Tibalah masanya untuk menentukan masa depan negara.
Jangan tersilap langkah, buruk padahnya.
Sudah mencecah sebulan terasa bahang mendekati pilihan raya. Maklum sahajalah sudah berdiri tegak bendera-bendera pelbagai warna yang di pacak di sepanjang jalan. Tidak ketinggalan beberapa khemah didirikan mewakili parti masing-masing bertujuan untuk menarik pengundi dan menaikkan semangat politik parti. Saya rasa hampir setiap malam saya akan nampak video-video ceramah politik dipasang di khemah-khemah tersebut.
Malah masjid-masjid serta surau-surau menjadi medan penyebaran semangat politik melalui risalah-risalah atau 'brochure' yang diletakkan di tangga.
Wah, bijak juga!
Semangat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 menjadi semakin berkobar-kobar apabila mendengar ura-ura mengatakan Parlimen akan dibubarkan. Masa inilah banyak teka-teki, strategi, dan jangkaan mengenai kemenangan telah diperbuat.
Saya melihat situasi Pilihan Raya Umum ini telah menjadi satu fenomena hangat seperti tsunami, hari kemerdekaan dan mungkin fenomena peperangan di mana setiap individu akan sibuk memikirkannya. Setiap hari akan ada artikel yang dikeluarkan mengenainya di media-media.
Mungkin juga seperti virus dan bakteria yang menyelinap masuk ke ruang-ruang badan manusia.
Jika di zaman persekolahan dahulu, saya tidak mengambil tahu sangat mengenai PRU ini. Waktu itu saya masih tidak layak untuk mengundi dan tidak ada suasana sebegitu di asrama saya.
Apabila masuk ke universiti, berbeza pula. Banyak pula isu politik yang dibincangkan disekeliling. Lebih-lebih lagi politik ini dikaitkan dengan pelajar undang-undang. Makan politik, duduk politik, berjalan politik malah tidur pun politik juga. Terutama menjelang PRU yang semakin hampir ini.
Apabila diumumkan sahaja mengenai pembubaran parlimen pada 3 April yang lepas, pelbagai reaksi telah timbul. Walaupun reaksi-reaksi sebegini telah muncul lebih awal lagi, tetapi kali ini lebih hangat tatkala status-status mengenai sokongan, raih undi membanjiri laman-laman sosial dan website.
"Masa untuk mengundi!"
"Pembubaran parlimen telah berlaku. Masa untuk tentukan pemimpin negara seterusnya."
Dan banyak lagi status. Bukan itu sahaja, poster-poster juga diedarkan.
Pada saya, cakna masyarakat mengenai politik negara menunjukkan rakyat Malaysia ini mengambil berat tentang masa depan negara kerana jika negara porak-peranda, kita sebagai penduduk akan merasa terseksa.
Kita tidak mahu menjadi penduduk di sebuah negara yang hancur dek kerana pemimpin dan pentadbirannya tidak boleh memajukan negara, membangunkan bangsa dan hanya mementingkan diri sendiri. Lihat bagaimana ada di antara negara-negara luar yang mengalami kehancuran kerana kesilapan daripada pemimpin dan pentadbirannya.
Mahukah kita menjadi begitu?
Alhamdulillah rakyat Malaysia masih lagi bertindak waras dalam memikirkan perihal negara. Walaupun ada demonstrasi, ianya tidak menjejaskan keadaan disekeliling secara total seperti yang berlaku di Mesir.
Bukankah mahasiswa cerminan masa hadapan?
Mahasiswa dan tugasnya....
Dari sudut Mahasiswa pula, perlu untuk mengambil tahu perihal semasa yang berlaku disekeliling kerana kita bukan lagi berada di tahap kanak-kanak. Kita perlu mengetahui isu-isu sebegini seperti PRU agar kita lebih matang.
Bukan hanya belajar di dalam kelas sahaja dapat mencambahkan pemikiran, mengetahui isu-isu disekeliling kita adalah bonus agar kita tidak diperbodohkan dan dalam masa yang sama boleh membuat perbandingan serta mencari satu solusi baru jika ada permasalahan.
Tidak salah untuk seorang mahasiswa bersungguh-sungguh memikirkan soal politik negara. Makna kita bukanlah 'katak dibawah tempurung'. Dalam masa yang sama, fikirkan kembali tugas sebenar seorang mahasiswa disebalik cita-cita untuk menegakkan suara mahasiswa.
Mahasiswa adalah tunjak utama kepada harapan negara kerana ada diantara mahasiswa inilah yang akan menjadi contoh kepada orang lain di Malaysia dan InsyaAllah mata dunia.
Sebelum menjadi begitu, lihat kembali skop utama mahasiswa iaitu mencari kecemerlangan dalam akademik, akal, sahsiah dan sebagainya.
Seorang mahasiswa yang 'cemerlang' akan memikirkan secara rasional mengenai isu-isu semasa seperti politik negara. Dia boleh membuat perbandingan dan menerima pandangan dari mana-mana pihak. Selain itu, mahasiswa yang mempunyai pemikiran cemerlang tidak berpihak kepada mana-mana pendapat dan lebih mendiskusikan secara ilmiah.
Sejujurnya, di tahap seorang mahasiswa, masih belum layak untuk menjadi calon dalam PRU ini. Banyak cabaran yang perlu ditempuhi untuk melayakkan seseorang itu bergelar ahli politik. Jangan samakan Pilihan Raya Kampus seperti PRU ini.
Saya pernah ditanya soal layakkah mahasiswa bertanding.
Saya hanya memberi pendapat, mahasiswa yang nak bertanding perlu perbetulkan kembali makna seorang mahasiswa yang cemerlang. Bagaimana nak memimpin jika perkara yang tidak sepatutnya dilakukan mahasiswa ditunjukkan?
Seperti contoh, lambat menghantar 'assignment', pergi ke kelas memakai seluar jeans sedangkan dilarang disesetengah unversiti, tidak memakai kad matrik sedangkan sudah diwajibkan dan sebagainya.
Itu hanyalah pendapat peribadi saya. Apabila saya menyuarakan pendapat, saya lebih suka menyatakan setiap manusia mempunyai pendapat yang berbeza supaya pendapat saya ini bukanlah titik noktah kepada pertanyaan tersebut.
Akhir kata, jangan kotorkan politik negara dengan pemikiran yang sempit kerana natijah padahnya bukan seorang dua yang akan menjadi mangsa, berjuta yang akan merana.
0 comments:
Post a Comment