KONTEMPORARI: BINA KETERBUKAAN MINDA

Saturday, 7 September 2013

 Warna-warni yang memberi idea baru dalam pemikiran manusia


'Open Minded'
'Minda Terbuka'

Istilah ini selalu kita dengar, jumpa dan lihat dalam kerja, pembelajaran serta aktiviti seharian kita. Dalam konteks pembelajaran, ianya diperlukan bertujuan untuk menerima pelbagai topik-topik baru malah perkara-perkara yang kadangkala 'aneh dan memalukan' bagi kita. Contohnya dalam sains atau biologi, topik pembiakan atau 'reproduction' manusia adalah topik yang memalukan terutama bagi pelajar perempuan. Inilah hakikat pada awalnya kerana tajuk ini mendedahkan mereka tentang sistem pembiakan lelaki dan perempuan dan juga penghasilan anak atau 'offsping'. Persepsi awal mereka ialah;

"Eii, apa ada tajuk ni? Malulah,"
"Tak senonoh betul subjek ni,"

Tetapi apabila dalam peperiksaan, tajuk inilah yang menjadi tajuk popular untuk pelajar menjawab soalan kerana mudah untuk mengingat. Dalam tajuk ini sebenarnya telah mengaplikasikan konsep minda terbuka kepada para pelajar supaya mengetahui kepentingan kedua-dua organ pembiakan yang berbeza dari sudut sains.
________________________________________________________________________
 
Persepsi, pemikiran dan ideologi.

Ianya perlukan kontemporari atau kepelbagaian. Selagi mana tidak melanggar hukum-hukum syarak dan tidak membelakangkan dua sumber utama umat Islam; Quran dan Sunnah, ianya perlu. Seiring dengan arus pembangunan dan pemodenan masa kini.

Hal ini kerana manusia telah mengalami evolusi dari pelbagai segi. Pemikiran, pemakaian, pekerjaan, mahupun sesi pembelajaran. Tidak semua manusia terutama umat Islam itu sendiri dapat menghirup hembusan syariat Islam dan mempraktikkan Islam itu sendiri di dalam dirinya dek kerana pengaruh luar yang telah bermaharajalela. Tiupan barat telah berjaya mempengaruhi segenap kehidupan kita. Bagi insan yang tidak kuat pegangannya, dengan mudah mereka akan bergoyang mengikut tiupan itu.

Kontemporari dari sudut bahasa adalah alaf baru. Dalam erti kata lain sesuatu yang baru tetapi masih mengekalkan elemen asal. Seperti contoh mudah yang saya boleh ambil ialah syair, pantun dan sajak. Puisi yang sekian lama menjadi tradisi Melayu ini boleh kita lihat telah di-kontemporari kan dari sudut penggunaan bahasa dan perkataannya yang moden. Bertujuan untuk menarik minat anak-anak muda agar tidak hilang dari tradisi ini serta memberi maksud baru dalam arus kini.

Persepsi, pemikiran dan ideologi yang kontemporari perlu dalam Islam agar dapat menarik dan memberikan kesedaran kepada anak-anak muda khususnya generasi Y ke arah yang lebih baik. Sebagai contoh, bagaimana hendak menarik minat golongan muda agar mendekati masjid? Bagaimana hendak menjauhkan anak-anak muda dari zina? Jika persepsi, pemikiran dan ideologi yang digunakan hanya berkonsepkan sindiran, cacian dan negatif, maka hati mereka akan tertutup dek semangat yang hilang untuk berubah.

Persepsi, pemikiran dan ideologi yang kontemporari juga perlu untuk membuka minda kita dan membebaskan diri dari sifat kejumudan. Adakah seorang peguam yang arif tentang perlembagaan dan undang-undang tidak boleh mendalami ilmu agama? Fikirkan jika seorang peguam sivil yang hebat dalam undang-undang manusia ini dapat mengubah dunia dengan mempraktikkan bersama hukum dalam Islam dek kerana kontemporarinya mendalami dan menghayati ilmu agama. Begitu juga dengan seorang Ustaz yang mahir dalam ilmu agama. Jika beliau juga mendalami ilmu komputeran, ia akan menjadi satu kelebihan dalam medan menyampaikan dakwah.

Realiti pada hari ini ramai dalam kalangan kita telah menyempitkan persepsi, pemikiran dan ideologi mereka sehinggakan jika fakta mengatakan sebegini, situasi juga mesti begini. Tidak boleh bercanggah walaupun kita boleh mengubahnya. Hiburan dibolehkan di dalam Islam selagi mana ianya tidak melalaikan. Zaman ini hiburan adalah subjek penting dalam kehidupan manusia. Pada mereka, hiburan merupakan medium untuk menghilangkan stress, menenangkan jiwa dan sebagainya. Manusia yang bijak akan mengambil inisiatif menjadikan hiburan salah satu medium untuk berhibur bersama orang lain dan menyelitkan unsur-unsur nasihat, keagamaan dan tarbiyah dalam usaha menarik minat mereka mendekati Allah.

Di samping itu juga, persepsi, pemikiran dan ideologi yang kontemporari ini dapat memberikan kita pandangan yang sangat luas dalam situasi-situasi tertentu. Suatu jawapan yang jelas lagi nyata akan terpampang jika kita tidak hanya memandang kepada sesuatu perkara malah kita sendiri akan berfikir tentangnya dengan lebih mendalam dan intelektual. Memandang kepada satu situasi sahaja tanpa memberikan laluan untuk melihat situasi yang lain tetap akan memberikan jawapan. Tetapi jawapan yang diperolehi hanyalah jawapan yang berat sebelah malah kadangkala ianya akan membuatkan jawapan itu kontra dan lebih negatif dari positif kepada situasi yang satu lagi. Tidak hairanlah jika ramai yang mempunyai persepsi dan pemikiran yang negatif malah berlandaskan emosi dek kerana tidak berjaya meluaskan mindanya.

Sebagai manusia yang hebat, mempunyai akal pemikiran yang mantap, kontemporari dan keterbukaan menjadi elemen tambahan dalam mencetuskan idea-idea baru. Malahan ianya juga mampu memberikan nafas yang segar dalam usaha meniupkan tarbiyah Islamiyah dalam kalangan anak-anak muda yang tersasar jauh. Sama-samalah kita berfikir selagi ianya tidak jauh dari Islam.

0 comments:

Post a Comment