AIDILADHA - EID MUBARAK!

Sunday, 5 October 2014

Takbir bergema di pagi Aidiladha
Eid Mubarak!

Allahuakbar
Allahuakbar
Allahuakbar
La ila ha illallahu wallahu akbar
Allahuakbar walillahilham

BERGEMA takbir Aidiladha di seluruh pelusuk Malaysia. Buat kesekian kalinya saya menyambut Aidiladha berjauhan dari keluarga tercinta. Berjauhan dari kebiasaan kampung malah berjauhan dari masakan seorang mak. Kali ini Aidiladha disambut bersama rakan-rakan seperjuangan.

            Dalam kesyahduan itu, terdetik di dalam benak fikiran saya ini adalah salah satu ‘perjalanan’ dalam kehidupan saya untuk melihat seberapa banyak dan mendalami serta menghayati kehidupan yang dipinjam oleh Allah S.W.T. Perjalanan melihat suasana luar Johor. Orang kata sambutan Aidiladha di Terengganu dan Kelantan lebih meriah berbanding di negeri-negeri lain. Rakyatnya mengangkat Aidiladha sama dengan Aidilfitri. Itulah yang sering dikatakan kepadaku.

            Usai sahaja solat sunat Aidiladha dan khutbah, saya bersama rakan seperjuangan pergi berziarah ke kampung-kampung melihat suasana Hari Raya Aidiladha. Tidak jauh berbeza dari negeri-negeri lain namun apa yang boleh saya katakan, penduduk-penduduk disini seolah-olah berlumba-lumba membuat qurban. Penonton ibadah qurban juga tidak kalahnya, lelaki, anak muda waima perempuan. Seboleh-boleh ingin melihat lebih dekat ibadah qurban dijalankan. Allahurabbi. Suasana mengagumkan.

          Ibadah Qurban dijalankan oleh pihak Pusat Islam UniSZA.
Terpegun melihat hinggakan lupa berapa ekor sudah disembelih...
Menggunakan kemudahan teknologi yang ada disamping tidak meninggalkan rukun qurban.
         
          Sewaktu saya duduk di cafe asrama, saya memerhatikan gelagat pelajar Nigeria menjamu juadah raya yang mereka masak sendiri. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka menjemput saya dan rakan-rakan untuk menyertai mereka. Bersungguh-sungguh mereka mengajak kami untuk bersama-sama menikmati juadah. Masha Allah! Salah seorang dari mereka, Farouk, duduk bersama kami dan menghidangkan makanan – Nasi yang dimasak menghampiri bubur dan kenyal serta lauk ayam yang dimasak seakan-akan kari. Kata Farouk, itu adalah Co uk – Sejenis lauk ayam yang dimasak dengan lada, rempah dan sayur-sayuran – tampak seperti kari tetapi tiada rasa kari di dalamnya. Kata Farouk lagi, lauk ini tidak dimasak dengan gula. Sungguh lauk ini membuka selera saya.
           
            FAROUK – Master in Business Management, rancak berbual dengan kami sambil menikmati juadah Co uk. Sebagai pelajar antarabangsa, beliau banyak memerhatikan suasana di Malaysia, terutama Terengganu yang kaya dengan Islam. Itu antara perkara yang membuatkannya bangga berada di Malaysia. Tetapi, ada satu perkara yang membuatkan saya tertarik dengan Farouk – mempunyai pemikiran dan pandangan yang sama dengan saya dalam bab industri hiburan. Hanya seorang peminat kartun (anime) dan cerita Jepun sahaja akan faham mengapa Jepun ini penuh nilai moral dalam dunia perfileman. Tak sangka ada juga orang luar yang minat Jepun – bukan sahaja saya. Buka sahaja cerita Naruto, terhambur semua pemerhatian terhadap Jepun. Dahsyat!
           


Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka atas juadah yang mereka kongsikan kepada kami. Namun jawapan salah seorang mereka membuatkan saya terkedu.

“Mister, thank you for the food. Its very delicious.”

“Oh most welcome. But you don’t need to say thank you, because it is your food.”



Hari Raya Aidiladha kali ini sungguh memberi pengalaman baru kepada saya. Secara tidak langsung sebagai seorang pelajar antropologi, saya sebenarnya ingin mengetahui lebih dalam masyarakat dan budaya mereka. Mungkin ini adalah makna di sebalik raya jauh dari keluarga tercinta.

Teruskan laungan takbir. Masih lagi ada waktu untuk mendapatkan pahala di Aidiladha ini. Wallahua’lam.

0 comments:

Post a Comment