BEBAS

Thursday, 27 June 2013


Bebas seperti burung camar





Acap kali anak mata ini memandang

Ke setiap pelusuk
Ke setiap sudut
Dunia yang indah
Yang penuh dengan rahsia

Wah!
Seronoknya tatkala melihat burung-burung berterbangan
Bebasnya mereka
Seronoknya tatkala melihat kucing-kucing berkejaran
Bebasnya mereka

Bermain di mindaku
Adakah aku seperti itu?
Bebas berterbangan
Bebas berkejaran

Hakikatnya
Aku juga bebas
Bebas melakukan apa sahaja
Cumanya
Bukan kejahatan, bukan kemaksiatan
Itulah bezanya
Antara aku dan mereka

MEMPOSITIFKAN KEMBALI PERKARA YANG SUDAH MENJADI NEGATIF

Friday, 21 June 2013

Mari Positifkan Jari ini


Sesi penulisan kali ini saya ingin berkongsi tentang sebuah aktiviti yang pernah saya pelajari. Aktiviti ini merupakan sebuah aktiviti yang diilhamkan oleh seorang pakar dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia.


Apa yang dimaksudkan dengan positif?

Setiap aktiviti yang lakukan dengan pelajar, mereka akan menjawab:

"Perkara yang baik,"
"Perbuatan yang elok,"

Apa yang dimaksudkan dengan negatif?

"Perkara yang buruk,"
"Tak baik,"

Dan sebagainya.

Bagaimana pula dengan mempositifkan kembali perkara yang sudah menjadi negatif?
Acap kali kita mendengar kata-kata jadilah manusia yang positif, berfikiran positif dan menjadi positif setiap masa. Walhal adakah kita diberitahu atau diceritakan bagaimana positif itu secara praktikal?

Aktiviti yang saya pernah pelajari ini telah membuka satu ruang positif di dalam diri setiap manusia. Pada asalnya apa jua yang berada di sekeliling kita adalah perkara yang positif. Tetapi sedar ataupun tidak masyarakat melayu telah menjadikannya negatif. Sehingga kini perkara yang negatif itu menjadi budaya dalam generasi baru.

Seperti contoh isyarat lucah menggunakan tubuh badan. Bukankah tubuh badan kita digunakan untuk perkara yang positif? Akan tetapi siapa yang menjadikannya negatif?

Kita perkara ini dipersoalkan, masyarakat melayu akan menyalahkan barat kerana memperkenalkan isyarat-isyarat tersebut.

Kenapa kita mengikutnya juga sedangkan kita tahu ianya perkara buruk?

Aktiviti ini menggunakan jari-jemari kita
Kembali kepada aktiviti mengembalikan perkara negatif ini menjadi positif, pertama sekali kita hendaklah mengingat kembali siapa yang telah menciptakan kita. Jari-jemari yang halus, cantik, diseragami dengan 5 jari dengan pelbagai fungsi dan nama, fikir siapa yang cipta?

ALLAH!

Ya Allah yang menciptakan tubuh badan kita yang cantik ini.

Kembali kepada jari-jemari yang halus mulus ini, kita tahu fungsi dan namanya bukan?

Ibu Jari : 'Thumbs Up' , 'Good'

Jari Telunjuk : Penunjuk arah, Tahiyat akhir

Jari Manis : Untuk memakai cincin

Jari Kelingking : Korek telinga, untuk merasa makanan

Bagaimana pula dengan jari yang satu ini?

Jari yang berada di tengah dan merupakan jari yang mempunyai saiz paling panjang di antara jari-jari yang lain.

JARI HANTU.

Apakah fungsinya?

Apabila jari ini diangkat dan ditunjukkan di khalayak, ramai yang akan mengubah reaksi kepada reaksi negatif. 

Namanya sudah negatif.

Ada yang mengatakan bahawa ianya isyarat untuk mencari perbalahan.

Ada yang mengatakan ianya isyarat lucah.

Ada juga mengatakan ianya isyarat keganasan.

....................

Sesungguhnya Allah yang telah menciptakan jari-jemari kita termasuk jari hantu ini. Allah menciptakan tubuh badan kita untuk perkara yang baik. Disebabkan persepsi orang yang mengikut budaya asing, ciptaan Allah ini telah disalah guna.

Kenapa tidak kita mengubahnya kembali kepada positif.

Mari kita cuba.

Jari hantu ini diubah fungsinya.

Apabila berjumpa dengan kawan, gunakan jari tengah atau hantu ini sebagai tanda perkenalan atau persapaan.

Halo! Sambil angkat jari tengah.

Cubalah mengubahnya. InsyaAllah akan banyak lagi perkara positif yang boleh dipraktikkan.

BANGKIT POSITIF!!!

Thursday, 13 June 2013








Assalamualaikum

Salam dihulur sebagai tanda perkenalan semula setelah agak lama saya tidak menulis. Hari ini saya akan kembali dalam penulisan ini walaupun ianya hanyalah picisan semata. Selama dua bulan ini saya telah melalui pelbagai detik-detik suka duka yang sedikit sebanyak membawa erti kepada kehidupan saya. 

Alhamdulillah, selepas menghadapi peperiksaan akhir semester, saya menjalani praktikal di Mahkamah Rendah Syariah Kota Tinggi. Setiap hari saya akan menghabiskan masa selama 15 minit untuk sampai ke destinasi dengan hanya menaiki sebuah motosikal sahaja.

Ada segelintir rakan-rakan bertanya, "Kenapa kau tak banyak kereta pergi praktikal? Lagi selamat. Taklah berpanas, berhujan."

Ya saya akui sepanjang menjalani praktikal, saya selalu pulang ke rumah dalam keadaan basah kuyup dek kerana hujan yang lebat di tengah jalan.

Akan tetapi, saya mempunyai alasan tersendiri. Saya ingin merasai bagaimana situasi sewaktu arwah ayah saya pergi ke tempat kerja setiap hari dengan hanya menaiki sebuah motosikal Honda C70. Saya juga ingin merasai bagaimana manusia ini sanggup berpanas dan berhujan hanya kerana ingin mencari rezeki.

Mata sekali-sekali dikenyitkan kerana ingin menahan kepanasan cahaya matahari dan badan ini kebal walaupun sekali-sekali ia menggigil kerana menahan kesejukan dalam hujan.

Dalam sesi penulisan lain, saya akan ceritakan tentang perihal sewaktu saya menjalani praktikal. :)

Masa dua bulan lepas juga telah memberi saya satu tekanan yang amat besar dalam hidup saya. Siapa sangka apa yang diharapkan sebelum ini pincang seolah dilanda badai. Apabila mendapat keputusan peperiksaan yang tidak berapa memberangsangkan, saya merasakan diri saya sudah hancur.

Sepanjang perjalanan pulang daripada praktikal, saya hanya mampu menangis di atas motosikal. Bayangkan menangis sewaktu menunggang motosikal. Kalaulah orang lain melihatnya, pasti ayat pertama yang keluar dari mulut mereka ialah,

"Bahaya betul budak ni. Dah lama hidup ke?"

Tetapi saya tidak mampu menahan sebak dan kepedihan itu. Sewaktu di rumah, saya masih tidak mampu menahan air mata dan akhirnya menangis di hadapan mak saya.

Puas mak menenangkan saya.

Kata-kata semangat diberikan walaupun hakikatnya saya sukar untuk menerima kenyataan tersebut.

Setiap hari semasa saya di rumah, mak lah orang yang sentiasa meniupkan kembali semangat saya yang telah hilang.

Sepatutnya saya kembali ke universiti untuk meneruskan tugasan yang di amanahkan tetapi saya tidak mampu. Perasaan pedih dan malu sentiasa menyelubungi, menghantui diri saya.

Selepas seminggu berada dalam kemurungan, saya membuat keputusan untuk kembali ke universiti. Saya memasang azam dan niat yang baru. Saya mengukir senyuman tawar di hadapan sahabat-sahabat supaya mereka tidak mengesyaki apa-apa daripada saya.

Sedikit demi sedikit saya sedar perkara positif sangat penting untuk membina kembali semangat saya yang telah. 

Teringat satu kata-kata atau 'tagline' sebuah cerita hero jepun yang menyatakan bahawa 

"Jangan lupakan masa silam tetapi majulah untuk masa hadapan"

Saya menjadikan kata-kata itu sebagai peniup semangat baru dalam diri saya. Adakalanya perkara silam tidak wajar dilupakan kerana ia mengajar kita untuk memahami dan membina jati diri dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Siapa sangka sebuah cerita hero kanak-kanak boleh menyampaikan mesej sebegitu.

Alhamdulillah.

Bangkit Positif!