EDISI KHAS - WAKTU REMAJA

Saturday 30 March 2013

Bagaimana waktu remaja anda? Adakah ianya seronok?

Zaman remaja adalah zaman perubahan pelbagai aspek. Cara hidup, pemakaian, pergaulan malah pemikiran berubah sedikit demi sedikit pada waktu ini. Masih lagi saya ingat pada waktu kecil-kecil dahulu, ibu bapa adalah medium untuk kita meminta sesuatu, rakan-rakan adalah adalah medium untuk bermain bersama. Waktu itu, segalanya bagaikan syurga. Dalam fikiran hanya ada keseronokan.

Rutin harian waktu itu, bangun, makan, tonton televisyen, bermain, tidur. Cara hidup semasa kanak-kanak seperti roda, sentiasa berputar dan apabila cukup putaran kita akan jumpa sekali lagi. Pakaian? kita pakai pakaian-pakaian yang dibeli oleh ibu dan ayah tanpa mahu menolak kecuali pakaian tersebut tidak mengikut saiz. Begitulah kisahnya.

Apabila memasuki alam remaja, pelbagai perubahan telah berlaku. Waktu ini, satu sifat dan perasaan baru mula muncul dan mempengaruhi diri.

Mencuba...

Setiap kanak-kanak yang memasuki alam remaja pastinya akan mempunyai sifat dan perasaan mencuba yang mendalam malah ekstrim dari perasaan yang lain.

Waktu kecil kebebasan kita agak dikongkong oleh kedua ibu bapa. Semasa remaja pula ibu bapa menganggap kita sudah mampu menjaga diri sendiri. Oleh itu, tidak hairanlah perasaan mencuba itu semakin menjadi-jadi.

Perkara yang pertama kita akan cuba ialah keluar rumah dan pulang lewat malam.

Kemudian, memilih pakaian sendiri. Mengikut fesyen. Cerewet apabila tidak kena pada selera fesyen diri.

Mencari arah hidup sendiri.

Dan bermacam-macam lagi.

Zaman ini mencari keseronokan dan kepuasan diri adalah teras utama dalam kehidupan. Seseorang yang memasuki alam remaja mula mencari identiti tetap diri. Pertama, mencari sesuatu yang boleh memberi keseronokan dalam dirinya. Sebagai contoh, memasuki acara sukan. Dia merasakan apabila dia berlatih, memasuki pertandingan dan paling menyeronokkan apabila menang, dia akan merasakan kepuasan yang teramat di dalam dirinya.

Saya masih lagi dalam golongan remaja. Apabila memasuki sekolah menengah di mana ia adalah peringkat pertama beralih ke zaman remaja, saya dan kawan-kawan seusia ingin mencuba dan mencuba sesuatu yang mungkin orang lain pernah melakukan tetapi kita tidak.

Masih saya ingat situasi di sekolah di mana banyak kes disiplin pelajar yang berlaku di sekolah dari yang kecil atau remeh sehinggalah melibatkan masa depan pelajar tersebut. Tanggapan awal semua orang bahawa pelajar yang melakukan masalah disiplin ini adalah pelajar yang memang kurang didikan atau jenis nakal. Tetapi setelah melihat rakan-rakan sekeliling juga terlibat sama, saya sedar bahawa itulah sifat baru bagi seorang remaja.

Bukan bermakna mencuba adalah satu konsep yang buruk. Silap

Bagi segelintir remaja, mereka mencuba juga sesuatu yang baik. Masa ini adalah masa untuk mereka menganalisis identiti diri. Memasuki pertandingan, menjadi pemimpin pelajar, membantu pihak sekolah, dan sebagainya. Mereka menjadikan konsep mencuba itu sebagai peluang untuk memajukan diri.

Bukankah bagus jika begitu?



Kemudian remaja akan melalui satu tahap lagi sewaktu di alam universiti. Berada di tahap ini adalah saat-saat yang agak genting dan sukar kerana memerlukan keyakinan diri.

Mencari...

Waktu ini, remaja mula mencari dan mencari identiti diri yang sebenar dan mencari sesuatu yang boleh memberi kepuasan kepada diri sendiri. Maklumlah ketika berada di tahap ini, segalanya perlu dikorek sendiri. Tiada siapa yang membantu kecuali dipinta. Pelbagai ragam dan situasi akan dapat kita lihat pada waktu ini.

Mereka mula menceburkan diri di dalam pelbagai bidang dari segi sastera, budaya, kepimpinan mahupun politik. Bermula dari sini, kepuasan dan keseronokan itu akan terbit. 

Bayangkan anda ingin menjadi seorang pendebat. Anda masuk ke kelab debat dan menjadi peserta dalam setiap pertandingan. Anda mesti rasa keseronokan dan kepuasan itu lebih-lebih lagi anda menang. Itulah remaja.

Saya ingin berkongsi satu hadith yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:

Rasulullah telah bersabda: "Ada tujuh golongan yang bakal dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya, pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya, iaitu: Pemimpin yang adil, pemuda yang tumbuh dengan beribadah kepada kepada Allah (selalu beribadah), seseorang yang hatinya bergantung kepada masjid (selalu melakukan solat berjemaah), dua orang yang saling mengasihi di jalan Allah, keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang yang diajak perempuan berkedudukan dan cantik (untuk berzina), tapi ia mengatakan: Aku takut kepada Allah, seseorang yang memberikan sedekah kemudian merahsiakannya sampai tangan kanannya tidak tahu apa yang dikeluarkan tangan kirinya dan seseorng yang berzikir (mengingat Allah) dalam kesendirian, lalu menitiskan air mata dari kedua matanya."

Pemuda yang dimaksudkan di dalam hadith di atas adalah remaja. Dalam keseronokan kita mencuba, mencari dan memuaskan diri, ada satu lagi hala tuju sewaktu memasuki alam remaja iaitu beribadah kepada Allah.

Di usia remaja adalah waktu paling sesuai untuk menimba dengan lebih mendalam ilmu-ilmu agama, mendekati masjid dan majlis-majlis ilmu kerana kita perlukan perisai untuk menangkis sifat-sifat buruk dan keji di dalam diri.

Sedarkah kita bahawa di usia ini kita mudah dipengaruhi oleh mudah mengikuti. Jika tiada ilmu dan perisai, maka dengan mudah kita akan jatuh ke ruang-ruang zulumat. Nauzubillah.

Banyakkan praktik perkara-perkara yang baik di dalam diri agar waktu remaja ini bukanlah waktu hitam bagi diri. Hormat, bantu-membantu, dan lain-lain sifat yang baik perlu sentiasa ada.

Di kala usia sebegini, impian dan matlamat perlu dibina dan mulakan langkah untuk menuju ke arah impian tersebut supaya waktu remaja anda tidak menjadi sia-sia.

Sebagai kata penutup, saya ingin kongsi satu ayat daripada firman Allah:

"Katakanlah, 'Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhanmu, sebab itu barangsiapa yang mendapat petunjuk, maka sesungguhnya (petunjuk itu) untuk kebaikan dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang sesat, maka sesungguhnya kesesatan itu untuk kecelakaan dirinya sendiri. Dan aku bukanlah seorang penjaga terhadap dirimu."
                                                                                                   Surah Yunus: 108

0 comments:

Post a Comment