#ARTIKEL PILIHAN - GENERASI BERILMU TERAS PEMBINAAN KEPERIBADIAN UNGGUL DALAM ISLAM

Monday 29 July 2013

Abang Khairul Arifin @ Abang Ipin

Oleh : Khairul Arifin Bin Mohd Munir @ Zahari

Generasi muda kini masih dibelenggu dengan krisis kurangnya budaya keilmuan dan keintelektualan yang mana merupakan asas kepada kemajuan dan kepembangunan suatu tamadun. Kejayaan tamadun-tamadun silam yang berjaya mempengaruhi dunia hingga hari ini ialah tamadun yang mampu menghasilkan idea, tulisan, ciptaan dan peloporan dalam sesuatu perkara baru hasil tercetusnya perkembangan ilmu dan keintelektualan. Tamadun Yunani, China, India, Bizantin, Rom, Parsi dan sebagainya amat menyerlah dalam sejarah kerana keterampilan mereka memajukan idea. Lebih-lebih lagi Tamadun Islam amat gemilang sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan.

             Bapak Muhammad Nasir, bekas Perdana Menteri Indonesia mengungkapkan bahawa generasi muda kini khususnya di peringkat kepimpinan dan masyarakat dilanda dengan ketiadaan "inventariasi"'. Ketiadaan inventariasi ini merujuk kepada kekeringan idea dan kemuflisan daya cipta sehingga tidak mampu mengembang dan memanfaatkan potensinya.

             Kata-kata beliau ini ada kebenarannya, apabila kita meneliti senario generasi muda kini ramai yang mempunyai Ijazah, Diploma, sijil-sijil kemahiran dan sebagainya tetapi tidak berupaya untuk memanfaatkan ilmu-ilmu yang diperolehi di menara gading untuk dikembangkan dengan penuh inovasi dan kreativiti. Contoh termudah, ramai graduan-graduan yang mengganggur gagal meanfaatkan potensi diri mencipta peluang-peluang pekerjaan, ada di antaranya masih terbelenggu dengan cara kerja lama dan tidak pro-aktif kerana kekurangan daya kreativiti, inovasi dan mengolah ilmu-ilmu yang telah dipelajari agar sesuai untuk dimanfaatkan kepada realiti semasa.

              Fenomena kegersangan asas keilmuan, kreativiti dan keintelektualan ini khususnya kepada generasi muda menyebabkan kelesuan daya fikir yang akhirnya menyebabkan kegagalan untuk memahami realiti semasa dalam masyarakat kini. Akibatnya lahirlah program-program pembangunan, projek-projek dan aktiviti-aktiviti meliputi soal ekonomi, politik dan sosial yang gagal mengubati "simptom" sebenar yang menjadi puncanya. Banyak tenaga, wang, dan keringat dihabiskan tetapi tiada kesan serta impak disebabkan ketiadaan penyelidikan, kajian serta meneliti masalah yang sebenar.

            Tanpa pengukuhan ilmu yang utuh, umat Islam akan lemah dan terus dijajah walaupun telah mencapai kemerdekaan kerana penyakit yang dinyatakan oleh Malek Binnabi sebagai penyakit "colonsibilite" yang bermaksud suka merelakan diri diperhambakan lantaran daripada jiwa yang lemah. Penyakit ini menyebabkan kita masih terjajah kerana kita meniru segalanya akibat lemah dari aspek pendidikan, keilmuan, pembangunan dan sebagainya.

"Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah. Yang mengajar dengan pena. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah Al-Alaq 96:1 hingga 5)

          Berasaskan kepada surah Al-Alaq, ayat 1-5, ilmu dan segala proses ke arah pembinaannya adalah berpaksikan kepada Tauhid. Pembinaan ilmu dalam konteks ini adalah imu sepadu menjurus kepada pembinaan 3 fakulti yang ada dalam diri manusia iaitu: akal, roh dan jasad.

    Ilmu bukan sekadar mendapat maklumat tetapi kemampuan kita untuk membudaya dan memanfaatkannya. Natijah daripada pembangunan dimensi keilmuan ini akan membawa kepada peningkatan intelektualisme, pemikiran kritis, pembangunan akhlak dan budaya hidup yang akan menjadi cerminan untuk melahirkan generasi yang mampu membina Tamadun Khayra Ummah.

            Dato' Dr. Siddiq Fadhil, mengungkapkan di dalam "Mengangkat Martabat Ummat" (1989), bahawa; Penguasaan terhadap ilmu-ilmu Islam harus serba mencakup, padu dan seimbang, ia bukan penguasaan serpihan "juziyy" atau "partial" yang hanya menumpu kepada kepada fiqhul ibadat/munakahat semata-mata. Perjuangan Islam tidak tegak di tangan orang-orang jahil. Para penggerak Islam perlulah menjadi ilmuan "tafaquh fi 'd-din" di tengah-tengah gelanggang perjuangan sebagaimana yang disarankan oleh Syed Qutb dalam menafsirkan ayat 122 Surah At-Taubah:

Maksudnya: Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang Mu'min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya supaya mereka itu dapat menjaga dirinya. (Surah At-Taubah:122)

          Pencarian ilmu tidak terbatas kepada mambaca dalam skop kursus tertentu, bidang akademik tertentu atau di atas faktor orientasi peperiksaan (exam oriented). Ia perlu diperluaskan kepada pelbagai disiplin keilmuan. Tidak semestinya seorang jurutera atau akauntan tidak boleh menjadi pendakwah dan mendalami ilmu-ilmu agama. Kita wajar menjadikan ulama' dan tokoh-tokoh silam seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Al-Khawarizmi, Ibnu Khaldun dan ramai lagi yang mempunyai asas-asas ilmu agama yang kukuh di samping menjadi tokoh perubatan, sains dan ilmuan ulung yang diiktiraf seantero dunia.

          Justeru itu aktiviti pemugaran budaya ilmu seperti; Membaca, Memahami dan Menghayati Al-Quran & Sunnah - Pembacaan buku-buku, makalah, jurnal dan majalah yang bercorak ilmiah dan pelbagai dari segi maklumat, perlulah diperluaskan. Generasi muda tidak harus membataskan pembacaan kepada aspek akademik atau bidangnya semata-mata tetapi meluaskan pembacaan dalam bidang-bidang lain disamping dalam masa yang sama menghadiri majlis-majlis ilmu dengan berguru, menghadiri kuliah-kuliah dan kumpulan perbincangan. Selain daripada membaca, proses percambahan minda boleh diperluaskan kepada diskusi buku dan melibatkan diri dalam bidang penulisan dalam bentuk rencana, makalah, artikel, cerpen, novel dan pelbagai genre penulisan yang lain. Penggunaan teknologi elektronik terkini seperti melayari internet, diskusi maya dan e-mail perlulah dimanfaatkan secara positif sepenuhnya oleh generasi muda.

*Artikel ini pernah disiarkan dalam beberapa suratkhabar dan majalah di Malaysia. Dipetik juga daripada ceramah Kem Pemantapan Daie Muda 2013.    

0 comments:

Post a Comment