DOA DARI HATI

Monday 28 January 2013





Tatkala aku memandang mereka,
Aku merasa kekerdilan,
Kerana aku hanya insan tiada hala tuju
Hanya mendengar dan mengikut
Terkapai keseorangan terdampar kesepian

Tidak seperti mereka
Penuh ilmu di dada idea sentiasa terjana

Keyakinan mereka paksi kepimpinan
Pengalaman mereka tunjang keutuhan
Itulah mereka ada tidak padaku

Tatkala aku kelaparan kekuatan
Mereka suapkan kuah keyakinan
Tatkala aku dahagakan pengalaman
Mereka hirupkan jus asas tujuan
Sedikit demi sedikit aku bangkit

Jika hari esok aku pergi,
Dengan namaMu aku memohon
Engkau salurkan mereka dengan jiwa ketaqwaan
Agar mereka tidak leka dan alpa dalam menjadi contoh dunia
Biar mereka terpimpin dalam kepimpinan

Andai aku tersungkur dahulu
Ku pohon agar impian mereka terbina
Matlamat mereka wujud dalam warni-warni keindahan
Ikatan mereka kuat seperti kuatnya ikatan tali
Ukhwah mereka kekal seperti kekalnya kekasih hingga ke pelamin

Bila aku tinggal nama,
Ku rayu agar mereka lahir sebagai wacana ilmuwan
Ku pinta agar mereka menjadi insan yang berkualiti
Menjadi yang terinspirasi dan dikenang kerjanya
Bukan kerana nama tetapi kerana jasa.

TERSIRAT DISEBALIK CERITA


Dari kecil saya suka melihat kartun atau "anime" dari Jepun. Masih saya ingat setiap anime yang menjadi kegilaan saya sehingga hari ini. Majoriti setiap peringkat umur meminati sekurang-kurangnya satu anime yang menjadi obsesi mereka? Cuba tanya ibu dan ayah anda. Pastinya mereka juga salah seorang peminat satu anime zaman dahulu. Saya tidak pernah merasa malu melihat cerita-cerita ini walaupun usia sudah mencecah puluhan tahun. Pada saya, setiap cerita anime ini mempunyai mesej yang tidak ditunjukkan secara kasar.

      Jika anda lihat di Jepun, peminat tegar anime sehingga mereka terlalu obses bukanlah dalam golongan kanak-kanak, tetapi remaja malah dewasa. Mereka sanggup menghabiskan wang semata-mata mengumpulkan figura untuk dijadikan koleksi peribadi mereka. Jika diteliti, harga setiap figura boleh mencecah ribuan ringgit. Logiknya kanak-kanak mampu beli? Jika bukan ibu bapa mereka yang membelikan, tidak mungkin mereka mampu membeli dengan wang sendiri.

      Berbalik tentang maksud tersirat tadi, saya ingin berkongsi dapatan saya dapat selama beberapa tahun pemerhatian saya terhadap cerita-cerita anime ini. Banyak cerita-cerita anime Jepun diadaptasikan atau diolah daripada segi sukan, masakan, seni pertarungan, malah adat istiadat warisan Jepun menjadi sebuah cerita yang gila-gila. Ada sukanya, ada dukanya, ada juga lawaknya. Secara umumnya, semua cerita anime ini hanyalah untuk hiburan semata. Tetapi bagi seseorang yang mampu melihat lebih mendalam, setiap cerita ada pembawaan atau mesej yang ingin disampaikan. 

      Seperti contoh, anime Doraemon yang pastinya semua kanak-kanak mengetahui cerita ini, walaupun cerita ini menunjukkan alat-alat masa hadapan, tersirat dari cerita ini mengajar kita berusaha atas usaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain. anime lain yang saya boleh ambil contoh seperti Yakitate Japan. Cerita ini berasaskan tentang pembuatan roti dan disebalik cerita ini juga menggambarkan kesungguhan dalam mengecapi impian yang besar.

        Pernah lihat anime live action hero seperti Kamen Rider? nampak seperti kebudak-budakan bukan?. Mesti anda akan kata:

"Eh, Kau ni macam budak-budaklah!"
"Matanglah sikit."
"Cerita budak-budak jugak kau tengok. Teruk betul."

       Itulah kata-kata yang selalu saya terima dari rakan-rakan tatkala mengetahui saya peminat cerita Kamen Rider. Dari awal muncul sehingga terbaru saya boleh menceritakan satu per satu tentangnya. Tetapi bukan itu yang saya ingin dedahkan. Hakikat sebenar cerita Kamen Rider bukanlah pada kostum dan kegagahan dalam menewaskan musuh. Setiap cerita Kamen Rider yang ditonjolkan mempunyai mesej yang berbeza. Saya mengambil contoh Kamen Rider Kabuto dimana watak utamanya selalu mengingatkan kembali kata-kata neneknya yang merupakan falsafah mengenai kehidupan, kepimpinan, masakan, dan perjuangan. Contoh kata neneknya yang boleh menjadi motivasi:

- Make the world revolve around you. It’s more fun to think that way.
Life is a long path to a goal. Drop your heavy luggage and enjoy walking with your hands empty.
It is enjoyable to eat something delicious, but the greatest joy is the time spent waiting for it.

     Mengambil contoh lain dalam Kamen Rider Fourze, yang banyak berkisarkan zaman persekolahan mengajar kita betapa pentingnya erti sebuah persahabatan dan usaha menjaga hubungan itu agar tidak menjadi rapuh. Watak utamanya sentiasa ingin mencari bersahabat dengan orang disekelilingnya tidak mengenal usia, pangkat mahupun darjat kerana padanya persahabatan itu segala-galanya dalam kehidupan.

       Akhir kata, jangan melihat cerita melalui luaran sahaja dan tidak usah menilainya sebelum mendalami mesej yang ingin dibawa. Siapa tahu cerita-cerita seperti sebenarnya lebih bermotivasi daripada cerita-cerita yang ada sekarang ini.

ANTARA TUGAS DAN SAHABAT. MANA SATU?

Sunday 27 January 2013

Pernah anda merasakan diri anda terhimpit antara sahabat dan tugas. Tatkala kita terikat dengan peraturan dalam tugas dan permintaan seorang sahabat yang mana permintaan itu boleh melanggar etika tugas anda? Semestinya pernah, selalu atau kadang-kadang berlaku dalam kehidupan seharian anda. Sebagai individu yang berada di tengah-tengah, apakah yang sepatutnya anda lakukan? Mengikut etika tugas atau menunaikan permintaan sahabat anda atau situasi terbalik ini, melanggar etika tugas ataupun menolak permintaan sahabat anda. Perasaan berbelah bagi semestinya akan wujud bagi seseorang yang mementingkan kedua-duanya.

Terpikir bilamana apabila kita melanggar etika dalam tugas, kita akan menghadapi tindakan tatatertib. Apabila kita menolak permintaan sahabat, kita akan dicemuh dan mungkin dipinggirkan hanya kerana permintaan tidak tertunai.

Ibarat kata peribahasa, tepuk dada tanya selera, semuanya bergantung kepada diri kita sendiri. Jangan mendengar kata-kata orang disekeliling kita tetapi diri kita penentunya. Alasannya, diri kita yang menerima pujian dan cemuhan, bukan orang lain ^_^.

PESAN UNTUK SAHABAT 1

Saturday 19 January 2013

Aku dan kamu hakikatnya sama. Kita diciptakan atas dasar yang sama. untuk beribadah kepadanya. Akan tetapi mungkin jalan menuju itu yang berbeza. Aku tidak boleh menyalahkan kamu dan kamu juga tidak menyalahkan aku selagi jalan itu tidak menyebabkan tidak merosakkan kamu dan akalmu, selagi jalan itu mengikut syariat Islam.

Sahabat,
Sungguhpun engkau bersemangat api untuk menunjukkan hakikat, janganlah engkau lupa setiap yang asas.
Sungguhpun engkau mempunyai kehebatan, janganlah engkau rendahkan yang kekurangan, bimbinglah
Sungguhpun engkau yakin dengan kemampuanmu, yakinlah ada yang lebih mampu. berhatilah
Sungguhpun engkau dan aku berbeza pelbagainya, ingatlah jugalah tujuan kita dalam kehidupan adalah sama.
Jangan meminta agar aku sama denganmu dan aku tidak akan meminta engkau sama denganku.

Kita sama. Sang pelakon, Sang pencerita, Sang pengembara.

DISKUSI BUKU BERSAMA SIDI SHEIKH ROHIMUDDIN






Pada 18 Januari 2013 yang lepas, telah berlangsung program Diskusi Buku : Menyulam Cinta Menuju Gerbang Pernikahan. Meriahnya program ini, pengdiskusian mengenai buku ini disampaikan sendiri oleh penulis buku tersebut yang merupakan salah seorang ulama' yang datang dari Republik Indonesia iaitu Al-Mukarram Sidi Sheikh Abu Muhammad Rohimuddin Bin Nawawi Al-Bantani. Diskusi ini berlangsung sepanjang satu hari yang bermula pada awal pagi sehingga malam.


Sidi Sheikh Abu Muhammad Rohimuddin yang lebih mesra dengan panggilan 'Sidi' menerangkan satu persatu helaian hasil tulisan beliau yang telah diterjemah kepada bahasa melayu kepada peserta yang hadir. Tatkala Sidi melangkah masuk ke dewan, ramai yang terpaku melihat keserian wajah seorang ulama' dan diiringi dengan selawat oleh peserta-peserta sendiri. Sekali saya memandang posternya, wajahnya kelihatan seperti pelakon Indonesia, Deddy Mizwar yang menjadi contoh saya kerana lakonan beliau banyak memberi pengajaran dan makna yang tersirat. Sidi sangat tenang orangnya. wajahnya sentiasa mengukir senyuman dari awal kedatangannya sehingga selesai diskusi seolah-olah tidak menzahirkan kepenatan dan kelelahan di wajah Sidi. Pada amatan saya, kemungkinan umur Sidi sudah menjangkau 50-an. Atau mungkin saya silap.

Sidi menerangkan secara terperinci mengenai hukum dan syariat Islam mengenai perkara yang menjadi lumrah dalam setiap diri remaja malah orang dewasa iaitu cinta, pertunangan dan perkahwinan. Sidi menyatakan CINTA itu suci. Pada asalnya. Tetapi cinta itu boleh menjadi kotor jika kita yang mengotorinya. Sidi mengaitkan situasi-situasi pada hari ini yang menjadikan cinta itu sangat kotor malah keji dek kerana perilaku kita yang tidak mengikut syariat Islam. Pendapat saya sebelum ini hampir sama dengan kenyataan Sidi di mana Sidi menzahirkan bahawa ramai manusia berpenyakit Dualisme (inginkan Islam tetapi menggunakan falsafah barat). Mereka ingin menjadikan hubungan mereka mengikut cara Islam iaitu bernikah tetapi sebelum itu mereka telah membuat perkara yang dilarang dalam syariat Islam. Penyakit Dualisme ini juga tidak hanya berlaku dalam pasangan yang bercinta, malah berlaku dalam segelintir insan yang menjadi pemimpin malah pelajar.

Sidi menerangkan berpandukan buku yang beliau tulis iaitu tujuan sebenar perkahwinan yang telah digariskan dalam Islam. Khusus dan umum. Pengkhususan yang telah digariskan mengenai tujuan perkahwinan adalah;

1. Untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui pasangan suami isteri.
2. Mencari berkah melalui doa anak-anak yang Soleh.
3. Berlindung dari godaan Syaitan.

Dalam pengkhususan yang telah digariskan, terdapat juga tujuan-tujuan umum dalam mendirikan rumah tangga iaitu sosiologi, politik, ekonomi, moral, spiritual dan sebagainya. Setelah selesai diskusi, saya sempat bersama  kumpulan Qasidah Al-Muhibbeen mengikuti sesi 'pengijazahan' dengan Sidi. Alhamdulillah, sempat juga saya meminta nasihat dan doa daripada Sidi. Sidi telah menyatakan beberapa perkara kepada saya mengenai ketenangan, istiqamah dalam amalan dan sebagainya. Sejuk saya rasakan selepas Sidi menyentuh bahu saya, sewaktu saya bersalaman dan memeluk Sidi.

Semoga usaha Sidi dirahmati Allah dan saya berharap dapat bertemu Sidi sekali lagi pada waktu akan datang.

KITA ADALAH PENULIS

Wednesday 16 January 2013

Percayakah anda jika saya katakan bahawa setiap daripada kita adalah penulis? Setiap daripada anda merupakan pengarang dan editor yang bekerjaya senyap dan sukarela. Pada hari ini, kita hanya memandang dan menganggap hanya seseorang yang mempunyai minat dalam bidang penulisan dan pengarang sahaja mampu digelar sebagai penulis dan pengarang. Untuk tinta pada hari ini, saya ingin membuka pemikiran anda bahawa setiap daripada kita adalah penulis yang berjaya hanya bergerak di bawahan atau 'underground'.

Realitinya, minat dan bakat dalam bidang penulisan hanyalah bonus untuk menjadikan bidang ini sebagai kerjaya dan mata pencarian dalam kehidupan. Tidak dinafikan juga ada yang menjadikan bidang penulisan ini sebagai medium untuk mereka berdakwah kepada orang lain. Tetapi bagaimana pula dengan kita yang tidak pernah terlintas atau berminat dalam bidang penulisan digelar penulis? Pada saya jawapannya adalah "Ya" kerana setiap masa, saat dan detik kita menulis.

Cuba kita renung sejenak perbuatan kita sebelum ini. Imbas kembali kehidupan kita kebelakang. Jika anda perasan kita menulis tidak kira waktu dan tempat. Kita imbas kembali satu hari kebelakang. Jika anda masih belajar, pada waktu pagi anda akan hadir ke kelas dan menulis atau menyalin nota yang diberikan oleh pensyarah. Urusan di fakulti atau bilik guru memerlukan anda untuk menulis. Pada sebelah malam anda juga penulis. Penulis Diari Sepanjang Hari. Tidak ketinggalan juga yang selalu meluahkan perasaan melalui tulisan di buku-buku conteng dan surat cinta.

Irama dan lagu tidak dapat dipisahkan. Begitu juga dengan penulis dan pengarang. Seorang penulis akan mahir dalam mengarang. Kita adalah pengarang yang terbaik dalam dunia. Tidak kira di mana-mana medium penulisan kita mampu menulis dan mengarang dengan baik walaupun sebaris ayat. Hal ini kerana seorang penulis dan pengarang yang inovatif lahirnya kata-kata dari hati bukannya dari akal.

Akhir kata, jangan takut untuk menulis. Seperti kata HAMKA, tulis saja.

TALIAN AGUNG

Tuesday 15 January 2013

             Apakah nombor talian anda? Adakah anda pengguna rangkaian Maxis? atau mungkin Celcom? atau Digi? Tidak kiralah apa jua rangkaian talian yang digunakan pastinya anda sebenarnya sudah memasuki era komunikasi tanpa halangan. Di mana sahaja anda berada, anda dapat menghubungi keluarga, sahabat handai malah orang tersayang dengan kadar batasan yang minimum. Secara metodologinya, anda hanya perlu mendail nombor orang yang anda ingin berhubung dan menunggu panggilan masuk dari orang tersebut. Jika di alam maya, anda hanya perlu menaip e-mail seseorang itu untuk mengakses talian mereka dan berhubung. Jika talian hayat mempunyai Maxis, Celcom, dan Digi; Talian maya juga mempunyai rangkaiannya tersendiri seperti Facebook yang menjadi kegilaan ramai pada hari ini, Twitter, Tumblr, dan sebagainya.

            Komunikasi hari ini telah membuka ruang kepada seluruh dunia untuk mewujudkan ukhwah dan mengeratkan silaturrahim antara sesama manusia, walhal kepada bukan Islam sekalipun. Komunikasi pada hari ini juga telah membuktikan bahawa sudah tiada jurang untuk kita berhubung yang boleh merentasi seluruh dunia. Tidak percaya? cuba lihat laman sesawang hari ini, lengkap dengan cara untuk berhubung. Bak kata pepatah, hendak seribu daya. Hanya anda sahaja yang rajin atau tidak untuk mengakses dan mencarinya.

           Hakikatnya, kita boleh berhubung dengan sesiapa sahaja dalam dunia ini. Bagaimana pula dengan yang satu ini? Realitinya tidak semua yang mengetahui malah menghubungi nombor ini. Logiknya, jika anda mendail nombor ini, pastinya operator akan mengatakan sebegini:

"Nombor yang anda dail tiada dalam perkhidmatan."

           2         4         4         3         4. 

Itulah nombor yang jarang kita dengar dalam mana-mana rangkaian talian sebabnya tidak cukup angka. Tapi sedarkah nombor ini sebenarnya penghubung antara kita dan pencipta yang Agung. Melalui nombor talian ini jugalah kita memohon dan mengharapkan sesuatu daripada-Nya. Justeru, apakah yang dimaksudkan daripada nombor-nombor tersebut?

                     2              >             Dua Rakaat Solat Subuh

                     4              >             Empat Rakaat Solat Zuhur

                     4              >             Empat Rakaat Solat Asar

                     3              >             Tiga Rakaat Solat Maghrib

                     4              >             Empat Rakaat Solat Isyak


Subhanallah, cantik sungguh rangkaian talian penghubung kita dengan-Nya. Sebagai insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah S.W.T, hubungilah talian ini setiap hari tanpa jemu kerana walaupun tidak terhubung di talian dunia tetapi yakinlah talian ini sentiasa bersambung dan di jawab sendiri oleh Allah S.W.T tanpa letih dan lelah untuk mengangkatnya.

            

SAHABAT, AKU DAN KAMU

Sunday 13 January 2013




Awalnya,
Aku dan kamu hanyalah kertas-kertas putih yang kosong tanpa coretan,
Bertemu dalam sebuah buku nota yang bersih,
Tetapi tiada tajuk muka hadapannya.

Awalnya,
Aku dan kamu bagai magnet-magnet yang sama kutubnya,
Tatkala bertemu saling menolak,
Sukar untuk mengenali dan menerima,
Seolah diantara kita tiada kesefahaman,

Awalnya,
Aku dan kamu seperti himpunan perusuh,
Saling menunggu untuk berhujah,
Pendapat dan pandangan hanya menjadi perbalahan
Akhirnya tiada kata putus,

Kelmarin,
Kertas-kertas putih itu mula dicoret,
Setiap helaian berbeza cara tulisannya,
Tulisan yang lawa dipuji, cakar ayam dikeji,
Masih tiada tajuk muka hadapannya.

Kelmarin,
Kutub magnet mula bertukar arah,
Kali ini tidak menolak mahupun melekat,
Masing-masing menunggu,
Seolah mencari sesuatu.

Kelmarin,
Himpunan perusuh telah bertukar ke konsert nyanyian,
Semua menyanyikan lagu untuk menghiburkan penonton,
Masing-masing pentingkan diri
Tetapi masih di pentas yang sama.
Semalam,
Coretan bertukar warkah dan doa,
Ditulis untuk orang lain,
Tajuk mulai terlakar di muka hadapan.

Semalam,
Magnet mulai bergerak mencari lawannya,
Bersedia untuk menyatu,
Mencari matlamat yang satu.

Semalam
Konsert nyanyian bertambah serinya,
Penyanyi-penyanyi menyanyi bersama walau bukan lagu mereka.
Bergembira bersama walau satu lagu.

Hari ini,
Warkah dan doa bertukar antologi dan diari,
Terpampang tajuk memenuhi muka hadapan
KISAH PERSAHABATAN.

Hari ini,
Magnet telah bertemu kutubnya,
Utara bertemu Selatan,
Maka terlihatnya UNTUKMU SAHABAT.

Hari ini,
Konsert nyanyian menjadi sebutan,
Hanya kerana satu lagu dinyanyi bersama,
Di albumkan sebagai memori indah,
SAHABAT SELAMANYA.

MEREKA DI MATA KITA

Saturday 12 January 2013

Dua pengalaman berbeza telah saya lalui. kedua-duanya mempunyai intipati yang sama pada mata pandangan kita semua. Adakah mereka mempunyai masa hadapan? Itulah yang bermain di fikiran kita. Betul? Pengalaman pertama yang saya lalui sewaktu saya ditugaskan sebagai fasilitator di sebuah sekolah yang luar biasa. Sekolah yang diberi nama Sekolah Tunas Bakti (Perempuan). Pelajar yang masuk di situ adalah di bawah perintah mahkamah juvana. Mereka dikawal oleh polis seketatnya. Tidak ada sedikit kebebasan pun untuk mereka melihat dunia luar apatah lagi berjinak dengan keadaan semasa seperti kita. Walhal mereka hanyalah kanak-kanak dan remaja yang ingin merasai kenikmatan dunia. Saya dapat simpulkan pandangan orang luar mengenai mereka:
1. Mereka tidak ada masa hadapan langsung.
2. Mereka hanya menyusahkan orang lain.
 
Hakikatnya mungkin benar. Mereka terlibat dengan kesalahan tertentu malah di bawah umur dan ditempatkan disitu. Dikawal ketat oleh polis. Kawasan sekolah berpagarkan kawat berduri setinggi rumah kedai. Terasing pula dengan persekitaran luar. Program yang diadakan merupakan rentetan dari program sebelumnya
yang pernah diadakan. Kami cuba untuk menyelami sebenarnya impian dan cita-cita mereka. Awalnya sangkaan kami bahawa mereka hanya mahu bebas tetapi apa yang kami dapati sangat mengejutkan. Saya hanya menjalankan arahan sebagai pembantu sistem komputer. Tak sangka ada diantara mereka yang bersungguh ingin meminta saya menyalin kalimah-kalimah zikir yang berkumandang. Siapa kata mereka tiada akhlak. Apabila berada dalam kumpulan, saya memainkan peranan sebagai penggalak kepada mereka untuk bersungguh-sungguh menghadapi peperiksaan yang bakal mereka hadapi. Mereka masing-masing mempunyai impian yang sangat tinggi. Ada yang ingin menjadi peguam, menyambung pelajaran di pusat pengajian tinggi. Realitinya mereka ada impian, ada cita-cita. Cuma kita yang disekeliling selalu pandang remeh. Realiti sebenarnya Ibu Bapa mereka yang menghantar
mereka ke situ padahal mereka ini masih boleh dididik, diasuh. Tanggungjawab dilepaskan begitu sahaja.
           
          Pengalaman saya yang kedua saya lalui agak berbeza walaupun persekitaran lebih kurang sama. Rumah Taman Sinar Harapan. Disinilah kanak-kanak yang istimewa ditempatkan. langkahan kaki yang pertama terpancar keriangan mereka menyambut saya dan rakan-rakan. Kami ceria di luaran tapi sayu di dalaman. Seronok melihat mereka aktif bermain tetapi sayu melihat kehipan mereka yang langsung tidak bebas. Orang luar memandang remeh pada mereka. Sedih manusia hari ini. Sedih. Jangan kita hanya menilai pada luaran tapi pandanglah dari semua sisi supaya kita dapat melihat dunia sebenar mereka.
Hadiahkan Al-Fatihah untuk seorang penghuni yang telah meninggal dunia. Mereka dijamin syurga. Bagaimana kita?

INDAHNYA LANGIT

Dalam rutin harian kita, pastikan mata kita akan sekali-sekala memandang ke atas. Melihat langit biru dan awan putih yang seringkali melintasi malah memenuhi ruang angkasa. Secara lazimnya, pastinya akan terlintas kata-kata ini:

"Cantiknya langit dan awan tu."
"Bagaimana langit boleh tergantung ye?"
"Eh, awan bergeraklah!."
Dan sebagainya kata-kata yang selalu terlintas tatkala menoleh ke atas. Tidak diragukan keindahan langit pada waktu siang malahan malam. Siangnya kita boleh melihat langit indah yang membiru dan malamnya kita boleh melihat bintang-bintang dan bulan tersergam indah. Pernah terfikir bahawa agungnya ciptaan Allah S.W.T yang mencipta langit tanpa tiang. Tanpa sebarang sokongan. Suatu ketika seorang jemaah masjid pernah bercakap dengan saya, "Ciptaan Allah sungguh agung. Allah cipta langit tanpa tiang. Jika hari ini Allah cipta langit dengan adanya tiang maka setiap hari kita akan mendengar kemalangan kapal terbang di atas langit." Walau kedengaran agak mencuit hati tetapi itulah hakikatnya. Cuba kita bandingkan dengan ciptaan manusia hari ini. Sekreatif mana pun seseorang manusia dalam mencipta sesuatu, sokongan dan bahan bantuan seperti konkrit sebagai asas pembinaan sesuatu bangunan mesti ada supaya dapat mengukuhkan lagi ciptaan manusia itu. Lihat betapa indahnya ciptaan Allah. Tatkala matahari terbenam, maka terserlah keindahan langit itu. Begitu juga saat matahari mulai terbit pada waktu pagi. Dengan kuasa Allah, setiap kejadian yang kita lihat dilangit berlaku dengan sempurna. Gunalah mata dan hati kita dengan sebaiknya tatkala melihat ciptaan-ciptaan Allah supaya kita terkesan di samping dapat meningkatkan tahap keimanan dan ketaqwaan kita pada Allah.

Dalam surah Al-Baqarah [117] yang bermaksud: 

"Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya) dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: Jadilah engkau! Lalu menjadilah ia."

Sekian.

TINTA PERTAMA



Assalamualaikum W.B.T

Alhamdulillah Allah S.W.T masih memberikan saya, keluarga, sahabat, dan anda semua kurniaan hidup dalam tahun 2013 ini. Sebagai hamba Allah, bersyukurlah atas apa jua nikmat yang diberi dalam setiap detik perjalanan kehidupan kita tidak kira suka dan duka. Jika bahagia, itu adalah bonus tetapi jika duka, anggaplah itu sebagai dugaan. Sejujurnya, tahun 2012 telah banyak membuka mata dan hati saya. tahun tersebut telah menunjukkan pengajaran dan kesedaran serta petunjuk kepada diri ini agar sentiasa menghayati hidup yang telah Allah beri. Dugaan bukanlah pemberat dalam kehidupan tetapi hakikatnya pendorong dan tarbiah yang menyentuh qalbu.

Blog ini adalah blog kedua saya selepas "Coretan Dari Seorang Insan" yang telah lama saya tinggalkan selepas mengalami kemalangan pada tahun 2010 yang lalu. Blog tersebut saya telah tutup dan saya ingin memulakan penulisan yang baru melalui blog ini sebagai perkongsian kepada anda semua. Di samping itu, ia menjadi medan untuk muhasabah diri, mengubah diri dan mengubah orang lain. Saya akan siarkan kembali semua hasil penulisan saya di dalam blog yang lepas ke blog baru ini.

Salam Ukhwah daripada saya.

MOTIVATE OTHERS TO MOTIVATE MYSELF

Wasalam....