Marilah bersama menggapai impian
"Ya Allah, rasa gementar, goyang, cuak, takut, berdebar yang tak pernah ada dalam diri ini untuk ambil keputusan STPM hari ini. Rasa macam 'cramp' je nak pergi sekolah." Seorang sahabatku meluahkan kata kepadaku dalam sistem pesanan ringkas.
Oh!
Baru aku ingat. Hari Isnin 18 Mac 2013 adalah hari pengumuman keputusan peperiksaan STPM.
Patutlah banyak catatan yang ditulis di dinding laman sosial mengenai harapan, sokongan dan doa untuk sesiapa yang akan mengambil keputusan.
"Good Luck kepada sahabat-sahabat yang akan ambil keputusan!"
"Keputusan STPM keluar hari ini kan? Jangan lupa bagitahu kami ya."
"Ya Allah, kurniakan kepada sahabat-sahabat kami keputusan yang terbaik bagi mereka dalam peperiksaan STPM. Jadikan mereka hamba-Mu yang bersyukur dengan kurniaan-Mu." Itulah di antara kata-kata yang diucapkan di laman-laman sosial mahupun sistem pesanan ringkas.
Walaupun aku mengambil diploma dan tidak menduduki peperiksaan STPM seperti sahabat-sahabatku yang lain, aku juga rasa debaran itu.
KENANGAN
Mengimbau kembali ketika aku dan sahabat-sahabatku menduduki peperiksaan SPM dan pada hari mengambil peperiksaan, pelbagai reaksi wajah terpancar ketika itu. Ada yang gembira, tersenyum, sedih, muram, dan sebagainya.
"Eh, kau dapat berapa A?,"
"Alhamdulilah, 9 A. Kau pula berapa?"
"Hmm. Tak banyak pun. 4A je." Hanya itu yang mampu dijawab.
Bagi yang cemerlang, ucapan tahniah sentiasa dilontarkan.
"Tahniah!"
Waktu itu macam-macam pertanyaan mengenai berapa dan kenapa yang ditujukan. Masih aku ingat selepas hari mengambil keputusan. Seorang ustaz telah menghubungi aku dan bertanyakan hala tuju aku selepas itu.
"Assalamualaikum Qayyum, bagaimana keputusan awak?"
"Wa'alaikumsalam ustaz, alhamdulillah tak lah cemerlang tapi syukur kepada Allah,"
"Awak bercadang nak sambung ke mana? Apa kata awak mohon Maktab Perguruan Bahasa Arab,"
"Saya ingat nak ambil undang-undanglah ustaz. Tak dapat asasi, diploma pun alhamdulillah. Kelulusan diminta ialah bahasa arab."
"Bagus juga, saya doakan awak sukses. InsyaAllah,"
Alhamdulillah, kini aku mencapai satu langkah dalam bidang aku ambil. Aku mengambil diploma, sahabat-sahabatku mengambil asasi, matrikulasi dan juga menyambung ke Tingkatan 6. Walaupun berbeza tempat, tahap, dan tahun pengajian, Aku dan mereka mempunyai misi yang sama iaitu berjuang untuk ilmu, meraih ilmu Allah. Kerana Allah ilmu dituntut.
BERITA GEMBIRA
Tahniah untukmu!
Aku tahu sahabat-sahabat yang mengambil keputusan berdebar. Bukan sahaja mereka, malah guru-guru dan pentadbiran sekolah juga berdebar menantikan keputusan dan prestasi sekolah. Tahun bergantikan tahun, aku pasti sekolah kesayanganku, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Bandar Penawar (SMKA BP) dapat meningkatkan mutu dan prestasi sekolah. Hasil kerja keras guru-guru dan pelajarnya.
Jam terus berputar.
Satu perkongsian telah pun tertulis di laman sosial. Seorang guru yang pernah mengajar aku Bahasa Melayu telah menyebarkan berita dan berkongsi sekeping gambar mengenai keputusan STPM.
"Ya Allah, syukur tak terhingga atas rahmatmu. STPM terbaik 3.16. Pengajian Am terbaik 3.38. Berbaloi usaha ku selama ini. Tahniah kepada semua yang berjaya mengharumkan nama sekolah."
Benarkah berita ini?
Sehinggalah berita akhbar yang dikeluarkan menyatakan sekolah ku antara yang tertinggi mendapat keputusan 4 dan 5 prinsipal dalam STPM. 90.91 Peratus. Satu pencapaian yang amat menakjubkan.
Syukur, Alhamdulillah.
Aku amat yakin hasil cemerlang ini bukan sahaja datang daripada usaha guru-guru yang sentiasa mencari alternatif baru agar pelajar mudah faham subjek yang diajar, malah usaha ini juga tidak akan membuahkan hasil jika pelajar itu sendiri tidak yakin dengan usahanya sendiri. Dalam sudut hatiku, aku amat bangga. Itulah sekolahku.
UNTUK SAHABAT DAN GURUKU
Tahniah!
Tahniah!
Tahniah!
Ucapan tahniah ini aku tujukan kepada sahabat-sahabatku yang berjuang di medan peperiksaan STPM. Tahniah atas usaha anda mendapatkan keputusan yang cemerlang dan menaikkan nama sekolah. Bukan mudah jika tiada usaha dan doa.
Selangkah lagi sahabat, kamu akan bergerak untuk mencapai ambisi dan impian yang terbeku selama ini. Perjalanan kamu dan aku sama. Masih panjang dan jauh.
Teruskan usaha kerana bukan setakat itu sahaja perjuangan anda dalam menuntut ilmu. Masih banyak lagi yang perlu kita ketahui. Ilmu sebenarnya telah tersedia di mana-mana tetapi sejauh mana pula usaha kita untuk mencari dan mengumpulkannya. Jika rajin maka banyaklah yang kita akan dapat, jika sikit usaha maka sikitlah yang akan diraih.
Tahniah sekali lagi!
Anda telah membuktikan sesuatu yang kadangkala dipandang remeh, tahap dan tahun pengajian bukan penghalang untuk berjaya. Jika niat menuntut ilmu kerana Allah dan bukan hendak mengejar kerjaya semata, maka kepuasan yang dirasai tatkala belajar berbeza bukan? Bukan anda sahaja, diri yang menulis juga merasainya. Jangan pernah merasakan rendah diri untuk belajar.
Ingat, jangan pula sombong untuk menuntut ilmu. Ilmu datangnya dari Allah. Bila kita ada ilmu, kita mudah untuk menghadapi 'dunia'.
Dan jangan pula tidak mengamalkan atau kedekut untuk berkongsi ilmu yang ada. Supaya ilmu itu sentiasa lekat di dada.
Tahniah Guru-guruku!
Tanpa dedikasi anda, tidak mungkin pelajar-pelajar akan terinspirasi untuk berusaha mencapai kejayaan. Sejak dari zaman aku masih sekolah aku melihat betapa gigihnya kamu mencari dan berkongsi kepada pelajar tentang ilmu.
Tidak pernah rasa sombong dan kedekut untuk berkongsi.
Sungguh mulia tugasmu wahai guru.
Sahabat-sahabatku, di atas landasan yang sama, teruslah berjuang agar suatu hari nanti, ilmu yang dipelajari dapat memberi manfaat kepada orang lain.
InsyaAllah.
Nukilan Hati: Kay Qayra Al-Jauhari
dakwatbiruhitam.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment