INSAN YANG BERTUAH

Wednesday 27 February 2013



Kita diciptakan dengan lengkap anggota tubuh badan. Pancaindera kita berfungsi dengan baik. Tiada cacat cela. Setiap ciptaan Allah mempunyai sebabnya yang tersendiri yang mungkin kita ketahui atau tersembunyi tanpa kita ketahuinya. Terfikirkah kita tentang agungnya ciptaan Allah jika hendak dibandingkan dengan sesuatu yang dicipta oleh seorang genius. Allah menciptakan manusia dengan jasad dan roh yang ditiupkan sedangkan manusia mencipta robot dengan jasad dan elektronik sebagai "roh" nya.

Firman Allah:
"Dan sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dari saripati (berasal) dari tanah. Kemudian kami menjadikannya air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian, air mani itu Kami jadikan sesuatu yang melekat, lalu sesuatu yang melekat itu kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu kami bungkus dengan daging. Kemudian, Kami menjadikannya makhluk yang (berbentuk) lain. Maha Suci Allah, Pencipta yang paling baik."
                                                                                                                    Surah Al-Mu'minun: 12 - 14

        Saya ingin berkongsi kali ini bukanlah mengenai penerangan tentang bagaimana Allah mencipta manusia. Tetapi saya ingin anda melihat dalam kesempurnaan fizikal dan mental yang kita miliki, masih ada yang tidak seperti kita. Tidak sesempurna kita. Ada di antara kita yang mempunyai kecacatan fizikal sejak mereka lahir. Malah ada juga yang menerima nasib masalah pada mental mereka sejak lahir. Bukanlah hendak mengatakan bahawa ciptaan-Nya itu tidak sempurna tapi lihat pada hikmah mengapakah wujudnya orang-orang seperti ini? Adakah untuk mereka meminta simpati? Adakah untuk mereka mendapatkan kelebihan berbanding insan yang sempurna? Tidak sama sekali. Percayalah mereka yang istimewa ini juga tidak pernah terlintas untuk berbuat demikian. Mereka juga ingin hidup seperti manusia biasa.

       Pena maya penulis ingin berkongsi cerita tatkala bersama-sama menganjurkan program bersama warga Orang Kurang Upaya (OKU) yang terdapat dalam institusi saya. Mereka dibawa menaiki River Cruise yang terdapat di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu. Walaupun sehari bersama mereka, hati saya tersentuh apabila dibuka satu sesi untuk mereka menceritakan segala permasalahan mereka dalam apa jua aspek. Mereka terharu apabila masih ada orang yang mahu mengambil berat tentang mereka yang tergolong dalam kategori minoriti.

       Kita lihat satu sudut yang berbeza. Allah mewujudkan mereka ini agar kita, insan yang sempurna sifat sedar dan bersyukur dengan segala pemberian yang diberikan. Pertama kita lihat bagaimana mereka mengharungi kehidupan seharian mereka dengan kesusahan yang mereka hadapi. Kedua, lihatlah kesungguhan mereka untuk bersaing lebih daripada orang lain disekelilingnya yang sempurna. Ketiga, lihat ketabahan mereka dengan sendirinya melakukan kerja tanpa mengharapkan ihsan orang lain mahupun sebarang bantuan. Realiti hari ini insan yang sempurna terlalu manja. Manja dengan bantuan. Manja dengan kehendak yang melampau tanpa pernah rasa puas dan tidak bersyukur. Itulah bezanya insan yang sempurna dengan insan yang tidak sempurna lahiriahnya.

      Saya ingin membawa satu contoh individu OKU yang berjaya membawa dirinya selangkah ke hadapan. Anda kenal Nick Vujicic? Beliau dilahirkan tidak seperti bayi yang lain. Lahir tanpa tangan dan kaki. Hanya satu kaki yang kecil sahaja yang menstabilkan badannya. Di sekolah, beliau selalu menjadi mangsa buli kerana kecacatan yang beliau hadapi. Tetapi, beliau bersyukur dengan kekurangan yang dihadapi dan cuba untuk mengatasi kekurangan itu dengan menjadikan kekurang itu sebagai kelebihannya dalam berkerjaya. Kecacatan beliau bukanlah penghalang untuk beliau menghabiskan pelajaran dan berkerjaya. Beliau tidak menganggap kecacatan itu sebagai pendorong untuk beliau terus beraktiviti. Beliau bermain bola sepak, berenang, dan bermain alat muzik dengan menggunakan kaki kecil beliau. Jika Nick Vujicic boleh berada sebaris dengan orang yang sempurna mengapa tidak kita?

    Oleh itu, hargai diri kita dengan menggunakan fizikal yang kita ada dengan sesuatu yang baik. Dalam masa yang sama juga kita hulurkan bantuan kepada golongan ini agar mereka merasakan diri mereka sama seperti kita.

"Allah selalu menolong orang selama orang itu selalu menolong saudaranya (semuslim)." - HR. Ahmad

VALENTINE'S DAY DAN JUSTIFIKASI

Thursday 14 February 2013






TARIKH 14 FEBRUARI


Bagi pasangan kekasih, tarikh bersejarah ini adalah tarikh yang sangat ditunggu-tunggu untuk meluahkan segala perasaan yang terbuku di dalam hati di samping menyatakan sepenuh rasa kasih sayang kepada pasangan masing-masing. Lazimnya pada tarikh ini, pasangan perempuan akan membuat coklat untuk diberikan kepada kekasihnya sebagai tanda kasih sayang. Begitu juga pasangan lelaki. Mereka tidak membuat coklat tetapi membelinya di kedai atau mengajak pasangannya makan malam bersama pada tarikh tersebut. Walaupun hari-hari kebiasaan mereka berkasih sayang, tetapi pada tarikh tersebut, ungkapan yang ditujukan lebih mendalam atau simbolik cinta mereka.

         Hari pasangan kekasih atau 'Valentine Day' ini menjadi tradisi kepada masyarakat orang putih untuk mengekspresikan kasih sayang mereka lebih dalam dan nyata. Dimana-mana sahaja akan terpampang iklan dan media untuk meraikan lagi sambutan ini. Ironiknya, sambutan ini juga disambut oleh masyarakat di Malaysia. Bukan sahaja masyarakat bukan Islam, tetapi segelintir umat Islam terlibat sama. Mereka mengimplimenkan cara yang sama dilakukan oleh masyarakat bukan Islam. Disko-disko, hotel-hotel dan tempat-tempat rekreasi tertutup menjadi lokasi mereka bermadu asmara dan tidak lupa juga kepada pengusaha-pengusaha yang berlumba-lumba untuk mencari keuntungan lebih sempena hari tersebut. Sungguh menyedihkan lagi, pemberi keuntungan atau pemeriah lokasi datangnya dari umat Islam. Mereka menyambutnya lebih dari yang dilakukan oleh bukan Islam seolah-olah perayaan sambutan ini adalah perayaan wajib bagi umat Islam.

Surah Al-An'am: 116
"Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta(terhadap Allah)".

RAHSIA DI SEBALIK

Mengetahui sejarah dan rahsia di sebalik Valentine Day adalah titik tolak untuk membuka mata umat Islam mengenai kisah sebenar atau justifikasi di balik tabir. Hari Valentine Day (Hari Pasangan Kekasih) atau dikenali nama lain sebagai Hari Saint Valentine merupakan sambutan tahunan yang diadakan pada tarikh khusus iaitu 14 Februari bertujuan untuk meraikan kasih sayang. Sambutan ini diambil bersempena seorang "Christian Martyr" purba yang bernama Saint Valentine. Diasaskan oleh Pope Gelasius 1 pada tahun 496 M, tetapi digugurkan daripada Takwim Saint Rom oleh Pope Paul keenam pada 1969.

           Pada tarikh ini 14 Februari 270 M ini juga merupakan tarikh Saint Valentine dibunuh kerana beliau bertelingkah dengan pemerintah Rom ketika itu, Raja Claudius kedua. Pengikut Saint Valentine telah mengagungkan beliau dan menjadikan tarikh tersebut sebagai tanda peringatan kematian Saint Valentine dan juga lambang ketabahan, keberanian dan kepasrahan beliau mengharungi dugaan hidup. Pengikutnya juga menjadikan hari memperingati kematian ini sebagai salah satu upacara keagamaan yang mesti diraikan.
           
           Upacara keagamaan ini lama-kelamaan telah hilang dan menjadi pesta jamuan kasih sayang oleh bangsa Rom dan tarikhnya bertukar kepada 15 Februari, hari berikutnya sejak abad 16 M. Setelah itu, bangsa-bangsa Rom yang menganut agama Kristian mengaitkan semula pesta jamuan ini dengan sejarah kematian Saint Valentine. Penerimaan upacara kematian Saint Valentine juga dikaitkan sebagai hari berkasih sayang dimana pada waktu itu orang Eropah mempunyai kepercayaan waktu kasih sayang bersemi antara lelaki dan perempuan sebagai "burung jantan dan betina" adalah pada tarikh 14 Februari.

PANDANGAN ISLAM

Menurut pandangan Islam pula, Islam sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama kekasih. Perkara ini dapat dilihat melalui ungkapan di dalam kitab Al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah S.A.W. Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah suatu batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang di antara dua jantina berbeza tidak boleh hanya pada kata janji yang manis sahaja. Islam menggalakkan pasangan kekasih untuk mempunyai satu ikatan akad yang sah dan mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi iaitu perkahwinan.

            Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang telah bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan sambutan Valentine Day tidak pernah dianjurkan oleh agama Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu, amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam.
   
               Perkataan "tidak digalakkan" itu hendaklah ditafsirkan sebagai haram agar tiada umat Islam yang menyambut perayaan ini. Hakikatnya, hari-hari boleh untuk berkasih sayang dan simbolik cinta yang lebih baik adalah menjadikan suatu hubungan kepada sah dan halal. Melalui perkahwinan. Perlu diingat di dalam hadith ada menyatakan bahawa amalan yang bukan datang dari agama Islam maka ianya akan ditolak.

"Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak"
                                                                        (Hadith riwayat al-Bukhari & Muslim)


SEMANGAT TERUS MEMBARA KEMBARA DELEGASI MPP UniSZA 2013

Thursday 7 February 2013

Sewaktu di Universiti Islam Antarabangsa















Ketika perbincangan di UM










TRAVELOG KEMBARA DELEGASI MPP UniSZA - HARI 2






6 FEBRUARI 2013

            Seawal 6.30 pagi saya dan rakan-rakan kepimpinan sudah mencelikkan mata untuk menunaikan solat Subuh dan melakukan persiapan diri untuk meneruskan kembara pada hari yang kedua ini. Hari ini gaya segak dan professional ingin kami tunjukkan kepada MPP lain. Kemeja yang pelbagai warna dikenakan dengan tali leher dan seluar slack hitam beserta kot bagi yang lelaki manakala baju kurung dan kot bagi pihak wanita. Nampak segak dan kemas masing-masing. Syukur Alhamdulillah, semangat masih belum terpadam untuk mencari dan berkongsi ilmu dengan MPP universiti yang lain.

            Tepat jam tujuh pagi kami sudah berkumpul di hadapan bas UniSZA yang membawa kami seperti yang telah di arahkan oleh pengarah program. Kami membawa keluar semua bagasi dan peralatan kami dari bilik penginapan di UM kerana kami hanya menyewa penempatan bermula malam semalam sehingga pagi hari ini sahaja. Kunci bilik yang diberikan semalam telah dikumpulkan semula kepada Presiden dan Timbalan Presiden 2 kami untuk dipulangkan kepada pihak MPP UM. Jam 7.46 pagi kami memulakan perjalanan ke destinasi kami yang kedua selepas UMP semalam. Bergerak keluar ke pintu utama, sempat kami melihat pelajar-pelajar UM melangkah kaki ke kelas. Perjalanan kami tidaklah sunyi sepi pada pagi itu. Deruman enjin kenderaan dan bunyian radio bas menemani kami. Baru saya ingat hari ini masih hari bekerja dan para pekerja kerajaan, swasta, persendirian mahupun penuntut universiti berpusu-pusu menuju ke destinasi mereka. Kesesakan pagi ini agak melambatkan perjalanan kami menuju destinasi seterusnya. Hanya kesabaran yang perlu untuk menghadapi situasi seperti ini lebih-lebih berada di bandaraya yang tidak pernah tidur. Itulah Kuala Lumpur.

            Kenderaan MPV khas MPP UniSZA dan pegawai HEPA kami hanya mengikut pergerakan bas dari arah belakang. Sebelum perjalanan kami sempat berbincang semula, mencari idea baru sedikit selepas delegasi pertama bersama MPP UMP. Rasa tidak sabar untuk mendengar perkongsian dari MPP universiti berikutnya terbit lahir dari riak wajah dan gaya perbincangan itu sendiri.

DELEGASI 2 – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

            Jam di dalam bas menunjukkan 8.00 pagi. Bas mulai memasuki pintu utama UIAM yang indah gerbangnya cantik rekaannya. Pintu utamanya sahaja sudah menampakkan unsur keislaman malah memberi aura ketenangan kepada kami. Bas memberhentikan kami di hadapan sebuah bangunan batu yang mempunyai reka bentuk seolah-olah sebuah masjid. Sungguh indah. Turun sahaja kami dari bas, kami bukan disambut dengan MPP UIAM terlebih dahulu, tetapi memberi satu kejutan kepada kami apabila kedatangan kami disambut dengan bacaan Al-Fatihah, Asmaul Husna dan bacaan doa. Sungguh sayu hati kami mendengarnya sambil melihat para pelajar berpusu-pusu menuju ke kelas tidak kiralah menaiki kenderaan sendiri atau berjalan kaki. Pengawal keselamatan bertugas mengawal lalulintas. Pabila doa dibacakan, semua menadah tangan. Allahuakbar. Alangkah tenangnya hati tatkala perjalanan untuk menuntut ilmu diiringi dengan Nama Allah dan doa. Tanggapan saya, tidak hairanlah jika seseorang pelajar atau mahasiswa itu bersemangat untuk menuntut ilmu kerana keberkatan dan rahmat dari-Nya mengiringi. Seolah dirancang sambutan walaupun kebetulan sahaja kerana telah menjadi amalan harian mereka pada awal pagi. Diperdengarkan dengan bacaan kalimah-kalimah suci yang bersiaran dari masjid UIAM.

            Disambut oleh MPP dari UIAM, kami sempat bergambar di tangga yang arif dikenal ‘Tangga Ilmu’ oleh warga UIAM sebelum terus dibawa ke dewan banquet untuk bersarapan pagi. Duduk semeja dengan salah seorang barisan kepimpinan MPP UIAM, perkongsian pertama kami adalah mengenai universiti masing-masing. Perkongsian mengenai pembelajaran, program yang ditawarkan, dan sebagainya. Kami bercerita mengenai fakulti dan antara program yang ditawarkan di universiti kami, begitu juga mereka. 14 Kuliyyah atau Fakulti yang menawarkan pelbagai program daripada asasi, ijazah sarjana serta sarjana dan dua kampus UIAM yang terdapat di Gombak iaitu kampus induk dan kampus perubatan yang berlokasi di Kuantan.

            Diskusi bermula di dewan perbincangan yang terletak berhadapan dengan dewan tempat kami bersarapan sebentar tadi. Menurut Presiden, pejabat mereka sedang dalam proses pengubahsuaian, jadi melepaslah peluang kami untuk melawati pejabat mereka. Kami duduk bertentangan antara MPP UniSZA dan MPP UIAM. Perbincangan atau diskusi ilmiah ini dipengerusikan oleh salah seorang pegawai Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (HEPP) dan terus bersambung dengan ucapan penghargaan daripada pegawai HEPA UniSZA. Yang di-Pertua MPP UIAM mengambil alih aturcara dengan memperkenalkan barisan kepimpinan MPP UIAM dan  membentangkan serba sedikit misi dan visi yang ingin dibawa oleh mereka sepanjang satu tahun memegang amanah sebagai wakil pelajar. Setelah saya teliti, setiap misi dan visi mereka selaras dengan penerapan utama universiti iaitu “Integration, Islamicization, Internationalization and Comprehensive Excellence” atau lebih dikenali dengan singkatan IIICE. Giliran diambil alih oleh presiden kami untuk memperkenalkan pula barisan kepimpinan MPP UniSZA dan memulakan sesi pengdiskusian dengan berkongsi aktiviti yang telah dilakukan dan akan dilakukan.

            Selain itu, pihak kami telah bertanya beberapa soalan berkaitan kebajikan pelajar lebih-lebih UIAM adalah sebuah universiti yang bersifat antarabangsa dan pelajarnya juga merupakan pelajar Malaysia dan antarabangsa. 80 buah Negara yang menjadi warga UIAM. Bayangkan satu populasi yang sangat ramai dan mempunyai perbezaan dari segi budaya, pegangan dan cara hidup. Berbanding dengan universiti kami yang pelajarnya hanyalah pelajar Malaysia sahaja. Jika hendak dikatakan antarabangsa, hanya ada beberapa orang sahaja yang dating dari Negara luar. Begitu juga dengan persoalan mengenai cara mereka menghidupkan suasana ilmiah seperti forum, pidato bebas atau ‘Speaker Corner’ dan bagaimana mereka menarik minat pelajar untuk melibatkan diri atau menjadi penonton sahaja. Persoalan yang ditanya juga serba sedikit melibatkan ikatan antara MPP dengan mahasiswa, medium untuk membawa suara mahasiswa malah mencari kata sepakat dalam apa jua isu yang diketengahkan, penerapan nilai dan etika Islam dalam diri pelajar tidak kira apa jua agama seperti pemakaian, akhlak, sahsiah diri dan sebagainya. Persoalan dijawab dengan jelas oleh Yang di-Pertua dan beberapa orang barisan kepimpinan. Sama seperti MPP UMP, mereka cuba mewujudkan Parlimen Mahasiswa dan projek ini bukanlah satu projek yang mudah. Mungkin mudah pada awalnya, tetapi sukar dalam progressnya.

            Bersurai pada jam 10.47 pagi, kami bertukar-tukar cenderamata dan sekali lagi dalam sesi bergambar di Tangga Ilmu. Selepas bersalaman, kami terus menaiki bas untuk ke destinasi seterusnya. Perjalanan kami selepas ini tidaklah begitu jauh realitinya. Jalanraya yang sehala dan bercabang serta kesesakan lalu lintas yang menyebabkan perjalanan kami jauh. Tidak mengapa. Halangan nombor dua kerana perkongsian dan penjanaan idea baru lebih penting. Bukan untuk kami sahaja, tetapi untuk warga UniSZA sejagat pada hari ini, esok dan akan dating. InshaAllah.

DELEGASI 3 – Universiti Malaya (UM)

            Memasuki Universiti Malaya seolah-olah memasuki sebuah negeri baru yang mempunyai raja, pentadbiran dan peraturan serta fasilitinya tersendiri. Jika di UniSZA kelajuan kenderaan telah dihadkan kepada 40 kilometer sejam, di UM lebih rendah lagi. 35 kilometer sejam! Sangat perlahan. Bas yang membawa kami terus menuju sebuah kompleks yang dikatakan dikhusukan untuk kegunaan mahasiswa dan juga menempatkan pejabat MPP UM. Di sambut oleh mereka dengan kuntuman senyuman, kami terus dibawa menuju ke bilik mesyuarat mereka.

Seperti yang sebelumnya, aturcara dimulakan dengan ucapan penghargaan daripada pegawai HEPA UniSZA. Presiden MPP UM memperkenalkan barisan kepimpinan mereka dan serba sedikit membentangkan aktiviti yang telah dijalankan dalam peringkat universiti, masyarakat mahupun antarabangsa. Sungguh mengagumkan kerana mereka berjaya menarik pihak luar untuk mengadakan satu ikatan dalam menjalankan program berkaitan mahasiswa dan universiti. Persoalan yang kami tujukan lebih kepada kebajikan pelajar luar kerana melalui perbentangan dari pada MPP UM, aktiviti yang dianjurkan oleh kolej kediaman juga melibatkan pelajar yang tinggal di luar sebagai peserta. Sedikit sebanyak kami juga berkongsi situasi di UniSZA agar diskusi ini tidak menjadi berat sebelah.

Selesai perbincangan ringkas, kami dijamu dengan makanan tengahari dan makan bersama-sama mereka. Selepas itu, kami dibawa melawat sekitar Kompleks Siswa yang memang khas untuk kegunaan mahasiswa. Bangunan yang mempunyai beberapa blok ini menempatkan tempat belajar dan tempat santai untuk pelajar serta gazebo yang digunakan untuk siapa sahaja dalam kalangan pelajar UM membuat persembahan tidak kiralah pidato, muzikal, tarian dan sebagainya. Menarik perhatian kami apabila aktiviti yang dilakukan setiap hari rabu ini semestinya dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor mereka sendiri untuk melihat dan memberi sokongan terhadap persembahan pelajar. Ini sebagai salah satu langkah untuk pelajar menyerlahkan bakat mereka di sampaing menanam sifat keberanian dalam diri dalam mendepani dunia.

“Sudut Pidato – Speaker Corner”. Tertulis di atas sebuah papan besi berwarna biru dan terpacak di sebuah kawasan lapang berhadapan dengan Kompleks Siswa dan bersebelahan dengan gazebo. Seperti yang diketahui oleh pelbagai pihak, Universiti Malaya merupakan pengasas ‘Speaker Corner’ sejak zaman pergerakan mahasiswa yang bertujuan untuk menyuarakan apa jua isu di dalam dan luar kampus secara umum di khalayak ramai. Sudut ini telah dijadikan contoh kepada universiti-universiti lain dalam menyuarakan pendapat serta membawa permasalahan dalam kampus. Menurut presiden MPP UM, sudut asal yang menjadi sejarah bukanlah pada lokasi yang kami lihat pada hari ini tetapi sudut ini tetap menjadi sejarah yang bermakna kepada UM kerana hasil dari sudut ini tersemainya sifat keberanian dan kepetahan dalam berkata-kata.

DESTINASI BERMALAM – UiTM SHAH ALAM

Usai sudah perbincangan kami untuk hari ini. 2.45 petang waktu di jam tangan dan kami menunggu kedatangan bas untuk ke destinasi penginapan kami pada hari ini. Jika semalam UM menjadi tempat kami merebahkan badan, UiTM Shah Alam pula menjadi lokasi untuk hari ini. Kami bergerak ke KL Sentral untuk menghantar salah seorang rakan kami kerana dia hendak pulang ke rumahnya yang terletak di Sabah. Oleh kerana tidak mahu terlepas penerbangan pada hari yang sepatutnya, dia memutuskan untuk pulang awal ke Terengganu. Kami bersama-sama menemaninya. Itulah hasil ikatan ukhwah yang terjalin kini dan selamanya. Selamat Tahun Baru Cina!

Perjalanan diteruskan. Setelah dua jam perjalanan, kami berhenti sebentar di Mid Valley untuk menunaikan solat. Sempat juga kami meninjau kedai-kedai yang terdapat di dalam pusat membeli-belah tersebut. Pastinya, hanyalah ‘window shopping’ sahaja yang mampu. Puas kami mencari surau sehingga menjejakkan kaki ke lantai tiga, tetapi bukanlah surau yang kami jumpa. Kedai Menjual Haiwan. Oleh kerana di antara kami sukakan haiwan, kami masuk untuk mencari seekor haiwan yang mempunyai kesamaan spesies dengan landak iaitu ‘Hedgehog’. Malangnya haiwan tersebut telah habis dijual. Saya berselisih dengan seorang pengawal yang memakai sut lengkap putih berseluar hitam dan bertanyakan lokasi surau dalam pusat tersebut. Rupanya kami terlangkau jauh ke tingkat atas sedangkan surau berada di tingkat paling bawah.

Selesai solat, kami berkumpul semula di hadapan pintu selatan pusat membeli-belah Mid Valley untuk menunggu kedatangan bas. Jam 7.06 petang bas tiba dan kami terus bergerak ke UiTM Shah Alam. Perjalanan mengambil masa satu jam lebih untuk sampai. Tetapi kami diberhentikan sementara untuk mengisi kekosongan perut sementara presiden mengambil kunci bilik penginapan daripada pihak MPP UiTM Shah Alam.

9.45 malam kami tiba di UiTM Shah Alam. Berbeza dengan UM di mana kami ditempatkan di kolej yang dekat antara lelaki dan wanita, kali ini kami terpisah sangat jauh. Nyata di UiTM ini, kolej kediaman lelaki dan wanita diasingkan dengan jarak yang jauh untuk menjaga batas pergaulan. Andaian saya sahaja. Kami berehat dalam sebuah dorm yang menempatkan 8 orang dalam satu masa. Teringat ketika zaman tinggal di asrama dahulu. Esok kami akan menyambung kembara dengan MPP UiTM Shah Alam sendiri. Teruskan semangat untuk berkongsi dan mencari.

REAKSI WAJAH KEMBARA DELEGASI MPP UniSZA 2013 - HARI 1

Wednesday 6 February 2013

Hari pertama yang indah menuju UMP


















Sebelum bergerak di foyer dan dalam bas. Penuh bergaya mereka.





Sewaktu di UMP








TRAVELOG KEMBARA DELEGASI MPP UniSZA - HARI 1

Tuesday 5 February 2013





5 FEBRUARI 2013

Seawal jam 8 pagi, kami sudah siap berpakaian rasmi atau lebih dikenali dengan baju korporat berwarna hitam hijau kebiruan lengkap berkasut berkumpul di tempat operasi seharian kami. Hari ini adalah hari pertama perjalanan kami untuk berkongsi, mencari dan merungkaikan segala persoalan yang bermain di minda kami dalam membawa dan membangun institusi mahasiswa ke arah yang lebih maju dari yang sedia maju serta memperkenalkan dengan lebih meluas universiti kami iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Dengan penuh bersemangat saya melihat sahabat-sahabat seperjuangan saya membawa bagasi, blazer dan keperluan lain untuk mengharungi perjalanan kami ini. Pastinya apa yang kami harapkan bukan hanya sekadar perkongsian ilmiah, ikatan ukhwah dan jalinan kerja juga mahu dibina. Bak kata pepatah ‘Tak kenal maka tak cinta’.

            Dengan menggunakan satu buah bas dan kenderaan rasmi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA iaitu Naza Ria yang diberikan oleh Naib Canselor baru kami, kami melangkah perjalanan yang berkat dan mengharapkan keselamatan dari-Nya dengan sepotong doa menaiki kenderaan. Wajah ceria, hati terhibur dan semangat berkobar, itulah ekspresi pertama kami sebelum memulakan perjalanan yang saya rasa agak mencabar dalam masa 4 hari sahaja merentas universiti di negeri Pahang dan sekitar Lembah Klang, Selangor.

            Alhamdulillah cuaca pada hari pertama perjalanan kami boleh dikatakan agak baik. Tidak menunjukkan tanda-tanda hujan ataupun panas terik. Sekejap-sekejap angin lembut berhembus seolah-olah mengiringi perjalanan kami pada hari ini. Lebih kurang jam 9.24 pagi pedal minyak ditekan menggerakkan jentera pembawa penumpang ini ke destinasi kami yang pertama, Universiti Malaysia Pahang (UMP). Setelah setengah jam perjalanan, bas membelok ke Lebuhraya Pantai Timur yang baru. Masih belum siap sepenuhnya, pada amatan saya. Cantik sungguh permandangan di kiri dan kanan kami. Suasana kampung dan ladang-ladang yang boleh memberi ketenangan. Tidak hairanlah jika penumpang mudah tertidur ketika dalam perjalanan dek kerana pokok-pokok yang menghijau, rumah-rumah kampung yang boleh meruntun jiwa tatkala melihatnya. Berhenti sebentar di sebuah stesen rehat R&R Bandar Al-Muktafi Billah Shah, kami membasahkan tekak dan mengisi kekosongan perut sambil melihat pemandangan sekeliling. Mata ini seolah terpaku melihat papan menu yang tertampal di dinding kedai makan yang kami singgah.

MENU RAKYAT 1 MALAYSIA.

SARAPAN – RM 2.00
MAKANAN TENGAHARI – RM 4.00
           
Murah sungguh! Amat menepati status kewangan kepada siapa sahaja yang ingin menjimatkan duit poket. Kami tidak sabar menunggu tarikh keramat pelancaran Menu Rakyat 1 Malaysia ini di dalam university kami. Tidak lama lagi. Selepas 45 minit kami menunaikan permintaan tekak dan perut, perjalanan diteruskan. Hujan renyai-renyai mulai turun. Hati tidak berhenti berdoa memohon keselamatan sepanjang perjalanan.

DELEGASI 1 – Universiti Malaysia Pahang (UMP)

            1.35 petang UMP Kampus Gambang. Pemandangan yang awalnya hanyalah rimbunan pokok dan bukit-bukau, bertukar dengan tersergam indahnya struktur bangunan sebuah kampus universiti yang terletak di Gambang, Pahang. Bas memasuki perkarangan kolej kediaman pelajar UMP yang terletak bersebelahan dan berhadapan dengan bangunan akademik mereka. Kolej kediaman pelajar terletak diantara masjid dan pusat Hal Ehwal Pelajar, Pejabat operasi MPP mereka serta pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (TNCAA) amat menarik minat saya dari segi struktur binaan dan warna yang menunjukkan kemodenan. Masjid UMP sangat moden walaupun tidaklah sebesar masjid di tempat kami menuntut ilmu tapi nyata memberi aura kemodenan masa kini. Saya merasakan satu suasana yang sama tatkala saya pergi ke Kota Iskandar, Johor Bahru.

            Kami disambut oleh salah seorang MPP UMP di perkarangan asrama mereka. Kami meminta untuk menunaikan solat Jama’ Qasar Zuhur dan Asar di masjid yang berhampiran. Selepas itu, kami dibawa ke Pejabat MPP mereka yang terletak di penjuru hujung antara kolej kediaman dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) mereka. Memasuki pejabat mereka membuatkan saya dan rakan-rakan terkejut. Seolah-olah kami memasuki pejabat ‘Art and Design’. Tona warna merah, hijau dan krim yang sangat indah membuatkan pejabat itu mesra alam. Meja dan kerusinya yang pelbagai corak dan kreatif dari segi bentuknya menambah keserian dan kecantikan pejabat tersebut. Nyata berbeza dengan pejabat kami. Tetapi saya tetap bersyukur dengan pejabat kami yang sudah ada. Kami dijamu dengan juadah yang lazat sebelum lanjut ke agenda yang seterusnya.

            Perbincangan santai antara 17 orang MPP UniSZA dan 5 orang MPP UMP diadakan di bilik mesyuarat pejabat MPP mereka. Realitinya tidak semua ahli hadir dalam perbincangan tersebut dari pihak mereka mahupun pihak kami. Itu tidaklah menjadi permasalahan kerana kami mahukan perkongsian, pendapat dan buah idea yang baru dalam memantapkan lagi pergerakan kami sebagai pemimpin mahasiswa. “Revolusi Versatiliti: Pencetus Generasi Efektif”. Motto yang digunakan dalam MPP UMP pada kali ini. Yang di-Pertua MPP mereka menyatakan melalui motto ini, mereka ingin membawa dan merealisasikan satu metodologi yang berasaskan Parlimen Mahasiswa di mana mereka ingin mendekatkan suara mahasiswa kepada MPP dan membawa suara ini ke tingkat yang sepatutnya serta menyatakan satu persepakatan mencapai konklusi dalam apa jua isu yang diketengahkan. Seperti contoh yang selalu mereka perkatakan iaitu isu Lynas.

Sebagai perkongsian qiyadah kepimpinan, mereka lebih efektif dalam menyelesaikan isu dalam kampus dan menetapkan dalam masa dua minggu, permasalahan yang timbul mesti selesai. Untuk isu nasional seperti isu yang melibatkan Negara dan mahasiswa, pendapat orang yang lebih tinggi dan arif menjadi keutamaan agar tidak menjadi keraguan dalam memberi pendirian. Saya melihat betapa pentingnya mewujudkan dan menjaga hubungan antara MPP dan pihak media dalam usaha mempromosikan universiti yang boleh dikatakan baru seperti UniSZA. Selain itu, politik dalam kampus menjadi salah satu agenda perbincangan kami dalam konteks berkongsi sejauh mana ia berlaku dalam kampus masing-masing. Rumusan dari perbincangan, dapat saya simpulkan bahawa politik luar yang dibawa masuk ke dalam kampus masih belum diperlukan dalam universiti yang masih “freshie” seperti UniSZA dan UMP untuk menjaga keamanan kampus. Mahasiswa bebas untuk menyatakan hak kebebasan bersuara mereka selagi tidak bertentangan dengan peraturan yang telah ditetapkan dalam universiti. Setiap mahasiswa mempunyai pendapat yang berbeza dalam satu-satu isu. Setuju atau membantah, hormatilah pendirian orang lain supaya tidak timbul kebencian antara satu sama lain. Kita bebas bersuara bukan bermakna kita wajib bersuara.

Setelah selesai perbincangan santai dan sesi bergambar antara kami, kami menaiki bas untuk bergerak ke destinasi seterusnya. Perjalanan kami ke destinasi berikutnya memakan masa 4 jam untuk tiba. Sepanjang perjalanan, hujan turun membasahi bumi. Masih banyak yang perlu dikongsi. Rakan-rakan seperjuangan tampaknya sedang lena dalam kesejukan penghawa dingin bas dan diadun pula dengan kesejukan hujan petang. Lena.

BERMALAM DI UNIVERSITI MALAYA

            Perjalanan kami setakat ini belum berjumpa tempatnya. Seolah-olah harimau yang belum berjumpa mangsanya dan terus mencari. Sudah hampir 3 jam perjalanan, masih lagi belum melepasi sempadan Pahang dan Selangor. Sudah hampir katanya. Terhuyung-hayang bas yang dipandu pemandu UniSZA melewati lebuhraya MTD. Jalan yang seperti ular kena palu itu membuatkan kami yang berada di dalamnya tidak dapat menyesuaikan diri dan natijahnya, tidur sahaja sepanjang perjalanan.

            Jam 8 malam, kami sudah memasuki kawasan Selangor dan Kuala Lumpur. Sebelum tiba ke destinasi, kami berpakat untuk mengisi kekosongan perut di sebuah kedai makan yang terletak berdekatan dengan Jalan Chow Kit. Masing-masing menunjukkan reaksi kepuasan kekenyangan. Perjalanan kami diteruskan ke Universiti Malaya (UM) yang kian hampir. Masuk sahaja di pintu utama, bas yang membawa kami terus menuju ke Kolej Kediaman Lima yang melepasi bangunan Dewan Tuanku Naib Canselor. Sempat bersalaman dengan barisan pimpinan mereka, kami ditempatkan di bilik kediaman pelajar untuk berehat.