TAJDID NIAT: MENINGKATKAN POTENSI MAHASISWA

Monday, 1 July 2013


Segalanya bermula dengan niat.

"Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs 'Umar ibn al-khattab beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya manuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijranya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijranya ke arah perkara yang ditujuinya itu."

Tarikh: 27 Jun 2013
Tempat: Dewan Kuliah Utama
Penceramah: Puan Lailatul Jum'ati Binti Mohd (Pegawai Psikologi UniSZA)

__________________________________________________________________________
Hasil Dapatan Ceramah

Dalam usaha untuk mengecapi kejayaan pastinya berlaku pelbagai halangan dan mungkin ada sesetengah daripada kita yang mendapat jalan yang mudah untuk mengecapinya. Dalam program ini, penceramah menyentuh tentang niat.

Kenapa perlu niat?

Niat atau erti kata lain nawaitu bererti kita menginginkan sesuatu dan bertekad hati untuk mendapatkannya. Selalunya niat ini hanya dilafazkan di dalam hati ataupun dilafazkan dengan kata-kata. Sebagai contoh dalam konteks belajar, kita selalu akan berkata 'aku mesti mendapatkan pointer yang tinggi dalam semester ini'. Situasi ini selalunya berlaku di awal semester.

Niat hendaklah disertai dengan pelaksanaan. Bagaimana?

Dalam apa jua perkara yang kita inginkan hasilnya, usaha dan pelaksanaan itu perlu juga ada. Jika kita hendak berjaya dalam peperiksaan, maka usaha untuk mengulangkaji dan membaca itulah pelaksanaannya. Dalam konteks perniagaan, strategi dan promosi adalah pelaksanaan setelah berniat untuk mendapatkan keuntungan.

Niat juga mempunyai hala tuju dan akhirnya nanti kita boleh melihat samada niat ini tadi hasilnya baik atau buruk. Niat yang baik akan mendapat hasil yang baik manakala niat yang buruk akan berakhir dengan keburukan. Semuanya bergantung kepada Allah. Suatu keinginan yang dimulakan dengan niat yang baik, secara tidak langsung ia akan merangsang diri kita untuk melakukannya secara baik dan hasilnya Allah memberkati dan meredhai niat dan usaha yang dilakukan. Keinginan yang bermula dengan niat buruk akan berakhir sebaliknya.

Hakikatnya, niat bukanlah penyelesaian kepada keinginan manusia tetapi pada saya niat adalah 'permulaan' atau juga booster untuk melakukan tindakan seterusnya dalam mencapai keinginan. Hal ini kerana menjadi lumrah menusia lupa dengan keinginan yang mereka ingin capai. Maka mereka boleh mengimbau kembali niat yang telah mereka nyatakan ketika dahulu supaya terus bersemangat untuk melakukan sesuatu.

Program ini telah mengubah suasana yang biasa dalam sesebuah program ceramah. Saya amat kagum dengan penceramah yang dijemput kerana memberi satu suasana baru dalam program-program sebegini. Komunikasi Dua Hala. Selalunya penceramah akan menghabiskan ceramahnya dan selepas itu barulah adanya sesi soal jawab.

Kali ini tidak. Penceramah telah memberi ruang semasa beliau menyampaikan ceramah kepada mahasiswa/wi untuk memberikan pendapat dan memberi respon kepada penceramah. Suatu suasana yang sihat dan positif. Berdasarkan program tersebut, mahasiswa/wi menjadi berani untuk bersuara walaupun sepatah dan sedikit sebanyak ianya menjadikan penonton aktif.

Alhamdulillah.

Natijahnya:

Asalkan kita yakin dengan Allah, maka keinginan kita insyaAllah akan menjadi kenyataan.

BEBAS

Thursday, 27 June 2013


Bebas seperti burung camar





Acap kali anak mata ini memandang

Ke setiap pelusuk
Ke setiap sudut
Dunia yang indah
Yang penuh dengan rahsia

Wah!
Seronoknya tatkala melihat burung-burung berterbangan
Bebasnya mereka
Seronoknya tatkala melihat kucing-kucing berkejaran
Bebasnya mereka

Bermain di mindaku
Adakah aku seperti itu?
Bebas berterbangan
Bebas berkejaran

Hakikatnya
Aku juga bebas
Bebas melakukan apa sahaja
Cumanya
Bukan kejahatan, bukan kemaksiatan
Itulah bezanya
Antara aku dan mereka

MEMPOSITIFKAN KEMBALI PERKARA YANG SUDAH MENJADI NEGATIF

Friday, 21 June 2013

Mari Positifkan Jari ini


Sesi penulisan kali ini saya ingin berkongsi tentang sebuah aktiviti yang pernah saya pelajari. Aktiviti ini merupakan sebuah aktiviti yang diilhamkan oleh seorang pakar dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia.


Apa yang dimaksudkan dengan positif?

Setiap aktiviti yang lakukan dengan pelajar, mereka akan menjawab:

"Perkara yang baik,"
"Perbuatan yang elok,"

Apa yang dimaksudkan dengan negatif?

"Perkara yang buruk,"
"Tak baik,"

Dan sebagainya.

Bagaimana pula dengan mempositifkan kembali perkara yang sudah menjadi negatif?
Acap kali kita mendengar kata-kata jadilah manusia yang positif, berfikiran positif dan menjadi positif setiap masa. Walhal adakah kita diberitahu atau diceritakan bagaimana positif itu secara praktikal?

Aktiviti yang saya pernah pelajari ini telah membuka satu ruang positif di dalam diri setiap manusia. Pada asalnya apa jua yang berada di sekeliling kita adalah perkara yang positif. Tetapi sedar ataupun tidak masyarakat melayu telah menjadikannya negatif. Sehingga kini perkara yang negatif itu menjadi budaya dalam generasi baru.

Seperti contoh isyarat lucah menggunakan tubuh badan. Bukankah tubuh badan kita digunakan untuk perkara yang positif? Akan tetapi siapa yang menjadikannya negatif?

Kita perkara ini dipersoalkan, masyarakat melayu akan menyalahkan barat kerana memperkenalkan isyarat-isyarat tersebut.

Kenapa kita mengikutnya juga sedangkan kita tahu ianya perkara buruk?

Aktiviti ini menggunakan jari-jemari kita
Kembali kepada aktiviti mengembalikan perkara negatif ini menjadi positif, pertama sekali kita hendaklah mengingat kembali siapa yang telah menciptakan kita. Jari-jemari yang halus, cantik, diseragami dengan 5 jari dengan pelbagai fungsi dan nama, fikir siapa yang cipta?

ALLAH!

Ya Allah yang menciptakan tubuh badan kita yang cantik ini.

Kembali kepada jari-jemari yang halus mulus ini, kita tahu fungsi dan namanya bukan?

Ibu Jari : 'Thumbs Up' , 'Good'

Jari Telunjuk : Penunjuk arah, Tahiyat akhir

Jari Manis : Untuk memakai cincin

Jari Kelingking : Korek telinga, untuk merasa makanan

Bagaimana pula dengan jari yang satu ini?

Jari yang berada di tengah dan merupakan jari yang mempunyai saiz paling panjang di antara jari-jari yang lain.

JARI HANTU.

Apakah fungsinya?

Apabila jari ini diangkat dan ditunjukkan di khalayak, ramai yang akan mengubah reaksi kepada reaksi negatif. 

Namanya sudah negatif.

Ada yang mengatakan bahawa ianya isyarat untuk mencari perbalahan.

Ada yang mengatakan ianya isyarat lucah.

Ada juga mengatakan ianya isyarat keganasan.

....................

Sesungguhnya Allah yang telah menciptakan jari-jemari kita termasuk jari hantu ini. Allah menciptakan tubuh badan kita untuk perkara yang baik. Disebabkan persepsi orang yang mengikut budaya asing, ciptaan Allah ini telah disalah guna.

Kenapa tidak kita mengubahnya kembali kepada positif.

Mari kita cuba.

Jari hantu ini diubah fungsinya.

Apabila berjumpa dengan kawan, gunakan jari tengah atau hantu ini sebagai tanda perkenalan atau persapaan.

Halo! Sambil angkat jari tengah.

Cubalah mengubahnya. InsyaAllah akan banyak lagi perkara positif yang boleh dipraktikkan.

BANGKIT POSITIF!!!

Thursday, 13 June 2013








Assalamualaikum

Salam dihulur sebagai tanda perkenalan semula setelah agak lama saya tidak menulis. Hari ini saya akan kembali dalam penulisan ini walaupun ianya hanyalah picisan semata. Selama dua bulan ini saya telah melalui pelbagai detik-detik suka duka yang sedikit sebanyak membawa erti kepada kehidupan saya. 

Alhamdulillah, selepas menghadapi peperiksaan akhir semester, saya menjalani praktikal di Mahkamah Rendah Syariah Kota Tinggi. Setiap hari saya akan menghabiskan masa selama 15 minit untuk sampai ke destinasi dengan hanya menaiki sebuah motosikal sahaja.

Ada segelintir rakan-rakan bertanya, "Kenapa kau tak banyak kereta pergi praktikal? Lagi selamat. Taklah berpanas, berhujan."

Ya saya akui sepanjang menjalani praktikal, saya selalu pulang ke rumah dalam keadaan basah kuyup dek kerana hujan yang lebat di tengah jalan.

Akan tetapi, saya mempunyai alasan tersendiri. Saya ingin merasai bagaimana situasi sewaktu arwah ayah saya pergi ke tempat kerja setiap hari dengan hanya menaiki sebuah motosikal Honda C70. Saya juga ingin merasai bagaimana manusia ini sanggup berpanas dan berhujan hanya kerana ingin mencari rezeki.

Mata sekali-sekali dikenyitkan kerana ingin menahan kepanasan cahaya matahari dan badan ini kebal walaupun sekali-sekali ia menggigil kerana menahan kesejukan dalam hujan.

Dalam sesi penulisan lain, saya akan ceritakan tentang perihal sewaktu saya menjalani praktikal. :)

Masa dua bulan lepas juga telah memberi saya satu tekanan yang amat besar dalam hidup saya. Siapa sangka apa yang diharapkan sebelum ini pincang seolah dilanda badai. Apabila mendapat keputusan peperiksaan yang tidak berapa memberangsangkan, saya merasakan diri saya sudah hancur.

Sepanjang perjalanan pulang daripada praktikal, saya hanya mampu menangis di atas motosikal. Bayangkan menangis sewaktu menunggang motosikal. Kalaulah orang lain melihatnya, pasti ayat pertama yang keluar dari mulut mereka ialah,

"Bahaya betul budak ni. Dah lama hidup ke?"

Tetapi saya tidak mampu menahan sebak dan kepedihan itu. Sewaktu di rumah, saya masih tidak mampu menahan air mata dan akhirnya menangis di hadapan mak saya.

Puas mak menenangkan saya.

Kata-kata semangat diberikan walaupun hakikatnya saya sukar untuk menerima kenyataan tersebut.

Setiap hari semasa saya di rumah, mak lah orang yang sentiasa meniupkan kembali semangat saya yang telah hilang.

Sepatutnya saya kembali ke universiti untuk meneruskan tugasan yang di amanahkan tetapi saya tidak mampu. Perasaan pedih dan malu sentiasa menyelubungi, menghantui diri saya.

Selepas seminggu berada dalam kemurungan, saya membuat keputusan untuk kembali ke universiti. Saya memasang azam dan niat yang baru. Saya mengukir senyuman tawar di hadapan sahabat-sahabat supaya mereka tidak mengesyaki apa-apa daripada saya.

Sedikit demi sedikit saya sedar perkara positif sangat penting untuk membina kembali semangat saya yang telah. 

Teringat satu kata-kata atau 'tagline' sebuah cerita hero jepun yang menyatakan bahawa 

"Jangan lupakan masa silam tetapi majulah untuk masa hadapan"

Saya menjadikan kata-kata itu sebagai peniup semangat baru dalam diri saya. Adakalanya perkara silam tidak wajar dilupakan kerana ia mengajar kita untuk memahami dan membina jati diri dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Siapa sangka sebuah cerita hero kanak-kanak boleh menyampaikan mesej sebegitu.

Alhamdulillah.

Bangkit Positif!