TAHUN BARU: KEMBARA AZAM

Tuesday 7 January 2014





 2014
Azam baru?
Azam lama?
Tiada azam?



Selamat Tahun Baru!
Happy New Year!
Sanah Jadidah Sa’idah!

Walau sudah beberapa hari berlalu, namun kita masih lagi berada di dalam kehangatan tahun baru. Bertambah usia, berlaku perubahan status daripada bujang kepada ‘in relationship’, perubahan diri dan pelbagai lagi. Dalam penulisan ringkas tahun baru ini, saya ingin berkongsi kepada anda semua perkara-perkara yang sepatutnya kita fikir apabila masuk sahaja tahun baru.

Pada penulisan yang lepas, saya telah highlight kan beberapa perkara yang perlu untuk muhasabah diri. Apabila kita telah bermuhasabah diri, refreshing atau reflection (refleksi diri) dan bertaubat kepada Allah malahan juga maaf-memaafi antara sesama manusia, kita perlu juga fikirkan perkara yang akan kita lakukan pada tahun hadapan (tahun ini) bukan? Selesai refleksi, adakah kita mahu berada di takuk yang lama? Pastinya kita ingin berubah ke arah yang lebih baik bukan?

AZAM Saya tahun ini............
Saya berazam untuk...............
Tahun ini saya ingin...............

Azam. Azam bermakna kemahuan. Azam tahun baru beerti suatu kemahuan yang kita ingin tunaikan pada tahun ini dengan jayanya. Ayat di atas sudah menjadi klise apabila menjelang tahun baru. Pelbagai kemahuan yang diingini dengan harapan ianya tertunai. Tidak kiralah ianya nyata atau pun tidak. Sebagai contoh, berazam menginginkan rumah, kejayaan dan sebagainya. Namun berapa ramai yang berazam inginkan perubahan (Taghyiiri) ke arah yang lebih baik, bertaqwa kepada Allah, mencari ilmu sebanyak-banyaknya dan meningkatkan iman? Jika ada terniat atau berazam pada tahun-tahun sebelumnya, adakah sudah tertunai?

Azam itu bukan janji atau manifesto yang wajib ditunaikan. Namun adakah wajar kita mengganggap azam itu sambil lewa sahaja?  Tidak sahabat-sahabat. Anggaplah azam itu sebagai impian kita yang perlu kita kecapi dan capai dengan jayanya. Jika tidak, azam anda itu hanyalah perkara yang sia-sia.

“Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang”

Berazam ingin memiliki sebuah telefon bimbit katakan, tetapi empunya keinginan malas kumpul duit, malas buat survey harga dan sebagainya-bertemankan alasan-ibarat menunggu bulan jatuh ke riba, sampai bila-bila sukar untuk memilikinya. Walau dapat sekalipun, dia tidak akan dapat serupa dengan keinginannya.

Pada pandangan saya, kita telah menjalani sebuah kembara sepanjang kehidupan kita. Bermula sejak lahir hinggalah berada pada tahap ini. Kembara yang saya maksudkan ialah KEMBARA ILMU, IMAN, dan TAQWA. Tiga perkara yang seiring dengan perjalanan kehidupan kita. Malahan tiga perkara ini juga mengalami tahap penerimaan sesuai dengan tahap evolusi kita. Sejak kecil kita sudah diterapkan dengan ilmu oleh kedua ibu bapa kita untuk mengenal dunia. Keluar dari perut ibu, ilmu pertama yang kita perolehi ialah AZAN dan IQAMAT.

Dalam usia yang belum mummayiz, kita sudah didedahkan dengan siapa Tuhan kita. Ayah dan ibu tidak berkata secara langsung Allah tuhan kita, tetapi perlakuan mereka; ajar makan baca doa, bawa ke masjid, ikut marhaban, ikut angkat takbir dan sebagainya. Mereka sudah mengajar kita iman (yakin dan percaya) kepada Allah.

Perihal taqwa, ayah dan ibu selalu mengingatkan kita jika buat salah, Allah marah. Pernah tak merasai pengalaman begitu? Cerita tentang dosa dan pahala, di sekolah juga di ajar sehingga kita takut kepada seksaan Allah jika berbuat kejahatan. Percaya ganjaran jika berbuat kebaikan.

Saban hari, meningkatnya usia kita maka perkara-perkara ini juga perlu meningkat seiring agar kembara yang kita lalui ini bukanlah sebuah kembara yang sia-sia. Pengarah JAKIM pernah bertanya kepada saya:

“Ustaz nak tanya pada kamu, apa yang kamu dapat dalam program ini dan hidup kamu?”
Maka ketika itu saya menjawab, “Alhamdulillah, saya dapat ilmu-ilmu baru ustaz.”
Lalu ustaz itu pun berkata, “Bukan ilmu sahaja yang kamu perlu dapatkan. Ingat tiga perkara ini, ILMU, IMAN, dan TAQWA. Juga keredhaan daripada Allah.”

Jika berbuat sesuatu kerana ingin mendapatkan Allah, ilmu yang dicari itu tidak akan hilang malah berguna kepada diri dan orang disekeliling jika disebarkan. Iman kita kepada Allah tidak turun malah sekata atau meningkat keyakinan dan kepercayaan terhadap janji-janji Allah. Kita juga takut untuk melakukan kemungkaran dengan ilmu yang ada dan juga terhindar daripada sifat-sifat mazmumah; riak, ujub, takbur dan sebagainya.

Begitu juga dengan azam yang kita katakan pada tahun baru ini. Apa jua azam kita, pastikan ianya kerana Allah. Kecuali azam itu memang diyakini bukan sesuatu yang baik. Semoga dengan azam yang tercipta ini dapat membentuk diri kita ke arah yang lebih baik. InsyaAllah.


2 comments:

assalammualaikum :)

done follow.. syukran masih di beri nafas untuk bersama keluarga sehingga harini.. :P

keep in touch ya...

Afwan.. :D

Post a Comment