PLOT SASTERA KEHIDUPAN MANUSIA

Thursday 12 September 2013

Sebuah cerita yang menarik bukan hanya berdasarkan bait-bait penulisan,
Tetapi melalui jalan cerita yang ingin ditunjukkan - Sekadar Gambar Hiasan



Masih ingat lagi subjek Komponen Sastera (KOMSAS) yang pernah kita pelajari sewaktu di bangku sekolah menengah?

Bermula tingkatan satu lagi kita sudah didedahkan dan diajar mengenai komponen-komponen yang terdapat di dalam sastera. Cerpen, novel dan puisi.

Semasa saya berada dalam Tingkatan Dua, masih segar dalam ingatan KOMSAS Tragedi Empat Disember yang sangat tragis dan dihasilkan daripada sebuah kisah benar suatu ketika dahulu. Sangat sayu hati semasa saya membaca disamping mengeluarkan komponen-komponen sastera di dalam novel tersebut.

Mengimbas kembali sedikit teknik plot yang menjadi asas dalam sesebuah cerpen dan novel; teknik atau cara pengarang mengemukakan atau menceritakan sebuah peristiwa yang mempengaruhi plot sama ada plot cerita itu mengikut kronologi atau tidak. Sesetengah cerita terdapat kejutan dan saspens yang membuatkan plot itu menarik dan berkembang. Idea seorang penulis.

Plot penceritaan pula merupakan kaedah pengarang menyampaikan cerita sama ada ianya melalui perbualan, monolog dalaman mahupun diskripsi cerita itu sendiri.

Dalam penulisan kali ini, saya bukan hanya mahu mengimbas kembali nostalgia mendalami bidang KOMSAS ini tetapi dalam masa yang sama saya ingin kita sama-sama terjah lebih dalam dengan mengaplikasikan plot dan penceritaan ini dengan kehidupan yang telah dan sedang kita lalui.

Sedar ataupun tidak kehidupan manusia; lebih mudah diberi contoh diri kita sendiri ibarat sebuah cerita atau novel. Bezanya kisah diri kita tidak ditulis malah novel tentang diri kita juga tidak tahu pengakhirannya.

 
Plot sastera mempunyai persamaan dengan jalan kehidupan seorang manusia.
Hanya berbeza dari pengakhirannya.
Anda tahu?



PLOT

Eksposisi (Permulaan)

Kisah kehidupan manusia bermula dengan jalan cerita yang sama. Dilahirkan oleh seorang wanita tabah bernama ibu untuk melihat dunia. Di sinilah permulaan sebuah kehidupan terbentuk melalui cara dan kaedah didikan oleh kedua ibu bapa. Ketika ini, anak-anak ibarat kain putih yang bersih. Tidak ada sedikit pun kotoran yang melekat padanya.

Saya mengibaratkan perjalanan sewaktu kita dilahirkan sebagai eksposisi cerita kerana ketika ini kita baru sahaja melihat dunia setelah diizinkan oleh Allah. Manusia telah menjalani eksposisi sebuah kehidupan yang sama. Dicipta oleh yang Maha Esa melalui perantaraan seorang wanita yang melahirkan kita. Berbeza dengan Nabi Adam A.S dan Hawa yang dijadikan daripada tanah.

"Kemudian kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. Lalu kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; Kemudian kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; Kemudian kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik pencipta." - Surah Al-Mu'minun (23:14)

Dalam perjalanan cerita ini, kita dididik, diasuh dan dijaga dengan sepenuh hati ibarat menatang minyak yang penuh. Segala kasih sayang dicurahkan tanpa mengira penat lelah.

Kain yang putih itu telah mula tercorak dengan pelbagai warna dan masing-masing mempunyai design tersendiri.

Rentak kehidupan kita pun sudah menampakkan ritmanya kerana lazimnya kanak-kanak akan mengikut perilaku ibu bapa mereka. Jika baik maka baiklah kelakuannya dan begitu juga sebaliknya.



Komplikasi (Perkembangan Cerita)

Ketika ini rentak kehidupan manusia sudah mula berbeza-beza. Perasan atau tidak kita sudah mula mempunyai kehendak sendiri. Malahan kita sudah menanam sebuah impian dan hala tuju.

Waktu ini juga kita menerima pelbagai kejutan budaya. Sebagai contoh ketika melangkah ke alam persekolahan.

Pertamanya kita diajar perkara baru oleh guru-guru yang merupakan ibu bapa kedua. Sesi pembelajaran ilmiah berlaku pada waktu ini kerana kita tidak diajar mengenai kepakaran dunia di rumah secara terperinci.

Otak dan pemikiran kita juga mula berkembang kerana kuasa ilmu yang diterima. Zaman inilah penentuan kepada cerita kita yang seterusnya.

Disamping itu juga kita dikejutkan dengan ilmu tidak formal melalui persekitaran. Sahabat, budaya setempat, keadaan sekeliling dan sebagainya. Sebagai contoh skill dan kemahiran. Hakikat sebenar ianya jarang dipraktikkan di dalam kelas. Melalui ilmu tidak formal jugalah ianya diserapkan.

Dalam komplikasi cerita kehidupan ini manusia mempelajari pelbagai ilmu dan mempraktikkan ilmu-ilmu tersebut sama ada untuk diri sendiri, keluarga, mahupun orang lain. Sebagai contoh mudah seseorang yang sudah bekerja dan mempunyai kedudukan pangkat yang tinggi. Sudah pasti ilmunya banyak. Sudah tentu juga dia banyak memberi sumbangan.

Namun dalam perkembangan cerita ini, perlu diingat bahawa tidak semua di antara kita cerita kehidupannya berkembang secara mekar. Perlu sedar ada juga di antara kita kisah kehidupannya ibarat sebuah pokok yang berkembang tanpa daun.

Perkara ini mungkin terjadi kepada sesetengah individu yang terpengaruh dengan keadaan sekelilingnya sehingga memaksa dirinya melakukan sesuatu yang tidak baik.



Klimaks (Kemuncak Cerita)

Dalam kehidupan manusia, klimaks akan terjadi apabila seseorang itu mendapat kebahagiaan ataupun musibah. Ketika ini pelbagai reaksi akan ditonjolkan sebagai ekspresi kepada cerita tersebut.

Pernah atau tidak kita mengalami satu suasana yang berbeza dari hari-hari kebiasaan. Mendapat pujian daripada majikan, memperoleh kemenangan dalam suatu pertandingan, menjadi orang contoh dan sebagainya yang membuat kita gembira kerana kemuncak itu.

Lazimnya dalam kehidupan manusia, klimaks atau kemuncak ini merupakan sesuatu yang sangat berharga dan menjadi ingatan sampai bila-bila. Klimaks manusia boleh jadi berulang kali. Tidak hairanlah jika seseorang itu mempunyai pelbagai kenangan manis dalam hidupnya.

Begitu juga dengan musibah. Ia juga klimaks dalam kehidupan manusia kerana peristiwa pahit selalunya juga menjadi ingatan. Berbeza ekspresi dengan kebahagiaan, hanya kesedihan, kemurungan, trauma malah keinsafan dan rasa bertaubat mula ditonjolkan.

Sebagai contoh, seseorang ditimpa musibah apabila dimasukkan ke dalam penjara kerana perbuatan jenayah yang dilakukan. Pasti dia akan kecewa, sedih dan mula mengimbas kembali kesilapan yang pernah dilakukan.



Pengakhiran Cerita

Di dalam sastera seperti novel dan cerpen, cerita akan berakhir dengan pelbagai situasi. Ada cerita yang berakhir dengan kegembiraan. Bagi novel Islamik, kebiasaan cerita akan berakhir dengan rasa keinsafan dan perubahan ke arah yang lebih baik. Ada juga cerita yang berakhir penuh tragik, kesedihan sehingga pembaca boleh melelehkan air mata.

Namun, pengakhiran kehidupan manusia masih menjadi tanda tanya. Tiada siapa yang dapat meneka pengakhiran seseorang itu sama ada baik atau sebaliknya. Hakikatnya hanya Allah sahaja yang mengetahui kerana Allah Maha Mengetahui.

Kisah 'novel' kehidupan kita bergelar manusia ini boleh mengalami perkembangan dan klimaks berulang kali tanpa kita sedari. Pasti anda pernah mendengar kata-kata:

"Hidup manusia ibarat roda. Adakalanya kita berada di atas, adakalanya kita berada di bawah."

Oleh itu, wajarlah kisah cerita kehidupan manusia ini tidak dapat ditulis dengan sempurna kerana adakalanya kita mengecapi kebahagiaan tetapi kadangkala kita merasai musibah yang datang sebagai ujian.

2 comments:

teringat form 3 = kanang

*jakun jap coz first time komen kat blog org,, kihkih*

Kanang anak Langkau....huhuhu

Post a Comment