Kita diciptakan dengan lengkap anggota tubuh badan. Pancaindera kita berfungsi dengan baik. Tiada cacat cela. Setiap ciptaan Allah mempunyai sebabnya yang tersendiri yang mungkin kita ketahui atau tersembunyi tanpa kita ketahuinya. Terfikirkah kita tentang agungnya ciptaan Allah jika hendak dibandingkan dengan sesuatu yang dicipta oleh seorang genius. Allah menciptakan manusia dengan jasad dan roh yang ditiupkan sedangkan manusia mencipta robot dengan jasad dan elektronik sebagai "roh" nya.
Firman Allah:
"Dan sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dari saripati (berasal) dari tanah. Kemudian kami menjadikannya air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian, air mani itu Kami jadikan sesuatu yang melekat, lalu sesuatu yang melekat itu kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu kami bungkus dengan daging. Kemudian, Kami menjadikannya makhluk yang (berbentuk) lain. Maha Suci Allah, Pencipta yang paling baik."
Surah Al-Mu'minun: 12 - 14
Saya ingin berkongsi kali ini bukanlah mengenai penerangan tentang bagaimana Allah mencipta manusia. Tetapi saya ingin anda melihat dalam kesempurnaan fizikal dan mental yang kita miliki, masih ada yang tidak seperti kita. Tidak sesempurna kita. Ada di antara kita yang mempunyai kecacatan fizikal sejak mereka lahir. Malah ada juga yang menerima nasib masalah pada mental mereka sejak lahir. Bukanlah hendak mengatakan bahawa ciptaan-Nya itu tidak sempurna tapi lihat pada hikmah mengapakah wujudnya orang-orang seperti ini? Adakah untuk mereka meminta simpati? Adakah untuk mereka mendapatkan kelebihan berbanding insan yang sempurna? Tidak sama sekali. Percayalah mereka yang istimewa ini juga tidak pernah terlintas untuk berbuat demikian. Mereka juga ingin hidup seperti manusia biasa.
Pena maya penulis ingin berkongsi cerita tatkala bersama-sama menganjurkan program bersama warga Orang Kurang Upaya (OKU) yang terdapat dalam institusi saya. Mereka dibawa menaiki River Cruise yang terdapat di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu. Walaupun sehari bersama mereka, hati saya tersentuh apabila dibuka satu sesi untuk mereka menceritakan segala permasalahan mereka dalam apa jua aspek. Mereka terharu apabila masih ada orang yang mahu mengambil berat tentang mereka yang tergolong dalam kategori minoriti.
Kita lihat satu sudut yang berbeza. Allah mewujudkan mereka ini agar kita, insan yang sempurna sifat sedar dan bersyukur dengan segala pemberian yang diberikan. Pertama kita lihat bagaimana mereka mengharungi kehidupan seharian mereka dengan kesusahan yang mereka hadapi. Kedua, lihatlah kesungguhan mereka untuk bersaing lebih daripada orang lain disekelilingnya yang sempurna. Ketiga, lihat ketabahan mereka dengan sendirinya melakukan kerja tanpa mengharapkan ihsan orang lain mahupun sebarang bantuan. Realiti hari ini insan yang sempurna terlalu manja. Manja dengan bantuan. Manja dengan kehendak yang melampau tanpa pernah rasa puas dan tidak bersyukur. Itulah bezanya insan yang sempurna dengan insan yang tidak sempurna lahiriahnya.
Saya ingin membawa satu contoh individu OKU yang berjaya membawa dirinya selangkah ke hadapan. Anda kenal Nick Vujicic? Beliau dilahirkan tidak seperti bayi yang lain. Lahir tanpa tangan dan kaki. Hanya satu kaki yang kecil sahaja yang menstabilkan badannya. Di sekolah, beliau selalu menjadi mangsa buli kerana kecacatan yang beliau hadapi. Tetapi, beliau bersyukur dengan kekurangan yang dihadapi dan cuba untuk mengatasi kekurangan itu dengan menjadikan kekurang itu sebagai kelebihannya dalam berkerjaya. Kecacatan beliau bukanlah penghalang untuk beliau menghabiskan pelajaran dan berkerjaya. Beliau tidak menganggap kecacatan itu sebagai pendorong untuk beliau terus beraktiviti. Beliau bermain bola sepak, berenang, dan bermain alat muzik dengan menggunakan kaki kecil beliau. Jika Nick Vujicic boleh berada sebaris dengan orang yang sempurna mengapa tidak kita?
Oleh itu, hargai diri kita dengan menggunakan fizikal yang kita ada dengan sesuatu yang baik. Dalam masa yang sama juga kita hulurkan bantuan kepada golongan ini agar mereka merasakan diri mereka sama seperti kita.
"Allah selalu menolong orang selama orang itu selalu menolong saudaranya (semuslim)." - HR. Ahmad
0 comments:
Post a Comment