GELAP

Wednesday 12 February 2014



Dua tona warna berbeza.
Ah! gelapnya.
Namun ini bukan tanganku.
Kelihatan seperti ini yang ku maksudkan.

AKU membuka jam tangan yang terpasang di tangan kiri. Aku mengecilkan anak mata memerhati objek yang ku tatap. Lengan kiri yang mempunyai dua ton warna; kuning dan coklat gelap. Ah! Berbirat pulak dah. Semuanya kerana panas yang ku redah setiap hari. Sejurus aku menyingsingkan lengan baju ke atas. Kesan yang sama. Lenganku coklat gelap, siku hingga bahu kuning tona warnanya. Pada hemat internet, juga hemat pakar kecantikan, bukan aku, kuning tu dikira cerah. Macam iklan Garnier White diaktorkan oleh Lisa Surihani yang selalu mengacau mood tika menonton drama plastik melayu; Ambil penanda tona warna dan tunjuk tanda dua: Cerah, putih berseri bak hang. Iklan Fair & Lovely – lazimnya dibintangi pelakon berbangsa India – juga menunjukkan kulit mereka boleh cerah dengan produk itu.
 

Ok, aku sedar kulitku makin gelap. Hakikatnya kulitku memang sudah sedia coklat tetapi masih warna normal Asian. Namun, kian lama terdedah cahaya matahari, coklat itu semakin gelap. Seperti Chocolate biasa yang aku makan dengan Dark Chocolate, ketara perbezaan warnanya. Nampaknya hilanglah market aku lepas ni (perasan). Aku merenung lagi lingkaran perbezaan warna hasil tekapan jam tangan. Kulit yang dilitupi jam tangan masih kekal warna asal. Aku mengeluh ringan. Itu baru kulit. Terkena cahaya matahari sudah bertukar warna. Kulit objek yang nyata syeikh. Aku terfikir. Bagaimana dengan subjektif atau tak nampak dengan mata kasar. Seperti hati?
 

Beberapa tahun kebelakang, aku pernah berdiri di tengah padang dengan hanya berpayungkan Raja Segala Panas Cakrawala – Matahari. Terlupa nak nyatakan waktu itu aku sedang menyertai pertandingan kawad Kadet Remaja Sekolah (KRS) daerah. Dengan hanya bertopikan beret senget ke kiri, aku dan rakan-rakan sepasukan meredah kepanasan berlatih dan berlatih hingga ke hari pertandingan. Usai pertandingan, aku membuka beret. Seorang rakan gelak besar melihat wajahku. Berlaku perbezaan tona warna yang ketara pada wajah. Bayangkanlah, dilitupi warna coklat gelap, tiba-tiba dahiku masih seperti asal; coklat cair. Tidak! Malunya aku! (jangan ingat lelaki tidak pentingkan kecantikan wajahnya seperti mana perempuan mencuci dan make-up wajah mereka).


Contoh sahaja.
Perumpamaan bagi hati yang sudah gelap.
 

Organ manusia terdapat hati. Organ homeostasis yang berfungsi menyimpan glikogen, dan menyahtoksikkan dadah. Dah lama tinggalkan subjek biologi. Review sikit-sikit. Hati yang satu ini juga objek. Nyata kewujudannya. Boleh nampak kalau dikeluarkan. Aku terfikirkan hati yang disebut QALB (qalbun jika di-pronounce dalam bahasa arab). Hati yang ini subjektif. Tak nampak dengan mata kasar. Mana ada orang boleh keluarkan qalbun ini depan mata. Hati yang ini dilihat melalui perspektif yang lain. Haa, kenapa tiba-tiba aku nak kaitkan dengan kulit aku yang kian gelap, berbirat – kaitkan dengan organ manusia? Aku hanya terfikir. Masih lagi merenung tangan. Tangan diangkat tinggi dan dibelek-belek. Gelap-gelap juga, asal jangan legam sudahlah. Susah kawan nak kenal.
 

Gelap. Kulit yang gelap disebabkan sinaran cahaya matahari yang membakar dan mengubah ton warna. Menjadi gelap keseluruhan, berbirat, berbelang-belang, ataupun gelap dikawasan tertentu sahaja. Tona warna yang bercampur aduk ini tidak akan kekal begitu selamanya. Masih bisa sekata dan tidak berbelang seperti sebelumnya. Namun bergantung kepada tuan punya muka itu sendirilah. Nak cepat, guna pencuci muka setiap hari. Nak lambat? Biarkan saja. Seperti itu juga hati. Terdetik jauh di sudut pemikiran, hati (Qalb) ini tidak zahir. Namun selalu diterangkan hati akan hitam jika bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan akan membentuk bintik-bintik hitam di dalam hati. Persoalannya, nampakkah zahir qalb itu? Tak nampak kan. Aku bukan nak persoalankan kewujudan kerana aku percaya dan yakin dengan Rabb. Tetapi ingin aku kaitkan, gelapnya kulit yang zahir masih bisa kembali kepada tona sekata. Mahu cepat? Ada solusi. Mahu lambat? Biarkan saja. Begitu juga qalb. Bintik-bintik hitam yang terbentuk kerana dosa itu boleh dihilangkan. Bukan dengan produk kecantikan. Namun dengan amal kebaikan dan taubat. Banyak buat kebaikan maka cepatlah hitam itu hilang. Tapi bezanya, jika dibiarkan tanpa taubat, hitam itu tetap ada. Risaunya bertambah pula.
 

Gelap. Masih tentang gelap. Hati (organ manusia) menjadi gelap disebabkan beberapa faktor yang menghalang hati menjalankan fungsi hariannya. Mungkin juga overdose. Senang kata misalan penghisap rokok. Pernah lihat video-video yang menayangkan kesan rokok dihisap? Bukankah hatinya menjadi hitam setelah diautopsi? Aku membayangkan bahawa sesuatu yang nyata telah memberikan kesan kepada yang nyata. Suatu yang zahir telah memberi impak kepada yang zahir juga. Rokok itu zahir pada pandangan dan sentuhan. Asapnya juga zahir. Dan implikasinya? Hitam pada hati tampak zahir. Aku pernah menyaksikan melalui video Youtube betapa hitamnya hati yang telah ‘dikotori’ dengan asap rokok. Walau jasad hidup, hati seolah mati. Macam rentung. Macam tu jugalah qalb apabila ‘dikotori’ dengan dosa kan? Gelap. Indikator di sini, penyebab organ itu hitam kerana asap rokok. Mata masih boleh melihat, hidu asap rokok yang berkepul-kepul. Kita sedar kehadiran asap. Bagaimana dengan penyebab qalb menjadi gelap dan hitam? Walau kita sedar itu adalah dosa, namun kita tidak nampak kehadirannya. Tidak nampak kesannya. Tidak hairan manusia seronok melakukan dosa. Berulang-ulang kali. Jujur aku juga tidak terlepas. Sebab itu aku terfikir.
 

Aku hanya mampu menadah tangan ini berdoa pada Yang Esa agar qalb ini tidak menjadi gelap. Berdoa dan bertindak. Mataku masih menatap lengan yang gelap. Hari juga mulai gelap.
 

Lokasi: Bilik di sebuah Institusi Pantai Timur (IPT).


2 comments:

1. eh?mn ada kalau cuci muka setiap hari, boleh cepat cerah, klu gitu, awk selalu ker mencuci tgn yg agak gelap berbanding lingkaran jam tu nak putih?try buat eksperiment, berapa hari yg diperlukan utk putihkan tgn tu??
pssstt..klu gitu, org yg putih xley cuci muka setiap hari..nnti jadi transparent terus kan..

2. hati yg gelap, secara zahir, dpt dilihat melalui autopsi, tapi hati hati yg gelap secara tersiratnyer, dapat dilihat melalui tindak tanduk dan percakapannyer kan2

walaupun mngambil mse..ttap masih boleh dicerahkan kan.huhu..

Post a Comment