MENJADI PEMBACA YANG BAIK

Wednesday 15 October 2014

 Membaca itu bebankah?
Pembaca mempunyai faedah?
Sudah tentu!
 
MEMBACA. Hampir setiap masa kita akan membaca. Tidak kiralah apa jua jenis pembacaan selain buku. Sebagai contoh, jurnal, akhbar, media sosial, artikel dan lain. Anda juga seorang pembaca. Itu sudah pastinya.

Membaca secara tidak langsung akan memberikan pelbagai maklumat baru kepada kita berdasarkan topik yang diberikan penekanan. Buku sains kesihatan sudah tentulah akan memberikan kita serba serbi maklumat mengenai kesihatan. Begitulah buku-buku yang lain.

“Sel-sel otak mula berhubung.”

Selalu dengar ayat iklan tersebut? Sel-sel otak akan berhubung apabila menerima maklumat. Otak pun berfungsi dengan baik jika kita berfikir. Membaca dapat membantu mengelakkan otak daripada rosak akibat tidak digunakan untuk berfikir dan menerima maklumat.

Seorang pembaca mempunyai pelbagai ragam. Pernah atau tidak anda hanya membaca satu-satu topic sahaja, apabila ada buku yang berkisar topic lain disebelahnya, anda hanya memandangnya sebelah mata? Sejujurnya saya juga pernah mengalami situasi sebegitu. Malah, membuka satu muka surat sahaja lantas menutupnya semula. Pembaca sebegini harus berubah. Anda, saya perlu menjadi seorang pembaca yang baik.

 adakah anda seorang pembaca yang baik?

Bagaimana?

Jadilah pembaca yang mempunyai kepelbagaian dalam pembacaan. tidak hanya tertumpu sahaja. Adakalanya perlu jika membuat suatu kajian dan pemerhatian.

Jadilah pembaca yang ramah. Menerima pembacaan orang lain tanpa mewujudkan sebarang perasaan negatif orang lain. Lebih baik kita sentiasa mendekati mereka dan berkongsi pembacaan anda di samping menerima hasil pembacaan orang lain. Ingat! Setiap pembaca mempunyai pendapat yang berbeza.

Jadilah pembaca yang positif. Kadangkala buku yang berada di hadapan kita mempunyai judul yang agak klise dan tidak menarik minat. Jangan sesekali terlintas:

“Siapa nak baca buku macam ni.”
“Buku macam ni tak membina minda.”

Hal ini kerana, kita belum tahu isi kandungannya. Suatu hukuman telah dijatuhkan tanpa diketahui sebab musababnya. Hindari sifat sebegini.

Jadilah pembaca yang menghargai hasil kerja orang lain. Sewaktu membaca, pelbagai spesifikasi dan pendapat akan timbul dari minda kita terhadap karya seseorang. Fikirkan susah payah mereka menyiapkan karya untuk dikongsikan kepada kita. Sedangkan kita yang membaca belum tentu mampu menghasilkan karya seperti mereka. Usah hanya menilai membuta tuli.

Akhir sekali, jadilah pembaca yang tidak jemu untuk membaca dan terus membaca. Tidak kira apa jua jenis pembacaan, garap ilmu hasil pembacaan untuk mendapatkan nilai murni dan sebaiknya dijadikan moral dalam kehidupan. Sedangkan Allah menyuruh Rasulullah membaca malahan diturunkan sebagai wahyu pertama.

“Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan.” – Surah Al-Alaq : 1

Oleh itu, mari sama-sama kita tingkatkan pembacaan kita. Semoga perkongsian dari saya ini berguna. InsyaAllah.

Ditulis Oleh:
Mohamad Qayyum Shamsudin

0 comments:

Post a Comment