SANG PENJUDI

Tuesday, 14 January 2014



Sajak ini terlintas dari atma ku sahaja.
Bukan bersifat proletar.
Tetapi mungkin anda boleh fikirkan.

 
Kau Penjudi!
Kau heboh kau itu berkuasa
Katanya berjuang demi marhaen
Tetapi kenapa kami masih menderita?

Kau Penjudi!
Ceritanya kau banyak pengorbanan
Di mana sekeliling mengetahui
Kau proklamir untuk perubahan
Tetapi kenapa emansipasi kami dipertaruhkan?

Kau Penjudi!
Bukan pemain kad tarot
Bukan jua ahli gapla
Tetapi ahlil egosentrik

Kau Penjudi!
Duit bukan perdana percaturan
Kemenangan tidak menjadi santapan
Tetapi nasib manusia yang dipertaruhkan

Kau Penjudi!
Ku ingin peringatkan
Janganlah kau terus berjudi
Jangan nyawa kau jadikan taruhan

Ku takuti
Bukan kemenangan yang kau genggam
Tetapi seribu penyesalan yang tidak berkesudahan.

 Tulisan: Dakwat Biru

MUHAMMAD: IDOLA SEPANJANG ZAMAN




Jom Selawat ke atas Nabi
Inginkan Syafaat apabila di akhirat?
Banyakkan selawat

اللهم صل على محمد وعلى آل سيدنا محمد، كما صليت على إبراهيم وعلى آل إبراهيم، وبارك على محمد وغلى آل محمد، كما بركت على إبراهيم وعلى آل إبراهيم، فى العالمين إنك حميد مجيد.

“Sesiapa yang mengucapkan selawat ke atas ku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/ketinggian (di syurga kelak)” Hadith Riwayat An-Nasai.

12 Rabiul Awwal Tahun Gajah yang bersamaan dengan 571 Masihi, telah lahir seorang dari kalangan Bani Quraisy untuk dijadikan Nabi dan Rasul yang terakhir. Yang membawa Islam dan kesejahteraan kepada jagatraya. Diberi nama Muhammad bin Abdullah, baginda dilahirkan di dalam kalangan keluarga bangsawan Quraisy Mekah. Bapanya Abdullah bin Abdul Muttalib, merupakan keturunan bangsawan Abdul Muttalib yang berpengaruh di Mekah. Ibunya Aminah binti Wahab. Perkara asas dalam mengetahui sirah Rasulullah S.A.W.

Maulidur Rasul bukan sahaja mengingati sirah kelahiran Rasulullah, mukjizat yang diterima oleh Rasulullah, dan hijrah Rasulullah. Berselawat kepada Rasulullah merupakan salah satu cara untuk mengingati baginda, malah pahalanya sepuluh kali ganda!

Bagaimana dengan tarbawi yang disemaikan oleh baginda?

Sunnah yang diajar baginda?

Sifat kepimpinan nubuwwah yang ditunjukkan oleh baginda?

Nasihat-nasihat Baginda?

Adakah kita mengetahui, mengingati malah mengamalkannya?

Cintakan Rasulullah bukan sahaja dengan berselawat. Bukan sahaja dengan perarakan. Mempraktikkan segala ajaran Rasulullah dan mengamalkan adalah salah satu bukti kita benar-benar cintakan Rasulullah.
Sunnah yang diajarkan nabi sangat banyak dan meliputi seluruh ruang lingkup kehidupan kita. Berawal dari bangun tidur sehingga kembali memejamkan mata.  Saya pernah membaca sebuah blog yang menyenaraikan 100 sunnah nabi dalam kehidupan. Setiap perlakuan seharian kita ada sunnahnya. Bangun tidur, makan, berjalan atau bermusafir, tidur, ziarah, mandi dan sebagainya. Dikatakan siapa yang mengamalkan sunnah Rasulullah, pahalanya ibarat pahala seratus orang mati syahid.

Sebagai contoh, ketika makan, selepas membaca doa makan, disunatkan memakan buah-buahan terlebih dahulu. Memulakan suapan pertama dengan tiga jari dan sebagainya.

Perjalanan hidup Rasulullah banyak menonjolkan sifat-sifat kepimpinan yang sepatutnya diamalkan oleh kita. Siddiq, Tabligh, Amanah, dan Fathanah yang menjadi sifat Rasulullah sebenarnya mengaplikasian atau contoh kepada kepimpinan Nabi Muhammad.

Siddiq (Benar) dan Tabligh (Menyampaikan) ditonjolkan oleh Rasulullah dengan berkata perkara-perkara yang benar tanpa sebarang pendustaan. Walaupun tahu sukar untuk kaum ketika itu menerima Islam, berkata tetap berkata benar tentang Islam. Mengajak menyembah Allah. Dibaling batu dan najis tidak menjadikan baginda lemah. Baginda tetap menyampaikan tanpa keluhan.

“Berkatalah benar walaupun ia pahit”
“Sampaikanlah walau sepotong ayat”

Amanah (Jujur/Amanah) dan Fathanah (Kebijaksanaan) yang dipaparkan oleh Rasulullah sepatutnya menjadi ikutan oleh kita. Baginda tetap amanah menyampaikan kata-kata Allah tanpa sebarang prejudis. Tanpa sebarang alasan untuk menolak. Disamping itu juga baginda perlu berhadapan dengan kaumnya yang pasti akan menentang amanah Allah yang ingin disampaikan kerana mereka tidak menerima Islam ketika itu. Kebijaksanaan ini ditunjukkan dengan cara baginda menjawab persoalan yang dilontarkan, tidak memulakan perbalahan dan tutur laras bahasa yang membuatkan orang lain sejuk hatinya.

Baginda banyak memberi nasihat seperti yang ditunjukkan di dalam khutbah-khutbah baginda. Pemimpin dan kepimpinan, kematian dan kubur, jihad dan sebagainya. Kita juga boleh melihat kembali nasihat-nasihat yang disampaikan oleh Rasulullah di dalam hadith-hadith sahih yang diriwatkan oleh imam-imam.

Natijahnya, cintakan Rasulullah bukan dengan kata-kata, tetapi bagaimana kita mengaplikasikan cara kehidupan Rasulullah dalam kehidupan kita. Mari sama-sama kita perincikan kembali setiap perjalanan sirah Rasulullah supaya kita tahu dengan lebih dalam mengenai baginda.

“Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas nabi. Wahai orang beriman, berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkan salam penghormatan kepadanya.” – Surah Al-Ahzab: 56.

DIARI 360% - CHAPTER 3

Friday, 10 January 2014

360% = Bulatan
Yang anda tidak sedar itulah keistimewaan.


Intro Spastik

Diari kali ini aku mulakan dengan intro. Dah masuk chapter 4 baru nak intro? Sebab tu lah aku tulis sub-topik sebagai Intro Spastik-Permulaan yang Cacat. Hanya selingan sahaja. Aku belum terangkan mengapa aku terbitkan nama diari ini sebagai Diari 360% pada chapter sebelum ini bukan? Baiklah. Aku mengambil ruang sedikit untuk aku ceritakan.

360% adalah satu lingkaran lengkap bagi sebuah bulatan dalam pengiraan geometri. Sebuah bulatan yang tidak mempunyai sebarang bucu mahupun terpisah lingkarannya. Semuanya berbentuk curve. 

Aku menjadikan 360% atau bulatan ini sebagai objek kerana ia melibatkan sekeliling kita. Manusia mempunyai vision yang terhad untuk melihat. Tidak boleh melihat ke tepi melainkan memusingkan sedikit kepala. Tidak bisa melihat ke belakang melainkan tubuh badannya diputarkan. Oleh itu, kita sering fokus kepada insiden atau perkara yang berlaku di hadapan kita sahaja. Di sekeliling sering kita abaikan.

360% yang ingin aku sampaikan ini hanyalah diari tentang aku dan apa yang aku lihat di sekelilingku. Tentang ragam manusia. Perlakuan haiwan. Pergerakan alam dan sebagainya.

“Jika aku diletakkan di tengah-tengah kesibukan orang ramai, dan memusingkan badanku 360%, pasti aku akan melihat pelbagai ragam manusia."

Penghujung Tahun 2013

Wow! Dah nak habis tahun 2013. Siapa sangka tahun 2013 ini telah menjadi tahun haru-biru bagiku. Cakap sahaja perasaan yang aku rasa. Semua ada. Suka, duka, bahagia, derita dan sebagainya. Allahuakbar. Hanya Allah sahaja yang tahu.

Minggu midterm cuti, aku mengambil keputusan tidak pulang ke kampung halaman. Menghabiskan masa menghadap laptop, membuat penulisan dan study untuk test. Keluar sekali-sekala apabila ada yang mengajak sahaja. Setiap kali telefon mak, pasti akan ada ingatan untuk aku tidak kerap keluar. Sabar jela. Tapi nyatanya aku memang jenis kaki rayap. Sebabnya aku mudah bosan lebih-lebih tempat tiada tujuan.

Wah! MPP baru membuat pertemuan dengan mantan lah. Ikut hati tak nak pergi. Tapi aku kena professional. Pergi jugalah. Melihat wajah-wajah baru kepimpinan pelajar universiti. Tak nak banyak komen. Nanti banyak sangat spekulasi keluar.

Dua hari sebelum malam tahun baru, aku mendaftar nama sebagai anggota sukarelawan membuat serbuan malam tahun baru. Serbuan di tempat-tempat yang menjadi kawasan ‘panas’. Penekanan yang diberikan oleh Jabatan Agama Islam Terengganu berkenaan seksyen-seksyen jenayah syariah; khalwat, berdua-duaan hingga boleh menimbulkan curiga, berzina dan sebagainya adalah fokus dalam serbuan. Aku terfikir, mereka-mereka ini tidak takut dilaknatkah? Tampaknya Islam KTP sahaja. Nauzubillah.

Tahun Baru 2014

SELAMAT TAHUN BARU!

Terengganu tak ambil cuti awal tahun baru. Jadi konklusinya, kelas macam biasa. Awal tahun baru sudah dicatatkan jadual hujung mingguku menjadi fasilitator kem kepimpinan SMK Tok Jiring. Nampaknya aku perlu banyak belajar lagi etika kefasilitatoran. Apa yang aku dapat di sekolah hanyalah sebahagian daripada ‘FASILITATOR’. Fuhh! Tak pe. Banyak lagi masa.

Test. Assignment. Test. Assignment. Bulan ini penuh dengan perkara-perkara itu. Rasa sudah macam final exam. Apa pun teruskan HIDUP!

HIDUP BIAR BERJASA!

TAHUN BARU: KEMBARA AZAM

Tuesday, 7 January 2014





 2014
Azam baru?
Azam lama?
Tiada azam?



Selamat Tahun Baru!
Happy New Year!
Sanah Jadidah Sa’idah!

Walau sudah beberapa hari berlalu, namun kita masih lagi berada di dalam kehangatan tahun baru. Bertambah usia, berlaku perubahan status daripada bujang kepada ‘in relationship’, perubahan diri dan pelbagai lagi. Dalam penulisan ringkas tahun baru ini, saya ingin berkongsi kepada anda semua perkara-perkara yang sepatutnya kita fikir apabila masuk sahaja tahun baru.

Pada penulisan yang lepas, saya telah highlight kan beberapa perkara yang perlu untuk muhasabah diri. Apabila kita telah bermuhasabah diri, refreshing atau reflection (refleksi diri) dan bertaubat kepada Allah malahan juga maaf-memaafi antara sesama manusia, kita perlu juga fikirkan perkara yang akan kita lakukan pada tahun hadapan (tahun ini) bukan? Selesai refleksi, adakah kita mahu berada di takuk yang lama? Pastinya kita ingin berubah ke arah yang lebih baik bukan?

AZAM Saya tahun ini............
Saya berazam untuk...............
Tahun ini saya ingin...............

Azam. Azam bermakna kemahuan. Azam tahun baru beerti suatu kemahuan yang kita ingin tunaikan pada tahun ini dengan jayanya. Ayat di atas sudah menjadi klise apabila menjelang tahun baru. Pelbagai kemahuan yang diingini dengan harapan ianya tertunai. Tidak kiralah ianya nyata atau pun tidak. Sebagai contoh, berazam menginginkan rumah, kejayaan dan sebagainya. Namun berapa ramai yang berazam inginkan perubahan (Taghyiiri) ke arah yang lebih baik, bertaqwa kepada Allah, mencari ilmu sebanyak-banyaknya dan meningkatkan iman? Jika ada terniat atau berazam pada tahun-tahun sebelumnya, adakah sudah tertunai?

Azam itu bukan janji atau manifesto yang wajib ditunaikan. Namun adakah wajar kita mengganggap azam itu sambil lewa sahaja?  Tidak sahabat-sahabat. Anggaplah azam itu sebagai impian kita yang perlu kita kecapi dan capai dengan jayanya. Jika tidak, azam anda itu hanyalah perkara yang sia-sia.

“Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang”

Berazam ingin memiliki sebuah telefon bimbit katakan, tetapi empunya keinginan malas kumpul duit, malas buat survey harga dan sebagainya-bertemankan alasan-ibarat menunggu bulan jatuh ke riba, sampai bila-bila sukar untuk memilikinya. Walau dapat sekalipun, dia tidak akan dapat serupa dengan keinginannya.

Pada pandangan saya, kita telah menjalani sebuah kembara sepanjang kehidupan kita. Bermula sejak lahir hinggalah berada pada tahap ini. Kembara yang saya maksudkan ialah KEMBARA ILMU, IMAN, dan TAQWA. Tiga perkara yang seiring dengan perjalanan kehidupan kita. Malahan tiga perkara ini juga mengalami tahap penerimaan sesuai dengan tahap evolusi kita. Sejak kecil kita sudah diterapkan dengan ilmu oleh kedua ibu bapa kita untuk mengenal dunia. Keluar dari perut ibu, ilmu pertama yang kita perolehi ialah AZAN dan IQAMAT.

Dalam usia yang belum mummayiz, kita sudah didedahkan dengan siapa Tuhan kita. Ayah dan ibu tidak berkata secara langsung Allah tuhan kita, tetapi perlakuan mereka; ajar makan baca doa, bawa ke masjid, ikut marhaban, ikut angkat takbir dan sebagainya. Mereka sudah mengajar kita iman (yakin dan percaya) kepada Allah.

Perihal taqwa, ayah dan ibu selalu mengingatkan kita jika buat salah, Allah marah. Pernah tak merasai pengalaman begitu? Cerita tentang dosa dan pahala, di sekolah juga di ajar sehingga kita takut kepada seksaan Allah jika berbuat kejahatan. Percaya ganjaran jika berbuat kebaikan.

Saban hari, meningkatnya usia kita maka perkara-perkara ini juga perlu meningkat seiring agar kembara yang kita lalui ini bukanlah sebuah kembara yang sia-sia. Pengarah JAKIM pernah bertanya kepada saya:

“Ustaz nak tanya pada kamu, apa yang kamu dapat dalam program ini dan hidup kamu?”
Maka ketika itu saya menjawab, “Alhamdulillah, saya dapat ilmu-ilmu baru ustaz.”
Lalu ustaz itu pun berkata, “Bukan ilmu sahaja yang kamu perlu dapatkan. Ingat tiga perkara ini, ILMU, IMAN, dan TAQWA. Juga keredhaan daripada Allah.”

Jika berbuat sesuatu kerana ingin mendapatkan Allah, ilmu yang dicari itu tidak akan hilang malah berguna kepada diri dan orang disekeliling jika disebarkan. Iman kita kepada Allah tidak turun malah sekata atau meningkat keyakinan dan kepercayaan terhadap janji-janji Allah. Kita juga takut untuk melakukan kemungkaran dengan ilmu yang ada dan juga terhindar daripada sifat-sifat mazmumah; riak, ujub, takbur dan sebagainya.

Begitu juga dengan azam yang kita katakan pada tahun baru ini. Apa jua azam kita, pastikan ianya kerana Allah. Kecuali azam itu memang diyakini bukan sesuatu yang baik. Semoga dengan azam yang tercipta ini dapat membentuk diri kita ke arah yang lebih baik. InsyaAllah.