SAYANGI KUCING

Thursday 11 September 2014



Sanggupkah kita untuk menjadikan haiwan comel ini
sebagai bahan untuk kepentingan diri?



AKHBAR muka hadapan Harian Metro beberapa minggu yang lepas telah memaparkan laporan mengenai sindiket yang mengacukkan haiwan peliharaan yang comel, manja dan kadangkala polos dengan kedegilannya; kucing sehingga menyebabkan komplikasi, kecacatan dan lebih menyedihkan kematian. Cubaan beberapa individu untuk menghasilkan baka kucing terbaik hanya mengundang padah kepada kucing tersebut. Bayangkan seekor kucing biasa dikacukkan dengan kucing premium. Hasilnya, kucing yang lahir cacat, tidak dapat bertahan lama hidup, malah mati ketika bunting. Terdahulu, kisah seekor kucing yang menjadi kisah terulung Negara apabila seekor kucing dipotong dua belah kaki hadapannya tanpa belas kasihan oleh pemilik sebuah restoran. Hanya kerana mencuri ikan! Saya pasti anda tahu tentang kisah Hero, seekor kucing yang cacat namun tetap tabah menjalani kehidupan walaupun tidak dapat berjalan sempurna. Mujur ditakdirkan seorang hamba Allah merawat dan memeliharanya hingga pulih dari kesakitan.

            Saya terbaca beberapa buah laman sosial yang memaparkan lagi episod penderaan kucing ini. Dek kerana seekor ikan, kucing tersebut dipukul, dihentak hinggakan berjahit di bahagian mukanya. Nauzubillah. Lebih dahsyat apabila sangkar kucing dicampak daripada sebuah bangunan tinggi di mana terdapat tiga ekor kucing di dalamnya. Ibu dan dua ekor anaknya. Saya sedih tatkala dinyatakan ibu kucing itu menjilat-jilat tubuh dua ekor anaknya yang sudah mati. Sungguh ZALIM manusia sebegini. Mereka melihat haiwan ini ibarat patung mainan, disayang apabila perlu, dibuang tatkala benci. Perlu disedar, kucing adalah makhluk hidup. Perlukan makanan, minuman dan kasih sayang dari orang-orang yang dianggap ‘tuan’.

            Kucing adalah haiwan kesayangan Nabi Muhammad S.A.W. Baginda juga memelihara seekor kucing yang dinamakan Muezza. Betapa sayangnya baginda terhadap kucing peliharaannya hinggakan pada suatu hari, ketika baginda ingin memakai jubah, Muezza terlihat tidur diatas kain bahagian bawah jubahnya. Baginda sanggup memotong jubahnya agar tidak mengganggu tidur Muezza. Lihat di sini betapa sayangnya Nabi kepada haiwan. Sedangkan Abu Hurairah, seorang perawi hadis juga sahabat Rasulullah, amat menyayangi kucing. Beliau sengaja membesarkan jubahnya agar kucing-kucing dapat duduk di lengan baju beliau. Abu Hurairah digelar bapa kucing kerana sayangnya beliau terhadap haiwan tersebut.

            Namun, hakikat kini, seekor kucing yang hanya menumpang tidur di atas kain sahaja sanggup dipukul, ditendang dan didera. Di manakah sifat perikemanusiaan seorang insan yang dipanggil manusia? Seolah-olah hilang akal, hinggakan bertindak kejam dan zalim terhadap haiwan-haiwan ini. Pada pandangan saya, perbuatan individu-individu ini lebih kejam berbanding penduduk Vietnam yang sudah menjadi kebiasaan mereka menjadi kucing sebagai salah satu juadah makanan! Jelas terpampang di Harian Metro dan laman sosial wajah haiwan comel ini luka-luka, mati hasil ujikaji tidak bertamadun, dan mangsa dera.

            Sebagai seorang manusia yang amat menyayangi haiwan kesayangan Rasulullah ini, saya rasa terkilan dengan perbuatan sesetengah pihak ini. Norma kehidupan seekor kucing, juga haiwan-haiwan lain, tidak tahu mencari wang untuk sesuap nasi. Mereka hanya mencari hasil-hasil sisa dan makanan yang tidak ditutup. Kucing lazimnya menyukai ikan. Adakah ia tahu ikan itu kepunyaan seseorang? Tidak patut diambil tanpa izin? Persoalan saya mudah, jika makanan itu dicuri kerana tidak diletakkan ditempat sepatutnya, adakah ianya salah seekor kucing?

            Haiwan juga mempunyai sifat kasih sayang. Walaupun tidak se gah manusia, setidaknya ia tahu sayangnya seekor ibu kepada anaknya dan sebaliknya. Saya juga membela seekor kucing yang dibuang ketika bunting. Apabila melahirkan anak-anaknya, ibu kucing ini sangat menyayangi anaknya hinggakan ketika anaknya tidak cukup seekor, ia akan memanggil dan terus memanggil tanpa henti. Ia mencari sekeliling kawasan dan sewaktu bertemu anaknya, ia terus menjilat dan memeluk anaknya itu. Lihat kasih sayang seekor haiwan walaupun zahirnya tidak seperti manusia, namun jiwanya masih hidup seperti manusia.

            Insiden yang berlaku kepada kucing dan anak-anaknya yang dicampak dari tingkat sebuah bangunan hingga menyebabkan kematian kepada anak-anaknya membuatkan saya rasa marah. Masakan tidak, haiwan itu bernyawa dan dicampak tanpa sebab. Lebih-lebih lagi, ia jatuh di hadapan seorang ibu yang membawa anaknya. Sungguh zalim manusia sebegini! Bayangkan jika perkara ini berlaku kepada anak sendiri? Apakah perasaan ketika itu? Kita marah terhadap perbuatan zionis membunuh ribuan manusia yang tidak berdosa di tanah Palestin. Kita juga perlu tangani perbuatan mereka terhadap haiwan yang diperlakukan seperti zionis.

            Haiwan juga makhluk yang diciptakan oleh Allah. Tanpa kita sedari, haiwan-haiwan ini sentiasa mendoakan orang-orang yang berbuat baik kepadanya. Kerana haiwan-haiwan ini tidak digerunkan dengan azab api neraka. Sudah pastinya syurga. Kita, manusia seharusnya sedar azab api neraka yang telah dijanjikan oleh Allah.

#Catlover
#SayangiHaiwan

0 comments:

Post a Comment