RAMADHAN: DATANG LAGI

Saturday 13 July 2013

 Ramadhan Kareem




Akhirnya bulan kemuliaan ini datang lagi. Bagi umat Islam seluruh dunia, bulan ini merupakan bulan yang sangat mulia selepas kedatangan bulan Rejab dan Syaaban.


"Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab, berkatilah kami di bulan Syaaban dan sampaikanlah kami di bulan Ramadhan"

Akhirnya kami telah sampai jua di bulan Ramadhan ini. Alhamdulillah.

Selalu berlegar di fikiran kita tatkala menjelang Ramadhan,

"Adakah aku dapat mengecapi keindahan Bulan Ramadhan lebih baik daripada sebelumnya?

Adakah aku sempat bersama-sama umat Islam yang lain menunaikan kewajipan berpuasa?

Adakah jua aku dapat beramal dalam bulan ini lebih baik daripada yang lepas?"

Setiap umat Islam telah diberikan kewajipan untuk berpuasa selama sebulan. Sepertimana yang terdapat di dalam surah Al-Baqarah:

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa. Sebagaimana telah diwajibkan pada orang-orang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu tergolong dalam golongan orang yang bertaqwa."

Di dalam ayat di atas telah jelas menyatakan bahawa berpuasa di bulan Ramadhan adalah wajib. Maka sesiapa yang tidak berpuasa adalah orang yang berdosa. Nauzubillah. Pernah suatu ketika dahulu terlintas di dalam fikiran saya, mengapa hanya bulan Ramadhan sahaja yang diwajibkan berpuasa? Malah sebulan pula. Maklumlah ketika itu saya masih berumur 6 tahun. Sehinggalah saya mendengar imam membacakan ayat 185 surah Al-Baqarah sewaktu solat Isyak, saya mula tergerak untuk membaca terjemahannya. Dan alhamdulillah saya faham mengapa bulan Ramadhan ini dianggap bulan yang mulia di antara bulan-bulan yang lain.

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian (wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketatapan yang demikian itu) Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan, dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur."

Ramadhan ertinya panas terik yang membakar. Lazimnya pada awal Ramadhan cuaca panas terik. Malahan jika hujan sekalipun, bahang kepanasan masih terasa. Jadi, sesuailah dengan makna Ramadhan itu sendiri. Ramadhan menjanjikan pelbagai 'keistimewaan' yang kita tidak akan dapat pada bulan-bulan yang lain. Dalam bulan ini juga amalan yang dilakukan dalam bulan-bulan lain juga dilipat gandakan ganjarannya.

Subhanallah.

Allah telah menyusun aktiviti hamba-hambanya dengan sangat baik pada bulan ini. Pagi diperuntukkan untuk hamba-hambanya mencari rezeki yang halal sambil menguji mereka dengan kewajipan berpuasa. Malamnya diperuntukkan untuk melakukan amalan sunat yang tidak akan kita peroleh dalam bulan-bulan lain. Apakah dia? Solat Sunat Tarawih.

Satu perkara lagi yang amat berbeza dalam bulan Ramadhan anda tidak akan dapat selainnya. Malam Lailatul Qadar. Malam yang sangat istimewa ini hanya orang yang betul-betul menginginkannya sahaja akan dapat. Malam yang penuh ketenangan.

Marilah sama-sama kita menghayati dan mengimarahkan bulan Ramadhan ini dengan amalan-amalan yang berlipat ganda ganjarannya.

0 comments:

Post a Comment