CERPEN: ANDAI DAPAT KU UNDURKAN MASA

Saturday, 30 August 2014




Oleh: Mohamad Qayyum Shamsudin

“KAU dah gila Azman? Kau nak ubah takdir Allah?”
Prof. Azman hanya mendiamkan diri merenung kertas projek yang dilukisnya sendiri. Prof. Hamdan, rakan baiknya sendiri melabelkan dirinya sebagai ‘gila’ dek kerana projek yang ingin dibangunkan. Baginya projek ini bukan gila! Projek ini adalah masa depan sains. Untuk apa mereka membazirkan masa menceburi bidang sains jika tidak mencuba sesuatu yang baru.
“Aku tetap nak teruskan projek ini.” Prof. Azman membalas ringkas. Dia tidak mahu berbalah panjang dengan rakan baiknya itu. Tubuh tuanya itu pun belum tentu mampu menahan daya tekanan dan momentum jika tercetusnya pergaduhan.
            Prof. Hamdan bingkas bangun dan terus meninggalkan Prof. Azman di dalam makmal milik mereka. Pintu makmal dihempas kuat. Terbuku seribu kekesalan di dalam hatinya dengan keputusan Prof. Azman. Dia tidak menyangka rakan baiknya itu membuat keputusan untuk melakukan projek yang dianggapnya mustahil dan hanya wujud di filem-filem Hollywood. “Tidak ada yang mustahil di dalam dunia sains, Am.” Hanya itu kata-kata Prof. Azman setiap kali Prof. Hamdan menyanggah keputusannya.
Prof. Azman dan Prof. Hamdan merupakan ahli saintis Negara dan kebolehan mereka mengubah dan mencipta ideologi dan produk berkonsepkan ‘Human’s Life Get Easier With Science’ telah dikenali dan diiktiraf saintis dunia. Tidak hairanlah jika mereka mendapat gelaran ‘Saintis Gila’ oleh para pencebur bidang sains. Mereka berdua menjadi rakan baik sejak dalam bidang sarjana lagi. Ketika itu mereka berdua sudah pun mempunyai mahligai bahagia sendiri dan masing-masing dikurniakan seorang anak.
            Namun, malang tidak berbau menimpa sewaktu Prof. Azman mengambil kerja lebih masa di makmal untuk menyiapkan kertas kajiannya. Hari itu dia tidak pulang ke rumah walaupun sudah menjadi kebiasaan menjadikan makmal kerjanya sebagai rumah kedua. Jika tidak larat untuk pulang, dia dan Prof. Hamdan akan tidur sahaja di dalam makmal. Selewat jam 3 pagi, usai sahaja dia menyiapkan kertas kajian, dia mulai mengantuk. Tiba-tiba telefon bimbit miliknya berdering.
            “Hello, Encik Azman Umar?” suara dihujung talian memulakan bicara.
            “Ya saya. Kenapa ya encik telefon malam-malam begini?” Bagaikan orang hilang kesabaran dan adab sopan, Prof. Azman terus mengajukan soalan setelah menjawab soalan. Maklumlah siapa yang tidak waras menelefon waktu-waktu begini.
            “Maafkan saya encik. Saya Inspektor Latiff dari ibu pejabat Sentul ingin memaklumkan bahawa rumah encik telah dipecahkan masuk tengah malam tadi.” Suara Inspektor Latiff agak tegas menerangkan situasi kepada Prof. Azman.
            Ya Allah! Fatihah! Jasmin! Monolog Prof. Azman sendiri.
            Prof. Azman terkejut. “Isteri dan anak saya macam mana? Mereka tidak apa-apa?” saat ini fikirannya hanya terbayang wajah isteri dan anak tunggalnya sahaja. Dia mulai diselubungi kegelisahan. “Justeru saya pinta Encik Azman segera pulang dan melihat sendiri keadaan anak dan isteri encik...” belum sempat Inspektor Latiff menyudahkan bicara, talian diputuskan.
            Dia bergegas keluar dari makmal hingga terlupa menguncinya dan berlari ke arah kereta yang diparkir berdekatan. Dalam keadaan serabut, dia terus menghidupkan enjin, menolak kotak gear dan menekan minyak dengan pantas hingga menyebabkan tayar berdecit. Pemanduannya malam itu bagaikan seorang jagoan pelumba jalanan. Hatinya terus gelisah. Bibirnya bergumam menyebut nama anak dan isteri kesayangannya. Fatihah! Jasmin! Fatihah! Jasmin! Ya Allah selamatkanlah mereka!

            DUA buah kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebuah ambulans diparkir di hadapan rumah Prof. Azman. Lampu siren yang tidak dimatikan menjadikan kawasan perumahan mewah itu meriah dengan cahaya.  Prof. Azman terus memberhentikan keretanya berdekatan rumahnya dan terus berlari mencari anak dan isterinya.
            “Encik, mana anak dan isteri saya? Apa yang dah berlaku encik?” Prof. Azman tercungap-cungap mengajukan soalan sejurus bertemu seorang pegawai polis. Tag namanya tertera ‘LATIFF ISHAK’. Ya. Dialah Inspektor Latiff yang menelefonnya sebentar tadi. Dia ingin masuk ke dalam rumah, tetapi ditegah oleh Inspektor Latiff.
            “Sabar encik. Dengar dulu apa yang saya ingin cakap.” Inspektor Latiff cuba menenangkan Prof. Azman sebelum menyambung bicara. “Saya harap encik bersabar. Rumah encik telah dipecah masuk kira-kira jam 1.30 pagi tadi...hmm..berat untuk saya katakan, anak dan isteri encik telah menjadi mangsa kekejaman penjenayah. Dibunuh. Selebihnya kami menunggu hasil autopsy ke atas mangsa-mangsa. Saya harap encik terima hakikat pemergian ini. Maafkan saya.” Inspektor Latiff berbicara tenang sambil memaut bahu Prof. Azman. Dia tahu, seseorang itu sukar untuk menerima kehilangan orang yang tersayang. Prof. Azman bagaikan hilang kekuatan lantas berlutut di atas bumi dan menangis teresak-esak. Dia menguatkan diri berjalan ke arah anak dan isterinya yang sudah dimasukkan ke dalam beg hitam. Dia menatap wajah mereka dengan penuh hiba.
            “Kenapa tinggalkan abang Tiha? Kenapa tinggalkan ayah Min?” Tanyanya kepada tubuh yang tidak bernyawa dan tidak akan lagi disambungkan nyawanya. Wajah-wajah suci mereka menambah gelora tangisan Prof. Azman.
            “Sarjan, klasifikasikan kes ini sebagai rompak dan bunuh. Cari sebarang bukti untuk mencari suspek yang terlibat. Ambil keterangan saksi jika ada. Sekarang!” Inspektor Latiff pantas mengarahkan anak buahnya menjalankan tugas. Masakan tidak, ini bersabit soal nyawa yang telah hilang!
            Prof. Hamdan yang baru sahaja mendapat khabar buruk mengejutkan itu pantas berlari ke tempat kejadian. Prof. Azman dicarinya terlebih dahulu. Dia tahu rakannya itu sedang diuji dan tidak ada kekuatan saat ini. Terpandang sahaja rakannya yang sedang menatap mayat anak dan isterinya, dia terus mendekati. Dia memaut bahu Prof. Azman. Cuba untuk menenangkan. “Sabar, Azman. Sabar.” Ucapnya tenang dan lembut.
            “Fatihah...Jasmin...dah tinggalkan aku Am.” Prof. Azman terus menangis.
            “Ini sudah takdir Allah. Terima Man. Bawa mengucap.” Rakannya itu terus-terusan berusaha menenangkan. Siapa menyangka malam itu menjadi sejarah hitam bagi Prof. Azman. Kehilangan orang-orang tersayang sekaligus dan membuatkan dirinya sebatang kara. Tatkala mayat-mayat itu diangkut oleh pihak polis ke dalam kenderaan Black Maria milik PDRM, tangisan Prof. Azman terus sahaja memuncak. Prof. Hamdan tidak henti-henti berusaha menenangkan rakannya itu.

15 Tahun Berlalu...

“AZMAN, kau dah fikir masak-masak nak gunakan mesin ini?” Prof. Hamdan menyoal Prof. Azman ketika mereka sedang menikmati minum petang di sebuah bistro. Prof. Azman tidak lekas menjawab. Dia hanya diam menikmati hirupan kopi.
            “Ya. Memang aku akan gunakan.” Jawabnya seusai menghirup kopi. “Mesin ini ciptaan terulung aku, Am. Kalau dulu hanya wujud dalam filem-filem Hollywood sahaja, kali ini aku akan realisasikannya.” Katanya penuh bangga.
            “Tapi kau pun tahu kan mesin itu tidak diluluskan lesen penggunaannya. Malah boleh merosakkan otak manusia. Mesin itu mempunyai kesan sampingan kepada pengguna. Dan siapa yang akan menjadi bahan ujikajinya?” Prof. Hamdan bagaikan tidak puas hati dengan jawapan rakannya itu.
            “Mudah. Aku akan jadi bahan ujikaji. Aku akan mencubanya sendiri. Kalau kau nak ikut, tak ada masalah. Ada dua tempat khas disediakan.” Prof. Azman ketawa kecil. Sedari dulu lagi dia tahu rakannya itu memang tidak mahu dia meneruskan projek gilanya itu. Katanya, mustahil. Melawan takdir Tuhan. Tetapi baginya belum cuba belum tahu.
            “Kita tak boleh melawan takdir Allah, Man. Kau nak ubah takdir, kau bukan Tuhan. Mesin itu juga bukan Tuhan.” Prof. Hamdan menghempaskan keluhan.
            “Am, salahkah aku ingin kembalikan Fatihah dan Jasmin? Lima belas tahun aku kesepian, Am. Aku Cuma nak mereka kembali. Itu saja. Aku bukan mahu mengubah seluruh dunia. Aku cuma nak keluarga aku. Tidak akan memberi kesan pada yang lain bukan?” Prof. Azman mematikan hujah Prof. Hamdan. Kali ini Prof. Hamdan terkelu apabila dibangkitkan cerita hitam lima belas tahun lalu.
            “Tapi kau mengubah apa yang telah ditentukan Allah. Aku takut kau bukan sahaja hilang mereka, malah kau akan hilang segalanya. Lagipun penjenayah-penjenayah tu dah kena tangkap. Kau masih tak dapat terima takdir. Tak dapat terima kenyataan. Relakanlah mereka yang telah pergi, Man. Berdoalah untuk mereka. Allah itu maha adil. Allah tahu apa yang patut ke atas hamba-hambanya. Tugas kita sentiasa beribadah kepada-Nya.” Prof. Hamdan cuba untuk menyedarkan Prof. Azman supaya sentiasa ingat kepada Allah. Segala yang ada di atas muka bumi ini berkehendak di atas kehendak Allah. Jika Allah berkehendak, maka jadilah ia. Begitu juga ajal dan maut, segalanya sudah ditentukan oleh Allah.
            “Aku tetap dengan keputusan ini. Muktamad.” Prof. Azman tetap berkeras. Tua tubuhnya tidak bermakna lembut orangnya. Prof. Hamdan terpaksa akur. “Baiklah. Tapi kau kena ingat, sains mestilah berpandukan agama. Bukan agama berpandukan sains. Aku tak nak kau menyesal kemudian hari.”

MEREKA berdua terlihat sedang memeriksa sebuah mesin khas yang dipanggil ‘TIME REVERSE’. Hasil ciptaan terulung Prof. Azman. Mesin ini terlihat seperti sebuah roket dan mengandungi dua buah balang kecil yang boleh menempatkan dua pengguna dalam satu masa. Mesin ini mampu mengekstrak memori si pengguna dan membawanya ke masa lampau. Si pengguna akan kembali ke waktu-waktu tertentu yang telah di setkan untuk melihat kembali situasi, bertemu orang-orang yang dikenali malahan mampu mengubah jalan memori tersebut. Dalam prakata yang mudah, mengubah takdir. Itulah yang akan dilakukan oleh Prof. Azman. Bertahun-tahun dia menyiapkan mesin ini semata-mata untuk mengembalikan anak dan isterinya yang tercinta. Caranya, dia akan cuba menyelamatkan anak dan isterinya dalam insiden pecah rumah lima belas tahun lepas. Namun pengawasan telah diambil kira oleh Prof. Azman bahawa setiap mesin mempunyai kelemahan dan pantang larang yang perlu dielakkan. Begitu juga dengan mesin terulung ciptaannya itu.
            “Azman, sudah bersedia? Mesin akan beroperasi dalam masa dua minit lagi.” Beritahu Prof. Hamdan.
            “Aku bersedia.” Balasnya ringkas. “Kalau kau nak ikut sekali, masuklah dalam balang sebelah. Setidaknya ada juga aku teman.” Prof. Azman berseloroh. Walaupun dia tahu rakannya itu dalam keterpaksaan, tetapi dia tidak mahu terus memaksa. Pilihan ada di tangan Prof. Hamdan untuk sama-sama mengikutnya ke masa silam.
            “Kalau terdesak, baru aku masuk. Ingat insiden berlaku jam 1.30 pagi menurut pihak polis tetapi itu hanya anggaran. Dan masa kau terhad. Jika tubuh mengalami hentakan, kau akan kembali ke dunia asa. Satu lagi, jangan ubah apa-apa perkara atau situasi kecuali menyelamatkan anak dan isteri kau.” Prof. Hamdan mengukir senyuman. Dia juga tidak mahu terus-terusan menyanggah jika sudah ini keputusan yang di ambil Prof. Azman.
            “Baiklah.” Prof. Azman ringkas menjawab.
            Prof. Hamdan menyelaraskan waktu yang ingin ditembusi iaitu lima belas tahun ke belakang. Sejenis kapsul diberikan kepada Prof. Azman untuk mengurangkan kesakitan ketika proses berjalan dan proses penyesuaian diri apabila memasuki ruang waktu.
            “Sedia...mesin akan beroperasi dalam 5...4...3...2...1” Punat ditekan.
            Dalam sekelip mata sinar cahaya putih memancar di ruang makmal. Prof. Hamdan yang tadinya sempat memejamkan mata, kini mengalih pandangan ke mesin. Prof. Azman telah hilang dalam balang kaca. Proses berjaya!
            Prof. Hamdan mengeluh dan berdoa agar rakannya itu selamat.

Putaran waktu: 15 Tahun ke belakang (Sebelum Insiden Berlaku)
5.00 Petang

MATA Prof. Azman berpinar-pinar. Seluruh kepalanya pening dan terasa berat. Walaubagaimanapun, digagahinya juga untuk bangun. Dia tertidur petang. Dia bingkas bangun dan menyambung kerjanya. Sesekali dia menggeliat memperbetulkan segala urat-uratnya yang tidak selesa. Mungkin gara-gara tidur petang tadi. Dilihat sekeliling ruang makmal, Prof. Hamdan tiada.
            “Hmm...mungkin dah balik tadi. Aku je yang tak perasan. Nampak gaya aku overnight seorang je la.” Dia bermonolog sendiri. sejurus dia mencapai telefon bimbit dan membuat panggilan.
            “Hello abang. Abang balik tak malam ni?” Suara halus dan manja terdengar di hujung talian. Suara itu milik Fatihah, isteri tercinta.
            “Maaf sayang. Abang tak balik malam ni. Kena siapkan kertas kajian. Esok abang baliklah. Baru satu hari tak kan dah rindu?” Prof. Azman berseloroh.
            “Jasmin ni rindukan abahnya. Dah la jarang ada dekat rumah. Ada rumah sendiri, makmal jugalah abang suka. Jangan sampai kami anak beranak mati baru abang ingat rumah.” Fatihah mulai tegas. Namun dalam tegasnya terselit kemanjaan seorang wanita.
            “Apalah awak ni, esok abang baliklah. Jangan sebut lagi mati-mati. Abang tak nak dengar.” Pantang sungguh bila dikaitkan tentang mati. Tetapi Prof. Azman cuba bersikap tenang dengan isterinya. Setelah selesai membuat panggilan, Prof. Azman bingkas bangun dan membancuh kopi. Setiap hirupan dinikmati sedalam-dalamnya. Kemudian dia menyambung tugasan.
            “Mati. Azman. Mati. Fatihah. Jasmin. Mati.”
            Prof. Azman tersentak. Fikirannya menerawang mencari tujuan asal. Ya. Tujuan asal adalah menyelamatkan Fatihah dan Jasmin daripada dibunuh! Lekas dia melihat jam dinding. 9.30 malam. Masih ada beberapa jam lagi sebelum insiden berlaku. Dia terus keluar mengunci makmal dan memandu kereta pulang ke rumah. Dia berhati-hati memandu agar tidak mengalami apa-apa hentakan. Dia tidak mahu terlepas peluang keemasan ini. Namun, suara siapakah yang mengingatkannya sebentar tadi? Ah, persetan suara itu! Nyawa yang hilang mesti dikembalikan.

PROF. AZMAN memarkir keretanya sepuluh meter tidak jauh dari rumahnya. Dia hanya memerhatikan jam kereta. Ketika sudah melepasi jam 11 malam. Tiba-tiba tingkap keretanya diketuk.
            “Azman, tak kan duduk dalam saja.” Terpampang wajah Prof. Hamdan di luar kereta. Prof. Azman terkejut dengan kehadiran rakannya itu.
            “Aku ingatkan kau tak sudi cuba mesin tu. Ubah takdir Allah katakan.” Sempat lagi Prof. Azman menyindir sambil keluar dari kereta.
            “Kita memang tak dapat ubah takdir Allah. Aku cuma nak tolong kau, kawan. Selamatkan kau.” Prof. Hamdan tenang membalas.
            Prof. Azmanyang tidak memahami kata-kata Prof. Hamdan merenung rakannya. Wajahnya sedikit pucat. “Kenapa kau nampak pucat, Am?” Tanyanya kehairanan. “Tak ada apa-apa. Mungkin kesan proses tadi. Aku lupa telan kapsul. Kepala, badan jadi sengal-sengal. Sudah, mari bertindak.” Prof. Hamdan terus melangkah menjauhi kereta. Prof. Azman tanpa banyak tanya hanya mengikut rentak langkah Prof. Hamdan.
            Prof. Azman membuka pintu rumah perlahan-lahan. Kebetulan dia sememangnya menyimpan kunci pendua untuk kemudahan kemudian hari. Mereka menyelinap bagaikan sosok pencuri. Prof. Hamdan menyorok di belakang sofa manakala Prof. Azman menyorok di balik dinding menghala ke dapur. Jam di tangan Prof. Azman sudah mencecah jam 12.30 tengah malam. Ini bermakna dia harus menunggu satu jam lagi sebelum ‘tetamu’ tiba.
            Tiba-tiba corong telinga Prof. Azman menangkap bunyi dari dapur. Kedengaran seolah-olah tingkap dapur diumpil. Perlahan-lahan kepalanya menjengah ruang dapur. Di balik tingkap, terlihat samar-samar sosok tubuh dua orang perompak yang akan memecah masuk dan membunuh dua orang tersayangnya. Dia mengisyaratkan Prof. Hamdan supaya mendekatinya.
            Setelah beberapa minit, dua orang perompak itu berjaya memecah masuk dengan mengumpil jendela dapur. Wajah mereka tidak kelihatan kerana dilitupi topeng yang lazimnya digunakan oleh pemotong rumput – hanya terlihat mata, hidung dan mulut sahaja. Pakaian mereka yang menyamai kegelapan ruang rumah nyata menyukarkan orang lain untuk mengesan bahawa terdapat sang penjenayah di dalam rumah. Setelah mereka merasakan aman, perompak-perompak tadi bergerak perlahan-lahan mendekati ruang tamu.
            Prof. Azman dan Prof. Hamdan sudah bersedia untuk bertindak. Hakikatnya mereka tiada sebarang asas seni mempertahankan diri. Hanya sebatang kayu penyapu menjadi senjata. Sebaik sahaja perompak-perompak itu melangkah ke ruang tamu, Prof. Azman pantas menghayunkan kayu penyapu ke salah seorang perompak.
            “Aduh!” Jerit perompak yang baru sahaja dipukul oleh Prof.Azman.
            Tidak semena-mena seluruh rumah bercahaya. Fatihah dan Jasmin keluar dari bilik dalam keadaan terkejut.
            “Abang? Ya Allah. Perompak!” Fatihah meluru mendapatkan anak perempuannya dan memeluk erat.
            Akibat panik, seorang lagi perompak mengeluarkan pistol yang disisip di punggung dan menghalakan senjata ke arah Fatihah dan Jasmin. Prof. Hamdan dengan pantas berlari ke arah dua beranak itu. Namun belum sempat sampai, satu tembakan dilepaskan dari arah berlainan. Bukan dari perompak yang mengacukan pistol. Tidak sangka perompak yang dipukul oleh Prof. Azman juga menyimpan pistol. Prof.Hamdan terus rebah.
            “Hamdan! Hamdan!” Prof. Azman bagaikan dirasuk apabila melihat rakannya ditembak. Dia memaut Prof. Hamdan.
            “Diam!” Salah seorang perompak bersuara. Pistol yang dipegangnya masih diacukan ke arah anak dan isterinya. “Kalau tak nak nyawa mereka melayang, diam!”
            Dalam keadaan layu, Prof. Hamdan membisikkan sesuatu ke telinga Prof. Azman. Beberapa saat kemudian nyawanya terpisah dari jasad. Prof. Azman terus berlari mendapatkan perompak-perompak bersenjata itu. Salah seorang daripada perompak itu mengayunkan buku lima ke perut Prof. Azman. Lantas dia terduduk bersujud di atas bumi. Dia mengerang kesakitan.
            “Kau nak sangat mereka mati kan?” Ancam perompak yang mengacukan pistol.
            “Jangan, tolong jangan apa-apa kan mereka.” Prof. Azman merayu dalam kesakitan.
            “Dah terlambat.” Perompak yang mengacukan pistol menarik picu.
            Tidak semena-mena Prof. Azman merasakan perubahan terhadap tubuhnya. Dia sudah melepasi had dunia ini. Syarat tidak boleh mengalami hentakan telah dilanggari. Ini bermakna bila-bila masa dia akan kembali ke masa hadapan. Penglihatannya sudah mulai kabur.
            BAMM! BAMM!
            Dua das tembakan dilepaskan. Dalam kesamaran penglihatannya, Prof. Azman melihat susuk tubuh mungil anak dan isterinya menyembah bumi satu per satu. Dia menitiskan air mata. Ketika itu juga pandangannya gelap.

15 Tahun Ke Hadapan (Hari Ini)

Prof. Azman membuka matanya perlahan-lahan. Kepalanya masih terasa sakit. Kini dia kembali ke tubuh tuanya. Bergetar-getar tangannya menolak pintu balang mesin ciptaannya. Tiba-tiba dia terhidu bau asap. Bukan sepintas lalu, namun bau itu terus-terusan menujah ke mukus hidungnya. Asap itu menyebabkannya sukar untuk bernafas. Matanya juga pedih untuk dibuka. Disebabkan itu, dia tidak dapat melihat apa yang sedang berlaku.
            “Tuan, ada orang di dalam makmal.” Satu suara kedengaran berhampirannya.
            “Bawa dia keluar. Salurkan oksigen.” Arah seorang lagi yang dipanggil ‘Tuan’.
            Tubuh Prof. Azman yang tidak berdaya dipapah keluar dari makmal. Sebaik sahaja melangkah keluar dari makmal, dia menoleh perlahan-lahan ke arah bangunan tempat kerjanya. Alangkah terkejutnya tatkala melihat asap berkepul-kepul keluar diselangi sambaran api sedang memakan tempat kerjanya. Apa yang sedang berlaku?
            Prof. Azman ditempatkan bersama paramedik dan diberikan bantuan kecemasan. Dia masih bingung dan tertanya-tanya insiden tika itu. “Encik, apa yang berlaku?” Dia terus bertanya apabila salah seorang pegawai bomba melewati hadapannya.
            “Maaf encik, makmal encik mengalami kebakaran. Berpunca dari litar pintas dan bahan kimia yang tumpah di makmal encik. Malahan makmal encik terkunci sewaktu kebakaran berlaku.” Pegawai itu menerangkan dengan jelas.
            “Macam mana dengan rakan saya, Hamdan? Dia selamat?” Lekas dia mengingati rakannya itu. Seingatnya Prof. Hamdan ditembak oleh perompak dalam dunia lampau. Jika ditembak, jasadnya pasti ada.
            “Maksud encik, Prof. Hamdan?” Pegawai itu menghempaskan keluhan. “Prof. Hamdan telah meninggal dunia dalam kebakaran. Dia meninggal dunia kerana pernafasan tersekat sebaik sahaja api mulai marak dan asap tebal akibat pintu makmal ini yang terkunci secara automatik. Jasadnya ditemui terbaring dihadapan pintu makmal.”
            Prof.Azman beristighfar. “Maksud encik, tubuh Hamdan bukan dalam balang kaca? Ada kesan tembakan?” Prof. Azman terus bertanya. Kali ini dia betul-betul bingung.
            “Ya encik, kami menemui mayat Prof. Hamdan di hadapan pintu makmal. Mana ada kesan tembakan. Setitik darah pun kami tidak temui.” Pegawai bomba itu melangkah meninggal orang tua yang terus diselubungi kebingungan.
            “Kita tidak akan boleh melawan takdir Allah, Azman. Kau sudah melakukan kesilapan. Terima takdir ini dengan ikhlas.” Bisikan terakhir Prof. Hamdan membuatkannya terkesima. Kesilapan apakah yang aku telah lakukan?
            “...Satu lagi, jangan ubah apa-apa perkara atau situasi...
            Mata Prof. Azman terbeliak. Segar dalam ingatannya bahawa dia yang mengunci pintu makmal dari luar semasa berada dalam ruang waktu lima belas yang lalu. Sedangkan hakikat asal dia tidak mengunci pintu selepas mendapat panggilan daripada pihak polis. “Maafkan aku Hamdan. Maafkan aku.” Dia menangis teresak-esak.
            Prof. Azman bagaikan dirudung sejarah hitam yang lebih pahit. Dia tidak dapat mengubah takdir, malah dia telah menyebabkan rakan baiknya sendiri mati. Dia telah kehilangan segala-galanya. Anak dan isterinya tidak dapat dikembalikan, makmal tempat kerjanya hangus diragut api dan Prof. Hamdan, mati kerana kesilapannya sendiri.
            Dalam kebingungan itu, bagaimana Prof. Hamdan boleh berada bersamanya di ruang waktu lima belas tahun yang lalu sedangkan dia sudah mati awal? Prof. Hamdan sempat mengingatinya dan membantunya ketika itu. Kejaiban itu menjadikan dirinya kesal di atas kehendaknya yang melampaui batas. Akibat ingin mengubah takdir, dia telah mengorbankan orang lain.
            Dia terus menangis dan menangis. Kata-kata Prof. Hamdan masih terngiang-ngiang di telinganya. Kata-kata itu kini telah menjadi nyata.
            “Kita tak boleh melawan takdir Allah, Man. Kau nak ubah takdir, kau bukan Tuhan. Mesin itu juga bukan Tuhan...Aku takut kau bukan sahaja hilang mereka, malah kau akan hilang segalanya.”


        “Aku menyesal. Kalaulah aku dapat perbetulkan semula. Ya Allah, ampunkan aku.” Prof. Azman terus merintih kekesalan.