#ARTIKEL - 40-AN, 50-AN YANG JATUH DALAM KESEDIHAN

Saturday, 16 March 2013

Dalam umur sebegini, adakah kita akan merasa kebahagiaan atau kesedihan semata-mata?

Rancanglah sesuatu yang baik pada masa umur kamu masih muda.


Saya ingin berkongsi kepada anda satu artikel yang ditulis oleh Hilal Asyraf, seorang novelis islamik yang amat saya kagumi di laman sesawangnya. Sewaktu saya membaca artikel ini, saya mula berfikir sejenak mengenai kehidupan kita. Tentang kehidupan yang sedang kita lalui dan akan kita hadapi. InsyaAllah dengan perkongsian ini kita dapat muhasabah diri agar hidup kita lebih bermakna dengan mengikut suruhan Allah. Amiin.

__________________________________________________________________________

Penulis: Hilal Asyraf
Sumber: http://langitilahi.com/

Tahukah kita akan berada di akhirat berapa lama?

Selama-lamanya.

Tahukah anda berapa lama kita akan hidup di atas dunia ini?

Katalah paling kuat pun sekitar 80 tahun. Kalau lebih itu, bonuslah kiranya.

Bila kita bandingkan selama-lamanya dengan 80 tahun, di manakah harganya 80 tahun yang kita lalui?

Ya. Tiada harganya, kerana 80 tahun akan lesap dimamah ‘selama-laman’nya.

Jika kita memilih untuk hidup dalam 80 tahun yang penuh susah payah, kemudian dianugerahkan syurga abadi, kita akan rasa betapa susah-payah 80 tahun itu langsung tidak ada apa-apa makna dengan nikmat syurga yang kekal abadi. Kita akan rasa lega, kita memilih untuk bersusah payah menjadi hamba Ilahi yang baik selama 80 tahun, kerana sekejapnya 80 tahun itu, dibalas dengan syurga yang nikmatnya jauh melangkaui kesukaran kita di dunia selama 80 tahun.

Jika kita memilih untuk hidup dalam 80 tahun yang penuh dengan senang lenang kerana tidak mentaati Tuhan, tidak perlu hidup dalam peraturan, kita buat apa kita suka, kita akan rasa betapa ruginya kita bersenang lenang 80 tahun itu, apabila dibalas dengan neraka yang kekal abadi. Kita akan rasa menyesal, kita memilih untuk melupakan Allah, ingkar kepadaNya, merasakan selama ini peraturan Islam itu payah dan sukar, lantas memilih untuk menderhakaiNya selama 80 tahun. Kerana sekejapnya 80 tahun itu, dibalas dengan neraka yang azabnya tidak terkata, membuatkan kita tahu betapa tidak bermaknanya 80 tahun penuh senang lenang yang kita kecapi di dunia.

Menjadikan Umur Kita Umur Bermakna.

Umur adalah perkara yang tidak akan kembali. Walau kita lolos sesaat, sesaat itu tidak akan datang semula kepada diri. Kerana itu, apabila membicarakan kerugian manusia, Allah bersumpah dengan masa:

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian.” Surah Al-’Asr ayat 1-2.

Maka adalah sepatutnya kita melihat semula apa yang kita telah gunakan, dan akan gunakan, dengan masa kita?

Apakah perjalanan yang kita telah pilih, dan akan pilih, merupakan sesuatu yang bermanfaat atau sekadar sesuatu yang akan kita sesalkan?

Adakah kita ini jenis bijak mengambil pengajaran, apabila telah tersilap kita akan melakukan perubahan.
Atau adakah kita ini sekadar yang tidak peduli, asal duit masuk dalam poket, asal ada rumah untuk berlindung, asal dapat ketawa, asal dapat menghiburkan hati semata-mata? Kemudian pada umur 40-an, 50-an, kita akan terpaku dengan penyesalan – apakah yang telah selama ini aku lakukan?

Di Atas Jalan Dakwah Juga, Akan Timbul Rasa Tidak Bermakna.

Kadangkala di atas jalan dakwah sendiri, jalan yang dirasakan penuh dengan amalan kebaikan, saat masa, harta, jiwa raga dikorbankan untuk menegakkan kalimah Allah SWT yang tinggi.

Tetapi dek kerana perancangan yang silap, cara yang tidak kena, strategi yang tidak mapan, maka sampai masanya nanti, kala umur di hujung usia, diri akan diulit dengan penyesalan.

“Apa yang aku buat selama ini?”

Tidak dinafikan, dengan niat yang baik dan cara yang tidak menyalahi syara’, tetap diri mendapat pahala. Namun biasalah manusia, makhluk yang punya emosi, dia akan melihat semula dirinya. Mungkin dilihat dakwahnya tidak berkembang, atau mungkin jiwanya diserang dengan asakan takabbur, riya’, ujub dengan apa yang dicapainya, atau mungkin dirasakan segala pencapaiannya itu sia-sia kerana tidak membawa perubahan kepada masyarakat, atau dia melihat dia masih berseorangan dalam melayari perjuangan(bermakna dakwahnya tidak melahirkan pelapis). Semua itu membawa dirinya  mempersoalkan semula perjalanan dakwahnya, perjalanan hidupnya.

Ke mana perginya duit, masa, dan jiwa raga yang dikorbankannya?

Perasaan ini sama ada akan dijawab dengan pemberontakan(menyalahkan terus segala teknik dakwah yang pernah diguna pakai, mengkritik habis-habisan pelbagai teknik dakwah), atau dijawab dengan perubahan metod di saat akhir, dan berusaha memperbaiki mana kesilapan yang sempat dengan cara meninggalkan pelapis-pelapis yang memahami.

Pilihan jawapan terletak pada diri.

Namun ya, itu untuk orang yang menghadapi situasi ini. Bagi yang belum, bagi remaja dan pemuda seperti saya, apakah kita memilih untuk menjadi seorang tua berumur 40-an, 50-an, yang penuh dengan penyesalan-penyesalan?

Semenjak Muda Memahami Realiti, Semenjak Muda Punya Strategi

Saya sendiri tidak mahu menjadi manusia yang berumur 40-an, 50-an, 60-an, yang kemudian jatuh dalam kesedihan dan penyesalan yang menggunung tinggi. Bebanannya, hanya Allah sahaja yang mengetahui. Menyesali umur-umur yang tidak akan sesekali kembali, Allahuakbar. Kalau saya sendiri merenung umur 24 tahun saya yang telah berlalu pun saya tidak dapat menanggung rasa kesedihannya, apatah lagi hendak melihat 40 tahun, 50 tahun, 60 tahun yang telah disia-siakan. Pasti lebih hebat tekanan emosi dan deritanya.

Maka saya memilih untuk tidak menjadi orang tua yang tenggelam dalam penyesalan dan kesedihan. Lebih buruk, orang tua yang langsung tidak punya penyesalan walau hidupnya telah disia-siakan.

Saya mahu memilih menjadi seorang tua yang riang dengan kehidupan yang telah dilaluinya. Bukan kerana kehidupannya senang lenang, tetapi kerana dia puas dengan mengharungi segala cabaran dan dugaan yang ada, disebabkan pada umurnya 40-an, 50-an, 60-an, dia sudah punya aset kebaikan yang besar, yang boleh dibawa pulang untuk bertemu dengan Tuhannya. Projek-projek dakwah yang telah berkembang, kader-kader dakwah yang telah dibina untuk bekerja bersamanya dan menggantikannya, dan masyarakat yang mula membangun menjadi bijak serta sedar akan makna kehidupan yang sebenarnya.

Saya mahu menjadi orang tua itu.

Maka semenjak mudalah perlu disuntik realiti ini, menjadikannya sebuah impian dan cita-cita.

Semenjak mudalah kita perlu belajar melaksanakan kerja secara berstrategi, bukan buat ikut suka semata-mata.

Semenjak muda jugalah kita perlu mendidik diri agar mampu bekerja berkumpulan, dan belajar bagaimana mempertingkatkan pula orang lain agar mampu bergerak bersama-sama kita.

Penutup: Umur, Biar Ia Bermakna.

Umur ini biarlah ianya bermakna. Jangan sudah berlalu pergi, baru kita mahu rasa segalanya sia-sia. Menyesal nanti tidak bermakna, kerana umur tidak akan kembali kepada kita.

Semenjak muda jadilah yang punya perancangan yang jelas, dan belajarlah menjadi orang yang kerap bermuhasabah.

Jangan suka bergerak sendiri, tetapi bergaul lah dengan orang-orang soleh dan baik, serta mencari rakan yang mampu bersama kita, dalam melakukan perubahan dan peningkatan yang lebih baik seterusnya.
Kita cuci diri dari menghabiskan masa dengan dosa.

Kita jauhkan diri dari sibuk buat kerja yang sia-sia.

Biarlah semenjak muda kita didik diri untuk menghabiskan masa dengan gerak kerja yang berkualiti, dengan amal-amal yang dikira oleh Ilahi.

Semenjak muda ini, selagi masa dan usia masih belum banyak yang lolos. Kita jaga, kita perhati, kita susun, kita berstrategi.

Pastikan, jangan kita menjadi orang tua yang penuh dengan penyesalan nanti.

0 comments:

Post a Comment