BANGKIT POSITIF!!!

Thursday, 13 June 2013








Assalamualaikum

Salam dihulur sebagai tanda perkenalan semula setelah agak lama saya tidak menulis. Hari ini saya akan kembali dalam penulisan ini walaupun ianya hanyalah picisan semata. Selama dua bulan ini saya telah melalui pelbagai detik-detik suka duka yang sedikit sebanyak membawa erti kepada kehidupan saya. 

Alhamdulillah, selepas menghadapi peperiksaan akhir semester, saya menjalani praktikal di Mahkamah Rendah Syariah Kota Tinggi. Setiap hari saya akan menghabiskan masa selama 15 minit untuk sampai ke destinasi dengan hanya menaiki sebuah motosikal sahaja.

Ada segelintir rakan-rakan bertanya, "Kenapa kau tak banyak kereta pergi praktikal? Lagi selamat. Taklah berpanas, berhujan."

Ya saya akui sepanjang menjalani praktikal, saya selalu pulang ke rumah dalam keadaan basah kuyup dek kerana hujan yang lebat di tengah jalan.

Akan tetapi, saya mempunyai alasan tersendiri. Saya ingin merasai bagaimana situasi sewaktu arwah ayah saya pergi ke tempat kerja setiap hari dengan hanya menaiki sebuah motosikal Honda C70. Saya juga ingin merasai bagaimana manusia ini sanggup berpanas dan berhujan hanya kerana ingin mencari rezeki.

Mata sekali-sekali dikenyitkan kerana ingin menahan kepanasan cahaya matahari dan badan ini kebal walaupun sekali-sekali ia menggigil kerana menahan kesejukan dalam hujan.

Dalam sesi penulisan lain, saya akan ceritakan tentang perihal sewaktu saya menjalani praktikal. :)

Masa dua bulan lepas juga telah memberi saya satu tekanan yang amat besar dalam hidup saya. Siapa sangka apa yang diharapkan sebelum ini pincang seolah dilanda badai. Apabila mendapat keputusan peperiksaan yang tidak berapa memberangsangkan, saya merasakan diri saya sudah hancur.

Sepanjang perjalanan pulang daripada praktikal, saya hanya mampu menangis di atas motosikal. Bayangkan menangis sewaktu menunggang motosikal. Kalaulah orang lain melihatnya, pasti ayat pertama yang keluar dari mulut mereka ialah,

"Bahaya betul budak ni. Dah lama hidup ke?"

Tetapi saya tidak mampu menahan sebak dan kepedihan itu. Sewaktu di rumah, saya masih tidak mampu menahan air mata dan akhirnya menangis di hadapan mak saya.

Puas mak menenangkan saya.

Kata-kata semangat diberikan walaupun hakikatnya saya sukar untuk menerima kenyataan tersebut.

Setiap hari semasa saya di rumah, mak lah orang yang sentiasa meniupkan kembali semangat saya yang telah hilang.

Sepatutnya saya kembali ke universiti untuk meneruskan tugasan yang di amanahkan tetapi saya tidak mampu. Perasaan pedih dan malu sentiasa menyelubungi, menghantui diri saya.

Selepas seminggu berada dalam kemurungan, saya membuat keputusan untuk kembali ke universiti. Saya memasang azam dan niat yang baru. Saya mengukir senyuman tawar di hadapan sahabat-sahabat supaya mereka tidak mengesyaki apa-apa daripada saya.

Sedikit demi sedikit saya sedar perkara positif sangat penting untuk membina kembali semangat saya yang telah. 

Teringat satu kata-kata atau 'tagline' sebuah cerita hero jepun yang menyatakan bahawa 

"Jangan lupakan masa silam tetapi majulah untuk masa hadapan"

Saya menjadikan kata-kata itu sebagai peniup semangat baru dalam diri saya. Adakalanya perkara silam tidak wajar dilupakan kerana ia mengajar kita untuk memahami dan membina jati diri dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Siapa sangka sebuah cerita hero kanak-kanak boleh menyampaikan mesej sebegitu.

Alhamdulillah.

Bangkit Positif!

0 comments:

Post a Comment