HIJRAH: BERJUANG DAN BERKORBAN (TAMRIN RIJAL NASIONAL)

Tuesday 10 December 2013




Kita Bersaudara. Kita Berjuang di atas Landasan Yang Sama.
Hijrah-Berjuang Dan Bersaudara
Tamrin Rijal Nasional



Pertama kali mengikuti sebuah program yang terpisah peserta antara lelaki dan perempuan. Awal pemberitahuan tentang program ini membuatkan saya menjadi teruja untuk mengikutinya. Walaupun masih lagi dalam konteks yang sama iaitu mendidik para daie muda, namun, bagi saya pemisahan ini yang menjadikan program ini unik. Tamrin Rijal Nasional khusus untuk lelaki dan Tamrin Nisa’ Kebangsaan khusus untuk perempuan sahaja.

            Bertemakan Hijrah: Berjuang dan Berkorban menjadikan Tamrin Rijal Nasional sebagai program yang mempunyai input ‘diluar jangkaan’ saya. Rata-rata peserta yang hadir mungkin sudah lali dan acapkali menyertai program ini tetapi tidak bagi saya yang masih ‘freshie’ dalam gerakan. Awal-awal lagi sahabat seperjuangan saya yang bersama-sama mewakili Kesatuan Pelajar Islam Terengganu (KEPITAR) telah menyatakan bahawa program yang dianjurkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) adalah luar jangkaan. Jika anda fikir program ini satu matlamat, maka ia akan menjadi dua. Begitu juga sebaliknya.

            Kami diarah untuk membawa bekalan makanan sendiri iaitu satu tin sardin, secawan beras, satu sudu garam dan gula, serta teh. Bagi sesiapa yang bijak pasti lebihkan sukatan kerana tiada siapa yang dapat jangkakan apa yang berlaku. Malah ada yang membawa pelbagai makanan tambahan.

Expected to be unexpected

            Siapa sangka kedatangan kami ke Kg. Kalumpang itu disambut oleh pokok durian yang setinggi tiang elektrik dan sebatang sungai yang mengalir deras. Kebiasaan kem yang pernah saya lalui, sungai hanya dijadikan tempat untuk mandi, membasuh dan mencuci. Untuk Tamrin Rijal Nasional, sungai merupakan laluan utama untuk ke tapak perkhemahan yang sebenar! Malah tiada laluan alternatif lain untuk ke tapak tersebut. Luar jangkaan yang pertama tampaknya. Wahai sahabat, sungguh masin mulut anda.

            Disebabkan kami antara peserta yang terawal sampai ke tapak perkhemahan, kami membantu senior-senior PKPIM selaku penganjur memasang khemah dan membina dewan untuk solat. Paling tidak boleh dilupakan apabila kami mengorek tanah untuk dijadikan tandas. Saya pasti memang tiada siapa yang sanggup merasmikan tandas tersebut. Mungkin sehingga hari terakhir tandas itu masih kekal seperti asalnya. Hari pertama sahaja kami sudah memasak makanan yang dibawa sendiri. Tidak menggunakan dapur gas walaupun ‘portable’. Tidak sama sekali. Kami menggunakan bahan semula jadi iaitu kayu.

Melalui sungai, masaka makanan sendiri, tidur di dalam khemah, berada di dalam kawasan yang tidak tahu tahap keselamatannya. Malah segalanya semula jadi. Apa signifikasi program ini sebenarnya?

Hasil Dapatan
           
            Kami dari Kesatuan Pelajar Islam Terengganu (KEPITAR) tidak dapat menghabiskan program ini sehingga hari yang terakhir. Namun penulis (saya) tidak rasa terkilan kerana satu malam yang dihabiskan sangat memberikan input dan ibrah kepada kami. Berawal dari kejutan laluan sungai itu sendiri sebenarnya telah mengajar kita bahawa di dalam dunia ini manusia sangat banyak tempat bergantung. Bukan sahaja kepada mesin, teknologi, kemudahan jalan raya. Tetapi alam juga menjadi tempat bergantung kepada manusia.
Terkesan daripada kupasan bibliografi yang disampaikan oleh Cikgu Tango, atau nama sebenarnya Encik Yusaimi, ABIM Perak bahawa alam adalah ciptaan Allah dan kita sepatutnya menjaganya bukan merosakkannya.

Hasil interpretasi saya bahawa tamrin ini menunjukkan kita bahawa seorang daie bukan datang dan bergerak hanya dengan kesenangan semata. Ada duit maka ada aktiviti. Ada kemudahan maka ada gerakan. Pada saya itu bukan seorang pendakwah yang murni. Kesenangan itu adalah bonus selepas bersusah payah menggerakkan dakwah dalam jemaah. Bagaimana rasulullah suatu ketika dahulu berdakwah dengan cara yang sukar awalnya sebelum diterima oleh pengikutnya, begitu jugalah kita yang boleh dikatakan masih ‘fresh’ dalam gerakan. Normal jika seorang daie, seorang yang masuk dalam gerakan sukar untuk menerima tanzim yang dibawa malah sukar memberikan komitmen untuk bergerak. Analoginya sama seperti seorang pemuda kampung yang bertahun duduk di kampung tiba-tiba tinggal di bandar. Maka kejutan budaya akan berlaku. Sesi penyesuaian akan bermula.

            Hijrah – Berjuang dan Bersaudara. Jika dalam bahasa Indonesia ia disebut Perjuangan dan Persaudaraan. Tema ini telah menyentuh hati saya. Imbas sedikit mengenai kisah hijrah Rasulullah dari Mekah ke Madinah, Rasulullah tidak berhijrah keseorangan. Baginda bersama-sama pengikutnya berhijrah ke Madinah tanpa sebarang paksaan atau menuntut ganjaran. Contoh inilah yang sepatutnya diamalkan dalam gerakan Islam pada hari. Di mana seseorang yang ingin berdakwah tidaklah kerana dipaksa mahupun terpaksa. Seterusnya ikhlas kerana Allah Ta’ala. Sebuah perjuangan akan menjadi murni dan suci jika diterapkan keikhlasan dan tiada rungutan di dalamnya. Tidak perlu mengeluh jika terjatuh dan bangkit semula untuk memperbaiki kejatuhan itu.

            Di samping itu, tema ini telah menyemai bahawa sikap persaudaraan itu sangat penting dalam berjuang dan gerakan Islam. Persaudaraan yang akan menjadi salah satu senjata dalam berdakwah. Hal ini kerana melalui persaudaraan itu tadi, masing-masing boleh memberi solusi dan bersama-sama menyelesaikan masalah yang berlaku dalam kalangan umat Islam pada hari ini. Saya ambil contoh mudah, dalam organisasi atau kesatuan, apakah yang akan berlaku jika hanya Presiden sahaja yang memikirkan masalah dan solusi walhal terdapat 20 orang di dalam organisasi tersebut? Jawapan saya solusi dapat difikirkan namun tiada siapa yang akan menggerakkan solusi apatah lagi menyelesaikan masalah itu.

Akhir Kalam

            Hijrah – Berjuang dan Bersaudara bukanlah sekadar tema namun senjata dalam perjuangan. Akhir kata, setiap manusia mempunyai pandangan mereka tersendiri lebih-lebih lagi peserta-peserta dan jawatankuasa tamrin ini. Pandangan di atas merupakan hasil yang saya pelajari dan akan dipraktikkan dalam perjuangan. InsyaAllah dengan izin Allah.

0 comments:

Post a Comment