Sekadar Gambar Kenangan
Penulis: Dakwat Biru
“KITA perlukan satu kata putus untuk
mencari dana ini. Saya selaku bendahari mencadangkan untuk melakukan ziarah
sekali lagi ke jabatan-jabatan badan kerajaan dan swasta.” Bendahari, Zamri
memberi kenyataan.
Mesyuarat jadi kecoh. “Nonsense. Saya
tidak bersetuju. Kita sudah dua kali pergi tetapi awal-awal lagi mereka menolak
ziarah kita. Tak kan kita hendak pergi lagi? Tidak malukah?” dibidas kenyataan
itu oleh seorang seorang pemuda yang
duduk selang dua orang dari Zamri.
“Habis tu, mustahil untuk kita batalkan
projek ummah kita ini. Bukankah ianya merugikan usaha dan tenaga yang telah
kita keluarkan?” Seorang saf qiyaadah wanita, Zahirah menyokong pendapat
bendahari.
Masih lagi kecoh. Masih tiada persepakatan. Sepertinya wujud dua puak di dalam mesyuarat
itu. Satu menyokong mengadakan ziarah sekali lagi. Satunya lagi membantah.
Memalukan nama persatuan sahaja katanya.
Aku menoleh ke arah seorang pemuda yang
duduk di hujung meja, menghadap kami. Tadinya dia mempengerusikan majlis dan
bertanyakan agenda yang ingin dibentangkan. Kini dia senyap pula. Kami pula
asyik bersuara. Syok sendiri. Aku menenungnya. Suara ahli mesyuarat tenggelam.
Fokusku hanya kepada dia.
Senyuman terukir di bibirnya. Tidak
sekali pun senyuman itu terkoyak. Tidak walau sesaat.
Kurasa sejak dari tadi dia tersenyum.
Sedang kami resah memikirkan solusi, sekejap-sekejap mengeluh, hanya dia
tersenyum tenang. Seolah-olah beban permasalahan itu tidak terletak dia atas
bahunya. Hairan. Bukan aku sahaja, mereka yang menjadi ahli mesyuarat juga
takjub. Dia tidak ambil kisahkah? Atau langsung tidak pedulikan masalah ini.
Padahal dia ketua kami. Sepatutnya dia lebih merisaukan perkara ini.
Atau adakah dia ini tiada perasaan?
*********
Aku mengenali susuk tubuh sasa seorang
pemuda ini sebelum menjadi salah seorang saf qiyaadah Persatuan Pembimbing
Pelajar beberapa bulan yang lalu lagi. Aku tidak percaya sewaktu namaku disebut
di dalam syura qiyaadah untuk menentukan saf qiyaadah yang baru. Aku diberikan
tanggungjawab sebagai penggerak Biro Pembangunan dan Latihan. Persatuan
Pembimbing Pelajar, sebuah persatuan yang bergerak di dalam kampus. Tugas utama
persatuan ini adalah menyerap nilai-nilai asas Islam di dalam hati
mahasiswa-mahasiswi kampus. Kami ibarat pembimbing kepada mereka yang ingin mendalami
ilmu agama. Tidak sampai tahap seorang murabbi. Masih amatur malah kami juga
belajar. Ini kerana budaya yang diterapkan dalam Ittihad kami ‘Sedia Belajar,
Mengajar dan Diajar’. Ertinya dalam waktu kami belajar, kami perlu kongsikan
juga kepada orang lain. Natijahnya, tiada ego, tiada sifat bangga diri. Ukhwah
kami pun bukan bersifat kepura-puraan.
Dari Ibnu Mas’ud R.A, Nabi S.A.W
bersabda: Pelajarilah ilmu-ilmu agama dan ajarkanlah dia kepada orang ramai;
pelajarilah perkara-perkara yang difardhukan dalam Islam dan ajarkanlah dia
kepada orang ramai; pelajarilah Al-Quran dan ajarkanlah dia kepada orang ramai;
kerana sebenarnya aku seorang yang akan mati (seperti makhluk-makhluk yang
lain) dan ilmu juga akan diambil (kembali oleh Tuhan dan hilang lenyap) dan
akan lahirlah berbagai-bagai fitnah kekacauan sehingga akan berselisih dua
orang dalam satu perkara yang difardhukan, yang mereka tak dapat seorang pun
yang boleh menyelesaikan perkara yang diperselisihkan itu.
Usrah menjadi tunjang persatuan. Setiap
dua kali seminggu kami berkumpul, mengupas tajuk-tajuk yang diketengahkan dan
sesi akhir berbincang isu-isu semasa. Senior kami selalunya menjadi naqib. Kami
masih lagi menggabungkan lelaki dan wanita di dalam usrah ini. Kekangan masih
ada untuk mengasingkannya. Namun, ikhtilat masih dijaga. Usaha itu tetap
tersemat untuk memisahkan usrah lelaki dan wanita agar kemaslahatan lebih mudah
untuk dibincangkan. Privasi terutamanya.
Aku mengenali persatuan ini sebaik
melangkah kaki ke alam menara gading. Seorang senior menghulurkan sekeping brochure
berkenaan persatuan ini kepadaku. Tawaran tarbiyah dan program mereka menarik
minat aku. Paling aku teruja, usrah. Dahulu aku mengikuti usrah di Sekolah
Menengah Kebangsaan Agama. Peluang untuk aku teruskan tampaknya.
Setelah menjadi ahli persatuan, aku
menyedari ilmu usrah yang ku dapat semasa di sekolah masih sedikit. Pengalaman
aku menjadi naqib nyata berbeza dengan sekarang ini. Allahuakbar. Sungguh luas
ilmu Engkau. Dan ceteknya ilmuku. Aku perlu mengoreknya lagi. Teringat
kata-kata senior jemaah di dalam bayan semasa di sekolah, “Ilmu Allah
jika ditulis menggunakan pen, tujuh lautan di dunia tidak akan cukup untuk
dijadikan dakwatnya. Sehingga kering lautan itupun masih tidak cukup untuk
menulis semua ilmu Allah.”
Melalui persatuan ini aku mengenali
Marzuqi, seniorku di dalam fakulti komputeran. Dia sudah tahun akhir. Aku?
Masih jauh lagi. Tahun dua pengajian. Di dalam persatuan, dialah paling
veteran. Aku paling suka menyakatnya.
“Assalamualaikum, abang veteran!” Aku
memberi salam sambil mengangkat tangan kanan. Menyapa.
“Waalaikumsalam, Oh Izam. Muda lagilah.”
Salamku disambut. Bibir bawahnya dikedepankan. Itulah gaya trademark dirinya.
“Oh muda rupanya. Ingatkan veteran dah.”
Aku gelak sakan menyakat.
“Tua-tua pun ramai perempuan suka tau.
Cuma abang ni jual mahal sahaja. Kamu ada?” Wah, masuk bakul angkat sendiri nampaknya.
Perwatakan yang ‘cool’, suka
bergurau dan matang membuatkan aku senang mendekatinya. Tapi ada satu tarikan
yang aku rasakan dia ini berbeza dari orang lain – senyum. Ya senyuman yang
tidak pernah pudar dan lekang dari bibir menjadi senjata kehidupannya. Ada
masalah – senyum. Tika sakit – senyum. Orang cari pasal – senyum. Sungguh
takjub!
Pernah satu ketika, dia dipanggil oleh
presiden persatuan pembimbing yang lain apabila dikatakan telah merampas
ahli-ahli persatuan mereka sehingga mereka sukar mencari kaderisasi. Dalam hal
ini, Marzuqi dipersalahkan. Saf-saf qiyaadah tidak senang duduk apabila dituduh
sebegitu. Kami ingin menyerang balas. Namun, Marzuqi melarang. Dia telah
berjumpa dengan mereka. Aku menemaninya. Berbekalkan senyuman dan tutur kata
yang berhikmah, dia berjaya meluluhkan hati mereka. Malah mereka menyatakan
permohonan maaf. Kerisauan yang berkepul di dalam dada hilang. Lega.
“Di dalam hadith Rasulullah ada
menceritakan ketika mana seorang lelaki Arab Badwi membuang air kecil di dalam
masjid, lalu orang ramai hendak bertindak ke atasnya. Lantas Rasulullah
melarang. Rasulullah menyuruh agar membiarkan lelaki tadi menghabiskan hadasnya
dan siramkan sebaldi atau segayung air ke atas air kencing lelaki itu tadi.
Sesungguhnya kamu diperintahkan untuk memberi kemudahan, bukan mendatangkan
kesusahan.” Marzuqi menyampaikan konsep hikmah dalam berdakwah kepadaku.
Tidak hairanlah jika semua pensyarah dan
pegawai universiti selalu menyebut nama beliau. Menjadikan beliau contoh.
Memberikan pujian melambung. Ini kerana konsep hikmah dan senyuman yang
dipaparkan.
Tiba-tiba bahuku dicuit. Aku tersentak
dari lamunan. Aku menggelengkan kepala beberapa kali. Nyah kau lamunan! Aku
melihat laut masih lagi berombak. Ku alihkan pandangan ke kiri. Susuk tubuh
yang ku khayalkan tadi berada disisiku.
Eh! Sejak bila? Macam mana dia tahu aku
ada kat sini?
“Abang Mar, sejak bila abang ada kat
sini?” Aku merenungnya.
“Sejak lima minit yang tadi. Abang
tengok kamu khusyuk jadi abang tunggu kamu toleh. Rupanya harapan sajalah.” Dia
ketawa berderai. Aku lebih mesra memanggilnya Abang Mar kerana usia dan
hormatku kepadanya.
“Abang stalk saya?
Astaghfirullah” Aku menepuk dahi. Menggelengkan kepala.
“Buang tebiatkah abang buat macam tu?
Lebih baik abang stalk Ustaz Azhar. Minta ilmu daripadanya. Dapat
pahala.” Marzuqi berseloroh. “Abang tengah berjogging tadi. Dari kampus.
Tiba-tiba abang perasan kamu duduk keseorangan. Jadi abang berniat nak tegur.
Kamu buat apa menung sendirian?”
“Saja. Mencari amnah. Pantai
tempat saya mencari amnah,” Aku tersengih. Macam belacan. “Er, Abang
Mar, saya nak bertanya ni. Boleh?”
“Tanya sajalah Izam. Kamu tanya abang
jawab. Tak tanya abang diam sajalah.” Dia ketawa lagi. Kali ini sederhana.
Sabar jelah dengan Abang Mar ni. Kena
juga aku.
“Kenapa saya lihat Abang Mar suka
senyum? Abang Mar tak ada masalahkah untuk difikirkan?” Fuhh! Aku melepaskan
juga pertanyaan yang selama ini terbuku.
“Kalau kamu ada masalah apa reaksi
kamu?” soalan berbalas soalan. Sebiji macam bola sepak. Serangan berbalas
serangan. Apakah?
“Saya....saya akan murung. Hilang mood
pada hari itu. Resah. Gelisah. Pening memikirkan penyelesaian. Kadangkala saya
bingung mencari jawapan kepada masalah itu.” Tangan kanan dan kiri diangkat
silih berganti. Membuat gaya supaya lebih jelas.
“Kamu ini, abang tanya satu kamu jawab
seribu. Senang sahaja. Senyum itu sedekah syeikh. Senyum juga dapat
mengurangkan stress. Mengubah mood kita daripada negatif kepada positif. Jangan
pernah lokek untuk senyum. Rasulullah sendiri syeikh, dengan senyum sahaja
dapat meluluhkan hati sesiapa sahaja. Dengan senyuman, baginda dapat
melembutkan hati orang yang keras. Dengan senyuman, orang boleh terinspirasi
dengan kita.” dia menepuk bahuku beberapa kali.
Aku mengangguk beberapa kali. Setuju.
“Abang minta diri dulu. Ada kerja nak
selesaikan lepas ni. Jangan lupa meeting malam ni ya.” Dia melambai dan berlalu
pergi. Aku terkesima seketika.
Abang tengah berjogging tadi. Dari
kampus. Tiba-tiba abang perasan kamu duduk keseorangan. Jadi abang berniat nak
tegur. Kamu buat apa menung sendirian?
“Eh? Berjogging dari kampus?” Aku
ternganga. Aku arif perjalanan dari kampus ke pantai mengambil jarak hampir 2
kilometer. Masakan Marzuqi hanya berjogging tanpa menaiki kenderaan ke mari?
Sedangkan aku sendiri meminjam motor teman sebilik. ‘Ajib!
**********
“Saudara-saudari yang dirahmati Allah
sekalian. Saya minta untuk bertenang ya. Masalah tidak akan boleh selesai hanya
dengan berbalah.” Marzuqi mengangkat kedua-dua tangannya.
“Kita bincang secara berhikmah.
InsyaAllah kita jumpa solusi.”
“Baiklah kalau begitu, Saudara Marzuqi,
bagaimana? Apa yang harus kita lakukan untuk mendapatkan dana?” Ahli mesyuarat
memandangnya.
“Pertama, sebelum saya beri cadangan,
saya mahu kita semua kembali kepada tujuan asal. Ikhlaskan niat untuk melakukan
projek ummah ini. Jangan sesekali terdetik kamu menjalankan program ini untuk
mendapat nama dan pujian.” Dia memandang kami. Senyuman masih bersamanya.
“Ingat, apabila kita ikhlas, maka Allah akan berikan ganjaran. Jika mengejar
nama dan pujian, saya risau kamu hanya dapat penat. Rasulullah bersabda,
sesungguhnya Allah tidak menerima amal kecuali dilakukan dengan ikhlas dan
mengharap redha-Nya.”
Kami terpana. Kata-kata itu betul-betul
menusuk hati-hati kami. Walaupun ianya sakit, nyata itulah kebenaran. Sentap
seketika.
Berkatalah benar walau ia pahit.
“Caranya mudah. Sediakan tabung-tabung
untuk diletakkan ke masjid-masjid yang pernah kita berurusan. Satu tabung kita
edarkan semasa usrah.” Senyumannya sikit pun tidak mengecil. Makin lebar
kelihatannya. Sekali-sekali keningnya digerak-gerakkan. Menunjukkan keyakinan.
Ahli mesyuarat menggangguk. Ah!
Mengapa aku tidak terfikir sebelumnya?
“Urusan ziarah dan tajaan, saya sendiri
akan pergi ke jabatan-jabatan kerajaan dan swasta. Saya akan cuba pergi ke
syarikat-syarikat yang sudi membantu kita. Unit tajaan pergi bersama saya ya.
Innallaha ma’ana. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan kita. Dalam melakukan
kebaikan.” Marzuqi merapatkan kedua-dua tapak tangan dan menggenggamnya. Gaya
spontannya.
Mesyuarat menjadi tenang. Tidak kecoh
seperti tadi. Semua ahli mesyuarat mengambil masa berfikir.
“Saya setuju.” Aku bersuara. Tanda
sokongan.
“Setuju.”
“Setuju!”
“Saya juga setuju.”
“Setuju. Tapi bila mahu mula syeikh?”
“Tentang itu, kita mulakan dengan
mencari tin-tin biskut untuk dijadikan tabung pada hari esok. Lusa sudah boleh
letakkan di masjid-masjid.” Marzuqi menyelesaikan masalah.
“Ada hal-hal
berbangkit? Atau hal-hal berjangkit?” Marzuqi tersengih. Memandang aku.
Hal-hal berjangkit. Istilah yang menjadi
kelaziman digunakan oleh kami di dalam mesyuarat. Aku pencetusnya. Akan ada
sahaja isu yang sepatutnya sudah tamat perbincangan dibuka kembali pada saat
akhir. Dan akhirnya berjangkit kepada semua isu yang seharusnya tamat diskusi.
“Jika tiada, kita terus laksanakan tugas
pada hari esok. Saya dan unit tajaan melakukan ziarah. Siapa yang tidak
terlibat cari tin, hias dan letakkan di masjid-masjid. Ingat ya, ikhlas dalam
apa jua perkara yang kamu lakukan,” dia mengangkat jari telunjuknya dan
keningnya digerakkan dua kali. “Kita akhiri mesyuarat dengan Surah Al-Asr dan
Kafaratul Majlis.”
Projek ummah yang kami rencanakan ini
mempunyai pendekatan dakwah. Membawa rakan-rakan kampus dan belia di luar
menanamkan sifat cinta Allah dan Rasul. Melalui projek ini, kami mengajak
mereka mengenal usrah, memberi tarbiyah dan memperkuat ukhwah sesama Islam.
Kami ingin semaikan asas usrah kepada mereka – ta’aruf (perkenalan) – tafahum
(kefahaman) – takaful (tolong menolong). Kami ingin mengajak mereka berkenalan
dengan kami, menguatkan ukhwah dengan pelbagai aktiviti. Kemudian kami berikan
mereka kefahaman Tarbiyah Islamiah. Dan akhirnya kami semai sikap tolong
menolong antara kami dengan mereka, agar mereka tidak tercicir di tengah jalan
tarbiyah.
Esoknya, kami melaksanakan tugas yang
diberikan. Kami setuju membahagikan tugas. Zamri mencari tin-tin biskut yang
tidak digunakan. Zahirah dan saf qiyaadah muslimat menyiapkan dan mencetak
label untuk ditampal di badan tin. Manakala aku akan meletakkannya di
masjid-masjid.
Tidak semena-mena telefon bimbitku
berdering. Tertera nama Marzuqi di skrin. Lalu aku memanggil Zamri, Zahirah dan
lain-lain. Pembesar suara kuaktifkan.
“Assalamualaikum semua, saya ada berita gembira. Alhamdulillah,
banyak syarikat, jabatan-jabatan kerajaan, swasta yang sudi memberikan dana
kepada kita. Malah ada yang ingin berkolaborasi dengan projek ummah ini.
Bersyukur kepada Allah. Ok. Senyum!”
Kami menadah tangan mengucap syukur.
Sujud syukur. Ucapan Alhamdulillah meniti di bibir-bibir kami. Alhamdulillah,
Alhamdulillah, Alhamdulillah!
Senyum dan cara hikmah yang dibawa
Marzuqi pastinya telah meruntuhkan keegoan mereka. Buktinya mereka terima
projek kami. Aku pasti itu. Itulah Marzuqi yang ku kenal.
**********
“Assalamualaikum, abang veteran!” Aku
memberi salam sambil mengangkat tangan kanan. Menyapa.
“Waalaikumsalam, Oh Izam. Muda lagilah.
Masuklah” Salamku disambut. Bibir bawahnya dikedepankan. Mukanya dicemikkan.
Itulah gaya trademark dirinya.
“Oh muda rupanya. Ingatkan veteran dah.”
Aku gelak sakan menyakat.
“Tua-tua pun ramai perempuan suka tau.
Cuma abang yang jual mahal sahaja. Kamu ada?” Wah, masuk bakul angkat sendiri nampaknya.
“Ya, saya ni tak hot macam abang
Mar. Maklumlah semua orang kenal.” Aku mendepakan tangan. Merujuk kepada ‘semua
orang kenal’.
“Hot di dunia boleh membawa
padah. Hot di akhirat menyesal tak sudah.” Marzuqi bermadah. Kami gelak
sakan.
Sememangnya aku rajin menjengah bilik
Marzuqi. Hanya selang tiga bilik sahaja dari bilikku. Aku selalu meminjam
buku-buku kepunyaannya. Buku falsafah, novel, agama, semuanya ada. Bagaikan
perpustakaan mini pula. Minggu lepas aku meminjam buku ‘Islam dan Melayu:
Martabat Umat dan Daulat Negara’ tulisan Dr. Siddiq Fadzil, murabbi yang
menjadi idolaku. Aku telah selesai membacanya. Masa untuk mencari buku lain
pula.
“Abang Mar, ada buku baru?” Aku duduk di
atas katilnya.
“Ada Izam. Tu, ambillah.” Tangannya
mengunjuk ke arah susunan buku yang terletak di atas meja belajar. Jejak-jejak
Rasulullah – Tariq Ramadhan. Menarik!
“Abang keluar sekejap ya. Jumpa kawan.
Jaga bilik tau.” Dia mengarah.
“Ok.” Jawabku ringkas.
Aku mencapai buku berwarna hitam itu.
Mata aku melirik ke buku yang terletak disebelah buku Sun Tzu. Seolah buku
korporat. Kelabu dan tebal. Di hadapan muka buku itu tertulis ‘Catatan
Marzuqi’. Terdetik untuk aku membukanya. Sehelai demi sehelai aku baca. Ianya
bukan diari, tetapi catatan tarbiyah dirinya. Aku tekun membacanya. Kata-kata
Imam Syafie, Imam Hasan Al-Banna diselitkan. Sampai ke satu catatan, aku
terjeda. Helaian yang satu ini agak berbeza. Ditampal kertas warna dan bertulis
di atasnya.
Dahulu aku bukanlah seperti yang
sekarang.
Seluruh kehidupanku dahulu diselubungi
zhulumat. Keluargaku orang-orang alim. Penyemai cinta Allah dan Rasul dalam
kehidupan keluargaku. Tetapi tidak bagiku. Aku rimas. Tidak merasai kebebasan.
Lantas aku mencari kebebasan aku sendiri. Di hadapan mereka, akulah anak yang
baik, namun dibelakang mereka, semua perkara yang diharamkan telah aku cuba.
Kecuali berzina dan minum arak. Remaja aku sudah bermandikan dosa. Masjid?
Awal-awal lagi aku hindari. Aku telah membiarkan seorang ibu mengalirkan air
mata kekecewaan kerana perbuatanku.
Dahulu aku panas baran. Malah egoku juga
tinggi melambung. Aku sahaja yang betul. Tidak pernah mengaku salah dan kalah.
Aku mudah meradang. Ke tahap menghayunkan anggota juga pernah. Mencederakan
juga pernah. Pabila ada yang tidak berpuas hati, istilah tolak ansur tidak
pernah wujud di dalam kamus hidupku. Semuanya berkonsep serangan dan pukulan.
Akhirnya aku sukar didekati. Malah ramai yang membenciku. Aku dijauhi. Sejauh-jauhnya
aku dipinggirkan.
Suatu hari, aku ditimpa musibah berat.
Segala kesenanganku ditarik serta merta. Aku dikejar penuntut-penuntut hutang.
Aku meminta tolong pada kenalan-kenalan. Mereka lantas tidak mempedulikan. Puas
aku mencari pertolongan makhluk. Tiada satu sanggup menghulur. Aku tersepit. Mungkin
inilah balasan aku. Sehingga aku bertembung dengan seorang senior. Hairan dia
tidak takut denganku. Tanganku dipegang erat. Aku dipimpin ke masjid kampus.
Lalu aku diajak duduk di dalam satu bulatan. Mereka kata itu ‘usrah’. Aku mula
mengikuti usrah mereka. Hatiku tenang. Mereka kulihat tidak pernah lekang
dengan senyuman. Aku kagum. Senior membaca hadith:
Diriwayatkan dari Jabir dalam sahih
Bukhari dan Muslim; Sejak aku masuk Islam, Rasulullah S.A.W tidak pernah
menghindar dariku. Dan baginda tidak melihatku kecuali baginda pasti tersenyum
kepadaku.
Allahuakbar. Aku menitiskan air mata.
Persis dalam hadith, mereka-mereka ini tidak menghindarkan aku, malah
membimbing aku.
Ya, aku perlu berubah. Senyumlah dalam
apa jua perkara yang berlaku. Suka, duka, musibah, bahagia – senyum.
Marzuqi
Aku menutup buku catatan itu. Tanpa ku
sedari aku sudah melelehkan air mata. Syahdu tak tergambarkan.
“Assalamualaikum..” Abang Mar tercegat di
muka pintu. Tersenyum memandang aku.
Cepat-cepat aku menyeka air mata.
Marzuqi, nyata senyumanmu itu hikmah.
NOTA : Cerpen ini ilham apabila melihat
senyum itu sebagai salah satu pendekatan di dalam dakwah dan urusan seharian.
Senyuman dapat memberikan ketenangan kepada orang yang melihatnya dan diri kita
sendiri. Cerpen ini juga saya dedikasikan kepada seseorang yang saya sanjungi.
Walaupun jalan cerita ini tidak ada kena mengena dengan beliau, saya terdetik
untuk menulisnya. Semoga Saudara Muhammad Marzuqi Zainal Adlan, mantan presiden
MPP 2012/2013 berjaya dalam bidangnya dan mendapat keredhaan-Nya.
GLOSARI
Saf qiyaadah – barisan pimpinan
Bayan – tazkirah
Takjub – hairan
Amnah – ketenangan
‘Ajib – Ajaib
Tarbiyah – didikan
0 comments:
Post a Comment