MEDAN MAYA: INTERPRETASI, IMPRESI DAN PENGHAKIMAN

Saturday, 21 December 2013





 Laman Sosial Merupakan Ruji Manusia Selain Nasi
Berhubung, Berbincang, Berkongsi

Satu gambar telah di pos ke garis masa facebook. Gambar seorang wanita bertudung duduk bersebelahan dengan seorang lelaki. Jarak mereka terlalu rapat dan terlihat tangan lelaki diletakkan di atas bahu wanita itu. Hanya gambar di pos dan tiada tajuk diletakkan. Lalu pelbagai komen menerjah di ruang garis masa itu;

Ananymous 1: Duduk berdua-duaan. Pakai tudung. Tak senonoh betul.
Ananymous 2: Astaghfirullah. Mana batasan kalian......bersentuhan pulak tu...
Ananymous 3: Mohon delete gambar ni. Merosakkan akhlak..
Ananymous 4: Mungkin abang dia ni....husnuzon...

Setelah pelbagai komen negatif ditujukan, si pemilik akaun telah membalas komen tersebut dengan menyatakan bahawa lelaki di dalam gambar itu adalah abang kandungnya dan menerangkan masa dan tempat gambar itu di ambil supaya mereka memahami. Akhirnya tiada komen dibalas selepas itu.

Situasi ini juga sering berlaku di akhbar, risalah, gambar malah video. Lebih-lebih lagi video itu dipotong pada babak-babak tertentu dan disebarkan. Seperti contoh video Gwiyomi yang memaparkan pelawak Abon membuat gaya tersebut. Video itu telah menjadi hit dan perbincangan hangat di dalam dunia artis dek kerana ketidaksuaian Abon mempraktikkannya. Namun tidak semua perasan bahawa video yang tersebar itu tidak lengkap. Akhirnya Abon dikritik hebat. Video asal yang tidak dipotong memaparkan Abon memenuhi permintaan Faizal Ismail untuk melakukan gwiyomi dan bukan atas kehendak sendiri. Lihatlah bagi sesiapa yang mengatakan beliau mengada-ngada untuk membuat aksi tersebut, anda telah tersilap memberi pengadilan.

Medan Maya

Medan maya merupakan sebuah padang yang sangat luas di mana ia menghubungkan manusia tanpa ada sepadan. Malah jaringan internet hari ini boleh menyamai kepantasan cahaya! Hal ini kerana apabila anda pos sesuatu di laman sosial, sepantas kilat orang lain boleh melihat pos tersebut malah memberikan komen terhadap apa yang anda sebentar tadi.

Medan maya pada asalnya bertujuan untuk memudahkan jaringan perhubungan antara manusia dengan menggunakan internet. Malahan medan maya ingin sangat efektif untuk dijadikan sebagai medium untuk berdakwah. Pos-pos yang diketengahkan berunsurkan dakwah boleh dijadikan sebagai panduan kepada orang lain. Tidak kiralah ianya berbentuk ayat, gambar, mahupun video. Mungkin boleh dijadikan medan ‘penyedar’ kepada sekalian manusia. Siapa tahu dengan pos-pos berkaitan dakwah ini, ramai terbuka untuk bertaubat, menutup aurat dengan lebih sempurna dan jika diizinkan Allah, orang bukan Islam boleh tertarik untuk memasuki dan mendalami agama Islam. Subhanallah.

Ironinya, medan maya ini telah menjadi pencetus pelbagai gejala pada hari ini oleh kerana ‘kecuaian’ yang dilakukan oleh si pemilik akaun itu sendiri. Gejala sosial, jenayah dan maksiat semakin berleluasa. ‘Kecuaian’ yang saya maskudkan bukanlah seperti meninggalkan jejak dalam dunia maya sehingga dikesan atau tidak ada penerangan pada pos-pos tertentu. Tetapi apa yang saya maksudkan adalah kecuaian si pemilik akaun tanpa memikirkan kesan akan datang. Sebagai contoh mudah, remaja gemar mengambil gambar dan berkongsikan ia di dalam laman sosial. Seorang remaja menaik muat status bahawa beliau baru sahaja mengeluarkan sejumlah wang daripada bank. Maka secara tidak langsung ia memberi maklumat mudah kepada penjenayah untuk mengesan anda. Begitu juga seorang wanita mengubah ‘profile picture’ atau menaik muat gambar dirinya yang tidak menutup aurat dengan sempurna. Ia mendedahkan anda untuk menjadi ‘permainan’ dan rogol oleh orang yang tidak berperikemanusiaan.

Interpretasi, Impresi Dan Spekulasi

Berkait dengan persoalan ‘menghakimi’, status di laman sosial, gambar, video dan apa jua jenis media boleh menghasilkan pelbagai interpretasi bagi sesiapa sahaja yang melihatnya. Terutama kepada sesiapa yang pertama kali melihat dan membaca apa yang anda kongsikan. Kita sudah arif bahawa setiap manusia mempunyai interpretasi yang berbeza dengan apa yang mereka lihat dan baca. Seperti contoh saya post gambar saya sedang duduk bersama-sama beberapa orang di sebuah kedai makan tanpa sebarang penjelasan. Interpretasi yang akan saya hadapi kemungkinan mengatakan saya menghadiri jamuan, mengadakan mesyuarat, lepak atau sebagainya. Namun jika saya sertakan penerangan ‘saya dan rakan-rakan dalam jamuan perpisahan’, secara tidak langsung anda mengetahui situasi gambar tersebut.

Saya tertarik dengan lawak ‘old joke’ yang disampaikan oleh pelawak Harith Iskandar dalam rancangan Lawak Ke Der 2 di mana beliau menceritakan bagaimana gambar teh ais setelah di –upload boleh mendapatkan banyak komen. Malah berpuluh-puluh komen. Hanya dengan Teh Ais sahaja! Dahsyat sungguh. Tetapi komen-komen itu masih boleh dikatakan positif pada pandangan orang yang melihatnya.

Cuba bayangkan pengguna laman sosial menaik muat gambar ‘profile picture’ dengan memuncungkan bibir sahaja, saya pasti perkara pertama yang akan berlaku adalah gambar tersebut akan di ‘like’ serta-merta dengan jumlah lebih dari sepuluh. Kemudian barulah muncul komen-komen yang positif dan negatif. Realiti yang sering dan sedang berlaku dalam dunia maya pada hari ini.

Spekulasi selalunya hadir setelah interpretasi dilakukan terhadap apa yang mata seorang manusia itu lihat. Spekulasi yang dikeluarkan juga seiring dengan impresi atau emosi. Jika anda lihat dengan mata anda cantik, indah maka anda akan mengatakan ianya baik, bagus. Begitu juga sebaliknya. Di depan mata anda sesuatu yang menjijikkan pada pandangan anda, maka kata-kata yang akan keluar juga selari dengan penglihatan anda.


Mahkamah: Bersalah atau Dilepaskan
Alam Maya: Benar atau Fitnah


Hakim Maya

Istilah ‘Hakim Maya’ ini hasil pemerhatian saya setelah melihat beberapa situasi yang saya alami. Di dalam dunia perundangan, seorang Hakim yang bertugas di mahkamah akan menentukan adakah seseorang itu bersalah atau tidak berdasarkan bukti-bukti yang diberikan dan apakah hukuman yang harus dijalani jika didapati bersalah. Dan tidak semua orang boleh menjadi Tuan Hakim. Hanya orang yang mempelajari undang-undang sahaja boleh menjadi Hakim dan memerlukan tempoh masa yang agak lama.

Di dalam dunia maya, semua manusia boleh menjadi hakim tanpa memerlukan kualifikasi tertentu. Dan penentuan itu tidak tertakluk kepada mana-mana undang tertentu. Hanya dengan status, gambar, artikel, video sahaja anda sudah boleh menjadi hakim. Pernah suatu ketika gambar kami sewaktu bersama-sama rakan-rakan menjamu selera di sebuah restoran. Apabila di pos di dalam laman sosial, gambar kami itu disalah ertikan sebagai mesyuarat atau persidangan.
Dari sudut lain, Hakim Maya tidak memberi penghakiman seperti yang dilakukan oleh hakim mahkamah. Tetapi memberi komen, pandangan, nasihat dan sebagainya. Tidak kiralah ianya positif atau negatif.

Aku benci kau! Aku akan balas balik perbuatan kau!

Maka akan timbul Hakim Maya

Ananymous 1 : jangan tanamkan sifat sebegitu......menurut dalam hadith.....
Ananymous 2 : baguslah dendam sana...dendam sini....teruskan....

Dialog di atas hanya sebagai contoh sahaja.

Periksa Dahulu

Pada pandangan saya, tidak salah untuk anda menjadi ‘Hakim Maya’. Pokok utama yang perlu anda lakukan terlebih dahulu adalah mengenal pasti kesahihan sesuatu itu terlebih dahulu. Hal ini kerana seorang Hakim Maya yang bertindak membuat penghakiman tanpa usul periksa boleh menjadikan kata-kata anda itu sebagai fitnah, jika nyata membuktikan kenyataan itu salah.

Dipetik daripada ayat Al-Quran:

“Fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh.” – Al-Baqarah: 191

Berpandukan ayat di atas, spekulasi dan penghakiman daripada anda boleh memberi kesan jangka masa panjang jika ianya fitnah. Sebagai contoh anda memberi komen kepada sesebuah status atau gambar sedangkan ianya fitnah dan orang lain mempercayainya, maka kesannya bukan kepada anda, namun kepada si pengepos dan orang-orang yang mempercayainya. Jika positif maka ianya bonus. Tetapi jika negatif, maka kesannya adalah seperti hilang respek, kepercayaan dan regangnya ukhwah saudara Islam. Dari situlah akan tercetusnya kebencian dan dendam yang tidak berkesudahan. Oleh itu berhati-hatilah semasa memberi komen atau mengongsikan sesuatu.

Pastikan juga apa jua bentuk komen anda sebagai Hakim Maya tidak mencetuskan perbalahan. Fikirlah untuk jangka masa yang panjang dan jangan hanya untuk kepentingan tertentu sahaja. Jika anda melihat perbalahan mula tercetus dalam komen yang anda ikuti, cubalah menjadi peneutral komen tersebut agar perbalahan itu tidak berterusan. Semoga usaha ini dapat menjadi alam maya ini sebagai medan ukhwah dan bukan medan khasiriin (merugikan).

Ditulis Oleh: MOHAMAD QAYYUM BIN SHAMSUDIN

0 comments:

Post a Comment