SEMOGA KEKAL UKHWAH ITU.........

Sunday, 22 December 2013




Friendship Forever
Ukhwah Kekal Bersama.

Tahun 2006
Aspura SMKA BP

Petang itu telah mempertemukan aku dengan seorang lagi warga baru SMKA BP. Sempat bersalaman dengan ahli keluarganya dan aku tahu bahawa ahli kelas ku juga bertambah. Sudah hampir sebulan juga aku memasuki alam sekolah menengah. Ramai juga kenalan yang kini menjadi rakan baru di dalam institusi pendidikan itu. Awal kemasukan aku ditempatkan di kelas yang kedua sebelum berlaku rombakan dan berpindah ke kelas yang pertama.

“Firdaus...” Warga baru memperkenalkan dirinya sambil diperhatikan oleh ayah dan abangnya. Baru ku tahu abangnya adalah senior tingkatan lima waktu itu di sekolahku. Tangan dihulur tanda perkenalan.

“Owh, Qayyum..” Aku menyambut salam dan mengukir senyuman.

Perkenalan itu pada peringkat permulaannya tidak menunjukkan apa-apa keajaiban. Hanya sekadar mengenal siapa dia dan memperkenalkan siapa aku. Yalah, mudah untuk mencari di dalam asrama nanti.

Kisah ‘Hang Tuah’ ini terus berkembang dengan perkenalan kepada beberapa orang lagi sahabat-sahabatku yang ku kira mereka ini unik. Seorang yang sangat sukakan anime terutamanya Gundam malah boleh melukisnya persis watak asal. Izzuddeen atau kami mesra dengan panggilan Izzu ini ku kenali dengan perwatakannya yang ‘cool’ dan rajin. Antara pelajar yang cemerlang di dalam ‘batch’ kami. Sikap beliau yang tenang dan tak kisah itu sangat memberikan motivasi kepadaku. Walaupun dia ini kuat tidur, tetapi otaknya sangat geliga. Tidak hairanlah Izzu boleh menjadi pelajar cemerlang. Aku masih ingat lagi hampir setiap malam kami tidur lewat untuk mengulang kaji. Dan maggi yang menjadi peneman perut tatkala berkeroncong. Antara saat best adalah makan maggi yang telah kembang. Memang tiada rasalah jawabnya. Seperti makan mi kuning tanpa rencah. Tetapi selepas memasuki tingkatan empat. Izzu telah berpindah ke MRSM. Sejak itu jarang aku bertemu dengannya.

Aizuddin dan Jufrie, antara sahabat-sahabatku yang sering bersama-sama. Kami sudah seperti grup trio. Walaupun berbeza kelas tetapi aku senang bersama mereka ini. Peneman tatkala suka, penenang tatkala duka. Permasalahan yang ku hadapi sering ku ceritakan kepada mereka. Awalnya aku jengkel juga kerana apa yang aku ceritakan seolah-olah diambil remeh. Namun, aku tersilap memberi pengadilan. Mereka mendengar setiap bait kata-kataku kemudian memberi nasihat. Semasa di tingkatan lima, hampir setiap malam juga aku mengulangkaji bersama Aizuddin dengan beralaskan lantai dan Nescafe. Walaupun Nescafe yang ku minum, tetap sahaja aku tertidur. Sehinggalah warden asrama ternampak aku tidur di atas lantai dan memberikan amaran.

Dalam ‘Hang Tuah’ ada 7 saudara. Di sini ingin ku ceritakan juga dua orang lagi sahabat yang menjadi memori indah dalam ingatanku. Salah seorangnya ialah Firdaus. Kami menggelarnya ‘besi’ dek kerana dia antara orang yang kuat bersukan dan sering memasuki acara-acara sukan sekolah. Seorang yang ku kenal adakala dia ini lawak adakalanya tegas. Aku tidak menyangka akan duduk sekelas bersamanya selama lima tahun! Paling tidak ku lupa apabila aku dan dia duduk bersebelahan semasa tingkatan empat dan lima. Seperti sudah dirancang pula. Dia memang hebat dalam ilmu hisab (Matematik). Tidak dapat ku nafikan perkara itu. Sewaktu kelas Matematik Tambahan, dia banyak membantu aku untuk mengelak daripada menjadi mangsa ‘pelarian padang’. Kadangkala kami kalah juga pada ‘trick’ yang digunakan guru kami.

Luqman Yunus atau ‘nickname’ yang kami berikan padanya, Loq Yun. Aku dan Loq Yun mempunyai banyak kenangan dalam perjuangan. Di dalam pengawas, program, malah pertandingan. Seorang yang hebat dalam pemikiran. Tidak hairanlah dia boleh berdebat. Kami selalu memikirkan masalah umat dan apa yang berlaku di sekeliling. Aku kadangkala merasa rendah diri apabila berada di sampingnya. Wah, banyak kekurangan aku. Aku sangat menghormati Loq Yun kerana senangnya untuk didekati, tidak lokek berkongsi ilmu dan mudah bergaul. Antara aku dan dia, memori yang masih terukir adalah sewaktu kami bersama-sama menjadi peserta pertandingan Debat Arab Kebangsaan. Sepatutnya waktu lapang itu kami gunakan untuk latihan, namun kami bersepakat dengan ustaz untuk menyaksikan perlawan bola. Nasib baik kami menang pagi itu. Rezekilah katakan. Aku pernah mengharap untuk terus bersama dengannya sehingga ke menara gading. Namun itu semua hanya perancangan dan penentuan itu datangnya daripada Allah.

2011-2013
Jalan itu telah tertulis.......

Kami telah terpisah oleh laluan kerjaya yang berbeza. Waktu ini masing-masing sudah memikirkan hala tuju masa depan sendiri. Begitu juga aku. Firdaus telah menyambung ke Melaka, Luqman ke Negeri Sembilan. Jufrie menyambung ke tingkatan enam dan kini berjaya ke puncak di Negeri Sembilan. Manakala aku dan Aizuddin ke Pantai Timur dalam menara yang sama. Sejak daripada itu jarang aku mendengar kisah mereka.

Walaupun begitu, aku tidak patut menjadi bisu dalam cerita ini. Aku perlu lakukan sesuatu. Sekurang-kurangnya mendapat respon dari mereka. Mesej, chat, perbualan antara yang ku lakukan. Jujurnya aku menjadi sebak dapat mendengar suara mereka. Suara yang sekian lama tenggelam kini dapat ku dengar kembali. Alhamdulillah mereka masih mengingati diri ini. Aku tidak mahu ukhwah itu terhenti sebelum aku menghembuskan nafas yang terakhir.

Alhamdulillah aku masih diberi kesempatan untuk bersua dengan Loq Yun dan Jufrie. Bertanya khabar dan bercerita sepanjang perpisahan itu berlaku. Izzu sempat ku hubungi sewaktu hari raya. Firdaus dan Aizuddin? Firdaus hanya ku hubungi melalui media sosial. Masih seperti dulu dan banyak memberikan nasihat kepadaku sewaktu aku berada dalam fasa patah hati. Begitu juga Jufrie. Mereka ini ibarat kaunselor tak bertauliah padaku. Aizuddin selalu aku temui. Malah kami berada dalam organisasi yang sama. Alhamdulillah atas izin Allah.

Sewaktu aku di Singapura, menghampiri waktu perpisahan bersama peserta-peserta MABIMS, kata-kata yang membuat aku tersentuh;

“Jika perpisahan itu menyakitkan, mengapa perlu ada pertemuan?”

Memang benar. Jika kenangan dan memori indah itu masih mekar, perpisahan adalah suatu yang sangat menyakitkan. Namun, ada ibrah di sebalik semua itu. Ia mengajar aku erti ukhwah yang sebenar.

“Seorang mukmin terhadap mukmin (lainnya) bagaikan satu bangunan, satu sama lain saling menguatkan.” (HR. Al Bukhari dan Muslim).

“Perumpamaan orang-orang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan saling berempati bagaikan satu tubuh. Jika salah satu anggotanya merasakan sakit maka seluruh tubuh turut merasakannya dengan berjaga dan merasakan demam.” (HR. Muslim)

Rasulullah saw pernah ditanya oleh seorang sahabat, “Wahai Rasulullah kabarkanlah kepadaku amal yang dapat memasukkan aku ke surga”. Rasulullah menjawab; “Engkau menyembah Allah, jangan menyekutukan-Nya dengan segala sesuatu, engkau dirikan shalat, tunaikan zakat dan engkau menyambung silaturahmi”. (HR. Bukhari).

Semoga ukhwah ini berkekalan. Tidak kira di mana jua kamu, ingati segala kenangan yang pernah lalui semasa di bangku persekolahan. Suka dan duka bukan isunya, namun bagaimana kamu menyimpannya di dalam diri kamu.

Kepada Aizuddin, Firdaus, Luqman, Jufrie dan Izzuddeen.

MEDAN MAYA: INTERPRETASI, IMPRESI DAN PENGHAKIMAN

Saturday, 21 December 2013





 Laman Sosial Merupakan Ruji Manusia Selain Nasi
Berhubung, Berbincang, Berkongsi

Satu gambar telah di pos ke garis masa facebook. Gambar seorang wanita bertudung duduk bersebelahan dengan seorang lelaki. Jarak mereka terlalu rapat dan terlihat tangan lelaki diletakkan di atas bahu wanita itu. Hanya gambar di pos dan tiada tajuk diletakkan. Lalu pelbagai komen menerjah di ruang garis masa itu;

Ananymous 1: Duduk berdua-duaan. Pakai tudung. Tak senonoh betul.
Ananymous 2: Astaghfirullah. Mana batasan kalian......bersentuhan pulak tu...
Ananymous 3: Mohon delete gambar ni. Merosakkan akhlak..
Ananymous 4: Mungkin abang dia ni....husnuzon...

Setelah pelbagai komen negatif ditujukan, si pemilik akaun telah membalas komen tersebut dengan menyatakan bahawa lelaki di dalam gambar itu adalah abang kandungnya dan menerangkan masa dan tempat gambar itu di ambil supaya mereka memahami. Akhirnya tiada komen dibalas selepas itu.

Situasi ini juga sering berlaku di akhbar, risalah, gambar malah video. Lebih-lebih lagi video itu dipotong pada babak-babak tertentu dan disebarkan. Seperti contoh video Gwiyomi yang memaparkan pelawak Abon membuat gaya tersebut. Video itu telah menjadi hit dan perbincangan hangat di dalam dunia artis dek kerana ketidaksuaian Abon mempraktikkannya. Namun tidak semua perasan bahawa video yang tersebar itu tidak lengkap. Akhirnya Abon dikritik hebat. Video asal yang tidak dipotong memaparkan Abon memenuhi permintaan Faizal Ismail untuk melakukan gwiyomi dan bukan atas kehendak sendiri. Lihatlah bagi sesiapa yang mengatakan beliau mengada-ngada untuk membuat aksi tersebut, anda telah tersilap memberi pengadilan.

Medan Maya

Medan maya merupakan sebuah padang yang sangat luas di mana ia menghubungkan manusia tanpa ada sepadan. Malah jaringan internet hari ini boleh menyamai kepantasan cahaya! Hal ini kerana apabila anda pos sesuatu di laman sosial, sepantas kilat orang lain boleh melihat pos tersebut malah memberikan komen terhadap apa yang anda sebentar tadi.

Medan maya pada asalnya bertujuan untuk memudahkan jaringan perhubungan antara manusia dengan menggunakan internet. Malahan medan maya ingin sangat efektif untuk dijadikan sebagai medium untuk berdakwah. Pos-pos yang diketengahkan berunsurkan dakwah boleh dijadikan sebagai panduan kepada orang lain. Tidak kiralah ianya berbentuk ayat, gambar, mahupun video. Mungkin boleh dijadikan medan ‘penyedar’ kepada sekalian manusia. Siapa tahu dengan pos-pos berkaitan dakwah ini, ramai terbuka untuk bertaubat, menutup aurat dengan lebih sempurna dan jika diizinkan Allah, orang bukan Islam boleh tertarik untuk memasuki dan mendalami agama Islam. Subhanallah.

Ironinya, medan maya ini telah menjadi pencetus pelbagai gejala pada hari ini oleh kerana ‘kecuaian’ yang dilakukan oleh si pemilik akaun itu sendiri. Gejala sosial, jenayah dan maksiat semakin berleluasa. ‘Kecuaian’ yang saya maskudkan bukanlah seperti meninggalkan jejak dalam dunia maya sehingga dikesan atau tidak ada penerangan pada pos-pos tertentu. Tetapi apa yang saya maksudkan adalah kecuaian si pemilik akaun tanpa memikirkan kesan akan datang. Sebagai contoh mudah, remaja gemar mengambil gambar dan berkongsikan ia di dalam laman sosial. Seorang remaja menaik muat status bahawa beliau baru sahaja mengeluarkan sejumlah wang daripada bank. Maka secara tidak langsung ia memberi maklumat mudah kepada penjenayah untuk mengesan anda. Begitu juga seorang wanita mengubah ‘profile picture’ atau menaik muat gambar dirinya yang tidak menutup aurat dengan sempurna. Ia mendedahkan anda untuk menjadi ‘permainan’ dan rogol oleh orang yang tidak berperikemanusiaan.

Interpretasi, Impresi Dan Spekulasi

Berkait dengan persoalan ‘menghakimi’, status di laman sosial, gambar, video dan apa jua jenis media boleh menghasilkan pelbagai interpretasi bagi sesiapa sahaja yang melihatnya. Terutama kepada sesiapa yang pertama kali melihat dan membaca apa yang anda kongsikan. Kita sudah arif bahawa setiap manusia mempunyai interpretasi yang berbeza dengan apa yang mereka lihat dan baca. Seperti contoh saya post gambar saya sedang duduk bersama-sama beberapa orang di sebuah kedai makan tanpa sebarang penjelasan. Interpretasi yang akan saya hadapi kemungkinan mengatakan saya menghadiri jamuan, mengadakan mesyuarat, lepak atau sebagainya. Namun jika saya sertakan penerangan ‘saya dan rakan-rakan dalam jamuan perpisahan’, secara tidak langsung anda mengetahui situasi gambar tersebut.

Saya tertarik dengan lawak ‘old joke’ yang disampaikan oleh pelawak Harith Iskandar dalam rancangan Lawak Ke Der 2 di mana beliau menceritakan bagaimana gambar teh ais setelah di –upload boleh mendapatkan banyak komen. Malah berpuluh-puluh komen. Hanya dengan Teh Ais sahaja! Dahsyat sungguh. Tetapi komen-komen itu masih boleh dikatakan positif pada pandangan orang yang melihatnya.

Cuba bayangkan pengguna laman sosial menaik muat gambar ‘profile picture’ dengan memuncungkan bibir sahaja, saya pasti perkara pertama yang akan berlaku adalah gambar tersebut akan di ‘like’ serta-merta dengan jumlah lebih dari sepuluh. Kemudian barulah muncul komen-komen yang positif dan negatif. Realiti yang sering dan sedang berlaku dalam dunia maya pada hari ini.

Spekulasi selalunya hadir setelah interpretasi dilakukan terhadap apa yang mata seorang manusia itu lihat. Spekulasi yang dikeluarkan juga seiring dengan impresi atau emosi. Jika anda lihat dengan mata anda cantik, indah maka anda akan mengatakan ianya baik, bagus. Begitu juga sebaliknya. Di depan mata anda sesuatu yang menjijikkan pada pandangan anda, maka kata-kata yang akan keluar juga selari dengan penglihatan anda.


Mahkamah: Bersalah atau Dilepaskan
Alam Maya: Benar atau Fitnah


Hakim Maya

Istilah ‘Hakim Maya’ ini hasil pemerhatian saya setelah melihat beberapa situasi yang saya alami. Di dalam dunia perundangan, seorang Hakim yang bertugas di mahkamah akan menentukan adakah seseorang itu bersalah atau tidak berdasarkan bukti-bukti yang diberikan dan apakah hukuman yang harus dijalani jika didapati bersalah. Dan tidak semua orang boleh menjadi Tuan Hakim. Hanya orang yang mempelajari undang-undang sahaja boleh menjadi Hakim dan memerlukan tempoh masa yang agak lama.

Di dalam dunia maya, semua manusia boleh menjadi hakim tanpa memerlukan kualifikasi tertentu. Dan penentuan itu tidak tertakluk kepada mana-mana undang tertentu. Hanya dengan status, gambar, artikel, video sahaja anda sudah boleh menjadi hakim. Pernah suatu ketika gambar kami sewaktu bersama-sama rakan-rakan menjamu selera di sebuah restoran. Apabila di pos di dalam laman sosial, gambar kami itu disalah ertikan sebagai mesyuarat atau persidangan.
Dari sudut lain, Hakim Maya tidak memberi penghakiman seperti yang dilakukan oleh hakim mahkamah. Tetapi memberi komen, pandangan, nasihat dan sebagainya. Tidak kiralah ianya positif atau negatif.

Aku benci kau! Aku akan balas balik perbuatan kau!

Maka akan timbul Hakim Maya

Ananymous 1 : jangan tanamkan sifat sebegitu......menurut dalam hadith.....
Ananymous 2 : baguslah dendam sana...dendam sini....teruskan....

Dialog di atas hanya sebagai contoh sahaja.

Periksa Dahulu

Pada pandangan saya, tidak salah untuk anda menjadi ‘Hakim Maya’. Pokok utama yang perlu anda lakukan terlebih dahulu adalah mengenal pasti kesahihan sesuatu itu terlebih dahulu. Hal ini kerana seorang Hakim Maya yang bertindak membuat penghakiman tanpa usul periksa boleh menjadikan kata-kata anda itu sebagai fitnah, jika nyata membuktikan kenyataan itu salah.

Dipetik daripada ayat Al-Quran:

“Fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh.” – Al-Baqarah: 191

Berpandukan ayat di atas, spekulasi dan penghakiman daripada anda boleh memberi kesan jangka masa panjang jika ianya fitnah. Sebagai contoh anda memberi komen kepada sesebuah status atau gambar sedangkan ianya fitnah dan orang lain mempercayainya, maka kesannya bukan kepada anda, namun kepada si pengepos dan orang-orang yang mempercayainya. Jika positif maka ianya bonus. Tetapi jika negatif, maka kesannya adalah seperti hilang respek, kepercayaan dan regangnya ukhwah saudara Islam. Dari situlah akan tercetusnya kebencian dan dendam yang tidak berkesudahan. Oleh itu berhati-hatilah semasa memberi komen atau mengongsikan sesuatu.

Pastikan juga apa jua bentuk komen anda sebagai Hakim Maya tidak mencetuskan perbalahan. Fikirlah untuk jangka masa yang panjang dan jangan hanya untuk kepentingan tertentu sahaja. Jika anda melihat perbalahan mula tercetus dalam komen yang anda ikuti, cubalah menjadi peneutral komen tersebut agar perbalahan itu tidak berterusan. Semoga usaha ini dapat menjadi alam maya ini sebagai medan ukhwah dan bukan medan khasiriin (merugikan).

Ditulis Oleh: MOHAMAD QAYYUM BIN SHAMSUDIN

DIARI 360% - CHAPTER 2

Tuesday, 17 December 2013




 Diari = Memori
Kisah suka, duka akan tercatat disini



Ogos 2013

Bulan yang penuh dengan cabaran. Cerita era perubahan aku secara total telah bermula di sini. Siapa sangka cabaran demi cabaran dan dugaan demi dugaan perlu aku hadapi ketika ini. Siapa sangka perancangan yang aku telah lakukan hancur setakat di sini. Cerita cinta aku berakhir di sini. Setelah selesai cuti pertengahan semester, rakan-rakan sekelasku mengajak aku berkelana ke Kuantan dan singgah terlebih dahulu di rumah salah seorang sahabatku yang terletak di Kemaman. Dalam perjalanan itu jugalah aku cuba menghubungi si dia untuk memaklumkan keberadaanku agar tidak berlaku sebarang kecurigaan. Namun sepanjang hari aku tidak dapat menghubunginya. Malah akaun facebook dan twitter ku juga telah di ‘block’ olehnya. Tanpa sebab. Puas aku bertanya tetapi tiada jawapan. Adakah dia memarahi aku kerana aku terlalu banyak memberi nasihat kepadanya? Atau nasihat aku itu dianggapnya sebagai desakan? Puas aku memikirnya. Akhirnya aku terpaksa diam untuk sementara untuk menenangkan keadaan. Hampir dua bulan tiada jawapan.

            Sempat juga aku melihat akaun twitternya yang tidak di ‘block’ lagi. Jawapannya yang ku tunggu sungguh menghampakan. Aku hanya ingin penjelasan. Tidak terdetik untuk cetuskan pertelingkahan. Mungkin ini jawapan pengakhiran untuk hubunganku. Mungkin dia sudah ada seorang lelaki yang lebih baik daripadaku. Hampir sebulan hatiku hancur. Jujurnya pedih untuk merawat hati itu kembali. Prinsip aku ‘jika seorang yang aku sayang maka hanya dialah seorang’. Maka tatkala berlakunya malapetaka ini, sukar bagiku untuk menerima. Akhirnya sehingga kini aku mengambil keputusan untuk teruskan kehidupan tanpa ada pengganti. Still Single. Aku juga tiada sebab untuk memarahinya kerana aku juga tidak semuanya benar dalam hal ini. Ada silapnya yang tidak ku sedari.

            Khas untuk awak, tiada kata benci terbit dalam hati ini. Siapa saya untuk singkirkan awak dalam kehidupan. Tapi ingatlah, jaga dirimu baik-baik.

Akhir November 2013

Sudah hampir penghujung bulan November, ini bermakna sudah sepuluh peratus sesi pembelajaran berlalu. Kitaran perjalanan aku masih seperti biasa, bangun pagi dan tunaikan kewajipan, singgah ke bilik rakan-rakan, ke kelas, kafe dan pulang semula ke bilik. Bezanya antara aku dan rakan-rakan, malam pada sesi ini aku habiskan waktu bersama sahabat-sahabat seperjuangan memikirkan masalah umat. Usrah, Gerakan Islam, Program Ilmiah. Itulah yang menjadi penambahan baru dalam hidupku. Walaupun sebelum ini aku mengikuti usrah, penjiwaan kali ini agak berbeza. Sifat ingin tahu semakin menebal dan membukit.

Penglibatan aku dalam sebuah kesatuan gerakan Islam membezakan pengalaman aku sewaktu berada dalam organisasi MPP sewaktu ketika dahulu. Hal ini kerana, dalam MPP, demokrasi adalah tunjang utama. Hidup dengan masalah dan mesyuarat. Bila ada program maka ada mesyuarat. Apabila ada kerja baru ada mesyuarat. Dahulu aku jahil perihal politik kampus. Maka aku naik sebagai MPP kerana mewakilkan fakulti sahaja. Kosong pengetahuan dan hala tuju. Siapa sangka dalam organisasi ini dipenuhi dengan hala tuju yang bersimpang siur. Walaupun awal pergerakan kami dengan satu matlamat, menjaga kebajikan mahasiswa, namun apa yang ku lihat hanya berakhir dengan merekrut ‘tentera kroni’ oleh sebahagian manusia yang sudah hilang kekuatan.

Sudah lama aku perhatikan gelagat mereka. Dari awal lagi aku sudah di ‘blacklist’ oleh mereka sebagai pembangkang dengan alasan aku adalah pelajar undang-undang. Nonsense! Sehinggakan apa jua cadangan yang aku cuba berikan hanya seperti angin lalu. Walaupun ada yang mempersetujui, kesudahannya menjadi ‘sampah’.  Aku lebih suka bergerak secara underground. Bukan nama dan jawatan yang ku kejar kawan. Apa yang aku rasa perlu aku lakukan maka aku lakukan. Walaupun yang lain tidak tahu. Sememangnya dokumentasi itu penting tetapi ada sesuatu yang aku ingin tunjukkan. Kerja tanpa heboh dan ukhwah diperkuat. Alhamdulillah itu berjaya. Hasil inspirasi presiden MPP sendiri sebenarnya. Ku akui aku tidak menjalankan program, tetapi aku menjadi penguat di mana sahaja aku berada. Itu aku sewaktu menjadi MPP.

Eh sudah jauh melencong.

Kembali kepada kesatuan, aku merasakan ketenangan sewaktu berada dalam gerakan ini. Usrah pimpinan, usrah gabungan, unsur tarbiyah dan semangat perjuangan itu ada. Aku masih mentah tetapi tidak salah untuk aku bersama mereka bukan? Nak dikatakan aku jahil, sekolah menengah dahulu SMKA. Tetapi kejutan budaya membuatkan aku seperti jahil. Berjumpa dengan sahabat-sahabat seperti inilah sebenarnya yang menjadi pendorong kepadaku untuk mencari ‘jiwa’ aku yang dahulu dan meningkatkannya.

Aku ingin kongsikan gelagat-gelagat manusia yang aku lihat disekeliling. Sewaktu menjadi AJK sebuah program, aku telah dilantik menjadi kem komandan. Sudah lama aku tidak menjadi garang. Hanya rakan sekolah sahaja yang mengetahuinya. Aku perhatikan gelagat dua orang peserta yang ibaratkan tagline cerita hantu Indonesia, Jelangkung. ‘Datang tak dijemput, pulang tak dihantar.’ Tetapi pada aku mereka ini ‘Datang tak dijemput, pulang ngada-ngada minta dihantar.’ Kami dari pihak pengurusan program sejak awal lagi merasakan mereka datang sebagai peserta dengan membawa agenda tersendiri.

Mereka ini diantara manusia yang lantang bersuara dalam gerakan. Aku akui itu. Namun perjuangan mereka hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja. Seperti cacing kepanasan apabila tidak mendapat sesuatu yang diingini. Bijak berbicara tentang usrah, namun jarang sekali hadir usrah. Bijak berjanji tetapi tidak ditepati. Ada sahaja alasan yang diberikan. Sehinggalah di dalam program itu mereka membuat provokasi dan mengajak peserta-peserta lain yang masih ‘fresh’ bersama mereka. Masakan tidak, arahan yang diberikan oleh sahabatku berbeza dengan tindakan mereka. Aku mula berang dan menyuruh mereka berhenti daripada melakukan aktiviti. Aku menyuruh mereka berkumpul dan menyatakan kesalahan mereka. Tidak mendengar arahan dan tiada strategi. Mendengar arahan dan bina strategi adalah perkara asas dalam apa jua prinsip. Bermula dari bawah. Seperti orang yang baru sahaja membuka perniagaan. Namun setiap kata-kataku dibantah dengan hujah mereka. Ada sahaja ayat yang keluar dari mulut mereka. Maklumlah aku bukan pelajar pengajian Islam seperti mereka. Jadi Ayat Al-Quran dan Hadith menjadi pertaruhan mereka. Selesai melepaskan geram dan diakhiri dengan nasihat, ku lihat mereka ini tersenyum. ‘aku telah berjaya!’ mungkin dalam hatinya berkata begitu. Tidak mengapa. Mujur aku tidak menyentuh tentang hakikat mereka yang kontra jika hendak dibandingkan dengan percakapan mereka itu. Syeikh, enta hebat hujah tapi benda simple tak boleh buat. Enta ingat enta boleh jadi orang hebat? Hakikat cerita dunia.

Mereka ini sudah dibenci oleh sahabat-sahabatku malah kenalan yang lain. Hanya ingin menang sahaja. Ada juga manusia seperti itu rupanya. Namun dalam cerita ini, aku menjadi sang neutral yang masih mendekati mereka untuk mengetahui apakah sebenarnya yang mereka mahukan. Jawatan dalam kesatuan? Inginkan nama mereka disanjungi? Wallahua’lam.

Berkisar tentang perjalanan seharianku, hari-hariku tenang. Tidak seperti dahulu. Walaupun tiada masalah, tetap sahaja resah gelisah. Namun kali ini, ada masalah, jiwa aku tidak cepat melatah. Syukur kepada Allah. Hanya sunyi apabila bersendirian. Di hadapan rakan-rakan, aku periang, kuat bergurau dan bercerita. Siapa yang tak jadi mangsa gurauan, tunggu sahajalah masanya tiba. Hanya jika aku bersendirian, aku sunyi. Hanya lambaian angin yang menjadi ‘jiran’. Kadangkala bosan juga. Oleh sebab itulah aku suka bersosial, masih lagi mengikut syarak.

Apabila rasa bosan, langit yang penuh keindahan akan ku jadikan tatapan. kadangkala beraraknya awan, kadangkala bulan mengambil ruang. Jika beruntung, kerlipan bintang akan menemani. Subhanallah indahnya ciptaan Allah, Alhamdulillah masih diberi penglihatan. *Tersenyum*

Bersambung cerita aku.........................