JAHAT BALAS BAIK

Monday, 27 January 2014


Jika Jahat di balas jahat, maka hitamlah sekelilingmu.
Jika jahat dibalas baik, tidak mustahil hitam itu ditutupi oleh putih.


Dari Abu Dzar, Jundub bin Junadah dan Abu Abdul Rahman, Muaz bin Jabal r.a, dari Rasulullah SAW, sabdanya : " Bertaqwalah kepada Allah di mana saja engkau berada. Iringkanlah perbuatan jahat itu dengan perbuatan baik, mudah-mudahan yang baik itu akan memadam yang jahat. Dan berperangai kepada manusia dengan dengan perangai yang bagus."

Sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dzar, tertulis di dalam hadith 40. Saya amat tertarik dengan topik usrah yang ringkas dibincangkan bersama Ustazah Nor Salimah. Hasil pembelajaran kuliah Ustaz Mohamed (Ustaz Mad) katanya.

Lingkaran hidup kita akan mengalami situasi di mana kita berbuat jahat pada orang lain. Dari yang kecil mahupun besar ‘kejahatan’ kita itu pada orang lain. Jika difikir kembali, pernah kita melakukannya?

Kejahatan yang tidak nyata terhadap orang lain seperti mengumpat, mengata belakang, memburukkan orang lain, membuka aib. Pernah atau tidak kita melakukannya?

Kejahatan yang mungkin nyata seperti menyakiti kawan, meminjam atau merosakkan harta tanpa memulangkan, pernah tidak?

Atau mungkin kejahatan lain selain yang dinyatakan?

Orang yang jahat itu tidak semestinya akan berterusan jahat. Akan sampai suatu masa seseorang itu hendak berubah menjadi baik.

Di dalam hadith di atas, perkara jahat yang pernah dilakukan sebelumnya hendaklah di’jernih’kan dengan perbuatan yang baik. Apa jua perbuatan yang jahat hendaklah ditebus dengan perbuatan yang baik.

Jika pernah menyakiti orang lain, meminta maaf daripadanya. Selain daripada bertaubat kepada Allah, meminta maaf kepada orang yang pernah disakiti juga perlu dalam konteks hubungan-ukhwah terutama kenalan.

Jika orang yang ingin kita memohon ampun itu berada jauh atau tidak dapat dijumpai, hanya tebus dengan melakukan perbuatan baik dan niatkan untuk orang yang kita  sakiti itu. Misalnya sedekah dan niatkan untuk tebus kesalahan kita itu.

Hutang pula perlu dibayar kembali jumlahnya kepada siapa yang kita berhutang. Jika pemiutang sudah tiada, berilah kepada warisnya.

Realiti hari ini menganggap perbuatan yang jahat pernah dilakukan hanya dapat dibersihkan dengan bertaubat sahaja kepada Allah. Kalau begitu, hanya dosa kepada Allah sahaja yang dapat dibersihkan. Bagaimana dengan orang yang disakiti? Jika orang itu tahu, mungkin dia menyimpan perasaan marah atau dendam. Hanya dia sahaja yang tahu. Oleh itu, perlu untuk menebusnya dengan manusia. Kecuali tidak dapat dijumpai barulah niatkan perbuatan baik itu kepada si dia.

Di samping itu, hadith ini juga menerangkan tentang perbuatan jahat yang dilakukan oleh orang lain terhadap kita. Adakah kita perlu membalasnya?

Iringkanlah perbuatan jahat dengan perbuatan baik.

Ertinya tidak semestinya jahat yang dilakukan terhadap perlu dibalas dengan jahat. Seperti api balas api. Semakin maraklah jawabnya. Api perlu dibalas dengan air.

Tidak perlu untuk membalas kejahatan seseorang itu dengan kejahatan. Seperti contoh orang memburukkan kita pada orang lain. Di pihak kita tidak perlu untuk memburukkan orang itu juga. Situasi ini hanya akan menyebabkan orang lain makin memandang teruk kepada dia malah kita juga.

Balaslah dengan perbuatan yang baik seperti senyuman, diam atau sebagainya. Jika dia sakit, ziarahi. Dia kesusahan, bantu bukan bersorak atas musibah yang tertimpa ke atas dirinya.

Kita manusia bukan penghukum (Hakim). Kita adalah penyuci bagi setiap kekotoran yang berlaku di atas muka bumi Allah ini.

Insya Allah, semoga perkongsian ini bermanfaat.

3 comments:

hai..thanks comment my post :)) done follow u :))

thank you :)

Salam, would like to ask permission to share,may I ? Tq

Post a Comment