PERLUKAH MOTIVASI?

Friday 8 March 2013






Bermula dari sekolah rendah lagi kita selalu didedahkan dengan ceramah motivasi kepimpinan, menghadapi peperiksaan, jati diri dan sebagainya. Situasi ini menjadi kelaziman terutamanya menjelang peperiksaan besar seperti UPSR, PMR,SPM dan STPM. Pelbagai input yang diberikan oleh penceramah atau "motivator" dengan cara mereka tersendiri. Ada yang menggunakan metodologi nyanyian, pengislahan diri malah ada juga yang menguji keyakinan diri dengan berjalan di atas bara api. Kesemuanya bertujuan sama ada untuk meningkatkan keyakinan diri ataupun mengubah mentaliti. Tetapi adakah ramai dalam kalangan kita tahu apa tujuan motivasi dan maksud sebenar motivasi ini?


          Memetik pengertian MOTIVASI oleh Taidin Suhaimin yang menjelaskan dengan cara mudah erti motivasi. Motivasi berasal dari perkataan Bahasa Inggeris - "MOTIVATION". Perkataan asalnya ialah "MOTIVE" yang juga telah dipinjam oleh Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia kepada MOTIF, yakni bermaksud TUJUAN. Di dalam surat khabar, kerap pemberita menulis ayat "motif pembunuhan". Perkataan motif di sini boleh kita fahami sebagai sebab atau tujuan yang mendorong sesuatu pembunuhan itu dilakukan.

              Jadi ringkasnya, oleh kerana perkataan motivasi adalah bermaksud sebab, tujuan atau pendorong, maka tujuan seseorang itulah sebenarnya yang menjadi penggerak utama baginya berusaha keras mencapai atau mendapat apa juga yang diinginkannya sama ada secara negatif atau positif.
Jika diringkaskan motivasi dapat diertikan sebagai:
"Motivasi adalah satu sebab untuk mendorong atau memberi anjakan paradigma kepada seseorang dalam apa jua ruang kehidupan."

MENGAPA PERLU MOTIVASI?

Setiap individu yang bergelar manusia mempunyai banyak perbezaan dari segi perwatakan, gaya, emosi mahupun cara percakapan. Dalam aspek kehidupan, tidak semua manusia dapat mengharungi cabaran yang dihadapi dalam kehidupan mereka dengan sendirinya. Kadangkala kita menjadi panik apabila ditimpa masalah dan tidak dapat menyelesaikannya tanpa sokongan dan dorongan. Seperti contoh, kematian orang yang tersayang, kegagalan dalam peperiksaan, kesukaran tatkala menjadi seorang pemimpin dan sebagainya. 

             Mengambil satu contoh apabila berada dalam konteks pelajar dan berada dalam situasi gagal dalam satu peperiksaan. Perasaan kecewa dan putus asa pastinya akan timbul diri lebih-lebih lagi kita mengharapkan 11 A misalnya tetapi apabila keluar keputusan hanya mendapat 4 A dan sebagainya. Sangat menghampakan bukan. Oleh itu, cara untuk mengembalikan keyakinan diri adalah dengan motivasi seperti kata-kata semangat, bimbingan dan juga sokongan. Motivasi yang sering kita dengar apabila seseorang itu menghadapi kegagalan dikaitkan dengan usaha sekumpulan semut dan juga ketabahan golongan orang kurang upaya dalam meneruskan kehidupan mereka dalam serba kekurangan. Analogi seperti ini bukanlah hendak menunjukkan kelemahan seseorang atau membuka aib, tetapi kita anggap ia sebagai satu dorongan untuk kita bangun dari mata kegagalan dan menuju sesuatu yang baru iaitu kejayaan.

            Kita perlu sedar bahawa setiap manusia mempunyai kitaran kehidupan yang berbeza. Saya mengklasifikasikan kitaran ini kepada 4 jenis manusia:

Manusia 1
Bermula dengan kesusahan dan berakhir dengan kejayaan.

Manusia 2
Bermula dengan kejayaan dan berakhir dengan kegagalan.

Manusia 3
Bermula dengan kesusahan dan terus dalam kesusahan.

Manusia 4
Bermula dengan kejayaan dan terus berjaya tanpa ada halangan.

            Untuk menjadi seperti manusia 1, motivasi adalah penggerak untuk seseorang itu terus berusaha sehingga berjaya. Perlu juga diingat bahawa motivasi bukan menu utama kerana ada segelintir manusia yang selalu diberikan motivasi tetapi tidak dapat menerima atau lebih mudah menolak motivasi tersebut. Motivasi ini hanyalah penyedap rasa atau nilai tambah untuk "boost" semangat seseorang.

           Dalam contoh situasi lain, motivasi juga adalah "penyedaran" kepada manusia agar berubah kepada yang lebih baik. Seperti contoh seorang penagih dadah yang ingin kembali ke jalan yang benar. Si penagih tidak akan dapat kembali dengan mudah tanpa sebarang bantuan kerana pengaruh dadah lebih kuat berbanding pengaruh seorang Perdana Menteri terhadap rakyatnya. Caranya adalah memberikan motivasi dari segi bimbingan dan pemulihan. Kita sedarkan mereka dengan kasih sayang ibu bapa yang berjuang untuk mereka bermula mereka dilahirkan sehinggalah mereka dewasa. Kita sedarkan juga mereka dengan kepentingan agama Islam agar mereka tidak lagi tersesat dengan jalan kerosakan. Dan banyak juga alternatif motivasi lain yang boleh digunakan bukan sahaja untuk penagih dadah, malah mereka-mereka yang perlukan "penyedaran"

CONTOH MOTIVASI

Motivasi boleh dikategorikan kepada beberapa jenis:
  1. Motivasi Kehidupan
  2. Motivasi Pelajar
  3. Motivasi Keagamaan
  4. Motivasi Kesedaran
  5. Motivasi Pekerja
CARA MOTIVASI

Bukan mudah untuk seseorang menerima motivasi yang disampaikan. Hakikat peratusan penerimaan dalam sepuluh orang kemungkinan hanya 2 orang sahaja yang terinspirasi dan dapat menerima cara pembawaan motivasi tersebut kerana bosan atau tidak faham.
              
           Motivasi yang berkesan yang mudah untuk diterima adalah melalui laras bahasa yang digunakan. Bahasa merupakan salah satu elemen penting dalam memberi kesedaran atau inspirasi kepada orang lain kerana jika bahasa yang digunakan tidak difahami, bagaimana orang hendak menerimanya? malah mungkin tidak terlintas untuk mendengarnya.

              Seterusnya adalah  tarikan yang dibawa dalam motivasi. Kita perlu ingat bahawa objek yang ingin diberikan motivasi adalah manusia yang mempunyai hati dan sensitiviti yang berbeza tahapnya. Fikir kembali diri kita sendiri, adakah kita dapat menerima kata-kata seseorang itu menghina kita dan menjatuhkan semangat kita? Semestinya tidak. Oleh itu, apabila berkata, pastikan ayat yang digunakan itu dapat memberi semangat kepada mereka.

           Akhir sekali ialah senyuman. Senyuman akan memberikan satu tidak balas positif kepada si penerima. Jika kita senyum sambil memberikan semangat kepada mereka, refleksi yang kita akan dapat sangat memuaskan kerana mereka yakin dengan kita.

            Konklusinya, motivasi adalah pendorong untuk seseorang itu lebih yakin. Motivasi juga merupakan penawar kepada mereka yang sesat dalam kehidupan mereka.
            

0 comments:

Post a Comment