Diari - Catatan Hari-hariku
PENDAHULUAN
Mungkin agak
lama saya tidak update blog ini. Namun bukan bermakna saya berhenti menulis. Dalam
jangka masa yang agak lama ini, saya tergerak untuk mewujudkan ruangan Diari
360% ini. Diari 360% ini merupakan perkongsian daripada saya selaku penulis
amatur. Dalam perkiraan matematik, sudut 360% adalah sudut lengkap bagi sebuah
bulatan. Signifikasi yang saya ingin bawakan dalam Diari 360% ini sebenarnya
berkisarkan tentang pengalaman yang dilalui oleh penulis di sekitarnya. Bagi
saya, setiap manusia mungkin boleh melihat satu situasi yang sama, namun mereka
masing-masing mempunyai intrepretasi yang berbeza. Sebagai contoh, jika dua
orang diberikan satu gambar mengenai nasi goreng, saya pasti masing-masing akan
memberikan pendapat yang berbeza.
A : Nasi goreng
ini macam kosong je. Tak ada sayur.
B : Kedai makan
mana yang jual nasi goreng ni?
Atau mungkin pendapat yang lain.
Begitu antara saya dengan anda. Sukar untuk mencari seseorang yang mempunyai
pandangan yang sama dalam sekelip mata (synchronize). Dalam kajian spontan saya
dalam kelas, pensyarah memberikan soalan berkenaan penyelesaian masalah dan
jawapan yang diutarakan adalah ‘Ya’ atau ‘Tidak’. Walaupun ramai yang
mengatakan ‘Ya’, apabila ditanyakan tentang pendapat kepada penjawab ‘Ya’,
pendapat mereka berbeza. Paling tidak pun lebih kurang sama sahaja.
BULAN LEPAS...
17 November 2013
Universiti
Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Bermula
semester baru. Pejam celik sudah memasuki fasa ‘prima facie’ atau pertengahan
dalam pengajian undang-undang yang ku lalui. Semester 6 yakni semester akhir.
Namun aku menyatakan ini fasa pertengahan kerana fasa ini adalah fasa kehidupan
diriku sebelum ini sewaktu mula-mula memasuki alam universiti dan fasa ‘suprise’
untuk aku mengetahui apa yang akan berlaku selepas ini. Mungkin aku akan kerja.
Mungkin sambung ijazah sarjana muda. Atau mungkin juga kerja separuh masa
sambil belajar. Jika dalam Subjek Undang-undang Pembuktian menyatakan bahawa
fasa ‘prima facie’ adalah fasa pertengahan sebelum tertuduh mengemukakan
sebarang bukti, maka apa yang ku tulis ini adalah intrepretasi aku terhadap ‘prima
facie’.
Wah! Tergamam sewaktu melihat jadual
semester kali ini yang sangat padat. Akhir kelas rata-rata jam 7 petang. Cecah
waktu maghrib. Setelah diterangkan mengapa sebegitu, rupa-rupanya pensyarah
yang mengajar subjek-subjek pada petang itu merupakan peguam yang menjadi
pensyarah separuh masa (part-time). Tidak hairanlah kelas petang itu berakhir
jam 7 petang. Hebat juga peguam itu. Sehariannya hanya menghabiskan air liur di
dua tempat yang berbeza. Mahkamah dan kelas kami.
Kali ini aku cuba ubah jadual aku
sendiri. Setiap kali sebelum pergi ke kelas, aku akan singgah di blok asrama
rakan-rakan kelasku yang lain. Al-kisahnya bermula apabila aku menginap di blok
asrama yang jauh daripada mereka. Ibarat utara dan selatan. Lebih menyedihkan
aku seorang sahaja yang terpisah. Pengubahan jadual aku ini sebenarnya boleh
dianggap sebagai seseorang yang dahulu lupa kawan, sekarang baru ingat kawan.
Ayat biasa yang ku dengar. Ku akui sebelum ini aku yang mementingkan diri.
Apatah lagi sewaktu memegang jawatan sebagai Majlis Perwakilan Pelajar. Apabila
di ajak keluar, aku menolak. Ada juga aku mengikuti, namun ku tahu aku adalah ‘last
option’ bagi mereka. Tidak mengapa. Itu adalah khilafku.
Walaupun begitu, tidak sedikit aku
merasa kecil hati kepada mereka. Padaku mereka tidak bersalah. Seorang pegawai
pernah memberikan aku ceramah percuma. Kata-katanya amat member kesan dalam
diriku. “Kalau awak tak dapat sokongan, jangan salahkan siapa-siapa. Fikir dulu
mungkin sebelum ini awak sendiri pernah menjauhkan diri daripada mereka.”
Lumrah lah jika jadi sebegitu rupa.
Jika ada yang mengata belakang, membuat mimik muka atau ekspresi sebagainya
adalah hasil aku sebelum ini. Sahabat-sahabat. Aku minta maaf dan minta ampun
dengan kekhilafan aku sebelum ini. Maaf Dari Hati seorang manusia yang hina
ini.
Hari-hariku diiringi dengan cuaca
yang sentiasa berubah. Jika rakan-rakan yang lain mengambil masa hanya 10 minit
untuk bergerak ke kelas, maka aku akan mengambil masa setengah jam lebih awal
supaya aku dapat singgah dahulu ke bilik mereka dan gerak bersama-sama. Mungkin
ini hasil pengajaran yang ku perolehi.
Apabila kelas berakhir jam 7 petang
atau mungkin awal sedikit daripada itu, aku terfikir seperkara lagi. Usrah
Kelab Pemikir. Allah! Usrah selalunya bermula jam 5.30 petang dan habis jam
6.45 petang setiap hari rabu. Maka aku mengambil langkah jika habis kelas awal
pada hari itu, aku akan terus menuju ke tempat usrah walaupun usrah sudah
sampai ke penghujungnya. Asalkan aku dapat mendengar sepatah ayat daripada ahli
usrah sudah memadai. Jiwa aku lemah syeikh. Aku perlukan ‘tiang sokongan’ untuk
tegakkan kembali kelemahan itu. Usrahlah salah satu medium yang aku perlukan. Dalam
usrah aku dapat melihat wajah-wajah insan yang sangat dahagakan ilmu selain
dalam kelas.
Kali ini aku perlukan lebih kekuatan
untuk terus berubah ke arah yang lebih baik.
...Bersambung....
0 comments:
Post a Comment