PENGHUJUNG TIRAI 2013 – MASA MUHASABAH DIRI!

Saturday 28 December 2013



Jangan ego untuk muhasabah.
Muhasabah diri sebelum teruskan iltizam.


Pejam celik, pejam celik, tahun 2013 sudah sampai ke penghujungnya. Jikalau kita melihat sebuah drama, ia sudah mendekati season finale atau episod-episod terakhir sebuah cerita. Jika ia sebuah tournament, ia mendekati perlawanan final. Meningkatnya tahun, bermakna meningkat juga usia dan daya fikir kita sebagai manusia. Mengimbau kembali 10 tahun yang lepas, kemungkinan waktu itu kita masih bisa berseronok di dalam zaman kanak-kanak atau remaja. Namun kini, ia boleh dikatakan sebagai kenangan dan memori yang tersimpan.

Masa akan terus berjalan, berjalan, dan berjalan tanpa henti. Satu saat yang terpapar pada jarum jam atau nombor bagi jam digital itu sangat berharga. Jika terlepas sesaat itu, ianya boleh merugikan. Cuba kita fikir sejenak, sudah berapa banyak masa kita rugikan untuk perkara sia-sia? Berapa banyak pula kita gunakan untuk kebaikan?

Sebelum kita membina iltizam baru pada awal tahun 2014, alangkah baiknya jika dapat menyenaraikan kembali segala kesilapan dan kekurangan yang telah kita lakukan sepanjang tahun ini. dalam erti kata lain, MUHASABAH DIRI. Ini bertujuan mengingatkan kembali diri kita agar tidak bertindak mengulang kembali kesilapan yang pernah kita lakukan sebelum ini.

Muhasabah diri bukanlah bertujuan untuk menjatuhkan diri sendiri, tetapi lebih bertujuan untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik pada masa hadapan. Lebih penting lagi, tidak mengulang kesalahan yang sama. Kata Saidina Umar Al-Khattab “Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitungkan.” Andai kata kita pernah melakukan kesilapan atau dosa, bertaubat. Andai pernah melakukan kebaikan, teruskan menjadi amalan.

Muhasabah diri tidak memerlukan wang atau tenaga. Hanya duduk sebentar, renung dan senaraikan kembali semua perbuatan kita sepanjang tahun 2013. Tampak remeh, justeru ia membezakan kita dengan orang yang sombong. Dan juga lebih mendekatkan diri kita kepada Allah.

Ibnul Qaiyim pula berkata: “Muhasabah ialah membezakan antara apa yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah mengetahui yang demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehinya dan melunaskan apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak akan kembali.”

Antara perkara yang wajar kita renungkan kembali dan muhasabah;

Hubungan dengan Allah;
Adakah kita melakukan kewajipan yang disuruh oleh Allah?
Pernah tinggalkan kewajipan itu?
Bagaimana keikhlasan anda sewaktu melakukan kerja? Kerana Allah atau berkehendakkan dunia?
Maksiat?

Hubungan dengan makhluk;
Sudahkah kita memaafi rakan-rakan kita?
Terputuskah ukhwah yang terbina?
Adakah kita telah membina jurang antara kita dengan saudara Islam yang lain?
Terjagakah hubungan kita dengan ibu bapa?
Pernah menyakiti hati sesiapa?

Hubungan dengan alam;
Pernah mengotorkan alam sekitar?
Sejauh mana kita mempertahankan alam ini dari ‘diracun’ oleh tangan-tangan jahil?
Pernah anda merosakkan alam ini dengan maksiat?

Ini hanya sebahagian yang saya rasa perlu kita renungkan kembali untuk diperbaiki.

Ibnul Qaiyim berkata: “Sesiapa yang tidak memuhasabah dirinya di dunia, maka dia berada di dalam kelalaian”.

Mari kita sama sedar lebih awal bahawa kita tidak akan perihal kehidupan kita pada tahun-tahun mendatang. Bak kata pepatah melayu, ......sesal kemudian tidak berguna. Benar bukan? Oleh itu, bersama-sama kita bermuhasabah diri supaya dapat meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T

Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku” - adz Dzariyat : 56

InsyaAllah. Dengan izin Allah.

0 comments:

Post a Comment