BERMULA MUSIM 'DEMAM'

Monday, 23 September 2013

 Tenang walaupun sibuk mengulangkaji.
Tenang walaupun peperikasaan semakin menghampiri.

Musim demam telah kembali.

Demam Chikunguya?
Demam Malaria?
Demam Panas?
Demam nampak makhluk halus?

Bukan itu yang sebenanya saya maksudkan. Demam ini selalu di alami oleh kanak-kanak, remaja yang bergelar pelajar. Tidak kira sekolah mahupun institusi pengajian tinggi, ia menjadi kebiasaan. Benar bukan?

Demam peperiksaan bukanlah seperti orang sakit yang terlentang di atas katil dengan mengharapkan ubat-ubatan sebagai medium penyembuh. Malah bukan juga demam yang melepasi suhu badan badan manusia normal, 37 darjah celcius!

Ianya boleh dilihat apabila seseorang itu telah mengubah kebiasaannya menjadi luar biasa. Rakan-rakan sekelas anda yang suka berjalan tidak kira waktu tiba menjadi seorang yang pasif di dalam bilik. Roommate anda yang kuat tidur tiba-tiba berjaga malam bersengkang mata. Sahabat baik anda yang rajin online facebook dan twitter tiba-tiba senyap tanpa post terbarunya.

Kenapa ya? Buang tebiat kah?

I WANT TO GET BETTER SCORE!


Salah satu simptom yang menyebabkan berlakunya demam peperiksaan apabila mentaliti seorang pelajar itu perlu berubah untuk mendapatkan keputusan yang baik dan cemerlang dalam peperiksaan. Dalam erti kata lain STUDY HARD, STUDY SMART!

I'M REALLY SCARE IF I FAIL!

Satu kejutan dalam diri jika seseorang itu pernah merasai kegagalan dalam peperiksaan yang lepas dan ingin memperbaiki kelemahannya itu. Bagi pelajar lain yang tidak pernah merasai kegagalan, ketakutan itu pasti akan dirasai tatkala seseorang itu membayangkan apa yang akan terjadi jika dia gagal dalam peperiksaan akan datang.

THIS IS MY HOPE!

Harapan. Impian. Keinginan. Setiap individu yang bergelar pelajar pasti inginkan kejayaan di mana disitulah penentuan bagi mereka untuk menentukan masa hadapan mereka dan kerjaya hidup mereka. Lebih-lebih ada orang yang mengharap kepada kita untuk berjaya. Bebanan itu sangat dirasai. Pasti.

Menghadapi situasi sebegini merupakan kebiasaan tatkala musim peperiksaan. Pelajar Tingkatan 3 mengharungi PMR, pelajar Tingkatan 5 menghadapi SPM yang akan menentukan kedudukan mereka memasuki universiti atau matrikulasi. Tidak ketinggalan juga kepada pelajar Diploma yang akan berhadapan dengan peperiksaan akhir semester.

Ibu saya selalu berpesan jangan terlalu dibebani dengan target sehingga lupa keadaan sekeliling. Akhirnya nanti kita sukar untuk menerima suatu keputusan apatah lagi jika keinginan kita tidak tercapai. Perkara yang penting adalah Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawakkal.

DONT GIVE UP!

DON'T SCARE!

YOU CAN DO IT!

Kata-kata semangat perlu sentiasa ditiupkan ke dalam diri kita sendiri supaya menjadi penguat untuk berusaha ke arah kejayaan dan mencapai apa yang diingini.

"Sekiranya kamu telah membulatkan tekad, bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang bertawakkal." - Surah Ali 'Imran (Ayat 159).

Jika gagal bukan bermakna perjuangan berakhir disini. Ini bermakna pengajaran dan faktor pembaikpulih ke atas diri kita untuk berjaya. InsyaAllah Allah bantu.

KALAU BUKAN MEREKA

Saturday, 21 September 2013

 Kerja mereka sungguh bahaya.
Semuanya kerana mencari rezeki yang halal.



Assalamualaikum


Dalam penulisan kali ini, saya nak berkongsi dengan anda pengamatan saya, apa yang saya lihat dan apa yang saya fikir. Sebagai seorang 'kaki jalan' pastinya mata kita tidak lekang melihat persekitaran. Kalau boleh sepanjang perjalanan kita nak lihat di kiri dan kanan kita.

Pernah lihat siapa yang akan bersihkan koridor kelas, tandas, sapu lantai? Terutama pada waktu hujan. Air hujan bukan sahaja membasahi bumi malah tempias di koridor. Kemudian kita sebagai pengguna laluan di koridor melaluinya sehingga menyebabkan air hujan tadi bercampur dengan kekotoran yang terdapat pada tapak kasut kita.

Maka Makcik Cleaner akan membersihkannya. Memastikan kebersihan itu tugas mereka.

Ketika waktu sekolah dulu, kita lihat persekitaran sekolah yang penuh dengan landskap. Seingat saya, setiap sekali sebulan pokok-pokok yang menjadi hiasan dibentuk dengan cantik. Reban ayam dan burung dibersihkan.

Itulah kerja seharian Pakcik Pekebun yang tidak lepas memegang cangkul dan memakai sarung tangan.

Apabila saya berada di rumah ketika cuti semester, setiap minggu saya atau adik saya akan mengumpul sampah di dapur dan diletakkan di hadapan jalan masuk ke rumah. Ketika itu juga saya perhatikan sebuah lori sampah bertulis MDKT di badannya akan lalu.

Bau lori tersebut sangat memualkan. Bagi sesiapa yang tidak tahan, pasti termuntah. Tapi peliknya, tukang angkat sampah dengan tenang mengambil plastik-plastik sampah dan dicampak ke dalam lori. Tanpa memakai mask. Hanya sarung tangan sahaja untuk mengelakkan kuman.

Sungguh hebat mereka menahan bau yang memualkan itu.

Suatu hari, saya terpandang seorang lelaki muda sedang membersihkan tingkap sebuah bangunan yang agak tinggi. Diangkat menggunakan sebuah para yang disangkut menggunakan alat tertentu. Walaupun ianya dikatakan dijamin dengan keselamatan, tetapi ia masih menakutkan.

Bila-bila masa sahaja boleh jatuh.

Seolah-olah mempertaruhkan nyawa untuk kerja-kerja 'gila'.

Bayangkan mereka memper'judi'kan nyawa untuk mencari wang. Jika hendak difikirkan, adakah ahli keluarganya tidak risau?

Pada kita mereka tidak sehebat kita. Mereka kerja dalam kekotoran, bau yang tidak menyenangkan malah membahayakan. Tidak malukah mereka kerja sebegitu?

Itu pendapat sesetengah orang. Malah ada yang menghina pekerjaan mereka. Saya pernah melihat makcik cleaner menjadi bahan kutukan pelajar-pelajar di sekolah. Malah tanpa sifat berperikemanusiaan membuang sampah di tepi tong sampah sedangkan tong sampah masih belum penuh.

 Kerja mereka mulia.
Jika tiada mereka, anda mampu lakukan?
Pastinya tidak.




Pertama,

Bayangkan, makcik cleaner, pakcik pekebun itu adalah ahli keluarga kita.

Kedua,

Bayangkan mereka menggunakan duit gaji hasil jadi cleaner, pekebun untuk menyara hidup kita, makan minum kita.

Ketiga,

Jika tidak kerana mereka, koridor yang kotor tidak akan pernah bersih, pokok-pokok yang terbiar tanpa penjagaan malah mati. Anda mahu melakukan kerja seperti itu? Pastinya tidak.

Sedang duduk di tepi jalan, saya terfikir jika tiada mereka yang melakukan kerja-kerja itu, tiada siapa yang akan menjaga kebersihan dan kecantikan alam sekitar. Pada saya, mereka adalah orang-orang yang patut saya kagumi. Bukan sahaja kita kagum dengan orang berjaya. Hal ini kerana mereka berjaya melawan pemikiran mereka untuk mereka mencari rezeki. Saya pasti mereka berstatus ayah dan ibu. Mereka sanggup berdepan kekotoran dan bau yang tidak menyenangkan semata-mata mencari duit yang halal untuk menyara kehidupan keluarga mereka.

Saya hanya mampu tersenyum hiba melihat betapa hebatnya mereka. Mereka lebih hebat berbanding orang yang duduk di bawah aircond dan dilayan seperti raja. Mereka lebih kuat, lebih tabah berbanding seorang atlet yang berlari 30 hari tanpa henti.

Apa yang sepatutnya kita lakukan bukanlah mencerca kerja mereka. Kerja mereka mulia, halal malah mungkin lebih diberkati Allah berbanding kerja yang kita lakukan.

Kita perlu hargai dan ucapkan terima kasih kepada mereka. Setidak-tidaknya memberikan senyuman tanda kita menghargai kerja-kerja mereka.

Jika anda pernah melihat Movie Hindustan 'Munna Bhai MBBS' lakonan Sanjay Dutt, bagaimana cerita tersebut memperlihatkan seorang gangster, Munna Bhai memeluk seorang pakcik cleaner hospital semasa dia mengemop lantai. Lalu Munna Bhai mengucapkan terima kasih. Menakjubkan attitude sebegitu. Wajar dicontohi.

Setiap kali saya melihat makcik cleaner sedang membersihkan koridor, saya akan melemparkan senyuman dan meminta izin untuk lalu. Gembira mampu terukir apabila makcik itu membalas senyuman seolah-olah rasa dirinya dihargai sebagai manusia.

Anda juga mampu membuat seperti itu.

Hargai mereka.

PLOT SASTERA KEHIDUPAN MANUSIA

Thursday, 12 September 2013

Sebuah cerita yang menarik bukan hanya berdasarkan bait-bait penulisan,
Tetapi melalui jalan cerita yang ingin ditunjukkan - Sekadar Gambar Hiasan



Masih ingat lagi subjek Komponen Sastera (KOMSAS) yang pernah kita pelajari sewaktu di bangku sekolah menengah?

Bermula tingkatan satu lagi kita sudah didedahkan dan diajar mengenai komponen-komponen yang terdapat di dalam sastera. Cerpen, novel dan puisi.

Semasa saya berada dalam Tingkatan Dua, masih segar dalam ingatan KOMSAS Tragedi Empat Disember yang sangat tragis dan dihasilkan daripada sebuah kisah benar suatu ketika dahulu. Sangat sayu hati semasa saya membaca disamping mengeluarkan komponen-komponen sastera di dalam novel tersebut.

Mengimbas kembali sedikit teknik plot yang menjadi asas dalam sesebuah cerpen dan novel; teknik atau cara pengarang mengemukakan atau menceritakan sebuah peristiwa yang mempengaruhi plot sama ada plot cerita itu mengikut kronologi atau tidak. Sesetengah cerita terdapat kejutan dan saspens yang membuatkan plot itu menarik dan berkembang. Idea seorang penulis.

Plot penceritaan pula merupakan kaedah pengarang menyampaikan cerita sama ada ianya melalui perbualan, monolog dalaman mahupun diskripsi cerita itu sendiri.

Dalam penulisan kali ini, saya bukan hanya mahu mengimbas kembali nostalgia mendalami bidang KOMSAS ini tetapi dalam masa yang sama saya ingin kita sama-sama terjah lebih dalam dengan mengaplikasikan plot dan penceritaan ini dengan kehidupan yang telah dan sedang kita lalui.

Sedar ataupun tidak kehidupan manusia; lebih mudah diberi contoh diri kita sendiri ibarat sebuah cerita atau novel. Bezanya kisah diri kita tidak ditulis malah novel tentang diri kita juga tidak tahu pengakhirannya.

 
Plot sastera mempunyai persamaan dengan jalan kehidupan seorang manusia.
Hanya berbeza dari pengakhirannya.
Anda tahu?



PLOT

Eksposisi (Permulaan)

Kisah kehidupan manusia bermula dengan jalan cerita yang sama. Dilahirkan oleh seorang wanita tabah bernama ibu untuk melihat dunia. Di sinilah permulaan sebuah kehidupan terbentuk melalui cara dan kaedah didikan oleh kedua ibu bapa. Ketika ini, anak-anak ibarat kain putih yang bersih. Tidak ada sedikit pun kotoran yang melekat padanya.

Saya mengibaratkan perjalanan sewaktu kita dilahirkan sebagai eksposisi cerita kerana ketika ini kita baru sahaja melihat dunia setelah diizinkan oleh Allah. Manusia telah menjalani eksposisi sebuah kehidupan yang sama. Dicipta oleh yang Maha Esa melalui perantaraan seorang wanita yang melahirkan kita. Berbeza dengan Nabi Adam A.S dan Hawa yang dijadikan daripada tanah.

"Kemudian kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. Lalu kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; Kemudian kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; Kemudian kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik pencipta." - Surah Al-Mu'minun (23:14)

Dalam perjalanan cerita ini, kita dididik, diasuh dan dijaga dengan sepenuh hati ibarat menatang minyak yang penuh. Segala kasih sayang dicurahkan tanpa mengira penat lelah.

Kain yang putih itu telah mula tercorak dengan pelbagai warna dan masing-masing mempunyai design tersendiri.

Rentak kehidupan kita pun sudah menampakkan ritmanya kerana lazimnya kanak-kanak akan mengikut perilaku ibu bapa mereka. Jika baik maka baiklah kelakuannya dan begitu juga sebaliknya.



Komplikasi (Perkembangan Cerita)

Ketika ini rentak kehidupan manusia sudah mula berbeza-beza. Perasan atau tidak kita sudah mula mempunyai kehendak sendiri. Malahan kita sudah menanam sebuah impian dan hala tuju.

Waktu ini juga kita menerima pelbagai kejutan budaya. Sebagai contoh ketika melangkah ke alam persekolahan.

Pertamanya kita diajar perkara baru oleh guru-guru yang merupakan ibu bapa kedua. Sesi pembelajaran ilmiah berlaku pada waktu ini kerana kita tidak diajar mengenai kepakaran dunia di rumah secara terperinci.

Otak dan pemikiran kita juga mula berkembang kerana kuasa ilmu yang diterima. Zaman inilah penentuan kepada cerita kita yang seterusnya.

Disamping itu juga kita dikejutkan dengan ilmu tidak formal melalui persekitaran. Sahabat, budaya setempat, keadaan sekeliling dan sebagainya. Sebagai contoh skill dan kemahiran. Hakikat sebenar ianya jarang dipraktikkan di dalam kelas. Melalui ilmu tidak formal jugalah ianya diserapkan.

Dalam komplikasi cerita kehidupan ini manusia mempelajari pelbagai ilmu dan mempraktikkan ilmu-ilmu tersebut sama ada untuk diri sendiri, keluarga, mahupun orang lain. Sebagai contoh mudah seseorang yang sudah bekerja dan mempunyai kedudukan pangkat yang tinggi. Sudah pasti ilmunya banyak. Sudah tentu juga dia banyak memberi sumbangan.

Namun dalam perkembangan cerita ini, perlu diingat bahawa tidak semua di antara kita cerita kehidupannya berkembang secara mekar. Perlu sedar ada juga di antara kita kisah kehidupannya ibarat sebuah pokok yang berkembang tanpa daun.

Perkara ini mungkin terjadi kepada sesetengah individu yang terpengaruh dengan keadaan sekelilingnya sehingga memaksa dirinya melakukan sesuatu yang tidak baik.



Klimaks (Kemuncak Cerita)

Dalam kehidupan manusia, klimaks akan terjadi apabila seseorang itu mendapat kebahagiaan ataupun musibah. Ketika ini pelbagai reaksi akan ditonjolkan sebagai ekspresi kepada cerita tersebut.

Pernah atau tidak kita mengalami satu suasana yang berbeza dari hari-hari kebiasaan. Mendapat pujian daripada majikan, memperoleh kemenangan dalam suatu pertandingan, menjadi orang contoh dan sebagainya yang membuat kita gembira kerana kemuncak itu.

Lazimnya dalam kehidupan manusia, klimaks atau kemuncak ini merupakan sesuatu yang sangat berharga dan menjadi ingatan sampai bila-bila. Klimaks manusia boleh jadi berulang kali. Tidak hairanlah jika seseorang itu mempunyai pelbagai kenangan manis dalam hidupnya.

Begitu juga dengan musibah. Ia juga klimaks dalam kehidupan manusia kerana peristiwa pahit selalunya juga menjadi ingatan. Berbeza ekspresi dengan kebahagiaan, hanya kesedihan, kemurungan, trauma malah keinsafan dan rasa bertaubat mula ditonjolkan.

Sebagai contoh, seseorang ditimpa musibah apabila dimasukkan ke dalam penjara kerana perbuatan jenayah yang dilakukan. Pasti dia akan kecewa, sedih dan mula mengimbas kembali kesilapan yang pernah dilakukan.



Pengakhiran Cerita

Di dalam sastera seperti novel dan cerpen, cerita akan berakhir dengan pelbagai situasi. Ada cerita yang berakhir dengan kegembiraan. Bagi novel Islamik, kebiasaan cerita akan berakhir dengan rasa keinsafan dan perubahan ke arah yang lebih baik. Ada juga cerita yang berakhir penuh tragik, kesedihan sehingga pembaca boleh melelehkan air mata.

Namun, pengakhiran kehidupan manusia masih menjadi tanda tanya. Tiada siapa yang dapat meneka pengakhiran seseorang itu sama ada baik atau sebaliknya. Hakikatnya hanya Allah sahaja yang mengetahui kerana Allah Maha Mengetahui.

Kisah 'novel' kehidupan kita bergelar manusia ini boleh mengalami perkembangan dan klimaks berulang kali tanpa kita sedari. Pasti anda pernah mendengar kata-kata:

"Hidup manusia ibarat roda. Adakalanya kita berada di atas, adakalanya kita berada di bawah."

Oleh itu, wajarlah kisah cerita kehidupan manusia ini tidak dapat ditulis dengan sempurna kerana adakalanya kita mengecapi kebahagiaan tetapi kadangkala kita merasai musibah yang datang sebagai ujian.

BILA AKU MERDEKA?

Wednesday, 11 September 2013






Sewaktu merdeka dilaungkan
Kita gembira suka ria
Kerana kita telah merdeka dari cengkaman penjajah
Kita bebas dari seksaan dan kekejaman bintang tiga
Kita lepas dari kesadisan kulit putih

Sewaktu merdeka dilaungkan
Kita bangga dengan tahap kemajuan
Kita agung dengan kehebatan pentadbiran
Tidak perlu lagi berada di bawah mereka
Tidak lagi mereka menjadi ketua

Namun begitu
Adakah kita sudah benar-benar merdeka?
Jika kau kata merdeka negara
Aku menjunjung bendera setinggi langit
Menyatakan kesahihan itu

Namun jua
Adakah kita sudah benar-benar merdeka?
Dari benih-benih budaya yang mereka bawa
Dari bisikan sangkakala yang mereka tiupkan
Hingga kita lupa bahawa mereka halusnya telah berjaya

Bukan negara yang mereka ingin takluk
Bukan daerah yang mereka ingin jajah
Tetapi
Semaian budaya mereka yang ingin disebarkan

Lihatlah kini
Semakin ramai yang terpelecok
Semakin ramai yang terbabas
Dek kerana budaya dan pemikiran yang mereka serapkan
Itulah kebenaran dan hakikat yang nyata.

Bila aku merdeka?

Nukilan: Kay Sham

DOA MAJLIS PENUTUPAN MINGGU MESRA SISWA UniSZA 2013/2014

Monday, 9 September 2013



 

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

الْـحَمْدُ للهِ الذِيْ بِنِعْمَتِهِ تَتِمّ ُالصَّالِـحَاتُ ، وَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِنَا الأمِيْنَ وَعَلَى ءَألِهِ وَأصْحَابهِِ أجْـمَعِيْنَ .

Ya Allah ,Ya Ra'ufurrahim ,
Kami merafakkan rasa kesyukuran kepada-Mu bersempena dengan Majlis Penutupan Minggu Mesra Siswa Universiti Sultan Zainal Abidin Sesi 2013/2014 pada malam ini.

Ya Allah , Ya Tuhan Kami
Sesungguhnya pada hari ini kami berkumpul kerana-Mu Ya Allah
Kami berkumpul untuk mengisi seluruh hidup kami dengan keredhaan-Mu

Ya Allah , Tuhan Yang Maha Mengetahui ,
Semoga perjalanan Minggu Mesra Siswa ini tidak menjadi pengakhiran kepada sebuah ikatan ukhwah yang dibina sepanjang Program ini berlangsung. Sesungguhnya ukhwah yang dibina itu adalah senjata mengukuhkan perjuangan agama Islam.
Berkatilah usaha-usaha kami , mudah-mudahan (dengan usaha-usaha kami ini) , Mahasiswa/wi yang berada di hadapan ini akan menjadi pelajar yang cemerlang, terbilang , pelajar yang disegani dan dihormati, samada dalam aspek akademik mahupun kokurikulum seterusnya mampu melahirkan generasi pelajar yang berjaya di dunia mahupun di akhirat. Sepuluh jari ini jua menadah memohon agar kau sentiasa memberikan ilham dan membuka minda kami supaya kami menjadi mahasiswa yang intelektual, berfikiran luas dan positif serta kontemporari seiring dengan syariat Islam.


Ya Munzilal Barakah wa Ya Kasyifalghummah ,
Ya Allah kurniakanlah Kepada kami kekayaan ilmu pengetahuan dan hiasilah diri kami dengan sifat lemah-lembut, dan muliakanlah kami dengan ketaqwaan dan indahkanlah diri kami dengan kesihatan.

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا ءَاخِرُهُ وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمُهُ وَخَيْرَ أيَّامِنَا يَوْمَ ألْقَاكَ فِيْهِ
اللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِيْ قـُلُوْبِنَا غِلاًّ لِلَّذِيْنَ ءَامَنُوْا رَبَّنَاإنَّكَ رَءُوْفٌ رَحِيْمٌ

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَة ً وَفِي الأخِرَةِ حَسَنَة ًوَقِنَا عَذَابَ النَّار ِ

وَصَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ ، وَالْحَمْدُلِلَّهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ

KONTEMPORARI: BINA KETERBUKAAN MINDA

Saturday, 7 September 2013

 Warna-warni yang memberi idea baru dalam pemikiran manusia


'Open Minded'
'Minda Terbuka'

Istilah ini selalu kita dengar, jumpa dan lihat dalam kerja, pembelajaran serta aktiviti seharian kita. Dalam konteks pembelajaran, ianya diperlukan bertujuan untuk menerima pelbagai topik-topik baru malah perkara-perkara yang kadangkala 'aneh dan memalukan' bagi kita. Contohnya dalam sains atau biologi, topik pembiakan atau 'reproduction' manusia adalah topik yang memalukan terutama bagi pelajar perempuan. Inilah hakikat pada awalnya kerana tajuk ini mendedahkan mereka tentang sistem pembiakan lelaki dan perempuan dan juga penghasilan anak atau 'offsping'. Persepsi awal mereka ialah;

"Eii, apa ada tajuk ni? Malulah,"
"Tak senonoh betul subjek ni,"

Tetapi apabila dalam peperiksaan, tajuk inilah yang menjadi tajuk popular untuk pelajar menjawab soalan kerana mudah untuk mengingat. Dalam tajuk ini sebenarnya telah mengaplikasikan konsep minda terbuka kepada para pelajar supaya mengetahui kepentingan kedua-dua organ pembiakan yang berbeza dari sudut sains.
________________________________________________________________________
 
Persepsi, pemikiran dan ideologi.

Ianya perlukan kontemporari atau kepelbagaian. Selagi mana tidak melanggar hukum-hukum syarak dan tidak membelakangkan dua sumber utama umat Islam; Quran dan Sunnah, ianya perlu. Seiring dengan arus pembangunan dan pemodenan masa kini.

Hal ini kerana manusia telah mengalami evolusi dari pelbagai segi. Pemikiran, pemakaian, pekerjaan, mahupun sesi pembelajaran. Tidak semua manusia terutama umat Islam itu sendiri dapat menghirup hembusan syariat Islam dan mempraktikkan Islam itu sendiri di dalam dirinya dek kerana pengaruh luar yang telah bermaharajalela. Tiupan barat telah berjaya mempengaruhi segenap kehidupan kita. Bagi insan yang tidak kuat pegangannya, dengan mudah mereka akan bergoyang mengikut tiupan itu.

Kontemporari dari sudut bahasa adalah alaf baru. Dalam erti kata lain sesuatu yang baru tetapi masih mengekalkan elemen asal. Seperti contoh mudah yang saya boleh ambil ialah syair, pantun dan sajak. Puisi yang sekian lama menjadi tradisi Melayu ini boleh kita lihat telah di-kontemporari kan dari sudut penggunaan bahasa dan perkataannya yang moden. Bertujuan untuk menarik minat anak-anak muda agar tidak hilang dari tradisi ini serta memberi maksud baru dalam arus kini.

Persepsi, pemikiran dan ideologi yang kontemporari perlu dalam Islam agar dapat menarik dan memberikan kesedaran kepada anak-anak muda khususnya generasi Y ke arah yang lebih baik. Sebagai contoh, bagaimana hendak menarik minat golongan muda agar mendekati masjid? Bagaimana hendak menjauhkan anak-anak muda dari zina? Jika persepsi, pemikiran dan ideologi yang digunakan hanya berkonsepkan sindiran, cacian dan negatif, maka hati mereka akan tertutup dek semangat yang hilang untuk berubah.

Persepsi, pemikiran dan ideologi yang kontemporari juga perlu untuk membuka minda kita dan membebaskan diri dari sifat kejumudan. Adakah seorang peguam yang arif tentang perlembagaan dan undang-undang tidak boleh mendalami ilmu agama? Fikirkan jika seorang peguam sivil yang hebat dalam undang-undang manusia ini dapat mengubah dunia dengan mempraktikkan bersama hukum dalam Islam dek kerana kontemporarinya mendalami dan menghayati ilmu agama. Begitu juga dengan seorang Ustaz yang mahir dalam ilmu agama. Jika beliau juga mendalami ilmu komputeran, ia akan menjadi satu kelebihan dalam medan menyampaikan dakwah.

Realiti pada hari ini ramai dalam kalangan kita telah menyempitkan persepsi, pemikiran dan ideologi mereka sehinggakan jika fakta mengatakan sebegini, situasi juga mesti begini. Tidak boleh bercanggah walaupun kita boleh mengubahnya. Hiburan dibolehkan di dalam Islam selagi mana ianya tidak melalaikan. Zaman ini hiburan adalah subjek penting dalam kehidupan manusia. Pada mereka, hiburan merupakan medium untuk menghilangkan stress, menenangkan jiwa dan sebagainya. Manusia yang bijak akan mengambil inisiatif menjadikan hiburan salah satu medium untuk berhibur bersama orang lain dan menyelitkan unsur-unsur nasihat, keagamaan dan tarbiyah dalam usaha menarik minat mereka mendekati Allah.

Di samping itu juga, persepsi, pemikiran dan ideologi yang kontemporari ini dapat memberikan kita pandangan yang sangat luas dalam situasi-situasi tertentu. Suatu jawapan yang jelas lagi nyata akan terpampang jika kita tidak hanya memandang kepada sesuatu perkara malah kita sendiri akan berfikir tentangnya dengan lebih mendalam dan intelektual. Memandang kepada satu situasi sahaja tanpa memberikan laluan untuk melihat situasi yang lain tetap akan memberikan jawapan. Tetapi jawapan yang diperolehi hanyalah jawapan yang berat sebelah malah kadangkala ianya akan membuatkan jawapan itu kontra dan lebih negatif dari positif kepada situasi yang satu lagi. Tidak hairanlah jika ramai yang mempunyai persepsi dan pemikiran yang negatif malah berlandaskan emosi dek kerana tidak berjaya meluaskan mindanya.

Sebagai manusia yang hebat, mempunyai akal pemikiran yang mantap, kontemporari dan keterbukaan menjadi elemen tambahan dalam mencetuskan idea-idea baru. Malahan ianya juga mampu memberikan nafas yang segar dalam usaha meniupkan tarbiyah Islamiyah dalam kalangan anak-anak muda yang tersasar jauh. Sama-samalah kita berfikir selagi ianya tidak jauh dari Islam.