MUSIM PEPERIKSAAN SEMAKIN HAMPIR!

Friday, 15 March 2013

 "MARI MENUJU KEJAYAAN DI DUNIA DAN AKHIRAT"


Lagi beberapa hari sahaja yang tinggal untuk menghadapi peperiksaan akhir semester bagi pelajar diploma. Tidak sangka masa berjalan begitu pantas. Sebagai seorang pelajar, perkataan “peperiksaan” sudah menjadi kebiasaan kerana kita telah melaluinya bermula dari sekolah rendah lagi. Ujian bulanan, Peperiksaan Akhir Tahun, UPSR, PMR, SPM, STPM, ujian dalam kuliah, kuiz, hinggalah peperiksaan akhir semester yang akan ditempuhi beberapa hari sahaja lagi. Para pelajar sebenarnya sudah lali dengan peperiksaan tetapi debaran tetap ada dalam hati kerana setiap peperiksaan yang dilalui mempunyai cara yang berbeza. Pastinya soalan juga berbeza.

              Rasa debaran selalu muncul tatkala menghadapi peperiksaan walaupun sudah banyak kali berhadapan situasi ini. Sebabnya adalah kita tidak mengetahui soalan yang bakal keluar dan bagaimana tahap kita untuk menjawabnya. Adakah kita faham soalan? Adakah cukup masa untuk menjawab? Adakah boleh kita menjawabnya? Maklumlah bukan setiap peperiksaan kita akan soalan yang sama malah topik yang sama.

              Selama aku menghadapi peperiksaan dalam hidup bergelar sebagai seorang pelajar, peperiksaan dalam universiti adalah peperiksaan yang penuh dengan “teka-teki” atau selalu orang panggil “trick”. Bayangkan walaupun soalan nampak sahaja pendek, tetapi jawapan yang diperlukan lebih daripada satu. Ada juga soalan yang mengelirukan kita untuk menjawab lebih-lebih soalan esei yang memerlukan penyelesaian.

“Eh, soalan ni nak berapa jawapan?”

“Soalan pendek, tapi 30 markah”

“Soalan apakah ini?”

             Pertanyaan inilah yang selalu keluar dalam benak fikiran tatkala membuka kertas soalan. Tetapi aku sedar satu perkara, iaitu soalan-soalan yang dikeluarkan mengelirukan, kepastian untuk menjawab panjang atau pendek adalah berdasarkan markah yang tertera setiap hujung soalan. Kalau 10 markah, mungkin pendek sahaja. Kalau tertulis 30 markah, maknanya aku perlu mengerah otak untuk mengingat kembali “point” yang terdapat dalam nota sewaktu pembelajaran.

             Dalam menghadapi peperiksaan, ada beberapa perkara yang perlu diambil serius seperti doa, usaha, iktiar atau istiqamah dan juga tawakkal. Atau dipendekkan D.U.I.T. Selalu dengar bukan? Jika hanya berdoa tanpa usaha, tidak akan membuahkan hasil. Seperti orang yang mengharapkan pokok bunga tumbuh tapi tidak letak benih langsung. Bila hanya usaha setiap masa tetapi tidak pernah berdoa, hasilnya ada tetapi tiada keberkatan dan Allah sudah menyatakan bahawa orng yang tidak pernah meminta kepada-Nya adalah orang yang sombong.

             Kenapa pula perlu ikhtiar dan istiqamah. Jawapannya mudah. Supaya kita tidak ragu-ragu dengan usaha dan doa yang kita minta kepada Allah. Istiqamah juga perlu agar apa yang kita usaha bukanlah sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Dalam membaca Al-Quran contohnya, bandingkan antara orang yang membaca Al-Quran 30 juzu’ dalam masa satu hari kemudian esoknya tidak baca dengan orang yang membaca Al-Quran satu muka surat tetapi berterusan setiap hari, manakah yang lebih mendapat pahala malah berkat dari Allah. Dua-dua dapat tetapi salah satu akan dapat lebih kerana sentiasa istiqamah. Dan akhir sekali tawakkal agar kita yakin dengan ketentuan Allah. Sebagai makhluk, kita hanya merancang dan yang menentukannya adalah Allah.

            Jangan pula jadi seperti orang yang hanya bertawakkal tetapi tidak pernah berusaha malah berdoa pada Allah pun tidak. Kadang-kadang ada juga rakan-rakan yang terus bertawakkal tanpa usaha.

“Dah tak sempat ni, aku tawakkal je lah.”

"Ala, tawakkal je, boleh jawab juga."

            Keajaiban bukan selalu berlaku. Jika Allah kata “Kun Fayakun”. Mungkin tawakkal sahaja boleh berjaya. Walau apapun, aku dan juga rakan-rakan mesti lakukan yang terbaik untuk mendapat keputusan yang baik dan cemerlang. InsyaAllah.

Selamat Berjuang Sahabat-sahabatku!

0 comments:

Post a Comment