Buku adalah bahan bacaan yang mempunyai auranya tersendiri. Bergantung kepada penyampaian si penulis |
Membaca buku adalah salah satu aktiviti yang baik lebih-lebih lagi sewaktu mengisi masa lapang. Tidak kiralah apa jua buku yang dibaca. Buku bukan sahaja terdiri daripada kitab dan buku pelajaran, malah majalah, novel, bacaan ilmiah malah komik juga dikategorikan sebagai buku.
Novel adalah salah satu bahan bacaan yang amat diminati oleh golongan remaja pada hari khususnya kaum hawa. Pelbagai jenis genre novel yang di jual di pasaran. Kelaziman yang saya lihat di mana sahaja, novel-novel bergenre cinta adalah novel yang sangat laris dan di minati sehinggakan novel tersebut di adaptasikan menjadi sebuah drama.
Kaum adam juga tidak ketinggalan sebagai 'kaki novel'. Malah ada dalam kalangan kaum adam ini mempunyai keobsesan yang terlampau dalam membaca novel.
Saya adalah salah seorang yang sangat suka membaca novel ber-genre-kan 'thriller' dan fantasi. Saya mula mempunyai minat untuk membaca novel sewaktu di SMKA BP. Waktu itu seorang sahabat saya telah membawa dua buah novel ke kelas. Pada awalnya saya menyangka novel yang dibawa adalah novel cinta tetapi jangkaan saya meleset.
"Jufrie, novel apa yang kau baca tu? Mesti novel cinta kan?"
"Aku tak baca novel-novel cinta ni. Ini novel 'thriller'. Tombiruo. Nak baca? ada satu lagi. Bacalah."
Rupanya buku yang dibaca oleh sahabat saya adalah sebuah buku yang ber-genre thriler dan ditulis oleh seorang penulis yang sangat dikenali kerana penulisannya. Tatkala saya membaca novel tersebut, minda dan diri saya seolah-olah berada dalam situasi penceritaan tersebut. Bermula dari saat itu saya membaca dan mendalami novel dan mesej yang cuba dibawa.
Sejujurnya saya tidak berapa meminati novel-novel cinta kerana kurangnya nilai menghargai kehidupan dan menjiwai diri. Maklumlah pada waktu itu saya masih tidak memahaminya. Tetapi saya tidak memperlekehkannya kerana saya pasti setiap mesej yang ingin disampaikan dalam penceritaan berbeza dan ada nilainya tersendiri.
Sehingga saya berada di alam universiti, saya masih lagi membaca dan menyimpan koleksi novel-novel thriller. Setiap novel yang saya baca, bukan sahaja mata melirik ke arah penulisan malah minda saya turut sama merasai cerita tersebut supaya saya faham apa yang ingin disampaikan oleh penulis. Sejak dari itu baru saya sedar bahawa tajuk dan kulit novel tidak menggambarkan erti sebenar jalan cerita tersebut. Mungkin tajuk seperti 'budak-budak' atau tajuk tersebut nampak tidak boombastik, tetapi kandungannya sangat penting. Bak pepatah orang putih, 'Don't judge the book by its cover'.
Suatu hari saya terpandang sebuah buku yang berbeza genre-nya dengan kebiasaan pembacaan saya.
Eh, novel Islamik!
Saya mula tertarik untuk membelinya. Apabila saya mula membaca novel tersebut, hatiku begitu tersentuh. Banyak pengajaran yang terungkap dalam novel tersebut secara halus. Oleh itu saya ingin kongsi sedikit apa yang saya peroleh sewaktu membaca novel ini.
TAJUK : TERASING
PENULIS : HILAL ASYRAF
Sinopsis berdasarkan buku....
11 Tahun terpisah dengan sahabatnya bernama Zaman, Saifullah bermimpi akan janji mereka berdua sebelum berpisah. Janji yang tidak pernah dilupakannya, dan saban hari diingati. Namun mimpi itu datang berkali-kali seakan menyatakan bahawa dia belum menunaikan amanahnya. Satu hari, Zaman kembali secara tiba-tiba. Saifullah amat gembira.
Tetapi bukan hanya kebahagiaan sahaja yang ada di dalam dunia ini.
Tanpa disangka-sangka, satu percubaan membunuh telah dilakukan ke atas Saifullah. Hal ini mengheret dirinya ke kancah jenayah kongsi gelap. Hairan kerana merasakan diri Saifullah tiada kaitan, Amiri, abang ipar Saifullah bergerak melakukan siasatan.
Rupa-rupanya keterasingan dalam diri seorang insan, mengheret manusia-manusia yang berhubungan dengannya ke arah kegelapan.
Ukhuwah, cinta, kasih sayang, prinsip, matlamat, segalanya teruji dengan keterasingan ini.
Bagaimana Saifullah melaluinya
Hasil pembacaan saya....
Seperti saya katakan, hati saya amat tersentuh apabila membaca buku ini. Di dalam dunia ini bukan hanya kerjaya, kasih sayang dan impian sahaja yang penting. Satu perkara lagi yang sangat penting tapi seringkali terlupa.
Ukhuwah
Jika dilihat pada hari ini, ukhuwah hanya diertikan berhubungan dengan orang yang kita kenal sahaja. Keluarga, saudara-mara dan sahabat handai.
Bagaimana pula dengan orang-orang yang kita tidak kenal?
Di dalam buku ini telah memperjelaskan dengan mendalam mengenai konsep ukhuwah sebenar sepertimana ukhuwah dan kasih sayang pada zaman Rasul dan para sahabat terhadap saudara seagama mereka.
"ukhuwah yang baik itu tidak dapat tidak adalah dibina daripada keimanan
yang benar kepada Allah. Hal ini kerana, serendah-rendah ukhuwah adalah
bersangka baik terhadap sahabat kita. Perkara itu, yakni bersangka baik
itu tidak akan sekali-kali dapat kita capai, melainkan kita mempunyai
keimanan yang mantap kepada Allah, dan meyakini bahawa Allah tahu apa
yang kita simpan di dalam hati kita. Maka, tidak akan tergerak di dalam
jiwa kita untuk bersangka buruk terhadap sahabat."
Novel Terasing
Persahabatan
Saya amat tersentuh apabila novel ini juga menekankan tentang persahabatan. Realiti kehidupan disekeliling kita, orang yang kita kenal, sebaya, sama kelas, bergembira bersama adalah sahabat. Namun, adakah seorang sahabat itu boleh membantu tatkala kita berada dalam kegelapan. Selalunya kita lihat sahabat hanya akan ada sewaktu gembira dan hilang diwaktu duka.
Di sini, saya mendapat makna sebenar seorang sahabat sejati yang boleh menjadi 'pemulih' apabila kita benar-benar memerlukan jalan cahaya.
Kata-kata seorang karakter dalam cerita ini kepada sahabatnya telah memberi saya kesedaran tentang nilai ukhuwah dan persahabatan itu.
"Janji kepada aku dua perkara."
"Pertama, ingati aku dalam setiap doamu."
"Kedua, kalau aku jatuh, hulurkan tanganmu kepadaku. Bila aku bengkok, kau luruskanlah aku."
"Jangan kau asingkan diriku daripada kehidupanmu."
Selama kita hidup, pernahkah kita mendoakan sahabat-sahabat kita? Pernahkah kita membantu mereka tatkala mereka memerlukan dan lebih-lebih apabila mereka sudah terjerumus ke jalan yang tidak sepatutnya. Sedikit sebanyak novel ini telah menimbulkan nilai kesedaran kepada. Di samping itu juga, novel ini telah membuka minda pembaca tentang hubungan antara Allah, manusia, dan apa jua yang terdapat di atas muka bumi ini.
Semoga dengan perkongsian ini, kita dapat menilai sendiri sejauh mana tahap pengertian kita terhadap pembacaan selama ini. InsyaAllah kesedaran dan pengajaran itu dapat memberi manfaat dan mengubah diri kita ke arah yang lebih baik.
1 comments:
assalam, buku ni skrg dah takde jual di pasaran, jadi boleh x sekiranya sy nk pinjam? Atau kalau awak nk jual pun saya sudi nk beli.
Post a Comment