Showing posts with label UniSZA. Show all posts
Showing posts with label UniSZA. Show all posts

EDISI PRK - CAKNA SEBUAH KEPIMPINAN

Sunday, 30 November 2014


 PILIHAN DI TANGAN ANDA!!!

30 November 2014

#ROSEUniSZA
#demiperubahan
#calonjejaka456
#semudah123

Dan macam-macam lagi hashtag serta poster bertaburan di media-media sosial. Demam Pilihan Raya Kampus (PRK) bagi memilih barisan MPP sesi baru bermula. Saya melihat calon-calon yang bertanding kali ini bersungguh untuk membantu mahasiswa walaupun daripada pergerakan yang berbeza. Tiga penjuru mungkin. Yang pertama calon-calon yang bergerak dibawah R.O.S.E (Rational Of Students Eagerness). Kedua, pergerakan yang membawa laungan Demi Perubahan, dan juga calon bebas. Tampak kali ini suasana PRK itu mulai meruap dan memuncak dalam kalangan mahasiswa untuk memilih pemimpin mereka, pembawa suara-suara mereka. Tetapi masih lagi belum mencapai sekurang-kurangnya 60% peduli terhadap PRK. ramai masih terpinga-pinga, tertanya-tanya bagaimana tentang PRK. Bukan salah mereka.

Pendedahan tentang PRK seharusnya dibuat lebih awal dari kempen yang akan dijalankan. Di situ mahasiswa akan faham kenapa penting PRK. Masakan tidak, pendedahan dibuat seiring dengan kempen. Bagi mahasiswa baru, sukar untuk memahami. Saya harap pendedahan itu dititikberatkan bagi menjamin ketelusan dalam memilih calon dan mengelakkan konsep 'asal boleh' apabila memangkah kertas undi nanti.

Konsep 'asal boleh' berlaku apabila kurangnya kepedulian mahasiswa terhadap PRK. Apabila tiba hari pengundian, mahasiswa bukan memangkah calon-calon yang betul-betul layak pada pandangan dirinya, namun terpengaruh dengan rakan sekelas, hebahan media. Lebih parah, tengok nama mana yang sedap sebut. Agaknya kalau ada gambar, siapa yang handsome, cantik dialah yang dipilih.

MPP sebuah organisasi yang telah termaktub dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Pemilihan dibuat melalui pilihan raya kampus. Bertindak sebagai 'suara' kepada mahasiswa, menyuarakan segala permasalahan yang berlaku di dalam kampus, serta menjadi perantara serta pemudahcara antara mahasiswa dengan pihak pengurusan universiti. Tidak hairanlah jika MPP ini selalu baik dengan pihak pengurusan. 

MPP bukan sebuah jawatan yang agung sebenarnya. Ia merupakan sebuah tanggungan yang memeritkan jika keinginan menjadi MPP bukan pada tempatnya. IKHLAS  kerana ALLAH adalah titik penting tatkala memegang tampuk kepimpinan itu. Membawa bebanan mahasiswa bukan mudah. Saya terfikir tentang hebahan mengenai calon terpaksa la, calon pilihan la, adakah mereka ini benar ingin bertanding kerana juang siswa? Manifesto mereka datang dari diri mereka atau dibuat oleh orang lain? Tidak mengapa. Itu antara mereka dengan mahasiswa jika mereka terpilih nanti.

Mulai 1 Disember 2014, mahasiswa UniSZA akan mengenali MPP mereka. Walau apapun keputusan, itu adalah adat dalam pertandingan. Yang menang juang demi mahasiswa sebaiknya. Bagi yang bukan peluang mereka, jangan putus semangat. Jika benar juang kamu untuk mahasiwa, teruskan membantu MPP yang bakal dibentuk. Bak kata Saudara Mohd Razif Mohd Fuad, bekas YDP MPP USIM, jadilah sekretariat MPP. Pada saya, sia-sia mengemukan manifesto jika tidak teruskan perjuangan walaupun tidak berjaya duduk di barisan MPP. Bantu MPP. Jadi tulang belakang MPP. Tidak salah bukan?

JOM LIHAT APA YANG AKAN BERLAKU MALAM INI!

SEMOGA BERJAYA KEPADA CALON


AIDILADHA - EID MUBARAK!

Sunday, 5 October 2014

Takbir bergema di pagi Aidiladha
Eid Mubarak!

Allahuakbar
Allahuakbar
Allahuakbar
La ila ha illallahu wallahu akbar
Allahuakbar walillahilham

BERGEMA takbir Aidiladha di seluruh pelusuk Malaysia. Buat kesekian kalinya saya menyambut Aidiladha berjauhan dari keluarga tercinta. Berjauhan dari kebiasaan kampung malah berjauhan dari masakan seorang mak. Kali ini Aidiladha disambut bersama rakan-rakan seperjuangan.

            Dalam kesyahduan itu, terdetik di dalam benak fikiran saya ini adalah salah satu ‘perjalanan’ dalam kehidupan saya untuk melihat seberapa banyak dan mendalami serta menghayati kehidupan yang dipinjam oleh Allah S.W.T. Perjalanan melihat suasana luar Johor. Orang kata sambutan Aidiladha di Terengganu dan Kelantan lebih meriah berbanding di negeri-negeri lain. Rakyatnya mengangkat Aidiladha sama dengan Aidilfitri. Itulah yang sering dikatakan kepadaku.

            Usai sahaja solat sunat Aidiladha dan khutbah, saya bersama rakan seperjuangan pergi berziarah ke kampung-kampung melihat suasana Hari Raya Aidiladha. Tidak jauh berbeza dari negeri-negeri lain namun apa yang boleh saya katakan, penduduk-penduduk disini seolah-olah berlumba-lumba membuat qurban. Penonton ibadah qurban juga tidak kalahnya, lelaki, anak muda waima perempuan. Seboleh-boleh ingin melihat lebih dekat ibadah qurban dijalankan. Allahurabbi. Suasana mengagumkan.

          Ibadah Qurban dijalankan oleh pihak Pusat Islam UniSZA.
Terpegun melihat hinggakan lupa berapa ekor sudah disembelih...
Menggunakan kemudahan teknologi yang ada disamping tidak meninggalkan rukun qurban.
         
          Sewaktu saya duduk di cafe asrama, saya memerhatikan gelagat pelajar Nigeria menjamu juadah raya yang mereka masak sendiri. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka menjemput saya dan rakan-rakan untuk menyertai mereka. Bersungguh-sungguh mereka mengajak kami untuk bersama-sama menikmati juadah. Masha Allah! Salah seorang dari mereka, Farouk, duduk bersama kami dan menghidangkan makanan – Nasi yang dimasak menghampiri bubur dan kenyal serta lauk ayam yang dimasak seakan-akan kari. Kata Farouk, itu adalah Co uk – Sejenis lauk ayam yang dimasak dengan lada, rempah dan sayur-sayuran – tampak seperti kari tetapi tiada rasa kari di dalamnya. Kata Farouk lagi, lauk ini tidak dimasak dengan gula. Sungguh lauk ini membuka selera saya.
           
            FAROUK – Master in Business Management, rancak berbual dengan kami sambil menikmati juadah Co uk. Sebagai pelajar antarabangsa, beliau banyak memerhatikan suasana di Malaysia, terutama Terengganu yang kaya dengan Islam. Itu antara perkara yang membuatkannya bangga berada di Malaysia. Tetapi, ada satu perkara yang membuatkan saya tertarik dengan Farouk – mempunyai pemikiran dan pandangan yang sama dengan saya dalam bab industri hiburan. Hanya seorang peminat kartun (anime) dan cerita Jepun sahaja akan faham mengapa Jepun ini penuh nilai moral dalam dunia perfileman. Tak sangka ada juga orang luar yang minat Jepun – bukan sahaja saya. Buka sahaja cerita Naruto, terhambur semua pemerhatian terhadap Jepun. Dahsyat!
           


Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka atas juadah yang mereka kongsikan kepada kami. Namun jawapan salah seorang mereka membuatkan saya terkedu.

“Mister, thank you for the food. Its very delicious.”

“Oh most welcome. But you don’t need to say thank you, because it is your food.”



Hari Raya Aidiladha kali ini sungguh memberi pengalaman baru kepada saya. Secara tidak langsung sebagai seorang pelajar antropologi, saya sebenarnya ingin mengetahui lebih dalam masyarakat dan budaya mereka. Mungkin ini adalah makna di sebalik raya jauh dari keluarga tercinta.

Teruskan laungan takbir. Masih lagi ada waktu untuk mendapatkan pahala di Aidiladha ini. Wallahua’lam.

#UniSZA : BENGKEL PENULISAN DAN PENERBITAN

Thursday, 25 September 2014

Sempat bergambar dengan Tuan Zamri Mohamad
Akan ku sahut cabaran Tuan!


Assalamualaikum
Untuk penulisan kali ini, saya cuba berubah mood menjadi tidak formal. Sedikit perkongsian pena untuk mengisi masa lapang, saya menyertai Bengkel Penulisan dan Penerbitan yang disampaikan oleh seorang penulis buku terkenal, Tuan Zamri Mohamad. Dianjurkan Unit Kaunseling dan Kerjaya Pejabat Timbalan Naib Canselor (PTNC) UniSZA pada 19 September 2014 yang lalu.

   Tuan Zamri Mohamad amat terkenal dengan buku-buku tulisannya yang banyak memberi panduan kepada pembaca. Beliau banyak mendedahkan inspirasi dan aspirasi beliau untuk menghasilkan sesebuah buku. Siapa tidak mahu mengetahui 'rahsia' yang selama ini disimpan oleh beliau sepanjang kareer beliau menjadi seorang penulis. Dengan hanya menggunakan nota-nota kuliah, beliau berhasil menjadikan nota tulisan tangan itu sebagai subjek untuk diterbitkan menjadi sebuah buku dan pastinya menjana pendapatan sendiri.

Antara buku tulisan beliau
Tampak bersahaja namun memberi impak
dengan tajuknya sahaja.

   ROI (Return Of Investment) adalah salah satu kaedah yang digunakan oleh kebanyakan penulis dalam menukarkan status Facebook, Twitter dan lain-lain media sosial menjadi sesuatu yang boleh mendatangkan hasil berupa manfaat kepada pembaca dan tentunya 'gaji' atau 'elaun' kepada si penulis.

   Bengkel ini adalah pencetus untuk anak muda terus menulis.

Selfie sebentar


   #DaiePena
   #menuliskeranaAllah

DOA MAJLIS PENUTUPAN MINGGU MESRA SISWA UniSZA 2013/2014

Monday, 9 September 2013



 

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

الْـحَمْدُ للهِ الذِيْ بِنِعْمَتِهِ تَتِمّ ُالصَّالِـحَاتُ ، وَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِنَا الأمِيْنَ وَعَلَى ءَألِهِ وَأصْحَابهِِ أجْـمَعِيْنَ .

Ya Allah ,Ya Ra'ufurrahim ,
Kami merafakkan rasa kesyukuran kepada-Mu bersempena dengan Majlis Penutupan Minggu Mesra Siswa Universiti Sultan Zainal Abidin Sesi 2013/2014 pada malam ini.

Ya Allah , Ya Tuhan Kami
Sesungguhnya pada hari ini kami berkumpul kerana-Mu Ya Allah
Kami berkumpul untuk mengisi seluruh hidup kami dengan keredhaan-Mu

Ya Allah , Tuhan Yang Maha Mengetahui ,
Semoga perjalanan Minggu Mesra Siswa ini tidak menjadi pengakhiran kepada sebuah ikatan ukhwah yang dibina sepanjang Program ini berlangsung. Sesungguhnya ukhwah yang dibina itu adalah senjata mengukuhkan perjuangan agama Islam.
Berkatilah usaha-usaha kami , mudah-mudahan (dengan usaha-usaha kami ini) , Mahasiswa/wi yang berada di hadapan ini akan menjadi pelajar yang cemerlang, terbilang , pelajar yang disegani dan dihormati, samada dalam aspek akademik mahupun kokurikulum seterusnya mampu melahirkan generasi pelajar yang berjaya di dunia mahupun di akhirat. Sepuluh jari ini jua menadah memohon agar kau sentiasa memberikan ilham dan membuka minda kami supaya kami menjadi mahasiswa yang intelektual, berfikiran luas dan positif serta kontemporari seiring dengan syariat Islam.


Ya Munzilal Barakah wa Ya Kasyifalghummah ,
Ya Allah kurniakanlah Kepada kami kekayaan ilmu pengetahuan dan hiasilah diri kami dengan sifat lemah-lembut, dan muliakanlah kami dengan ketaqwaan dan indahkanlah diri kami dengan kesihatan.

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا ءَاخِرُهُ وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمُهُ وَخَيْرَ أيَّامِنَا يَوْمَ ألْقَاكَ فِيْهِ
اللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِيْ قـُلُوْبِنَا غِلاًّ لِلَّذِيْنَ ءَامَنُوْا رَبَّنَاإنَّكَ رَءُوْفٌ رَحِيْمٌ

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَة ً وَفِي الأخِرَةِ حَسَنَة ًوَقِنَا عَذَابَ النَّار ِ

وَصَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ ، وَالْحَمْدُلِلَّهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ

IFTAR : PROGRAM IFTAR BERSAMA MUTIARA

Thursday, 18 July 2013

 Jom variasikan berbuka puasa.
Hari ini dengan sahabat, esok dengan masyarakat.
Nyata itu sangat indah.




PROGRAM IFTAR BERSAMA MUTIARA

ANJURAN PERSATUAN MAHASISWA USULUDDIN

___________________________________________________________________________

Mutiara adalah sejenis objek yang terhasil daripada tiram. Kebiasaannya objek ini digunakan sebagai perhiasan bagi wanita. Bayangkan mutiara yang awalnya tiada sebarang kepentingan hanya kerana dihasilkan oleh haiwan laut boleh menjadi perhiasan yang harganya boleh mencecah berjuta ringgit. Kesungguhan sang pengutip mutiara menggilap mutiara tersebut sehingga menjadi sesuatu yang berharga adalah perkara yang sepatutnya kita contohi.

Program Iftar Bersama Mutiara ini merupakan program berbuka puasa bersama anak-anak yatim Asrama Kebajikan Darul Akhyar. Walaupun saya bukan penganjur mahupun AJK pada ketika itu, tetapi saya amat menghargai jemputan sahabat-sahabat saya untuk menghadiri program tersebut. Seramai 40 orang anak-anak yatim dan faqir miskin turut serta dalam program ini. Rata-rata mereka berumur dalam lingkungan 9 tahun hingga 14 tahun.

Setelah diberi sedikit penerangan oleh Warden Asrama mereka bahawa di antara mereka telah kehilangan ibu, ayah, kedua-duanya malah ada juga yang tidak mengenali kedua ibu bapa mereka. MasyaAllah. Berat sungguh ujian yang ditanggung oleh mereka apabila mereka tidak dapat merasai kasih sayang daripada kedua ibu bapa mereka yang sepatutnya menjaga mereka. Saya pasti seorang anak inginkan kasih sayang 'realiti' dari orang yang sepatutnya.

Jika diingat kembali, saya juga pernah mengalami keadaan seperti tetapi tidaklah tinggal di asrama kebajikan. Kematian seorang ayah yang merupakan sumber pendapatan menjadikan ibu saya bekerja keras menanggung kehidupan kami dua beradik.

Sebahagian peserta.

Mutiara dan mereka.

Anak-anak yatim ini adalah mutiara yang perlu digilap dan terus digilap supaya mereka boleh menjadi seseorang yang berguna kepada diri dan orang lain. Penggilapan ini perlu terus dilakukan agar mereka ini boleh keluar dari kepompong 'hitam' hidup mereka dan berbakti kerpada masyarakat. Kita tidak apa yang mereka pendam, tetapi kita sebenarnya sudah tahu bagaimana hendak menjaga mereka.

Anak-anak yatim Darul Akhyar.
Kamu adalah mutiara.

Program ini bukan sahaja dihiasi dengan keriangan anak-anak yatim, malah diserikan juga dengan   alunan Qasidah. Subhanallah. Program ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dan membina ukhwah sesama islam. Solat berjemaah, iftar jamaie, bertarawikh dan sedikit tazkirah dapat memberikan aura dan suasana ukhwah tersebut. Itulah yang seharusnya dilakukan oleh seluruh umat Islam di dunia ini.


 Persembahan Qasidah


 Ya Hanana


 Gelagat salah seorang daripada anak-anak yatim Darul Akhyar.

Semoga kita dipertemukan lagi.


Semoga program ini dapat memberi manfaat kepada manusia disekeliling.

InsyaAllah.


#IKON SISWA - BERSAMA USTAZ BADLISHAH

Friday, 22 March 2013


Ustaz Badlishah bin Alauddin
Jabatan Agama Islam Pahang

Siapa yang tidak mengenali ustaz Badlishah ini? wajahnya seringkali muncul di kaca tv dalam pelbagai rancangan motivasi dan agama. Minda Pagi, Motivasi Pagi di TV3 dan Forum Perdana Hal Ehwal Islam. Selama ini, saya hanya melihat beliau melalui kaca tv sahaja. Walaupun beliau sering juga datang ke UniSZA, saya tidak pernah lagi bersemuka dengsan beliau. Saya kagum dengan penyampaian beliau yang bersahaja dan menghiburkan penonton.

Tidak sangka kali ini saya dapat bersemuka malah sempat juga berbual dengan beliau. Saya terkejut setelah mendapat panggilan untuk menjadi pengerusi majlis.

"Qayyum, boleh tak nak minta tolong jadi pengerusi untuk program malam ini?"

"Err, program apa tu?" saya bingung juga tiba-tiba diminta untuk menjadi pengerusi majlis.

"Program Bicara Ikon Siswa. Penceramahnya Ustaz Badlishah Alauddin. Programnya ringkas je. Mula jam 9 malam,"

Eh? Ustaz Badlishah?

"Baiklah." Jawab saya ringkas. "Selepas isyak saya datang."

20 MAC 2013 - 8.45 Malam, Foyer Asrama.

Saya menunggu kedatangan beliau dengan penuh debaran. Malah pihak Hal Ehwal Pelajar juga berdebar kerana program yang dijalankan ini bertukar pada saat-saat akhir. Awalnya Bicara Ikon Siswa ini adalah sebuah forum yang melibatkan Ustaz Badlishah dan dua orang pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam sebagai ahli panelnya, tetapi bertukar menjadi ceramah atau "talk show" kerana pensyarah-pensyarah tadi tidak dapat hadir. Risau juga tiada pelajar yang hadir.

Kereta beliau memasuki kawasan perkir kereta di foyer asrama. Saya menyambut beliau dengan ucapan salam. Beliau membalas dengan salam dan juga senyuman. Oleh kerana masih belum ada penonton, beliau berhasrat untuk berjalan sebentar di kawasan kafe baru. Sempat juga saya berbual dengan beliau.

"Pelajar-pelajar masih makan di luar ke?" ustaz bertanya.

"Jarang sebab sudah ada kafe baru ini." Saya pelik sebentar.

"Zaman ustaz dulu belum ada kafe ini. Masa tu ada satu kafe je, nasib baik ada pelajar yang menjual makanan di asrama."

"Ustaz dulu pelajar KUSZA,"

Subhanallah.

"Ustaz 'grade' tahun berapa"? Saya pula yang bertanya.

"Tahun 89, selepas itu ustaz sambung belajar luar Malaysia. InsyaAllah tahun depan ustaz sambung Ph.D di UniSZA ni. Ustaz dah berbincang dengan Dekan FKI, Engku Zaki. Seronok pula rasanya dapat tengok semula UniSZA,"

"Awak ada jawatan dalam MPP?" Soalan ditujukan kembali kepada saya.

"Saya hanya exco sahaja ustaz. Exco Akademik dan Integriti." Ujar saya

"Baguslah, dulu zaman saya dipanggil Dewan Tertinggi Pelajar. Masa itu saya sebagai Timbalan Yang Di-Pertua 1,"

Wah, hebat juga ustaz rupanya.

*********************************************************************************************************

BICARA IKON SISWA: HARAPAN DAN CABARAN TERHADAP NEGARA

Tajuk yang diberikan kepada penceramah untuk disampaikan. Tajuk ini lebih menjurus kepada mahasiswa dan mahasiswi kerana mahasiswa adalah harapan untuk negara. Dalam pada masa yang sama, untuk merealisasikan harapan, cabaran demi cabaran perlu dihadapi. Oleh itu, kita perlu tahu apakah cabaran yang datang agar kita tidak leka dan mengambil ringan.

Dalam ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Badlishah, beliau memulakan muqaddimah bicara dengan memberitahu kami tentang kehebatan orang-orang Yahudi.

Kenapa perlu terangkan kehebatan Yahudi pula?

Hal ini kerana orang Yahudi telah banyak menguasai teknologi dan pembuatan pada hari ini. Anugerah Nobel juga dimenangi oleh orang Yahudi. Sebagai contoh, produk makanan Nestle, McDonald dan sebagainya. Malah media sosial, teknologi komunikasi juga diwujudkan oleh orang-orang Yahudi. Kita memboikot segal produk yang dihasilkan oleh orang-orang Yahudi tetapi yang kita boikot adalah makanan, pakaian sahaja. Bagaimana pula dengan teknologi sedangkan kita tahu teknologi sangat penting pada masa kini.

Asbab orang-orang Yahudi bijak mengusai adalah kerana mereka mengutamakan pendidikan dan ketamadunan.

Hari ini manusia sudah boleh belajar tanpa memerlukan guru. Dengan teknologi sahaja sudah cukup untuk menimba ilmu. Teknologi pada hari ini memudahkan kita untuk menacari sekecil-kecil maklumat. Hanya perlu taip carian maklumat di Google, Yahoo dan sebagainya, maka terpampanglah maklumat yang dikehendaki.

Teknologi memungkinkan segalanya. 

Menurut ustaz Badlishah, ilmu hendaklah diburu, bukan ditunggu. Pada pendapat saya, memang benar ilmu itu ada di mana-mana sahaja. Malah di hadapan kita terdapatnya ilmu. Hanya kita sedar atau pun tidak. Jika ilmu itu datang dengan sendirinya, sudah tentu semua manusia yang terdapat di muka bumi ini bijak pandai. Lahir sahaja ke dunia sudah ada ilmu yang menunggu. Wah, sungguh hebat kalau begitu!

Menurut ustaz, menuntut ilmu kena bijak. Bukan semua ilmu kita perlu terima bulat-bulat. Kalau seseorang itu tidak bijak dalam menuntut ilmu, maka dia akan menjadi seperti orang pada masa lampau. Malah orang seperti ini yang akan mengembalikan dunia ke masa lampau yang tidak tahu apa-apa tentang kemajuan.

Jadilah seperti seekor singa. Kenapa singa boleh memerintah rimba?

Kerana singa mempunyai ngauman yang sangat lantang. Singa juga pemburu tegar. Apabila ingin makan, ia tidak akan menyorok atau menunggu untuk menyerang mangsanya.

Perlunya kita mencontohi singa adalah berani laksana ngauman singa, dan pantang dicabar.

Dalam bicara ikon ini, beliau memberitahu ada beberapa jenis pelajar yang terdapat di universiti:

KUAT BELAJAR TAPI TIDAK BERPERSATUAN

Pelajar seperti ini amat bijak dalam pelajaran tetapi sukar untuk menempuhi dunia pekerjaan lebih-lebih lagi pekerjaan yang banyak melibatkan aktiviti-aktiviti luar. Apabila diminta untuk menjalankan program, mereka tidak tahu dan sukar melakukannya tanpa bantuan. Pelajar seperti lebih sesuai menjadi seorang pengajar seperti guru, pensyarah dan mursyid.

TIDAK KUAT BELAJAR TETAPI KUAT BERPERSATUAN

Pelajar dalam kategori ini selalu dijumpai. Mereka mempunyai banyak kepakaran dan pengalaman dalam menjalankan aktiviti. Akan tetapi mereka akan hilang matlamat sebenar datang ke universiti iaitu belajar dan cemerlang.

BELAJAR 50-50, BERPERSATUAN 50-50 TETAPI KUAT BERNIAGA

Salah satu sifat pelajar yang belajar di universiti. Maklum sahaja di universiti makan minum dan peralatan diri menggunakan duit poket sendiri malah kadangkala pinjaman dan biasiswa yang diberikan tidak mencukupi untuk menampung hidup. Mereka mula membuka perniagaan kecil-kecilan dengan menjual nasi lemak di blok-blok asrama. Saya tertawa tatkala ustaz menyatakan situasi pelajar semasa ustaz masih menuntut di KUSZA. Pelajar pengajian Islam adalah pelajar yang amat suka berniaga dan kontranya ialah pelajar yang mengambil program perniagaan adalah pelajar yang suka menghabiskan masa di surau.

KUAT BELAJAR DAN KUAT BERPERSATUAN

Pelajar seperti inilah yang sepatutnya dicontohi kerana dapat menyeimbangkan masa dan pelajaran.

Saya amat tertarik dengan satu rangkap ayat dari kata-kata beliau:

"Jika hidup ada ilmu, ianya akan jadi mudah. 
Jika hidup ada seni, ia indah. 
Jika hidup ada iman, kita terarah."


Kesimpulan yang dapat saya buat ialah kita perlu cari ilmu itu bukan sahaja di dalam kelas tetapi cari juga ilmu di luar kelas. Pernah dengar kata-kata "Ilmu Allah sangat luas, jika menggunakan tujuh lautan sebagai dakwat pun ianya masih tidak mencukupi untuk ditulis." Maknanya masih banyak lagi ilmu di muka bumi ini yang sebenarnya kita tidak tahu dan perlu dicari.         

MARILAH MEMBURU ILMU!