USRAH KEPIMPINAN

Tuesday 12 March 2013


Alhamdulillah, aku telah membuat satu percubaan pertama untuk menghidupkan satu suasana perkongsian ilmu antara kami barisan Majlis Perwakilan Pelajar. Aku tidak merancang terlalu jauh terlebih dahulu kerana aku ingin melihat suasana sekeliling. Aku hanya menyediakan satu "booklet" berkenaan pesanan Imam Al-Ghazali dalam buku Ayyuhal Walad untuk dijadikan wadah diskusi ilmu.

          Tujuan aku mewujudkan budaya sedemikian adalah untuk berkongsi ilmu yang ada di antara kami. Semasa mesyuarat, perjumpaan kami kurang berkongsi pengetahuan secara jelas. Kadangkala mesyuarat dan perjumpaan kami berakhir dengan kepenatan dan mengantuk semata-mata. Melalui cara ini aku cuba membawa sahabat-sahabat seperjuangan untuk relaks berdiskusi sambil keluar dari kotak batu dan melihat alam sekitar mahupun pergerakan pelajar yang menjadi kewajipan kami untuk menjaga kebajikan mereka.

          Usrah dimulakan dengan pengenalan serba sedikit tentang "booklet" yang cuba aku ketengahkan. Selepas itu aku memulakan nasihat yang pertama iaitu waktu itu adalah kehidupan. Bersama-sama qiyaadah, aku cuba bersama mereka membuka minda sejenak dengan memberi satu kesedaran bahawa masa adalah penting dalam kehidupan kita. Selalu kita dengar peribahasa 'Masa Itu Emas', 'Masa Itu Bom' dan sebagainya. Malah pepatah arab juga ada menyatakan 'Masa Itu Ibarat Pedang, Jika Kamu Tidak Memotongnya Maka Ia Akan Memotong Kamu'. Lihat betapa pentingnya masa. 

Dalam Firman Allah juga ada menyatakan tentang masa:

"Demi Masa. Sesungguhnya semua manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal Soleh. Dan berpesan-pesan kepada kebaikan, dan berpesan-pesan kepada kesabaran."
                                                                                                   Surah Al-Asr: 1-5

           Kedua adalah berkenaan nasihat dan dikaitkan dengan ilmu. Nasihat sangat mudah untuk dituturkan melalui kata-kata tetapi amat sukar untuk diterima. Hal ini kerana tidak semua manusia dapat menerima nasihat yang diberikan dengan hati yang terbuka disebabkan mereka mempunyai hawa nafsunya tersendiri. Dunia hari ini menunjukkan bahawa manusia hanya akan mendengar nasihat apabila melihat orang yang memberi nasihat itu adalah seorang yang terkenal, baik dan segala yang positif. Jika pemberi nasihat itu adalah orang yang bermasalah, pastinya masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Dalam erti kata lain, manusia akan melihat siapa yang memberi nasihat bukan apa yang dinasihatkan. Jika hendak dibandingkan antara seorang budak kecil dan pakar motivasi yang memberi nasihat, pastinya pakar motivasilah yang akan menjadi keutamaan walaupun nasihat itu tidak bermanfaat. Sebaiknya kita ambil nasihat itu dan janganlah kita ikut yang negatif pada si pemberi nasihat tersebut.

          Ilmu menjadi sia-sia apabila ianya tidak diamalkan. Realiti hari ini terlalu ramai orang yang bijak pandai dalam apa jua bidang. Tetapi persoalannya sejauh mana mereka mengamalkan ilmu yang mereka pelajari. Dalam konteks pelajar, pendedahan ilmu diberikan dalam pelbagai subjek. Sains, Matematik, Biologi, Ekonomi dan sebagainya. Kemudian menghadapi peperiksaan. Dan akhirnya mementukan jalan hidup yang seterusnya samada sambung belajar atau bekerja. Jika dilihat kembali, adakah mereka mengamalkan dan menggunakan dengan sebaiknya ilmu yang pelajari di sekolah. Ilmu dalam kelas mahupun di luar kelas. Ilmu di luar kelas terlalu banyak seperti contoh hormat-menghormati, budaya terima kasih, dan lain-lain. Pentingnya ilmu untuk digunakan pada masa akan datang. Tiada ilmu maka hilanglah ketamadunan.

         Usrah atau diskusi perkongsian ilmu ini diakhiri dengan kafaratul majlis selepas konklusi dibuat oleh aku sendiri. Dengan ringkas aku nyatakan bahawa ilmu sangat penting lebih-lebih lagi apabila kita hendak menyampaikan ilmu tersebut. Aku berharap dan berusaha untuk terus mewujudkan suasana sebegini. InsyaAllah.

0 comments:

Post a Comment