KALAU BUKAN MEREKA

Saturday 21 September 2013

 Kerja mereka sungguh bahaya.
Semuanya kerana mencari rezeki yang halal.



Assalamualaikum


Dalam penulisan kali ini, saya nak berkongsi dengan anda pengamatan saya, apa yang saya lihat dan apa yang saya fikir. Sebagai seorang 'kaki jalan' pastinya mata kita tidak lekang melihat persekitaran. Kalau boleh sepanjang perjalanan kita nak lihat di kiri dan kanan kita.

Pernah lihat siapa yang akan bersihkan koridor kelas, tandas, sapu lantai? Terutama pada waktu hujan. Air hujan bukan sahaja membasahi bumi malah tempias di koridor. Kemudian kita sebagai pengguna laluan di koridor melaluinya sehingga menyebabkan air hujan tadi bercampur dengan kekotoran yang terdapat pada tapak kasut kita.

Maka Makcik Cleaner akan membersihkannya. Memastikan kebersihan itu tugas mereka.

Ketika waktu sekolah dulu, kita lihat persekitaran sekolah yang penuh dengan landskap. Seingat saya, setiap sekali sebulan pokok-pokok yang menjadi hiasan dibentuk dengan cantik. Reban ayam dan burung dibersihkan.

Itulah kerja seharian Pakcik Pekebun yang tidak lepas memegang cangkul dan memakai sarung tangan.

Apabila saya berada di rumah ketika cuti semester, setiap minggu saya atau adik saya akan mengumpul sampah di dapur dan diletakkan di hadapan jalan masuk ke rumah. Ketika itu juga saya perhatikan sebuah lori sampah bertulis MDKT di badannya akan lalu.

Bau lori tersebut sangat memualkan. Bagi sesiapa yang tidak tahan, pasti termuntah. Tapi peliknya, tukang angkat sampah dengan tenang mengambil plastik-plastik sampah dan dicampak ke dalam lori. Tanpa memakai mask. Hanya sarung tangan sahaja untuk mengelakkan kuman.

Sungguh hebat mereka menahan bau yang memualkan itu.

Suatu hari, saya terpandang seorang lelaki muda sedang membersihkan tingkap sebuah bangunan yang agak tinggi. Diangkat menggunakan sebuah para yang disangkut menggunakan alat tertentu. Walaupun ianya dikatakan dijamin dengan keselamatan, tetapi ia masih menakutkan.

Bila-bila masa sahaja boleh jatuh.

Seolah-olah mempertaruhkan nyawa untuk kerja-kerja 'gila'.

Bayangkan mereka memper'judi'kan nyawa untuk mencari wang. Jika hendak difikirkan, adakah ahli keluarganya tidak risau?

Pada kita mereka tidak sehebat kita. Mereka kerja dalam kekotoran, bau yang tidak menyenangkan malah membahayakan. Tidak malukah mereka kerja sebegitu?

Itu pendapat sesetengah orang. Malah ada yang menghina pekerjaan mereka. Saya pernah melihat makcik cleaner menjadi bahan kutukan pelajar-pelajar di sekolah. Malah tanpa sifat berperikemanusiaan membuang sampah di tepi tong sampah sedangkan tong sampah masih belum penuh.

 Kerja mereka mulia.
Jika tiada mereka, anda mampu lakukan?
Pastinya tidak.




Pertama,

Bayangkan, makcik cleaner, pakcik pekebun itu adalah ahli keluarga kita.

Kedua,

Bayangkan mereka menggunakan duit gaji hasil jadi cleaner, pekebun untuk menyara hidup kita, makan minum kita.

Ketiga,

Jika tidak kerana mereka, koridor yang kotor tidak akan pernah bersih, pokok-pokok yang terbiar tanpa penjagaan malah mati. Anda mahu melakukan kerja seperti itu? Pastinya tidak.

Sedang duduk di tepi jalan, saya terfikir jika tiada mereka yang melakukan kerja-kerja itu, tiada siapa yang akan menjaga kebersihan dan kecantikan alam sekitar. Pada saya, mereka adalah orang-orang yang patut saya kagumi. Bukan sahaja kita kagum dengan orang berjaya. Hal ini kerana mereka berjaya melawan pemikiran mereka untuk mereka mencari rezeki. Saya pasti mereka berstatus ayah dan ibu. Mereka sanggup berdepan kekotoran dan bau yang tidak menyenangkan semata-mata mencari duit yang halal untuk menyara kehidupan keluarga mereka.

Saya hanya mampu tersenyum hiba melihat betapa hebatnya mereka. Mereka lebih hebat berbanding orang yang duduk di bawah aircond dan dilayan seperti raja. Mereka lebih kuat, lebih tabah berbanding seorang atlet yang berlari 30 hari tanpa henti.

Apa yang sepatutnya kita lakukan bukanlah mencerca kerja mereka. Kerja mereka mulia, halal malah mungkin lebih diberkati Allah berbanding kerja yang kita lakukan.

Kita perlu hargai dan ucapkan terima kasih kepada mereka. Setidak-tidaknya memberikan senyuman tanda kita menghargai kerja-kerja mereka.

Jika anda pernah melihat Movie Hindustan 'Munna Bhai MBBS' lakonan Sanjay Dutt, bagaimana cerita tersebut memperlihatkan seorang gangster, Munna Bhai memeluk seorang pakcik cleaner hospital semasa dia mengemop lantai. Lalu Munna Bhai mengucapkan terima kasih. Menakjubkan attitude sebegitu. Wajar dicontohi.

Setiap kali saya melihat makcik cleaner sedang membersihkan koridor, saya akan melemparkan senyuman dan meminta izin untuk lalu. Gembira mampu terukir apabila makcik itu membalas senyuman seolah-olah rasa dirinya dihargai sebagai manusia.

Anda juga mampu membuat seperti itu.

Hargai mereka.

0 comments:

Post a Comment