Sanggupkah kita untuk menjadikan haiwan comel ini
sebagai bahan untuk kepentingan diri?
AKHBAR
muka hadapan Harian Metro beberapa minggu yang lepas telah memaparkan laporan
mengenai sindiket yang mengacukkan haiwan peliharaan yang comel, manja dan
kadangkala polos dengan kedegilannya; kucing sehingga menyebabkan komplikasi,
kecacatan dan lebih menyedihkan kematian. Cubaan beberapa individu untuk
menghasilkan baka kucing terbaik hanya mengundang padah kepada kucing tersebut.
Bayangkan seekor kucing biasa dikacukkan dengan kucing premium. Hasilnya,
kucing yang lahir cacat, tidak dapat bertahan lama hidup, malah mati ketika
bunting. Terdahulu, kisah seekor kucing yang menjadi kisah terulung Negara
apabila seekor kucing dipotong dua belah kaki hadapannya tanpa belas kasihan
oleh pemilik sebuah restoran. Hanya kerana mencuri ikan! Saya pasti anda tahu
tentang kisah Hero, seekor kucing yang cacat namun tetap tabah menjalani
kehidupan walaupun tidak dapat berjalan sempurna. Mujur ditakdirkan seorang
hamba Allah merawat dan memeliharanya hingga pulih dari kesakitan.
Saya terbaca beberapa buah laman
sosial yang memaparkan lagi episod penderaan kucing ini. Dek kerana seekor
ikan, kucing tersebut dipukul, dihentak hinggakan berjahit di bahagian mukanya.
Nauzubillah. Lebih dahsyat apabila sangkar kucing dicampak daripada sebuah
bangunan tinggi di mana terdapat tiga ekor kucing di dalamnya. Ibu dan dua ekor
anaknya. Saya sedih tatkala dinyatakan ibu kucing itu menjilat-jilat tubuh dua
ekor anaknya yang sudah mati. Sungguh ZALIM manusia sebegini. Mereka melihat
haiwan ini ibarat patung mainan, disayang apabila perlu, dibuang tatkala benci.
Perlu disedar, kucing adalah makhluk hidup. Perlukan makanan, minuman dan kasih
sayang dari orang-orang yang dianggap ‘tuan’.
Kucing adalah haiwan kesayangan Nabi
Muhammad S.A.W. Baginda juga memelihara seekor kucing yang dinamakan Muezza. Betapa
sayangnya baginda terhadap kucing peliharaannya hinggakan pada suatu hari,
ketika baginda ingin memakai jubah, Muezza terlihat tidur diatas kain bahagian
bawah jubahnya. Baginda sanggup memotong jubahnya agar tidak mengganggu tidur
Muezza. Lihat di sini betapa sayangnya Nabi kepada haiwan. Sedangkan Abu
Hurairah, seorang perawi hadis juga sahabat Rasulullah, amat menyayangi kucing.
Beliau sengaja membesarkan jubahnya agar kucing-kucing dapat duduk di lengan
baju beliau. Abu Hurairah digelar bapa kucing kerana sayangnya beliau terhadap
haiwan tersebut.
Namun, hakikat kini, seekor kucing
yang hanya menumpang tidur di atas kain sahaja sanggup dipukul, ditendang dan
didera. Di manakah sifat perikemanusiaan seorang insan yang dipanggil manusia? Seolah-olah
hilang akal, hinggakan bertindak kejam dan zalim terhadap haiwan-haiwan ini.
Pada pandangan saya, perbuatan individu-individu ini lebih kejam berbanding
penduduk Vietnam yang sudah menjadi kebiasaan mereka menjadi kucing sebagai
salah satu juadah makanan! Jelas terpampang di Harian Metro dan laman sosial
wajah haiwan comel ini luka-luka, mati hasil ujikaji tidak bertamadun, dan
mangsa dera.
Sebagai seorang manusia yang amat
menyayangi haiwan kesayangan Rasulullah ini, saya rasa terkilan dengan
perbuatan sesetengah pihak ini. Norma kehidupan seekor kucing, juga
haiwan-haiwan lain, tidak tahu mencari wang untuk sesuap nasi. Mereka hanya
mencari hasil-hasil sisa dan makanan yang tidak ditutup. Kucing lazimnya
menyukai ikan. Adakah ia tahu ikan itu kepunyaan seseorang? Tidak patut diambil
tanpa izin? Persoalan saya mudah, jika makanan itu dicuri kerana tidak
diletakkan ditempat sepatutnya, adakah ianya salah seekor kucing?
Haiwan juga mempunyai sifat kasih
sayang. Walaupun tidak se gah manusia, setidaknya ia tahu sayangnya seekor ibu
kepada anaknya dan sebaliknya. Saya juga membela seekor kucing yang dibuang ketika
bunting. Apabila melahirkan anak-anaknya, ibu kucing ini sangat menyayangi
anaknya hinggakan ketika anaknya tidak cukup seekor, ia akan memanggil dan
terus memanggil tanpa henti. Ia mencari sekeliling kawasan dan sewaktu bertemu
anaknya, ia terus menjilat dan memeluk anaknya itu. Lihat kasih sayang seekor
haiwan walaupun zahirnya tidak seperti manusia, namun jiwanya masih hidup
seperti manusia.
Insiden yang berlaku kepada kucing
dan anak-anaknya yang dicampak dari tingkat sebuah bangunan hingga menyebabkan
kematian kepada anak-anaknya membuatkan saya rasa marah. Masakan tidak, haiwan
itu bernyawa dan dicampak tanpa sebab. Lebih-lebih lagi, ia jatuh di hadapan
seorang ibu yang membawa anaknya. Sungguh zalim manusia sebegini! Bayangkan
jika perkara ini berlaku kepada anak sendiri? Apakah perasaan ketika itu? Kita
marah terhadap perbuatan zionis membunuh ribuan manusia yang tidak berdosa di
tanah Palestin. Kita juga perlu tangani perbuatan mereka terhadap haiwan yang
diperlakukan seperti zionis.
Haiwan juga makhluk yang diciptakan
oleh Allah. Tanpa kita sedari, haiwan-haiwan ini sentiasa mendoakan orang-orang
yang berbuat baik kepadanya. Kerana haiwan-haiwan ini tidak digerunkan dengan
azab api neraka. Sudah pastinya syurga. Kita, manusia seharusnya sedar azab api
neraka yang telah dijanjikan oleh Allah.
#Catlover
#SayangiHaiwan
0 comments:
Post a Comment