KISAH JARI

Wednesday 24 July 2013

Jari...
Engkau sungguh berharga


Sewaktu seluruh anggota badan sedang berehat dan berada dalam keadaan tidak sedar, Telunjuk telah memanggil rakan-rakan seanggotanya yang lain, Ibu Jari, Manis, Kelingking, dan Tengah.

Telunjuk : Hari ini aku ingin nyatakan bahawa hidup aku sangat dihargai.

Ibu Jari : Kenapa pula?

Yang lain hanya terpinga-pinga.

Telunjuk : Tuan Manusia sangat menghargai kewujudan aku sebagai salah satu anggota badan mereka. Setiap hari aku digunakan untuk kebaikan.

Manis : Bagaimana pula? Sedangkan aku juga digunakan oleh Tuan Manusia.

Telunjuk : Cuba kamu lihat setiap hari aku digunakan untuk menunjuk arah, aku terharu apabila aku digunakan semasa tahiyat akhir dalam setiap solat; yang wajib mahupun sunat.

Kelingking: Wah! beruntunglah kamu Telunjuk. Aku selalu digunakan oleh Tuan Manusia untuk membuat janji. Aku merasakan diri ini berguna apabila aku digunakan untuk membersihkan kekotoran yang ada pada tubuh badan Tuan Manusia.

Ibu Jari : Eee! Kamu tidak rasa geli wahai Kelingking?

Kelingking : Bukan geli menjadi persoalan. Tetapi aku bangga dapat berbakti. Bukankah ianya sesuatu yang baik?

Tengah hanya mendiamkan diri dan melihat perbualan rakan-rakan mereka yang lain. Sekali-sekali ia menganggukkan kepalanya.

Telunjuk : Betul kata Kelingking. Kamu Manis?

Manis : Eh, aku sentiasa ditutupi dengan emas, permata, berlian dan barang-barang yang berharga. Tuan Manusia sangat suka memakai cincin dan akulah yang selalu dihiasnya. Bahkan aku juga berguna pada tuan lebih-lebih lagi untuk merasakan makanan.

Ibu Jari : Untunglah kamu Manis. Kerana saiz aku yang agak besar, aku tidak dihiasi dengan apa-apa.

Telunjuk mencuit rakan sebelahnya, Tengah.

Telunjuk : Kenapa kamu senyap sahaja Tengah? Kamu mesti lebih dihargai oleh Tuan Manusia bukan. Ceritalah pada kami.

Kelingking : Ye, Betul tu. Ceritalah.


Jari......
Kenapa perlu negatifkannya?

Sambil menarik nafas, Tengah membuka cerita.

Tengah : Tiada apa yang menarik wahai sahabat-sahabatku. Aku hanya 'diagungkan' sewaktu Tuan Manusia marah dan bergaduh.

Manis : Kenapa pula Tengah? Bukankah kamu lebih menonjol daripada kami? ketinggian kamu berbeza dengan kami. Malah kedudukan kamu seolah-olah menunjukkan kamu ketua kami.

Tengah : Terima kasih jika kamu berpendapat sebegitu. Tetapi kenyataannya aku hanya digunakan untuk menunjukkan isyarat negatif tatkala Tuan Manusia sedang memarahi kawannya.

Telunjuk : Hmm benarkah begitu?

Tengah : Hanya kamu sahaja yang memanggil aku Tengah. Tetapi Tuan Manusia dan manusia yang lain memanggil aku dengan panggilan yang paling aku tidak suka. Hantu. Bukankah ianya negatif?

Kelingking : Benar wahai Tengah. Kasihan kamu. Tidak sangka begitu sekali engkau dipanggil dan dipergunakan.

Ibu Jari : Ini perkara yang tidak patut. Kita diciptakan dari pencipta yang sama. Ini bermakna tujuan penciptaan juga adalah sama, iaitu membuat kebaikan.

Tengah hanya mendiamkan diri.

Manis : Aku bersimpati dengan nasib kamu Tengah. Pada kami, tanpa kamu melengkapi tangan, Tuan Manusia pasti sukar untuk melakukan kerja-kerja seharian. Tanpa kamu, tubuh badan Tuan Manusia tidak sempurna. Bayangkan ketika makan, Tuan Manusia tidak dapat mengamalkan sunnah Nabi memulakan makan dengan tiga jari oleh kerana tiada jari tengah. Bayangkan jika kamu tiada, pasti manusia lain akan menggelar Tuan Manusia ini cacat, orang kurang upaya.

Tengah : Benar. Sesungguhnya Allah menciptakan setiap organ dan anggota yang terdapat pada tubuh badan untuk berbuat kebaikan, melakukan perkara-perkara yang positif. Oleh kerana budaya dan turun temurun yang mewujudkan negatif pada aku, sehingga kini dan sampai bila-bila.

Mereka hanya menggelengkan kepala.


by: Mohamad Qayyum


1 comments:

asl jari anak diam j..hhu :P

Post a Comment