menceritakan ketika mana seorang lelaki Arab Badwi membuang air kecil di dalam masjid, lalu orang ramai hendak bertindak ke atasnya. Lantas Rasulullah melarang. Rasulullah menyuruh agar membiarkan lelaki tadi menghabiskan hadasnya dan siramkan sebaldi atau segayung air ke atas air kencing lelaki itu tadi. Sesungguhnya kamu diperintahkan untuk memberi kemudahan, bukan mendatangkan kesusahan.” Marzuqi menyampaikan konsep hikmah dalam berdakwah kepadaku.

Tidak hairanlah jika semua pensyarah dan pegawai universiti selalu menyebut nama beliau. Menjadikan beliau contoh. Memberikan pujian melambung. Ini kerana konsep hikmah dan senyuman yang dipaparkan.

Tiba-tiba bahuku dicuit. Aku tersentak dari lamunan. Aku menggelengkan kepala beberapa kali. Nyah kau lamunan! Aku melihat laut masih lagi berombak. Ku alihkan pandangan ke kiri. Susuk tubuh yang ku khayalkan tadi berada disisiku.

Eh! Sejak bila? Macam mana dia tahu aku ada kat sini?

“Abang Mar, sejak bila abang ada kat sini?” Aku merenungnya.

“Sejak lima minit yang tadi. Abang tengok kamu khusyuk jadi abang tunggu kamu toleh. Rupanya harapan sajalah.” Dia ketawa berderai. Aku lebih mesra memanggilnya Abang Mar kerana usia dan hormatku kepadanya.

“Abang stalk saya? Astaghfirullah” Aku menepuk dahi. Menggelengkan kepala.

“Buang tebiatkah abang buat macam tu? Lebih baik abang stalk Ustaz Azhar. Minta ilmu daripadanya. Dapat pahala.” Marzuqi berseloroh. “Abang tengah berjogging tadi. Dari kampus. Tiba-tiba abang perasan kamu duduk keseorangan. Jadi abang berniat nak tegur. Kamu buat apa menung sendirian?”

“Saja. Mencari amnah. Pantai tempat saya mencari amnah,” Aku tersengih. Macam belacan. “Er, Abang Mar, saya nak bertanya ni. Boleh?”

“Tanya sajalah Izam. Kamu tanya abang jawab. Tak tanya abang diam sajalah.” Dia ketawa lagi. Kali ini sederhana.

Sabar jelah dengan Abang Mar ni. Kena juga aku.

“Kenapa saya lihat Abang Mar suka senyum? Abang Mar tak ada masalahkah untuk difikirkan?” Fuhh! Aku melepaskan juga pertanyaan yang selama ini terbuku.

“Kalau kamu ada masalah apa reaksi kamu?” soalan berbalas soalan. Sebiji macam bola sepak. Serangan berbalas serangan. Apakah?

“Saya....saya akan murung. Hilang mood pada hari itu. Resah. Gelisah. Pening memikirkan penyelesaian. Kadangkala saya bingung mencari jawapan kepada masalah itu.” Tangan kanan dan kiri diangkat silih berganti. Membuat gaya supaya lebih jelas.

“Kamu ini, abang tanya satu kamu jawab seribu. Senang sahaja. Senyum itu sedekah syeikh. Senyum juga dapat mengurangkan stress. Mengubah mood kita daripada negatif kepada positif. Jangan pernah lokek untuk senyum. Rasulullah sendiri syeikh, dengan senyum sahaja dapat meluluhkan hati sesiapa sahaja. Dengan senyuman, baginda dapat melembutkan hati orang yang keras. Dengan senyuman, orang boleh terinspirasi dengan kita.” dia menepuk bahuku beberapa kali.

Aku mengangguk beberapa kali. Setuju.

“Abang minta diri dulu. Ada kerja nak selesaikan lepas ni. Jangan lupa meeting malam ni ya.” Dia melambai dan berlalu pergi. Aku terkesima seketika.

Abang tengah berjogging tadi. Dari kampus. Tiba-tiba abang perasan kamu duduk keseorangan. Jadi abang berniat nak tegur. Kamu buat apa menung sendirian?

“Eh? Berjogging dari kampus?” Aku ternganga. Aku arif perjalanan dari kampus ke pantai mengambil jarak hampir 2 kilometer. Masakan Marzuqi hanya berjogging tanpa menaiki kenderaan ke mari? Sedangkan aku sendiri meminjam motor teman sebilik. ‘Ajib!

**********

“Saudara-saudari yang dirahmati Allah sekalian. Saya minta untuk bertenang ya. Masalah tidak akan boleh selesai hanya dengan berbalah.” Marzuqi mengangkat kedua-dua tangannya.
“Kita bincang secara berhikmah. InsyaAllah kita jumpa solusi.”

“Baiklah kalau begitu, Saudara Marzuqi, bagaimana? Apa yang harus kita lakukan untuk mendapatkan dana?” Ahli mesyuarat memandangnya.

“Pertama, sebelum saya beri cadangan, saya mahu kita semua kembali kepada tujuan asal. Ikhlaskan niat untuk melakukan projek ummah ini. Jangan sesekali terdetik kamu menjalankan program ini untuk mendapat nama dan pujian.” Dia memandang kami. Senyuman masih bersamanya. “Ingat, apabila kita ikhlas, maka Allah akan berikan ganjaran. Jika mengejar nama dan pujian, saya risau kamu hanya dapat penat. Rasulullah bersabda, sesungguhnya Allah tidak menerima amal kecuali dilakukan dengan ikhlas dan mengharap redha-Nya.”

Kami terpana. Kata-kata itu betul-betul menusuk hati-hati kami. Walaupun ianya sakit, nyata itulah kebenaran. Sentap seketika.

Berkatalah benar walau ia pahit.

“Caranya mudah. Sediakan tabung-tabung untuk diletakkan ke masjid-masjid yang pernah kita berurusan. Satu tabung kita edarkan semasa usrah.” Senyumannya sikit pun tidak mengecil. Makin lebar kelihatannya. Sekali-sekali keningnya digerak-gerakkan. Menunjukkan keyakinan.

Ahli mesyuarat menggangguk. Ah! Mengapa aku tidak terfikir sebelumnya?

“Urusan ziarah dan tajaan, saya sendiri akan pergi ke jabatan-jabatan kerajaan dan swasta. Saya akan cuba pergi ke syarikat-syarikat yang sudi membantu kita. Unit tajaan pergi bersama saya ya. Innallaha ma’ana. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan kita. Dalam melakukan kebaikan.” Marzuqi merapatkan kedua-dua tapak tangan dan menggenggamnya. Gaya spontannya.

Mesyuarat menjadi tenang. Tidak kecoh seperti tadi. Semua ahli mesyuarat mengambil masa berfikir.

“Saya setuju.” Aku bersuara. Tanda sokongan.
“Setuju.”
“Setuju!”
“Saya juga setuju.”
“Setuju. Tapi bila mahu mula syeikh?”

“Tentang itu, kita mulakan dengan mencari tin-tin biskut untuk dijadikan tabung pada hari esok. Lusa sudah boleh letakkan di masjid-masjid.” Marzuqi menyelesaikan masalah.

“Ada hal-hal berbangkit? Atau hal-hal berjangkit?” Marzuqi tersengih. Memandang aku.  

Hal-hal berjangkit. Istilah yang menjadi kelaziman digunakan oleh kami di dalam mesyuarat. Aku pencetusnya. Akan ada sahaja isu yang sepatutnya sudah tamat perbincangan dibuka kembali pada saat akhir. Dan akhirnya berjangkit kepada semua isu yang seharusnya tamat diskusi.

“Jika tiada, kita terus laksanakan tugas pada hari esok. Saya dan unit tajaan melakukan ziarah. Siapa yang tidak terlibat cari tin, hias dan letakkan di masjid-masjid. Ingat ya, ikhlas dalam apa jua perkara yang kamu lakukan,” dia mengangkat jari telunjuknya dan keningnya digerakkan dua kali. “Kita akhiri mesyuarat dengan Surah Al-Asr dan Kafaratul Majlis.”

Projek ummah yang kami rencanakan ini mempunyai pendekatan dakwah. Membawa rakan-rakan kampus dan belia di luar menanamkan sifat cinta Allah dan Rasul. Melalui projek ini, kami mengajak mereka mengenal usrah, memberi tarbiyah dan memperkuat ukhwah sesama Islam. Kami ingin semaikan asas usrah kepada mereka – ta’aruf (perkenalan) – tafahum (kefahaman) – takaful (tolong menolong). Kami ingin mengajak mereka berkenalan dengan kami, menguatkan ukhwah dengan pelbagai aktiviti. Kemudian kami berikan mereka kefahaman Tarbiyah Islamiah. Dan akhirnya kami semai sikap tolong menolong antara kami dengan mereka, agar mereka tidak tercicir di tengah jalan tarbiyah.

Esoknya, kami melaksanakan tugas yang diberikan. Kami setuju membahagikan tugas. Zamri mencari tin-tin biskut yang tidak digunakan. Zahirah dan saf qiyaadah muslimat menyiapkan dan mencetak label untuk ditampal di badan tin. Manakala aku akan meletakkannya di masjid-masjid.

Tidak semena-mena telefon bimbitku berdering. Tertera nama Marzuqi di skrin. Lalu aku memanggil Zamri, Zahirah dan lain-lain. Pembesar suara kuaktifkan.

“Assalamualaikum  semua, saya ada berita gembira. Alhamdulillah, banyak syarikat, jabatan-jabatan kerajaan, swasta yang sudi memberikan dana kepada kita. Malah ada yang ingin berkolaborasi dengan projek ummah ini. Bersyukur kepada Allah. Ok. Senyum!”

Kami menadah tangan mengucap syukur. Sujud syukur. Ucapan Alhamdulillah meniti di bibir-bibir kami. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah!

Senyum dan cara hikmah yang dibawa Marzuqi pastinya telah meruntuhkan keegoan mereka. Buktinya mereka terima projek kami. Aku pasti itu. Itulah Marzuqi yang ku kenal.

**********

“Assalamualaikum, abang veteran!” Aku memberi salam sambil mengangkat tangan kanan. Menyapa.
“Waalaikumsalam, Oh Izam. Muda lagilah. Masuklah” Salamku disambut. Bibir bawahnya dikedepankan. Mukanya dicemikkan. Itulah gaya trademark dirinya.
“Oh muda rupanya. Ingatkan veteran dah.” Aku gelak sakan menyakat.
“Tua-tua pun ramai perempuan suka tau. Cuma abang yang jual mahal sahaja. Kamu ada?” Wah, masuk bakul angkat sendiri nampaknya.
“Ya, saya ni tak hot macam abang Mar. Maklumlah semua orang kenal.” Aku mendepakan tangan. Merujuk kepada ‘semua orang kenal’.
Hot di dunia boleh membawa padah. Hot di akhirat menyesal tak sudah.” Marzuqi bermadah. Kami gelak sakan.

Sememangnya aku rajin menjengah bilik Marzuqi. Hanya selang tiga bilik sahaja dari bilikku. Aku selalu meminjam buku-buku kepunyaannya. Buku falsafah, novel, agama, semuanya ada. Bagaikan perpustakaan mini pula. Minggu lepas aku meminjam buku ‘Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Negara’ tulisan Dr. Siddiq Fadzil, murabbi yang menjadi idolaku. Aku telah selesai membacanya. Masa untuk mencari buku lain pula.

“Abang Mar, ada buku baru?” Aku duduk di atas katilnya.
“Ada Izam. Tu, ambillah.” Tangannya mengunjuk ke arah susunan buku yang terletak di atas meja belajar. Jejak-jejak Rasulullah – Tariq Ramadhan. Menarik!
“Abang keluar sekejap ya. Jumpa kawan. Jaga bilik tau.” Dia mengarah.
“Ok.” Jawabku ringkas.

Aku mencapai buku berwarna hitam itu. Mata aku melirik ke buku yang terletak disebelah buku Sun Tzu. Seolah buku korporat. Kelabu dan tebal. Di hadapan muka buku itu tertulis ‘Catatan Marzuqi’. Terdetik untuk aku membukanya. Sehelai demi sehelai aku baca. Ianya bukan diari, tetapi catatan tarbiyah dirinya. Aku tekun membacanya. Kata-kata Imam Syafie, Imam Hasan Al-Banna diselitkan. Sampai ke satu catatan, aku terjeda. Helaian yang satu ini agak berbeza. Ditampal kertas warna dan bertulis di atasnya.

Dahulu aku bukanlah seperti yang sekarang.
Seluruh kehidupanku dahulu diselubungi zhulumat. Keluargaku orang-orang alim. Penyemai cinta Allah dan Rasul dalam kehidupan keluargaku. Tetapi tidak bagiku. Aku rimas. Tidak merasai kebebasan. Lantas aku mencari kebebasan aku sendiri. Di hadapan mereka, akulah anak yang baik, namun dibelakang mereka, semua perkara yang diharamkan telah aku cuba. Kecuali berzina dan minum arak. Remaja aku sudah bermandikan dosa. Masjid? Awal-awal lagi aku hindari. Aku telah membiarkan seorang ibu mengalirkan air mata kekecewaan kerana perbuatanku.

Dahulu aku panas baran. Malah egoku juga tinggi melambung. Aku sahaja yang betul. Tidak pernah mengaku salah dan kalah. Aku mudah meradang. Ke tahap menghayunkan anggota juga pernah. Mencederakan juga pernah. Pabila ada yang tidak berpuas hati, istilah tolak ansur tidak pernah wujud di dalam kamus hidupku. Semuanya berkonsep serangan dan pukulan. Akhirnya aku sukar didekati. Malah ramai yang membenciku. Aku dijauhi. Sejauh-jauhnya aku dipinggirkan.

Suatu hari, aku ditimpa musibah berat. Segala kesenanganku ditarik serta merta. Aku dikejar penuntut-penuntut hutang. Aku meminta tolong pada kenalan-kenalan. Mereka lantas tidak mempedulikan. Puas aku mencari pertolongan makhluk. Tiada satu sanggup menghulur. Aku tersepit. Mungkin inilah balasan aku. Sehingga aku bertembung dengan seorang senior. Hairan dia tidak takut denganku. Tanganku dipegang erat. Aku dipimpin ke masjid kampus. Lalu aku diajak duduk di dalam satu bulatan. Mereka kata itu ‘usrah’. Aku mula mengikuti usrah mereka. Hatiku tenang. Mereka kulihat tidak pernah lekang dengan senyuman. Aku kagum. Senior membaca hadith:
Diriwayatkan dari Jabir dalam sahih Bukhari dan Muslim; Sejak aku masuk Islam, Rasulullah S.A.W tidak pernah menghindar dariku. Dan baginda tidak melihatku kecuali baginda pasti tersenyum kepadaku.
Allahuakbar. Aku menitiskan air mata. Persis dalam hadith, mereka-mereka ini tidak menghindarkan aku, malah membimbing aku.
Ya, aku perlu berubah. Senyumlah dalam apa jua perkara yang berlaku. Suka, duka, musibah, bahagia – senyum.

                                                                                                                                    Marzuqi

Aku menutup buku catatan itu. Tanpa ku sedari aku sudah melelehkan air mata. Syahdu tak tergambarkan.

“Assalamualaikum..” Abang Mar tercegat di muka pintu. Tersenyum memandang aku.

Cepat-cepat aku menyeka air mata.

Marzuqi, nyata senyumanmu itu hikmah.

NOTA : Cerpen ini ilham apabila melihat senyum itu sebagai salah satu pendekatan di dalam dakwah dan urusan seharian. Senyuman dapat memberikan ketenangan kepada orang yang melihatnya dan diri kita sendiri. Cerpen ini juga saya dedikasikan kepada seseorang yang saya sanjungi. Walaupun jalan cerita ini tidak ada kena mengena dengan beliau, saya terdetik untuk menulisnya. Semoga Saudara Muhammad Marzuqi Zainal Adlan, mantan presiden MPP 2012/2013 berjaya dalam bidangnya dan mendapat keredhaan-Nya.

GLOSARI
Saf qiyaadah – barisan pimpinan
Bayan – tazkirah
Takjub – hairan
Amnah – ketenangan
‘Ajib – Ajaib
Tarbiyah – didikan