MUHAMMAD: IDOLA SEPANJANG ZAMAN

Tuesday, 14 January 2014




Jom Selawat ke atas Nabi
Inginkan Syafaat apabila di akhirat?
Banyakkan selawat

اللهم صل على محمد وعلى آل سيدنا محمد، كما صليت على إبراهيم وعلى آل إبراهيم، وبارك على محمد وغلى آل محمد، كما بركت على إبراهيم وعلى آل إبراهيم، فى العالمين إنك حميد مجيد.

“Sesiapa yang mengucapkan selawat ke atas ku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/ketinggian (di syurga kelak)” Hadith Riwayat An-Nasai.

12 Rabiul Awwal Tahun Gajah yang bersamaan dengan 571 Masihi, telah lahir seorang dari kalangan Bani Quraisy untuk dijadikan Nabi dan Rasul yang terakhir. Yang membawa Islam dan kesejahteraan kepada jagatraya. Diberi nama Muhammad bin Abdullah, baginda dilahirkan di dalam kalangan keluarga bangsawan Quraisy Mekah. Bapanya Abdullah bin Abdul Muttalib, merupakan keturunan bangsawan Abdul Muttalib yang berpengaruh di Mekah. Ibunya Aminah binti Wahab. Perkara asas dalam mengetahui sirah Rasulullah S.A.W.

Maulidur Rasul bukan sahaja mengingati sirah kelahiran Rasulullah, mukjizat yang diterima oleh Rasulullah, dan hijrah Rasulullah. Berselawat kepada Rasulullah merupakan salah satu cara untuk mengingati baginda, malah pahalanya sepuluh kali ganda!

Bagaimana dengan tarbawi yang disemaikan oleh baginda?

Sunnah yang diajar baginda?

Sifat kepimpinan nubuwwah yang ditunjukkan oleh baginda?

Nasihat-nasihat Baginda?

Adakah kita mengetahui, mengingati malah mengamalkannya?

Cintakan Rasulullah bukan sahaja dengan berselawat. Bukan sahaja dengan perarakan. Mempraktikkan segala ajaran Rasulullah dan mengamalkan adalah salah satu bukti kita benar-benar cintakan Rasulullah.
Sunnah yang diajarkan nabi sangat banyak dan meliputi seluruh ruang lingkup kehidupan kita. Berawal dari bangun tidur sehingga kembali memejamkan mata.  Saya pernah membaca sebuah blog yang menyenaraikan 100 sunnah nabi dalam kehidupan. Setiap perlakuan seharian kita ada sunnahnya. Bangun tidur, makan, berjalan atau bermusafir, tidur, ziarah, mandi dan sebagainya. Dikatakan siapa yang mengamalkan sunnah Rasulullah, pahalanya ibarat pahala seratus orang mati syahid.

Sebagai contoh, ketika makan, selepas membaca doa makan, disunatkan memakan buah-buahan terlebih dahulu. Memulakan suapan pertama dengan tiga jari dan sebagainya.

Perjalanan hidup Rasulullah banyak menonjolkan sifat-sifat kepimpinan yang sepatutnya diamalkan oleh kita. Siddiq, Tabligh, Amanah, dan Fathanah yang menjadi sifat Rasulullah sebenarnya mengaplikasian atau contoh kepada kepimpinan Nabi Muhammad.

Siddiq (Benar) dan Tabligh (Menyampaikan) ditonjolkan oleh Rasulullah dengan berkata perkara-perkara yang benar tanpa sebarang pendustaan. Walaupun tahu sukar untuk kaum ketika itu menerima Islam, berkata tetap berkata benar tentang Islam. Mengajak menyembah Allah. Dibaling batu dan najis tidak menjadikan baginda lemah. Baginda tetap menyampaikan tanpa keluhan.

“Berkatalah benar walaupun ia pahit”
“Sampaikanlah walau sepotong ayat”

Amanah (Jujur/Amanah) dan Fathanah (Kebijaksanaan) yang dipaparkan oleh Rasulullah sepatutnya menjadi ikutan oleh kita. Baginda tetap amanah menyampaikan kata-kata Allah tanpa sebarang prejudis. Tanpa sebarang alasan untuk menolak. Disamping itu juga baginda perlu berhadapan dengan kaumnya yang pasti akan menentang amanah Allah yang ingin disampaikan kerana mereka tidak menerima Islam ketika itu. Kebijaksanaan ini ditunjukkan dengan cara baginda menjawab persoalan yang dilontarkan, tidak memulakan perbalahan dan tutur laras bahasa yang membuatkan orang lain sejuk hatinya.

Baginda banyak memberi nasihat seperti yang ditunjukkan di dalam khutbah-khutbah baginda. Pemimpin dan kepimpinan, kematian dan kubur, jihad dan sebagainya. Kita juga boleh melihat kembali nasihat-nasihat yang disampaikan oleh Rasulullah di dalam hadith-hadith sahih yang diriwatkan oleh imam-imam.

Natijahnya, cintakan Rasulullah bukan dengan kata-kata, tetapi bagaimana kita mengaplikasikan cara kehidupan Rasulullah dalam kehidupan kita. Mari sama-sama kita perincikan kembali setiap perjalanan sirah Rasulullah supaya kita tahu dengan lebih dalam mengenai baginda.

“Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas nabi. Wahai orang beriman, berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkan salam penghormatan kepadanya.” – Surah Al-Ahzab: 56.

0 comments:

Post a Comment