TERIMA KASIH BANG. ALHAMDULILLAH

Tuesday 2 April 2013

Mereka berada di stesen minyak, kedai makan, pasaraya, dan kaki lima.
Menjadi mangsa menambah kewangan pusat tahfiz
Wajarkah?


Jam 9.15 malam di sebuah kedai makan..


"Assalamualaikum," satu suara sanyup kedengaran. Awalnya aku tidak berapa mendengarnya dek sahutan dan rungutan penonton bola.

"Assalamualaikum," sekali lagi suara itu kedengaran.

"Waalaikumsalam." Aku menyahut kembali.

"Saya ada menjual kismis doa dan madu. Abang boleh tengok-tengok dahulu. Duit akan disalurkan ke Maahad Tahfiz." Seorang budak perempuan dalam lingkungan belasan tahun berdiri disebelahku. 

Oleh kerana waktu itu aku sedang menyuap makanan, aku tidak menoleh sehinggalah aku meletakkan sudu. Dia menunjukkan sampel kotak kismis dan botol madu yang dibawanya.

Aku menjadi serba salah ketika itu kerana aku tidak berapa suka membeli barangan yang dijual oleh jurujual sebegitu. Lalu aku bertanya, "Dik, kalau abang derma sahaja tak beli boleh?"

"Boleh bang," jawabnya ringkas.

Lalu aku menghulurkan sehelai not ringgit Malaysia kepadanya. Aku sengaja menggulungkan duit tersebut tanpa dia dan rakan-rakan yang duduk semeja denganku tahu nilai not tersebut.

"Terima kasih bang. Alhamdulillah." Suaranya agak keriangan ketika itu. Aku tersentap seketika. Setelah aku menghulurkan duit, dia terus mencapai dan memasukkan di dalam beg galas kecil yang dibawanya.

"Semoga Allah memudahkan segala urusan abang dan memberikan rezeki yang melimpah ruah." Doanya ketika itu. Lalu dia beredar ke meja-meja yang lain untuk melakukan aktiviti yang sama. Menjual produk yang dibawanya.

Setelah dia beredar, aku mula tertanya.

Suara keriangan yang digambarkan sewaktu mengucapkan alhamdulillah telah mengingatkan aku pada satu sindiket yang pernah menjadi isu hangat suatu ketika dahulu. Di mana pihak pengajar telah mempergunakan pelajarnya untuk mencari pendapatan. Mereka disuruh untuk melakukan satu tugasan yang dikatakan sebagai praktikal dakwah. Mereka dibawa ke tempat-tempat tertentu dan disuruh untuk menjual produk seperti buku, kismis, Al-Quran dan sebagainya serta meminta derma. Apabila tiba masa, mereka akan dijemput.

Aku tersentap juga kerana teringat kes itu. Aku perhatikan budak perempuan itu pergi ke meja-meja sambil menunjukkan produk yang dibawa. Seketika dia berhenti tanpa hala tuju.

Sudah dua hari aku mengalami situasi yang sama. Pelbagai persoalan yang timbul dalam benak fikiran.

Apakah tujuan derma dan jualan dilakukan?Untuk kegunaan ramai atau keuntungan sendiri?

Budak tadi naik apa datang sini?Bukankah tempat belajarnya agak jauh?

Raut wajahnya seperti dipaksa. Hmm.

dan pelbagai lagi persoalan hinggakan aku agak terkilan kerana memikirkan budak seusianya meminta derma di tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Bijaknya mereka ini, mereka menutupi cara mereka meminta derma dengan menjual produk yang mereka bawa.

Awalnya aku ingin mencari dan bertanya sendiri dengan budak perempuan itu. Setelah membayar makanan, aku tidak lagi kelihatan kelibat budak itu. Mungkin sudah berpindah ke kedai makan lain yang berdekatan.

Aku juga terfikir adakah baik meminta-meminta dengan cara sebegitu. Terutama menggunakan orang lain sebagai mangsa. Seperti yang telah aku nyatakan mengenai sindiket maahad tahfiz yang tidak berdaftar dan cara mereka mencari sumber kewangan adalah dengan menggunakan pelajar mereka meminta derma orang ramai. Malangya maahad tahfiz yang berdaftar juga ada melakukan sindiket yang sama.

Apa yang aku dapat lihat di antaranya ada yang menggunakan agama sebagai 'pelindung' kepada aktiviti ini. Berpakaian sopan, cantik bahasa yang digunakan siap dengan doa. Malah ada juga yang mengeluarkan hadith dan ayat Al-Quran agar orang tersebut menderma walaupun sedikit.

Kadangkala aku tersentuh melihat mereka-mereka ini diperlakukan tidak sewajarnya. Mereka di hantar untuk belajar, menuntut ilmu Allah. Tetapi dipergunakan atas kepentingan sendiri. Astaghfirullah. Zalim sungguh perbuatan tersebut.

Selalu juga aku terserempak dengan kanak-kanak yang meminta derma di laluan masuk ke pasaraya besar yang terdapat di Johor. Berpakaian lusuh dan duduk bersimpuh di laluan kaki lima sambil memegang cawan.

Begitu juga dengan golongan-golongan orang kurang upaya buta, cacat anggota badan yang tidak tahu dari mana datangnya duduk sambil memegang bakul kecil menadah meminta duit dari orang sekeliling.

Tidak salah untuk mereka meminta derma asalkan kena pada tempat dan situasinya. Aku lebih sedih apabila golongan-golongan sebegini dipergunakan oleh orang lain.

Sebagai penderma, kita kena sentiasa ikhlas dalam menderma. Akan tetapi dalam situasi sebegini kita fikirkan mereka-mereka ini kerana nasibnya sehingga mereka rela menjadi peminta derma.

Aku berharap mereka-mereka ini tidak lagi diperlakukan seperti ini. Jika benar mereka memerlukan wang untuk menampung sara hidup, pergilah ke pusat-pusat zakat untuk meminta bantuan. Hendak seribu daya sahaja.

by: kay qayra al-jauhari

0 comments:

Post a Comment