EDISI PRU13 - PILIHAN PENENTUAN

Wednesday 24 April 2013

 Bendera-bendera parti sudah berkibar memenuhi jalan raya.
Anda pilih kerana?
Parti?
Bendera yang cantik?
Warna yang menarik?
Pemimpin?
Sentimen?


Sudah terasa kehangatan pilihan raya kali ini. Semakin hampir dengan tarikh penentuan,semakin banyak juga spekulasi yang timbul dari mana-mana pihak sama ada yang bertanding mahupun tidak. Dalam situasi pilihan raya sebegini, 'perang mulut', perang poster, perang tabur janji adalah perkara biasa untuk meraih undi dan memenangi kawasan tersebut. Tetapi, sejauh manakah ianya dapat terlaksana dengan mudah?

Jika menang, adakah janji yang ditaburi itu mudah untuk dikotakan?

Bagi pengundi, mereka sudah ada pilihan mereka yang tersendiri. Terdapat beberapa kategori pengundi dan penyokong sesebuah parti di mana mereka ini menjadi 'die hard fans' kepada parti tersebut.

MENYOKONG KERANA SEJARAH

Situasi ini berlaku terutama kepada golongan-golongan warga emas dan veteran. Mereka telah melihat sebuah parti itu berjaya membangunkan negara sehingga berada di tahap yang membanggakan dan mereka merasakan jika keadaan yang ada pada hari ini diambil alih atau ditukar, ianya akan memberi kesan yang buruk.

MENYOKONG KERANA KEPERCAYAAN

Golongan ini adalah golongan yang telah melihat hasil perubahan yang dilakukan dan juga mereka ini berpandukan kepada sejarah. Akan tetapi mereka percaya kepada kekuatan yang ditunjukkan oleh parti yang bertanding. Seperti contoh seorang calon telah memenangi kerusi di sebuah DUN. Selama dia menjadi wakil rakyat, dia telah banyak membuat perubahan, membantu masyarakat dan sebagainya. Pastinya pengundi akan terus menyokong dan terus memberi kepercayaan kepada beliau meskipun pihak lawan adalah seorang yang mempunyai pengaruh. Itulah kuasa kepercayaan dari pengundi.

MENYOKONG KERANA INGINKAN PERUBAHAN

Situasi ini berlaku pada hari hari. Lihat berapa ramai yang inginkan satu perubahan dalam sistem dan pembangunan setempat terutamanya. Bagi golongan mahasiswa, mereka inginkan satu transformasi dan mencuba pentadbiran baru. Itulah yang mereka fikirkan.

MENYOKONG SAJA-SAJA

Golongan ini semestinya wujud dalam kalangan masyarakat kerana mereka tidak tahu tentang isu semasa dan hanya mengikut pilihan kawan serta melihat kemewahan yang telah diberikan. Kepada penyokong dan pengundi yang seperti ini, anda seharusnya memikirkan masa depan negara, diri anda dan masa depan anak cucu anda bermula daripada hari ini. Silap anda memilih maka gelaplah masa depan legasi anda.

.........................

Luarannya, untuk memilih sebuah kerajaan adalah perkara yang senang. Tanda, menang dan tadbir. Tetapi dalam konteks masa depan negara, ianya adalah perkara yang amat sukar. Andai kata pemimpin yang kita pilih itu adalah pemimpin yang korup, adakah dia boleh menjamin kesejahteraan anda, anak-anak anda dan sekeliling anda?

Pengundi yang bijak akan menilai setiap janji yang ditaburkan dengan mendalam. Dengan sebegitu, kita tidak mudah diperbodohkan. Saya pasti satu perkara iaitu janji senang ditaburkan tapi yakinlah jika hanya membuta tuli untuk tarik undi, janji itu sebenarnya sukar untuk direalisasikan.

Jangan mudah termakan hasutan orang lain dalam memilih orang yang akan memimpin anda. Cara yang terbaik adalah fikir, kaji, dan pilih.

Pilihan di tangan kita, tangan anda!
 

0 comments:

Post a Comment