EVOLUSI MANUSIA DAN TELEFON

Friday, 22 March 2013

Evolusi manusia dan telefon adalah sama
Begitu juga evolusi iman kita


Saban tahun teknologi mengalami kemajuan yang sangat pesat. Pelbagai alatan elektronik telah tercipta bertujuan untuk memudahkan lagi kehidupan seharian manusia. Setiap hari akan ada penciptaan baru tidak kiralah dari bidang komunikasi, automotif mahupun pembangunan. Kepesatan kemajuan teknologi ini telah memberikan satu nafas baru kepada dunia moden. Hasil idea kreatif si pencipta telah membantu orang ramai di dunia untuk terus memajukan diri di samping membangunkan ketamadunan manusia.

Suatu ketika dahulu manusia sukar untuk bergerak pada jarak yang jauh. Mereka memerlukan masa berhari-hari untuk bergerak ke satu destinasi dengan menggunakan khidmat tenaga dari haiwan seperti kuda, unta dan sebagainya. Sehinggakan mereka terpaksa berhenti berehat untuk mengembalikan tenaga yang hilang sewaktu berjalan. 

Kemudian tercipta kenderaan seperti basikal dan kenderaan yang menggunakan. Tetapi masih lagi tidak efektif dan memerlukan tenaga manusia yang sangat banyak. Maka terhasillah idea untuk mencipta satu kenderaan oleh Carl Benz yang kini menjadi pemilikan ramai manusia. 

Sedikit demi sedikit kenderaan ini berevolusi sehingga menjadi kenderaan pelbagai jenis. Jenis sedan, aerobik, kompak, 4WD, dan sebagainya. Berbanding dahulu kenderaan-kenderaan seperti ini hanya dimiliki oleh golongan-golongan bangsawan atau kaya sahaja tetapi kini sesiapa sahaja boleh memilikinya.

Dalam bidang komunikasi, dahulunya amat sukar untuk berhubung dengan jarak yang jauh. Kadangkala kita tidak dapat mengetahui berita tentang saudar mara kita yang tinggal berjauhan. Khabar mereka, keadaan mereka malah wajah mereka. Lebih-lebih apabila sudah bertahun tidak berjumpa.

Akhirnya telah tercipta sebuah alat komunikasi yang dipanggil telegraf oleh Alexander Graham Bell. Alat ini semakin lama telah mengalami satu evolusi menjadi telefon. Dahulu belum wujudnya telefon bimbit, telefon yang boleh dibawa ke mana sahaja. Hanya sebuah telefon yang diletakkan di sudut-sudut tertentu dan pengguna hendaklah memasukkan syiling untuk mendail nombor yang diingini.

Evolusi ini bukan sahaja terdapat pada alat atau gajet elektronik. Malah manusia juga mengalaminya.

Manusia telah mengalami pelbagai evolusi dari aspek pakaian, gaya hidup malah pemikiran. Dalam aspek pemakaian, evolusi ini lebih terlihat pada kaum hawa.

Kenapa?

Saya mengambil salah satu ini agar mudah untuk difahami evolusi manusia dahulu dan kini. Dahulunya kaum-kaum hawa memakai pakaian yang labuh seperti jubah, baju kurung dan sebagainya. Tudungnya juga menutupi bahagian dada. Setelah berlakunya evolusi, maka hari ini kita lihat kaum hawa masih lagi mengekalkan pemakaian jubah dan baju kurung, tetapi ketat sehingga menampakkan susuk tubuh badan. Tudung juga begitu. Pelbagai jenis tudung telah terhasil kerana fesyen masa kini. Ada yang pendek tidak menutupi dada, tudung sarung, selendang dan sebagainya. Malah ada yang lebih berani. Tidak bertudung! Mendedahkan aurat mereka sana sini walhal mereka adalah Muslim.

"Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya"
                                                                                                                  (An-Nur:31)

Begitu juga evolusi dalam pemikiran. Lihatlah betapa banyak pemikiran yang dibawa oleh cendekiawan, bijak pandai tidak kira Islam atau tidak. Sejak zaman sahabat lagi sudah timbul idealisme dan pemikiran yang berbeza dalam kalangan mereka. Pada dasarnya ia bagus untuk membuka minda antara satu sama lain lebih-lebih lagi dalam isu perbahasan. Akan tetapi ada juga yang cuba membawa masuk pemikiran yang songsang sehingga boleh mempengaruhi akidah orang Islam terutamanya dan merosakkan anak bangsa. Seperti yang dilakukan oleh Yahudi.

Adakah iman kita juga berevolusi?

Saya mengambil contoh persamaan antara manusia dan telefon setelah melihat situasi pada hari ini.

Pada awalnya telefon dicipta dengan saiz yang besar dan menggunakan syiling untuk berhubung. Kemudian berevolusi menjadi telefon yang boleh dibawa ke mana sahaja dan waktu menggunakan kad prepaid. Telefon Bimbit. Gelaran yang diberikan kepada telefon tersebut. Masih saya ingat ibu saya juga pernah menggunakan telefon bimbit tersebut. Ianya bersaiz besar seperti 'walkie talkie' dan mempunyai antena.

Sedikit demi sedikit reka bentuknya berubah menjadi semakin kecil dan kecil sehinggakan boleh mencapai saiz sekecil tapak tangan manusia. Sungguh ajaib!

Bukan sahaja saiznya berubah menjadi semakin kecil malah ketebalan telefon tersebut juga mengalami evolusi. Dahulu telefon bimbit tersebut membuat tangan kita tidak cukup untuk menggenggamnya tapi hasil evolusi telah menjadikan telefon yang dahulunya tebal menjadi nipis. Senipis 6.65 milimeter pun ada.
 
Teknologi hari ini telah berjaya mencipta telefon bimbit lutsinar. Sekali pandang tidak mungkin kita akan tahu bahawa itulah telefon bimbit. Bayangkan tiba-tiba kawan kita sedang memegang sesuatu dan diletakkan di telinga. Tetapi dalam masa yang sama dia sedang berbual. Pelik bukan? Rupa-rupanya dia memegang telefon bimbit lutsinar.

Telefon bimbit pada masa kini amat berbeza dengan dahulu. Pelbagai penambahbaikan telah dilakukan sehingga telefon bimbit itu seperti informasi poket dan bergerak. Dahulu telefon dicipta hanya boleh telefon sahaja. Kemudian ia ditambah penggunaannya dengan sistem pesanan ringkas (SMS). Kini, bukan sahaja telefon telah digabungkan dengan kamera, malah internet juga.

Ajaibnya telefon bimbit masa kini, ia dapat menerima bermacam-macam aplikasi. Malah boleh memuatkan video dan lagu di dalamnya. Seolah-olah telefon bimbit peti simpanan. Jika tidak perlu hanya tekan 'delete' sahaja.

Teknologi hari ini telah berjaya mencipta telefon senipis ini.
Adakah iman kita juga begini nipisnya?

Apa pula kaitan dengan iman manusia.....

Iman manusia pada hari ini telah berevolusi sama seperti telefon bimbit.

Mengapa?

Dahulunya manusia mempunyai tahap keimanan yang sangat tinggi. Kita lihat pada zaman Rasulullah dan zaman para sahabat, bagaimana tahap keimanan dan ketaqwaan mereka kepada Allah.

Subhanallah. Sungguh mengagumkan.

Iman orang Islam pada waktu itu sungguh tebal dan tinggi. Sukar untuk mereka menerima anasir-anasir luar yang boleh merosakkan keimanan mereka. Malah mereka kuat menghadapi ujian yang diberikan oleh Allah. 
Seperti telefon bimbit zaman dahulu yang tebal dan besar, begitu jugalah tahap keimanan orang Islam.

Kemudian iman manusia berevolusi sedikit demi sedikit. Dari iman yang dahulunya tebal dan besar, manusia semakin leka dan alpa dengan dunia sehingga menjadikan iman itu mengecil dan menipis malah mungkin lebih nipis dari telefon bimbit 6.65 milimiter kenipisannya. Hal ini telah bersebabkan kelekaan manusia mengejar dunia dan mengecapi kemewahan lantas menjadikan kemewahan itu sebagai gaya hidup mereka. Tidak hairanlah ramai manusia mudah terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang dibawa untuk merosakkan akidah dan akhlak manusia.

Jika telefon bimbit telah berjaya diciptakan dalam bentuk lutsinar, maka iman manusia pada hari ini begitu juga. Lutsinar yang cuba ditunjukkan di sini ialah 'hilang'. Hilang dari pandangan mata. telah berevolusinya iman manusia itu sehinggakan bukan turun naik, malah keluar masuk.

Pagi beriman, petang kufur. Pagi kufur, petang beriman. Paling ditakuti ialah pagi dan petangnya kufur.

Manusia pada hari ini juga mudah menerima apa sahaja perkara yang dibawa masuk dan terikut. Sama seperti telefon bimbit yang mengizinkan banyak penggunaan aplikasi sehingga boleh mencantikkan telefon bimbit tersebut. Manusia juga begitu. Menerima apa sahaja yang disuapkan dengan tujuan dapat mencantikkan diri, dapat menyeronokkan diri dan sebagainya. Seperti hiburan yang melekakan dan fesyen yang tidak mngikut syariat. Kerana cantik, manusia terpedaya. Diri manusia itu sendiri ibarat peti simpanan. Menyimpan pelbagai perasaan dan emosi. Jika tiada iman, maka dendam dan prasangka akan men'delete'kan kebaikan.

Dalam satu hadith ada menyatakan:
Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi S.A.W bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia lebih mencintaiku daripada bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya."

Oleh itu, sebagai penutup, marilah sama-sama kita fikirkan tentang iman kita. Berusaha agar iman kita berevolusi kepada yang lebih baik.

0 comments:

Post a Comment