HAIWAN DAN MANUSIA

Tuesday 12 March 2013


Dalam dunia ini terdapat pelbagai makhluk yang diciptakan sebagai penghuni. Manusia adalah makhluk ciptaan yang sempurna di antara makhluk yang lain. Luarannya, manusia sama seperti makhluk yang lain, mempunyai fizikal dan mental, mempunyai nafsu, ada keperluan dan kehendak hidup dan bebas melakukan sesuatu. Akan tetapi terdapat perbezaan yang menunjukkan bahawa manusia lebih sempurna kerana mempunyai sesuatu yang tidak dipunyai oleh makhluk yang lain. AKAL. Secara logiknya makhluk yang lain juga berfikir untuk memenuhi keperluan dan kehendak mereka tetapi secara psikologinya mereka berfikir pada satu spot atau titk dan hanya mengulangi tanpa berfikir sesuatu yang baru dan lebih mudah atau efektif.

            Akan tetapi hendaklah kita ingat dan sedar bahawa setiap makhluk yang Allah ciptakan mempunyai rahsianya tersendiri. Setiap makhluk yang dicipta mempunyai kebolehan dan kekurangan yang berbeza-beza. Seperti contoh, manusia mempunyai kelebihan boleh menggunakan akal sebagai senjata utama dalam kehidupan. Manusia boleh membina tamadun, membangunkan Negara, mentadbir dan sebagainya. Haiwan pula contohnya, walaupun tidak sehebat manusia, mereka boleh melakukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh manusia secara logiknya. Terbang, menyelam dengan jangka masa yang sangat lama, malah boleh hidup dua alam (amphibia).  Haiwan boleh melakukannya tanpa menggunakan sebarang alatan canggih kerana memang itulah sejak azali.

            Saya ingin membawa pembaca kepada satu sudut pemikiran bahawa penciptaan haiwan mempunyai natijah dalam kehidupan manusia. Dalam erti kata lain, manusia di sekeliling kita mempunyai persamaan sifat dengan haiwan. Malahan kemungkinan kita juga mempunyai persamaan dengan salah satu daripada berates-ratus haiwan yang ada di muka bumi ini.

KUCING

Haiwan ini merupakan haiwan yang sering kita jumpa di mana sahaja kita berada. Haiwan ini juga merupakan haiwan peliharaan yang manja dan mudah untuk dijaga.Kucing mempunyai tabiat suka menggeselkan badannya ke sesiapa sahaja bertujuan untuk meminta sesuatu. Ada juga manusia yang bersifat seperti kucing "menggeselkan" kata-kata kepada orang lain bertujuan untuk mengampu. Seperti contoh dalam bekerja, mesti akan ada seorang pekerja yang rapat dengan bosnya dan hanya mengampu untuk meminta kelebihan.

ULAR

Ular adalah apesies haiwan yang mematikan mangsanya sebelum makan. Caranya dengan membelit. Seekor ular akan membelit mangsanya sehingga lemas sebelum memakannya. Begitu juga apabila haiwan tersebut tidur. Realitinya, ada juga manusia yang jenis berbelit apabila memberikan alasan, fakta mahupun berkata-kata. Mula-mula alasannya A tiba-tiba apabila ditanya semula menjadi B. Mesti anda pernah berjumpa lagat manusia seperti ini bukan?

BURUNG MERAK

Burung merak adalah seekor burung yang mempunyai ekor cantik berbanding spesies burung-burung yang lain. Tabiat burung merak ialah ia hanya akan menunjukkan ekornya yang cantik apabila ada orang memerhatikannya. Begitu juga persamaan dengan sikap sesetengah manusia yang suka menunjuk-menunjuk di hadapan orang lain. Seperti contoh dalam membuat kerja. Apabila di hadapan bos, bersungguh-sungguh hingga lupa makan, rehat dan sebagainya. Tetapi apabila di belakang, kerjanya mengutuk dan mengumpat sahaja. Contoh yang lain dalam bab agama. Apabila di hadapan rakan-rakan, kata-katanya mengalahkan seorang ulama', hakikatnya di belakang setiap yang disuruh itulah yang ditinggalkan

           Jika anda bijak perhatikan, banyak lagi sifat-sifat haiwan yang mempunyai persamaan dengan manusia dari segi perbuatan, pergerakan malah bunyi. Jadi, anda yang mana satu?

0 comments:

Post a Comment