APRIL FOOL! TRAGEDI DI SEBALIK 1 APRIL

Tuesday 2 April 2013


 Hari Menipu Sedunia?

1 APRIL..

"Kau nak tahu satu cerita tak?Best ni."

"Apa dia?"

"Kucing aku boleh mengaum macam harimau!"

"Betul ke?"

"APRIL FOOL!! Hahaha."

"Ciss!"

Seronok rasanya apabila dapat mengenakan orang-orang terdekat kita lebih-lebih lagi rakan-rakan dan saudara mara. Pada hari tersebut juga tiada siapa yang boleh memarahi anda atas penipuan yang anda lakukan secara ringan mahupun ekstrim. Mangsa yang menjadi bahan gurauan tidak boleh melontarkan sebarang emosi marah, kecewa dan benci kepada si penipu. Kebiasaannya, si mangsa yang sudah mengetahui tarikh tersebut ialah april fool hanya akan tertawa dan tersenyum sahaja.

April Fool bukanlah sebuah hari perayaan kebangsaan tetapi hari untuk mempraktikkan segala gurauan tanpa ada yang memarahinya. Ia merupakan satu budaya di mana pada hari tersebut sesiapa sahaja dibenarkan menipu atau 'prank'. Walaupun asalnya banyak hari-hari yang boleh menjadi hari untuk 'prank' orang lain, tetapi tarikh 1 April adalah tarikh sedunia. Cara sambutan di negara-negara barat adalah berbeza apabila tiba tarikh 1 April. 

Begitu juga dengan kita. Apabila tiba tarikh 1 April, maka keluarlah pelbagai kenyataan di laman-laman sosial yang bertujuan untuk 'prank' sesiapa yang membacanya. Ada juga yang mengenakan orang lain dengan menelefon orang tersebut dan membuat gurauan tidak berasas.

Paling menyedihkan apabila penipuan yang dilakukan bertujuan untuk bergurau tetapi orang tersebut percaya 100%. Sebagai contoh, anda bergurau dengan menyatakan perihal kematian seseorang yang anda dan orang tersebut kenali. Malangnya orang yang anda kenakan itu percaya dan menjadi 'down' kerana gurauan anda.

Sambutan April Fool telah mengajar seseorang itu sifat orang-orang munafik.

Bukankah menipu itu berdosa?

Menipu adalah salah satu sifat bagi orang-orang munafik. Sedangkan dalam hadith Rasulullah juga telah digariskan tiga ciri-ciri orang munafik iaitu menipu, tidak menunaikan amanah dan tidak menepati janji. Di dalam Islam sendiri telah melarang umat Islam menipu dalam apa jua keadaan sekalipun. 

Rasulullah bersabda: "Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat walaupun dia membawa kebenaran."

Selain itu, Rasulullah telah menekankan amaran daripada menakutkan orang lain kepada kita umat Islam sama ada serius mahupun bergurau.

"Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim."

Ironiknya situasi pada hari ini, April Fool telah menjadi salah satu budaya orang Islam. Ramai dalam kalangan kita, anak-anak, mungkin juga rakan-rakan dan saudara mara kita yang seronok 'merayakan' Hari April Fool tersebut tanpa sedar apa sebenarnya di sebalik kewujudan April Fool itu. Masyarakat kita pada hari ini lebih suka mengikut budaya-budaya yang disebarkan oleh barat tanpa mengkaji terlebih dahulu sama ada ianya memberi manfaat atau menjadi racun kepada masyarakat. Anak-anak muda adalah medium paling mudah untuk mereka membawa masuk 'racun-racun' ini kerana mereka mudah menerima terutama berkaitan hiburan.

Sebelum kita menjadikan sesuatu budaya asing itu sebagai budaya kita, kita mestilah mengetahui terlebih dahulu sejarah mengapa terwujudnya budaya tersebut.

Ingat! Dalam Islam tidak wujud April Fool!

Di Sebalik 1 April...

Hari April Fool atau dikenali juga dengan nama April Mop merupakan sebuah perayaan hari kemenangan ke atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera-tentera Salib. Modus operandi mereka adalah dengan cara melakukan penipuan.

Pada ketika ini telah tercipta satu sejarah atau tragedi hitam yang terbesar bagi penduduk di Sepanyol yang menganut agama Islam pada ketika itu pada tahun 1487 Masihi/ 892 Hijriah.

Hampir 6 abad penguasa Islam dan penganut agama Islam telah bertungkus lumus untuk mengembangkan lagi jaran Islam dan mempraktikkan Islam dalam kehidupan mereka. Dek kerana sifat penguasa Islam yang baik hati dan rendah diri, ramai penduduk Sepanyol tertarik hati untuk menganut agama Islam. Kagumnya, mereka ini bukan sahaja tahu membaca Al-Quran, malah menjadikan Al-Quran sebagai panduan dengan melarang arak, pergaulan bebas dan juga perkara-perkara yang dilarang oleh agama Islam.

Ketika itu masih ada lgi saki baki orang kafir yang menetap di Sepanyol dan mereka ini tidak berhenti untuk menghancurkan Islam dalam Sepanyol. Mereka telah mencuba pelbagai cara namun hasilnya menghampakan. Sehinggalah mereka menghantar beberapa mata-mata untuk mencari kelemahan orang Islam.

Mereka akhirnya menemui cara iaitu melemahkan iman orang-orang Islam. Mereka mempengaruhi orang Islam dengan hiburan dan idea-idea palsu oleh orang-orang yang dilantik sebagai ulama palsu. Akibatnya ramai orang Islam yang leka dan lalai dengan pengaruh mereka.

Apabila Sepanyol dikuasai tentera salib, ramai orang Islam yang dibunuh. Bukan sahaja tentera, malah kanak-kanak dan orang-orang tua juga menjadi mangsa kekejaman mereka.

Mereka terus mengejar orang-orang Islam dan membunuh mereka. Orang-orang Islam yang takut hanya menyembunyikan diri di dalam rumah masing-masing. Dengan taktik durjana, tentera salib mengisytiharkan bahawa orang-orang Islam dibenarkan untuk keluar dari Sepanyol dengan kapal yang disediakan.

Awalnya orang-orang Islam curiga tetapi setelah beberapa orang dibawa untuk melihat sendiri kapal tersebut, mereka menjadi yakin dan terus bergegas keluar dari rumah. Ada juga segelintir yang tetap tidak mempercayai kata-kata tentera salib. Setelah tiba di pelabuhan, tentera salib bertindak membakar rumah-rumah orang Islam. Kapal juga dibakar dan mereka dikepung. Akhirnya mereka juga dibunuh kejam kerana mereka tidak dapat melawan tanpa senjata.

Kisah hitam ini bertepatan dengan tarikh 1 April. Mungkin bagi orang-orang Kristian, hari itu adalah hari untuk mereka bergembira di atas kemenangan besar mereka tetapi bagi umat Islam yang mengetahuinya, hari  itu adalah tragedi hitam kerana ramai saudara seagama kita yang mati tanpa perikemanusiaan.

Perkara yang kita perlu sedar ialah apabila ada umat Islam yang menyambut April Fool ini, mereka dalam masa yang sama telah merayakan kegembiraan di atas kematian saudara seagama. Nauzubillah. Oleh itu, kita perlu sentiasa ingatkan sesiapa yang berada disekeliling kita agar lebih mengetahui terlebih dahulu mengenai budaya-budaya barat yang semakin menular dalam kalangan umat Islam pada hari ini.

by: kay qayra al-jauhari




0 comments:

Post a Comment