SAHABAT, AKU DAN KAMU

Sunday, 13 January 2013




Awalnya,
Aku dan kamu hanyalah kertas-kertas putih yang kosong tanpa coretan,
Bertemu dalam sebuah buku nota yang bersih,
Tetapi tiada tajuk muka hadapannya.

Awalnya,
Aku dan kamu bagai magnet-magnet yang sama kutubnya,
Tatkala bertemu saling menolak,
Sukar untuk mengenali dan menerima,
Seolah diantara kita tiada kesefahaman,

Awalnya,
Aku dan kamu seperti himpunan perusuh,
Saling menunggu untuk berhujah,
Pendapat dan pandangan hanya menjadi perbalahan
Akhirnya tiada kata putus,

Kelmarin,
Kertas-kertas putih itu mula dicoret,
Setiap helaian berbeza cara tulisannya,
Tulisan yang lawa dipuji, cakar ayam dikeji,
Masih tiada tajuk muka hadapannya.

Kelmarin,
Kutub magnet mula bertukar arah,
Kali ini tidak menolak mahupun melekat,
Masing-masing menunggu,
Seolah mencari sesuatu.

Kelmarin,
Himpunan perusuh telah bertukar ke konsert nyanyian,
Semua menyanyikan lagu untuk menghiburkan penonton,
Masing-masing pentingkan diri
Tetapi masih di pentas yang sama.
Semalam,
Coretan bertukar warkah dan doa,
Ditulis untuk orang lain,
Tajuk mulai terlakar di muka hadapan.

Semalam,
Magnet mulai bergerak mencari lawannya,
Bersedia untuk menyatu,
Mencari matlamat yang satu.

Semalam
Konsert nyanyian bertambah serinya,
Penyanyi-penyanyi menyanyi bersama walau bukan lagu mereka.
Bergembira bersama walau satu lagu.

Hari ini,
Warkah dan doa bertukar antologi dan diari,
Terpampang tajuk memenuhi muka hadapan
KISAH PERSAHABATAN.

Hari ini,
Magnet telah bertemu kutubnya,
Utara bertemu Selatan,
Maka terlihatnya UNTUKMU SAHABAT.

Hari ini,
Konsert nyanyian menjadi sebutan,
Hanya kerana satu lagu dinyanyi bersama,
Di albumkan sebagai memori indah,
SAHABAT SELAMANYA.

0 comments:

Post a Comment