KETAT

Thursday, 6 February 2014



Contoh sahaja.
Ketat seksi pada si pemakai.
Tapi seksa pada yang memandang.


PANAS terik. Matahari seolah sejengkal di atas kepala. Aku melihat jam tangan. Baru jam lapan setengah pagi! Tapi bahang panasnya seperti sudah tengah hari. Pagi ini aku menunggu kaunter tiket bas buka. Turun sahaja di menara jam, aku tekad untuk membeli tiket pulang ke tempat aku belajar usai cuti nanti. Beli lambat takut kehabisan tiket. Aku lebih suka memilih perjalanan malam berbanding pagi. Perjalanan pagi membuatkan aku berasa satu kerugian kerana masa satu hari suntuk aku hanya habis di atas bas, sedangkan macam-macam aktiviti boleh aku lakukan. Waktu malam diperuntukkan untuk tidur, jadi kerja aku hanya tidur sepanjang perjalanan. Selesai.

Aku duduk di dalam kereta sambil menunggu kakak si penjual tiket. Pintu keretaku buka sedikit. Membiarkan angin neutral masuk. Namun, tetap sahaja bahang panas matahari mengetatkan keadaan. Keringat mengalir sedikit demi sedikit. Aduh! Sudahlah memakai baju hitam, haba pasti menyerap. Makin panaslah jawabnya. Seraya aku mengibas-ngibas baju dengan tangan – maka terhasil angin buatan. Terasa sejuk tapi tangan pula penat. Nasib baik baju aku longgar. Mudah untuk mengibas. Cuba kalau ketat, silap-silap boleh koyak.

Sudah menjadi kebiasaan aku memakai pakaian yang longgar dan tidak fit dengan badan. Erti kata lain: tidak ketat. Tidak selesalah. Rasa terseksa tubuh badan. Maklumlah badan aku bukan ‘tough’. Jadi sedar diri itu lebih baik. Tapi aku hairan dengan sesetengah manusia yang suka pakai ketat. Baju ketat. Seluar ketat. Kasut ketat. Tudung ketat (kalau ada). Semuanya ketat. Tidak kiralah lelaki waima perempuan. Sama sahaja. Kalau boleh baju dan seluar itu ngam-ngam dengan badan. Nampak segalanya. Anda selesakah? Aku tengok muka pun ketat semacam.

Ketat. Dulu semasa di asrama aku pernah ‘cutting’ seluar slack yang tidak digunakan dan aku pakai semasa kelas persediaan. Lubang pergelangan kaki sengaja aku kecilkan hingga fit dengan kaki. Lekap. Nampak macam cantik. Kawan-kawan siap kata ‘smart’, ‘cantik’. Tapi hakikatnya, terseksa. Dan menyusahkan apabila nak tukar seluar. Ketat sebiji macam tudung botol yang belum dibuka. Perlukan lebih tenaga untuk membuka.

Bagi perempuan, maaf aku katakan. Aku hairan mengapa perempuan suka ketat. Aku tahu ramai perempuan akan marah. Mereka akan kata ‘kami tak dedahkan aurat. Tudung pakai. Seluar tak singkat.’ Ya. Aku akui itu. Auratmu secara literal telah ditutup. Tetapi bagaimana jika aku katakan auratmu masih terlihat walaupun telah ditutup dengan baju, seluar atau kain dan tudung? Tubuhmu tetap terlihat. Kerana ketat. Sekali aku pandang seperti memakai pakaian yang diperbuat daripada spandex. Tiada beza dengan sut Ultraman. Kau marah jika orang ‘mengata’ tentang tubuhmu. Tapi sedar atau tidak, kau yang telah memulakannya dahulu. Kau marah lelaki giur memandang tubuhmu, tapi kau telah menunjuk-nunjukkannya dahulu. Maaf jika kau marah.

Aku masih duduk menunggu kaunter tiket dibuka. Sudah jam Sembilan suku pagi. Lambat betul hari ini kaunter buka. Sabar sahajalah. Sedang aku memandang ke arah kedai bakso dihadapanku, pandanganku teralih kepada seorang perempuan indon. Kalau tadi aku cerita tentang ketat, dia ini ada tambahan. Ketat ditambah terdedah. Akibat terpengaruh iklan-iklan krim pencerah kulit agaknya. Kulit tetap cerah walaupun terdedah. Kau mungkin berdosa dan hanya membuatkan orang lain juga berdosa. Mungkin.

Kagum aku dengan Banda Aceh. Pegawai Pencegah Maksiat membuat sekatan dan bertindak memberi teguran kepada mereka yang berpakaian ketat dan tidak menjaga aurat. Rasanya kalau di Malaysia dibuat sebegitu, maka ramailah yang akan dapat ceramah ‘free’. Mungkin sebab itu jugalah perempuan Indon ‘berani’ di Malaysia. Mungkin kali kedua. Oh ya! Ini untuk perempuan Islam sahaja ya.

Terpana juga aku dengan perihal Felixia Yap yang berbusana muslimah di dalam kerjanya, malah dipraktikkan di dalam kehidupannya juga. Dia bukan Muslim. Malah bekas model majalah Playboy. Sepatutnya kau lebih malu sebab dia dapat hidayah dulu. Allah bukan sahaja nak tunjukkan Islam itu menjaga pada dia, tapi Allah nak beri peringatan juga kita yang lahir sahaja sudah Islam ini.

Kaunter tiket sudah buka. Aku terus membeli dan pergi dari tempat itu. Muka aku turut ketat.

Lokasi: Sebuah daerah di Selatan Tanah Air.

0 comments:

Post a Comment