CERPEN : DIBAWA MATI

Thursday, 29 January 2015




Apa yang ingin kau bawa tika mati?



Oleh: Mohamad Qayyum Shamsudin



TERKOCOH-KOCOH Ismeth berlari melewati persimpangan kedai dan menuju warung Abang Jaidon. Ismeth termengah-mengah apabila berhenti di perkarangan warung kayu kecil. Dia memanggil-manggil Abang Jaidon, namun suara tenggelam dek nafasnya yang tersekat-sekat. Hanya tangannya melambai-lambai ke arah Abang Jaidon.

            “Abang...Jaidon...sini...” dipaksa untuk kotak suaranya berfungsi walaupun masih mengah. Abang Jaidon yang sedang melayani pelanggan di warungnya menoleh. Dia kehairanan tatkala melihat gelagat Ismeth. Lantas dia berjalan ke arah Ismeth.

            “Hah, kenapa dengan kamu Ismeth? Macam baru lepas marathon saja.” Seloroh Abang Jaidon. Agak geli hati melihat Ismeth menunduk sambil tangannya menongkat di lulut. Gaya tidak ubah bagaikan atlet marathon yang usai latihan sukannya.

            “Kubur..Bukit Kahar...ada duit cina...terabur...” Ismeth berusaha menerangkan dalam keadaan sebegitu.

            Seraya Abang Jaidon beristighfar. Dia memaut bahu Ismeth. “Kubur siapa? Duit cina mana ni Ismeth? Cuba tenang. Terangkan satu-satu. Abang tak faham” Abang Jaidon bertanya menginginkan penjelasan. Dia terperanjat dan bingung dengan khabar dibawa Ismeth.

            “Kubur Pak Wahid bang.” Pernafasannya sudah kembali pulih. Dia mengurut dadanya. “Saya balik lepas talqin arwah Pak Wahid. Tapi saya datang semula sebab tertinggal barang saya. Tiba-tiba saya tengok atas kubur Pak Wahid penuh dengan duit-duit cina mati. Saya terkejut. Sebab tu saya lari.” Bersungguh-sungguh Ismeth menerangkan kepada Abang Jaidon.

            “Kamu biar betul. Kan kita sama-sama ada masa arwah dikebumikan lepas zohor  tadi. Kamu jangan main-main. Ingat betul-betul.” Abang Jaidon bagaikan tidak percaya. Dia dan Ismeth antara orang terakhir yang meninggalkan kawasan tanah perkuburan. Masakan ada orang lain yang menunggu di situ? Lebih menghairankan, kenapa duit cina mati yang ditaburkan di atas kubur orang Islam?

            “Sumpah bang. Kalau tak percaya mari ikut saya.” Ismeth menarik lengan Abang Jaidon. Dia bersungguh ingin membawa Abang Jaidon sebagai saksi cerita aneh itu.



TANAH Perkuburan Islam Bukit Kahar, Kampung Air Tawar terletak di atas bukit tertinggi kampung itu. Jolokan Bukit Kahar diberikan oleh penduduk kampung kerana dipercayai penduduk yang paling awal meninggal dunia dan dikebumikan di situ bernama Kahar. Abang Jaidon dan Ismeth merupakan penggali kubur kampung itu. Berbeza dengan Ismeth, Abang Jaidon meraih pendapatan sampingan dengan membuka warung kecil menjual makanan daripada sarapan hinggalah ke waktu malam. Lazimnya warung Abang Jaidon menjadi tempat persinggahan jemaah masjid setelah menunaikan solat berjemaah di masjid. Apabila diperlukan, Abang Jaidon akan bertugas menggali kubur. Manakala Ismeth adalah penggali kubur tetap. Dia yang berperwatakan lurus sukar untuk mencari pekerjaan lain. Cintanya terhadap kerja sebagai penggali kubur sangat mendalam walaupun upah diterima tidak seberapa.

            “Bang, tengok sendiri kubur Pak Wahid.” Ismeth mengunjukkan jari sebaik sahaja tiba di hadapan kubur milik Pak Wahid.

            “Ya Rabbi. Siapa punya kerja ni?” Abang Jaidon menggaru-garu kepalanya. Benar seperti yang dikatakan Ismeth, kubur Arwah Pak Wahid dipenuhi dengan helaian duit kertas yang biasanya digunakan oleh orang-orang cina apabila terdapat kematian. Kebiasaannya duit-duit ini ditanam sekali bersama mayat. Dikatakan, bukan sahaja semasa hidup memerlukan duit, malah ketika mati pun duit sangat diperlukan dan roh tidak akan hidup susah di alam berbeza kelak.

            Abang Jaidon mengutip beberapa helai duit itu dan ditatap dengan teliti. Dia khusyuk membelek-belek duit kertas itu. “Ismeth, mari. Kita jumpa ketua kampung. Perkara ini mesti disiasat.” Tegas Abang Jaidon. Namun dalam ketegasan masih terpancar ketenangan. Dia tidak boleh melonjakkan emosinya dengan perihal sebegitu walaupun perbuatan itu sudah mencemarkan kubur si mati. Dia bergegas menunggang motosikalnya. Ismeth sedari tadi hanya mengikuti Abang Jaidon tanpa banyak menyoal. Dia tahu ini serius. Dia menjadi pembonceng Abang Jaidon untuk ke rumah ketua kampung.



“ABANG Haji, ini bukti bahawa ada orang yang meletakkan duit cina atas kubur arwah Pak Wahid.” Terang Abang Jaidon mengepalai sekumpulan belia kampung kepada Haji Deraman yang lebih mesra dengan panggilan Abang Haji. Tampak lebih muda dan elegan di mata penduduk kampung. Abang Jaidon meletakkan duit cina yang diambilnya di perkuburan tadi untuk dijadikan bukti di atas kesaksiannya bersama Ismeth. Haji Deraman hampir tidak mempercayai insiden yang telah berlaku. Dia menganggap ianya kebetulan sahaja memandang kawasan perkuburan Bukit Kahar juga menjadi laluan orang-orang cina untuk ke kebun mereka.

            “Tapi Abang Haji, kedudukan kubur arwah Pak Wahid lima ratus meter dari laluan mereka. Mustahil untuk katakan duit itu tercicir di atas kubur. Lagipun tak logik mereka membawa duit itu ke kebun. Untuk tujuan apa?” Bersungguh-sungguh Abang Jaidon menyangkal pendapat Haji Deraman dengan fakta yang kukuh. Seraya Haji Deraman berfikir panjang. Dia mengeluh panjang sebelum menyatakan sesuatu.

            “Sebenarnya perkara sama pernah berlaku tahun lepas. Seingat saya kubur yang ditabur duit cina mati itu kubur arwah Nek Mariam,” berkerut dahi Haji Deraman cuba mengimbau sesuatu. “Nek Mariam, isteri Pak Wahid?” Balas Ismeth penuh yakin.

            “Ya, Nek Mariam isteri Pak Wahid.” Haji Deraman mengulang. Kali ini jelas diingatannya perihal Nek Mariam, isteri Pak Wahid yang telah kembali ke Rahmatullah setahun yang lalu. Nek Mariam menghidap penyakit kencing manis yang sangat kronik hingga menyebabkannya buta sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tiada seorang anaknya pulang menziarahi apatah lagi memandikan mayatnya ketika dia meninggal dunia. Anak-anak mereka hanya pulang seminggu selepas kematian Nek Mariam dan pergi membawa haluan selepas pembahagian harta. Lebih menyedihkan, perbalahan berlaku dalam kalangan anak-anak mereka kerana pembahagian yang dilakukan bersifat tidak adil walhal pembahagian telah dilakukan sama rata. Setiap anak mendapat bahagian masing-masing. Namun di antara mereka, ada yang mahukan lebih.

            Tiba-tiba Haji Deraman melafazkan istighfar berulang-ulang kali. Dia mengurut dadanya dan bangun mendekati tingkap rumahnya. Sesuatu bermain di benak fikirannya. Pastinya ia suatu kisah lama...



“ABANG haji!...Pak Wahid…Pak Wahid masuk hospital!” Rahim, pemuda kampung tercungap-cungap memberi pengkhabaran. Haji Deraman yang sedang duduk minum di warung Abang Jaidon terperanjat. Cawan yang dipegangnya diletak. Hanya istighfar yang terucap di dalam hatinya. “Bila masuknya Rahim?” Haji Deraman bertanya.

            “Pagi tadi. Sapawi, anak Pak Wahid yang bagitahu.” Rahim menjelaskan.

            “Kalau macam tu, marilah kita jenguk Pak Wahid.” Bergegas Haji Deraman membayar duit minuman dan pergi ke keretanya yang diparkir berdekatan. Diikuti beberapa orang kampung yang turut sama ingin menziarahi Pak Wahid di hospital.



“ATOK bagi masa dua minggu…bayar semula empat ribu ringgit atok.” Terketar-ketar Pak Wahid berbicara. Wajahnya dipaling, tidak memandang ke arah cucunya. Asyikin, cucu sulung hanya menangis keesakan mendengar desakan datuknya.  Haji Deraman yang baru sahaja tiba tergamam mendengar perbualan keluarga itu. Dia hanya mampu menyaksikan ‘drama’ tanpa berbuat apa-apa. Tiba-tiba Sapawi mendekati Asyikin, “Bayar jela, lain kali nak kahwin, jangan pinjam. Menyusahkan saja. Duit atok duit aku juga.” Asyikin tersentap. Dia terus menangis dan meluru keluar dari wad. Asyikin, cucu sulung Pak Wahid, baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Dia telah meminjam wang dari atoknya oleh kerana keluarganya sendiri bukan orang berkemampuan. Kata-kata yang menyakitkan itu turut dirasai oleh Haji Deraman. Siapa sangka, dalam keadaan sakit dan terlantar, Pak Wahid masih memikirkan duit. Lebih menyedihkan, anaknya menjadi batu api. Demi sahaja melihat peristiwa itu, Haji Deraman membatalkan niat untuk menziarahi.

            Tiba-tiba bahunya disentuh. Apabila ditoleh, Nazri, abang ipar Sapawi menguntum senyuman. Haji Deraman membalas tawar. “Maafkan kami. Abang Haji terpaksa lihat perkara yang tak sepatutnya.” Lalu Nazri mempelawa Haji Deraman duduk di kerusi berdekatan. Haji Deraman masih membisu. “Saya tahu Abang Haji tak percaya dengan apa yang Abang Haji lihat. Tapi itulah kenyataan keluarga kami. Pak Wahid, bekas bilal kampung yang disanjung selama ini hanya pentingkan duit.” Nazri menerangkan keadaan sebenarnya apabila melihat reaksi Haji Deraman yang masih terpinga-pinga. Satu keluhan berat dilepaskan. Nazri menerangkan lagi, “Abang Haji, Pak Wahid hanya ingat duit. Walau seringgit dipinjam cucunya sendiri, dia akan ungkit kemudian hari. Saya, isteri saya puas nasihat. Tapi ada yang jadi batu api. Melagakan adik-beradik sendiri.” Jelas Nazri lagi.

            Haji Deraman terkejut, “Siapa yang jadi batu api?” Dahinya berkerut seribu.

            “Adik-adik ipar saya, Sapawi dan Mazlan.” Jawab Nazri, ringkas. Haji Deraman beristghfar lagi. Sungguh dia tidak menyangka keadaan keluarga Pak Wahid yang berantakan. Sapawi dan Mazlan yang selama ini disangka baik rupanya orang yang bermuka-muka. Haji Deraman bertanya lagi, “Abang Haji nak tanya kamu. Anak-anak arwah Sudin ada ziarah Pak Wahid?” Tiba-tiba terlintas ingin bertanyakan perihal cucu Pak Wahid yang keluar dari kampung selepas pemergian arwah Sudin 13 tahun yang lalu. Hanya diketahuinya salah seorang anak arwah Sudin telah berjaya.

            “Tak ada.” Ringkas. Haji Deraman mengeluh. “Pak Wahid dah tak ngaku mereka tu cucu.” Haji Deraman menggelengkan kepala. Istighfarnya yang tadi hanya dilafaz di dalam hati mulai terungkap di bibir. Jelas sebutannya. “Lagipun bukan salah mereka tak ziarah atoknya. Dari kecil mereka dihina, diasingkan walaupun cucu sendiri. Lebih menyedihkan, harta arwah Sudin pun Pak Wahid dan dua beranak tu nak ambil.” Nazri menceritakan kisah sebenar. Dua beranak itu merujuk kepada Sapawi dan Mazlan. “Saya selalu berjumpa anak sulung arwah Sudin tu, Abang Haji.” Kali ini Haji Deraman memandang serius ke arah Nazri.

            “Bila kamu jumpa? Kamu tak ajak mereka jumpa atoknya?” Haji Deraman melontar soalan bertubi-tubi.

            “Kerap juga. Waktu hari raya, cuti sekolah. Saya dan isteri ada ajak. Tapi mereka tidak mahu. Mereka sudah tawar hati dengan perangai atoknya. Mereka pernah kata…” Nazri terhenti. Teragak-agak ingin meneruskan bicara. “Mereka menaruh dendam dengan Pak Wahid…katanya kalau mereka tahu di mana kubur atok dan nenek mereka, mereka bersumpah akan tabur duit cina atas kubur…macam tu juga kalau pakcik-pakcik mereka mati…” Nada suaranya kian perlahan. Haji Deraman yang mendengarnya terpempan.

            “Kenapa boleh jadi sampai macam itu Nazri?” Haji Deraman mulai sebak dengan tidak semena-mena. Menurut Nazri, isteri dan anak-anak arwah Sudin amat tidak disukai oleh keluarga Pak Wahid. Perihal hidup dan sekolah cucu-cucunya itu langsung tidak dipedulikan. Wang pencen arwah Sudin ditukar nama secara paksa walhal isteri dan anak-anaknya masih hidup. Hidup mereka terkapai-kapai. Pernah juga mereka menziarahi Pak Wahid, namun hanya cacian yang keluar dari mulut bekas bilal itu. Menyeksakan lagi hidup anak-anak beranak itu apabila Pak Wahid dan dua beranak zalim itu meminta wang harta arwah Sudin dan menuduh isteri arwah dengan perkara yang tidak pernah dilakukan. Sehinggalah kematian Nek Mariam, anak-beranak itu tidak datang melawat. Anak sulung arwah Sudin pernah menyatakan, jangan sesekali diberitahu kubur Nek Mariam dan Pak Wahid. Kalau dia tahu, dia bersumpah akan tabur duit cina di atas kubur mereka kerana mereka hanya fikirkan duit. Lebih baik duit itu dibawa mati. Kata-kata itu membuatkan Nazri sekeluarga tergamam.  Ya Allah, begitu sekali kesan perit yang dialami cucu-cucu Pak Wahid. Tergamak kau Wahid! Tergamak kau! Kerana wang kau buta. Kerana wang kau buang keluarga. Ya Allah. Haji Deraman hanya mampu bermonolog sendiri.



“ABANG HAJI…abang haji…” Abang Jaidon menegur Haji Deraman yang terbuai memori lama. Demi sahaja bahunya disentuh, dia tersentak. Wajahnya memandang Abang Jaidon. “Abang Haji tak apa-apa ke?”

            “Ya..ya…tak apa-apa.” Haji Deraman menekup mukanya. Seraya mengesat peluh sejuk yang menitis walau sedikit. “Beginilah, saya tidak mahu perkara ini diperbesarkan. Malam ini, adakan tahlil dan bacaan yasiin di masjid untuk orang-orang yang telah kembali kerahmatullah. Jadikan peristiwa hari ini sebagai pengajaran. Sungguhpun kamu mempunyai banyak wang, ia tidak akan menjamin kamu di akhirat. Malah tidak boleh pun dibawa ke dalam kubur. Harta…wang adalah hiasan dunia. Ingatlah, duit tidak boleh dibawa mati.” Haji Deraman berhujah memberi nasihat. Abang Jaidon dan sekumpulan belia kampung menggangguk faham. Mereka bersurai untuk melaksanakan amanah yang diberi Haji Deraman malam ini. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang telah meninggal dunia. Mengampunkan dosa Pak Wahid.